Site icon Wacana Zeckry

Pemilikan Harta Dalam Islam

Harta sememangnya menjadi idaman semua manusia kerana akan memudahkan mereka hidup dengan selesa di dunia. Ramai yang berusaha mencari sebanyak harta yang boleh dalam kehidupan. Manusia boleh senang dengan harta. Manusia juga boleh susah dengan penyalahgunaan harta. Disebabkan kepentingan harta terhadap manusia sama ada di dunia atau di akhirat, Allah SWT telah menyebut dengan begitu banyak sekali dalam al-Quran (Muhammad Fuad Abdul Baq (Baqi, 1994)i, 1994).

Islam menerusi hukum syariahnya sentiasa menggalakkan semua umatnya mencari harta sebanyak mungkin, asalkan dengan cara yang diharuskan seperti menjalankan perniagaan atau mengusahakan tanaman. Tuntutan tersebut selaras dengan kewajipan setiap mukalaf supaya mencari rezeki yang halal dan baik sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah (Surah al-Baqarah 2:172)

Walau bagaimanapun, Islam mengambil sikap yang jelas dan terbuka dalam soal pengurusan harta dengan berdasarkan nilai dan objektif untuk kebaikan dunia dan akhirat sekali gus menghindari segala keburukan dan kemudaratan. Oleh kerana, harta merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Allah SWT menyediakan harta khusus untuk menjamin kepentingan manusia supaya boleh hidup dengan baik dan sempurna. Harta yang diciptakan sebagai alat untuk kehidupan tidak seharusnya diselewengkan oleh pemiliknya atau sesiapa sahaja. Justeru, al-Quran mencela sifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, memiliki mahupun membelanjakan harta dengan cara yang haram.

Oleh itu, harta adalah sesuatu yang terpenting dalam perbincangan mengenai teori pemilikan. Hal-hal yang akan dibincangkan dalam harta ini ialah pengertian harta, konsep pemilikan harta dan permasalahan harta pusaka yang tidak dituntut khususnya dalam kalangan masyarakat Islam serta kesan keburukan daripada permasalahan tersebut. Di samping penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi permasalahan harta pusaka yang tidak dituntut menjadi tanggungjawab pewaris menguruskan harta pusaka.

 

PENGERTIAN HARTA DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Harta atau dalam bahasa Arabnya disebut al-mal atau al-amwal.

Sebagaimana yang telah dinyatakan, ia telah disebut banyak kali dalam al-Quran dan al-Hadis. Antaranya firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

  1. “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah paliala yang besar”.(Surah al-Anfal 8: 28)
  2. “Sesunggguhnya harta-benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar” (Surah al-Taghabun 64: 15)
  3. ‘‘Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleli harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.”

Terdapat banyak definisi tentang harta antaranya ialah:

  1. Menurut Wahbah al-Zuhayli (1999), harta ialah segala apa yang dimiliki, sama ada barang itu fizikal ataupun manfaat seperti emas, perak, binatang temak atau tumbuhan dan hasil pertanian.
  2. Menurut Ibn al-Athir pula harta asalnya dikhususkan terhadap apa yang dimiliki oleh manusia daripada emas dan perak.

Namun, selepas itu ia merangkumi apa sahaja yang dimiliki daripada barangan atau benda-benda (Mahmud Bilal Mahran,1983).

  1. Imam Syafie mendefiniskan mal (harta) sebagai sesuatu yang diingini oleh manusia dan ia boleh disimpan untuk digunakan apabila perlu. Ia sebagai barang atau manfaat yang berharga dan boleh dikenakan ganti rugi jika diceroboh (al-Sayuti, 1959).

Bagaimanapun, pengertian harta menurut istilah serta penjelasan fuqaha dapat dibahagikan kepada dua pandangan yang utama iaitu (al-Zuhayli, 1999):

-Menurut fuqaha mazhab Hanafi ialah apa yang disukai dandiingini oleh manusia serta mampu disimpan, diuruskan dan dibelanjakan pada bila-bila waktu yang diperlukan seperti emas, mata wang, rumah, tanaman dan sebagainya. Sebaliknya, segala benda yang tidak mampu dikuasai, diselenggara dan disimpan, walaupun berfaedah, tidak dianggap sebagai harta seperti cahaya matahari atau udara.

-Menurut pendapat jumhur ulama, mereka memberi pengertian yang lebih luas iaitu segala apa sahaja yang mungkin dan dapat diambil faedah dari sudut adat kebiasaan. Hal ini merangkumi sesuatu yang berbentuk benda dan barangan yang dapat dilihat seperti yang telah dikatakan oleh fuqaha mazhab Hanafi di atas.

Di samping itu, harta juga meliputi segala faedah atau manfaat yang diambil daripada benda dan barangan seperti manfaat yang dapat diperoleh daripada rumah dan kenderaan. Hal itu kerana faedahnya dapat ditukar ganti melalui rumah sewa oleh penyewa yang dapat ditukar dengan wang atau bayaran kepada pemilik rumah. Ringkasnya, pengertian harta sebagaimana yang dikemukakan oleh jumhur merangkumi harta benda yang dapat dimiliki, dikumpulkan, diselenggarakan, disimpan dan yang tidak dapat disimpan, tetapi berbentuk faedah berdasarkan adat serta selaras dengan muamalah seperti sewa menyewa dan upah mengupah. Selanjutnya, menurut jumhur lagi, harta juga merangkumi benda-benda harus serta berkemungkinan diperoleh dan dimiliki walau dengan apa jua cara seperti haiwan buruan di hutan, burung di udara, tanah yang diterokai dan sebagainya.

Berpandukan pengertian yang diberikan oleh fuqaha tersebut, bolehlah disimpulkan di sini bahawa sesuatu harta itu dinamakan harta apabila ia menepati dua ciri utama iaitu:

  1. Sesuatu yang dapat dimiliki, dikuasai atau dimanfaati oleh seseorang.
  2. Sesuatu yang berguna kepada seseorang atau yang boleh diambil manfaat daripadanya.

Pandangan jumhur ulama adalah lebih realistik kerana ia menepati kehendak semasa pada masa kini. Secara logiknya, hal ini dapat dilihat dari sudut manusia yang berusaha mencari harta kekayaan di dunia ini. Tujuan pencarian ini adalah semata-mata untuk mencari manfaat daripadanya. Mereka tidak akan berlumba-lumba untuk mencari sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan. Pakar-pakar konvensional juga memandang manfaat sebagai harta seperti hak-hak pengarang. hak-hak penemuan baru, hak cipta dan sebagainya. Dengan demikian, secara tidak langsung pandangan pakar-pakar tersebut adalah selari dengan pandangan jumhur ulama mengenai pengertian harta ini.

Dalam al-Quran, Allah SWT menggambarkan bahawa manusia mencintai harta kekayaan melebihi kecintaan kepada anak-anak dan keluarga dengan firman-Nya:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi, amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan (Surah al-Kahfi 18: 46)

Ayat ini mendahulukan perkataan harta daripada perkataan anak-anak yang menunjukkan manusia amat mencintai harta kekayaan. Malahan manusia sanggup bergaduh dan berperang demi untuk mendapatkan harta. (Muhammad, Nasri & Sollehuddin, 2013)

KONSEP PEMILIKAN HARTA YANG TELAH DIGARISKAN DALAM ISLAM

Dari segi bahasa Arab pemilikan bererti penguasaan seseorang terhadap harta secara mutlak. Dalam kamus ‘Lisan al-Arab’ pemilikan bermaksud menyimpan dan memiliki sesuatu secara mutlak, iaitu seseorang itu berkuasa penuh untuk menguruskannya (Ibn Manzur, 1956).

Mengikut syariat Islam pula, ia bermaksud sebagai penguasaan sesuatu secara khusus yang membolehkan seseorang menguruskannya dengan bebas serta mengambil manfaat daripadanya selagi tidak ada halangan dari segi syarak ke atas pemiliknya. Fuqaha telah mendefinisikan pemilikan dari segi istilah seperti berikut:

  1. Pemilikan secara umumnya membawa maksud penguasaan terhadap sesuatu dengan tujuan memenuhi hal-hal yang berkaitan dengan mengurus, membelanjakan serta mengambil faedah daripadanya berdasarkan kaedah syarak.
  2. Pengkhususan dan apa yang dikhususkan oleh syarak terhadap seseorang insan mengenai sesuatu benda dan ia ditegah atau terhalang terhadap orang lain selain daripadanya. Ia juga merangkumi pengurusan dan perbelanjaan seseorang pemilik ke atas hak miliknya pada peringkat awal serta asalnya. Namun kemudiannya kerana sebab-sebab tertentu syarak menegah ia menguruskannya.

Walau bagaimanapun, apa yang penting ialah pengkhususan dan penguasaan yang ditetapkan kepada manusia terhadap segala harta tersebut mestilah menerusi ketetapan syarak (Badran, Abu al-‘Aynayn Badran, t.t).

Wahbah al-Zuhayli (1999) pula mengatakan bahawa pemilikan adalah sesuatu yang dikhususkan kepada seseorang yang dapat menghalang orang lain daripada campur tangan terhadapnya dan seseorang yang memiliki itu layak mengurus atau mentadbirnyamelainkan jika terdapat halangan syarak ke atas seseorang itu. Yang pentingnya, pengkhususan dan penguasaan yang ditetapkan kepada manusia terhadap segala harta tersebut ialah menerusi ketetapan syarak. Jika pemilikan serta pengurusan yang dilakukan tersebut selaras dengan syariah, ia merupakan pemilikan yang sah.

Pemilikan sebegitu menyebabkan pemiliknya boleh melaksanakan segala urusan muamalah, kecualilah jika pemiliknya terdedah dengan halangan pengurusan seperti gila, bodoh serta sebagainya. Dalam keadaan tersebut, sesiapa atau orang lain tidak boleh menguruskannya atau mengambil faedah daripadanya, melainkan terdapat ketetapan dan menerusi asas syariah yang mengharuskannya seperti penguasaan wali atau wakil.

Daripada definisi pemilikan dapat difahami bahawa subjek kepada pemilikan ialah harta. Ini bererti pada asasnya harta sahaja yang boleh dimiliki. Walau bagaimanapun. Dalam beberapa keadaan undang-undang dan amalan biasa yang menentukan beberapa harta yang tidak boleh dimiliki. Oleh itu, para fuqaha membahagikan harta kepada tiga bahagian:

  1. Harta yang tidak boleh dimiliki sama sekali iaitu harta awam seperti jalan raya, jambatan, laut, sungai dan lain-lain.
  2. Harta yang tidak boleh dimiliki kecuali dengan keizinan syarak seperti tanah al-waqf dan harta Baitulmal.
  3. Harta yang boleh dimiliki secara mutlak tanpa syarat. Harta jenis ini boleh diberi milik dan dimiliki dengan cara-cara tertentu yang dibenarkan oleh syarak.

Berkenaan dengan hubungan antara pemilikan dan harta, pemilikan adalah sesuatu yang lebih umum daripada harta terutama sekali dalam kalangan ulama Hanafi kerana mereka tidak mengiktiraf manfaat sebagai harta. Oleh itu, bagi mereka pemilikan boleh difahami sebagai memiliki sesuatu yang berupa zat sesuatu benda iaitu harta itu sendiri dan juga memiliki manfaat daripada zat sesuatu benda tadi seperti faedah menyewa kenderaan untuk digunakan manfaatnya. Dengan perkataan lain, pemilikan bagi mereka merangkumi memiliki harta dan manfaat, sedangkan harta hanyalah fizikal sesuatu benda yang bernilai tanpa membabitkan manfaat daripada harta tersebut.

Sebaliknya bagi Jumhur ulama pemilikan dan harta adalah sesuatu yang sama dari segi hubungannya kerana harta dianggap zat sesuatu benda dan juga manfaat yang dapat diperoleh daripada benda tersebut. Oleh itu, jika dikatakan pemilikan, ia bererti memiliki harta dan juga manfaat harta tersebut.

Walau bagaimanapun, Hak pemilikan serta memiliki harta telah digariskan dalam banyak hukum syariah yang diturunkan oleh Allah. Ia selaras dengan limpah kurnia Allah yang menjadikan segala apa yang ada di muka bumi ini untuk kemudahan serta sebagai sumber rezeki manusia. Sebagaimana yang dijelaskan menerusi firman Allah:

“Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit dan dia Maha mengetahui segala sesuatu” (Surah al-Baqarah 2: 29)

Apa yang dapat dinyatakan di sini, berkaitan pemilikan harta yang disahkan dalam Islam, setiap insan juga perlu menginsafi bahawa terdapat konsep tertentu mengenainya. Ertinya ialah manusia sekadar berusaha dan disarankan berusaha sedaya-upaya, namun begitu Allah yang akan mengurniakannya. Sebagaimana yang dinyatakan menerusi firman Allah:

“Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan” (Surah al-Zukhruf43: 32)

Allah tetap berhak melebihkan antara seseorang dengan seseorang yang lain dari sudut anugerah dan rezeki berdasarkan ilmu dan ketetapan-Nya. Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran:

“Sesungguhnya Tuhanmulahyang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya ia Maha Mendalam pengetahuannya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambanya ”(Surah al-Isra’ 17: 30)

Menunaikan hak nafkah kepada mereka yang berhak serta membantu orang lain yang berada dalam kesempitan, seperti kaum kerabat dan orang miskin adalah amat dituntut. Sebagaimana firman Allah:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau ” (Surah al-Isra’ 17:26)

Harta yang dimiliki hendaklah dibelanjakan secara sederhana, tanpa berlebih-lebihan dan bukan pula terlalu kedekut, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan janganlah Engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehennu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan (Surah al-lsra’ 17:29)

Harta yang dimiliki juga hendaklah dikeluarkan sedekah serta zakat kepada mereka yang berhak. Justeru, mengumpulkan harta dengan tidak mengeluarkan zakat dan haknya amat dicela. Kewajipan menunaikan zakat demi membantu golongan yang susah agar harta yang dimiliki itu tidak hanya berada dalam kalangan orang-orang kaya semata-mata. Bahkan ia turut dinikmati oleh orang lain yang tidak bernasib baik. Hal itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariah. Selaras dengan firman Allah:

“Apa sahaja harta Fai` yang diberikan Allah kepada rasul-Nya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang dalam perjalanan supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. ” (Surah al-Hashr 59:7) (Muhammad, Nasri & Sollehuddin, 2013)

FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA PERMASALAHAN HARTA PUSAKA YANG TIDAK DITUNTUT

 –Proses Pembahagian Amat Rumit

Kerumitan dan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir akan mengambil masa sehingga beberapa tahun membahagikan harta pusaka, manakala yang melibatkan tanah pusaka pula boleh mencapai belasaan tahun. (Ahmad, 2010)

 

Kesan Keburukan:  Kesejahteraan dan perhubungan di kalangan pewaris terjejas dan boleh memutuskan hubungan silaturrahim.

 

Penyelesaian: Mendapatkan dokumen berkaitan, cepat atau lambat proses mendapatkan dokumen yang berkaitan dengan pusaka amat bergantung kepada keadaan. Bagi harta pusaka yang sedikit, sepatutnya tidak mengambil masa yang lama. Jika perkara satu dan dua di atas berjalan lancar, maka urusan mendapatkan dokumen menjadi mudah. Tetapi jika tidak, kelewatan dijangkakan. Selain itu, pewaris perlu memohon dari pihak yang betul bagi memastikan permohonan dibuat di tempat yang sepatutnya, amat penting untuk kita memastikan kategori harta pusaka itu sama ada pusaka kecil atau bukan kecil. Oleh itu, kemahiran dan pengurusan oleh pihak bertanggjawab harus mempertingkatkan sistem pengurusan agar lebih cekap.

 

 –Kelewatan Permohonan Pembahagian Pusaka

Kelewatan permohonan akan berlaku sekiranya sekiranya masyarakat tidak mendalami ilmu harta pusaka, ilmu ini perlu diketahui oleh semua orang tidak kira lelaki atau perempuan perlu bekerjasama merancang dan menguruskan pusaka milik keluarga.

 

Kesan Keburukan: Sememangnya tidak dapat dielakkan proses tuntutan ini akan mengambil masa untuk diselesaikan. Tetapi, ia akan mengambil masa yang lebih panjang jika kita tidak berhati-hati sebelum membuat permohonan.

 

Penyelesaian: Perancangan awal dan teratus dapat memastikan pusaka diproses dengan segera. Oleh itu, persediaan awal sangat penting untuk kebaikan semua pihak. Misalnya, waris terdeka boleh memohon pengeluaran wang simpanan si mati untuk tujuan menguruskan pusaka si mati. Tuntutan pusaka tertakluk kepaa syarat yang ditetapkan. Waris juga boleh menghubungi pejabat KWSP yang berhampiran untuk butiran terperincil.

 

 

-Kejahilan Ilmu Faraid dan Wasiat

 

llmu faraid adalah suatu ilmu yang amat penting. Mafhum daripada hadith Nabi SAW menyatakan bahawa ilmu inilah yang paling awal sekali diangkat ke langit. Pewarisnya akan berkurangan seorang demi seorang. Ilmunya akan hilang bersama kembalinya ulama yang memilikinya ke Rahmatullah. Pengetahuan yang diturunkan kepada anak muridnya tidaklah sehebat yang dimiliki oleh si guru yang dapat menyelesaikan seribu satu permasalahan faraid.

 

Di dalam Al-Qur’an, cara pembahagian harta pusaka ataupun faraid adalah yang paling jelas dan terperinci. Ianya cukup jelas untuk difahami dan dibuat pengiraannya. Seseorang yang mahir dalam matematik kebiasaannya akan dapat memahaminya dan seterusnya menguasai kaedahnya dalam masa yang amat singkat.  Pembahagian harta pusaka secara faraid merupakan satu cara pembahagian yang paling adil dan penuh hikmah.

 

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ada hikmahnya kenapa Allah (s.w.t.) menyebut secara jelas dan terperinci berkenaan kaedah pembahagian harta pusaka kerana harta dan kekayaanlah yang selalu menimbulkan perbalahan dan permusuhan di kalangan saudara mara si mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui bahawa untuk berlaku benar-benar adil dalam membahagi harta pusaka adalah amat sukar kerana sering kali terdapat  pihak yang tidak berpuas hati terhadap pembahagian yang dilakukan.

 

Akan tetapi pada hari ini ramai orang yang seolah-olah kurang yakin dengan keadilan yang terdapat dalam sistem faraid Islam. Bahkan yang lebih teruk adalah terdapat beberapa NGO yang berterusan menuduh sistem pembahagian Islam tidak adil kerana kononnya menindas wanita dalam pembahagian harta. Ternyata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ini tidak benar sama sekali dan tidak bersifat akademik.

 

Perkara yang sering dipersoalkan oleh golongan yang menentang pembahagian pusaka secara Islam adalah kenapa seorang wanita akan mendapat kurang haknya berbanding saudara laki-laki. Mereka secara berterusan memperkatakan perkara ini dan berusaha meraih sokongan golongan masih cetek dan kurang ilmu agamanya. Kononnya apabila harta si mati dibahagi sama banyak, maka itu lebih adil dan bijak. Mereka seolah-olah tidak mahu memikirkan tanggungjawab besar yang dipikulkan oleh seorang lelaki sebagai suami yang berkewajipan menyara anak dan isterinya, anak lelaki yang wajib menyara adik-adiknya lelaki dan perempuan, bahkan seorang lelaki juga wajib menyara ibu mentuanya sekiranya mentuanya itu seorang yang miskin.

 

Mereka sepatutnya menyedari bahawa apabila seseorang lelaki mempunyai harta, maka semua yang berada di bawah tanggungannya berhak menuntut nafkah. Semua hak tersebut adalah hak mendapat makanan, pakaian dan tempat kediaman. Demikian juga dengan hak mendapatkan keselamatan fizikal dan nyawa sekiranya terancam. Seorang lelaki wajib menyediakan semua itu walaupun akhirnya tidak tinggal sesenpun di dalam poketnya setelah berjaya menyediakan semuanya. Sekiranya tidak menyediakan, maka dia akan ditanya di Akhirat kelak.

 

Oleh itu, masyarakat seharusnya sedar bahawa ilmu pusaka berkait rapat dengan wasiat. Wasiat perlu didahulukan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pusaka. Akan tetapi wasiat tersebut disyaratkan supaya tidak melebihi 30 peratus daripada nilai harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dalam masa yang sama, wasiat tidak boleh dinamakan kepada ahli waris yang menerima pusaka. Sekiranya berlaku wasiat ke atas ahli waris yang dalam masa yang sama menerima pusaka dan dalam masa yang sama juga ahli waris lain tidak bersetuju dengan wasiat tersebut, maka wasiat tersebut dikira terbatal. Wasiat itu tidak wajib ditunaikan.

 

Kadang-kadang umat Islam tidak memahami kaedah yang sebenarnya dan akan menjadi keliru apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Mereka perlu diberi pendedahan supaya semua faham hak masing-masing bagi mengelakkan perselisihan faham di masa akan datang. Persoalan berkaitan pemilikan harta adalah amat sensitif bagi semua manusia, tanpa mengira status, bangsa dan keturunan. (Hafiz, 2013)

 

Kesan Keburukan: Selalu menimbulkan perbalahan dan permusuhan di kalangan saudara mara si mati. Kekeliruan dengan dakwaan-dakwaan dari bukan Islam dan kejahilan dari umat Islam sendiri, bahawa pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak adil.

 

Penyelesaian: Pendedahan harus diperkasakan dengan memberi penerangan kepada umat Islam. Seharusnya institusi keagamaan memainkan peranan yang lebih hebat agar keilmuan berkaitan ilmu pusaka, wasiat juga dimasukkan ke dalam sukatan pengajian bagi mereka yang akan berkahwin. Selain itu, pihak berkuasa dapat mempertingkatkan di media masa, bengkel-bengkel di masjid dan pusat komuniti untuk kefahaman umat Islam.

 

 –Tiada Perbincangan Waris

Perbincangan dilakukan apabila ada ramai waris atau waris yang berlapis. Hanya dengan komunikasi yang berkesan antara waris-waris ini dapat membantu kelancaran dan kecepatan proses membahagikan harta pusaka si mati. Apabila menghadapi keadaan di atas, waris seharusnya kerap berhubung. Jika hubungan tidak begitu baik, inilah masa untuk merapatkannya, bukannya menjauhkan. Pada zaman kini, banyak teknologi komunikasi disediakan. Oleh itu, tiada alasan sukar berhubung. Bayangkan waris hanya bertemu dan berbincang tentang pusaka setahun sekali, iaitu ketika Hari Raya Aidilfitri. Mungkin ada sesetengah waris yang tidak sepakat, misalnya, daripada sepuluh waris ada dua orang yang mahukan hak mereka, sedangkan yang lain bersetuju melepaskannya, maka perkara ini boleh diselesaikan.

 

Kesan Keburukan: Keadaan ini akan melambatkan proses pembahagian apabila tiada komunikasi dan pemuafakatan di kalangan waris.

 

Penyelesaian: Perlu ada waris yang sanggup memikul tanggangjawab, meluangkan masa dan mungkin mendahulukan perbelanjaan. Sekiranya ada komunikasi, waris boleh membuat pilihan penyelesaiannya. Jika ada kesepakatan, tidak mustahil perkara yang sudah tertangguh selama puluhan tahun boleh diselesaikan dengan segera.

Oleh itu, jalinan persaudaraan sesama waris harus dipereratkan dengan pelbagai cara di zaman teknologi sekarang agar segala rundingan dan permasalahan dapat diselesaikan segera.

KESIMPULAN

 

Tuntasnya, Islam meletakkan harta sebagai salah satu keperluan asasi dalam kehidupan manusia. Bagi memenuhi tuntutan tersebut, Islam telah menyediakan beberapa sistem yang dapat merealisasikan kenyataan itu dengan baik dan berkesan, antaranya ialah sistem pengurusan danentadbiran harta secara Islam.

Syariah Islam tetap mengiktiraf pemilikan individu terhadap harta halal yang diusahakan menurut syarak. Namun begitu, pemiliknya mestilah memenuhi beberapa ketetapan syariah terhadap harta tersebut yang dijadikan suatu amanah dan wasilah menuju akhirat.

Manakala, menguruskan harta pusaka bermaksud melaksanakan tugas-tugas yang perlu, patut dan penting bagi memastikan harta pusaka dapat dibahagikan dengan sempurna kepada waris (atau pembahagian cara lain yang dipersetujui waris) serta melangsaikan hal-hal lain yang

berkaitan dengannya, termasuklah membayar hutang simati. Pengurusan kewangan peribadi meliputi pelbagai aspek. Salah satunya adalah pengurusan harta pusaka. Pada masa ini, ramai orang mula berbicara, bercerita dan bertanya mengenai pusaka. Maka, terdapat pelbagai persoalan yang tidak mampu dijawab oleh itu pendedahan ilmu wasiat dan faraid harus diperkasakan oleh pihak yang berkuasa agar kesejahteraan umat Islam terjamin. Peranan ini harus diperhebohkan mengenai pengurusan harta warisan ini mengikut ajaran Syariat di media massa dan diperkenalkan diperingkat sekolah.

 Rujukan

Abdullah Ahmad Badawi. (2000). Upacara Perasmian Bank Muamalat Malaysia. Kuala Lumpur: Koleksi Ucapan Perdana Menteri.

Ahmad, A. (2010). Harta Kita Hak Siapa. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdins Sdn Bhd.

al-Quran al-Karim. (t.t).

Baqi, M. F. (1994). Mu`jam al Mufahris Lil Ahfaz al Quran al Karim. Beirut: Dar al-Ma`rifah.

Hafiz, N. (2013). Kepentingan Memahami Ilmu Faraid. Didapatkan dari http://sukapeguamsyarie.blogspot.my

Hassan, N. M. (2002). Ekonomi Islam dan Pelaksanaannya Di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Mohamad, S. (2010). Fiqh Mu`amalat. Selangor: Open Universiti Malaysia.

Muhammad, Nasri & Sollehuddin. (2013). Mengurus Harta Menurut Fiqh Muamalat. Kedah Darul Aman: Universiti Utara Malaysia.

Osman Khalid, e. (2015). Kamus Besar Arab-Melayu Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rabbah, L. A. (2004). Fi Ilmu al-Mawaris. Al-Azhar Universiti New Damieeta City.

 

 

 

 

Exit mobile version