Site icon Wacana Zeckry

Sistem Kewangan Islam Mengikut Prinsip Syariah

Sistem kewangan yang stabil penting kepada ekonomi Malaysia berdasarkan peranannya sebagai pengupaya utama dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Hal ini perlu diperkukuhkan dengan struktur sistem kewangan Islam di Malaysia berpandukan kepada tiga komponen utama yang saling berfungsi di antara satu sama lain iaitu institusi, instrumen dan pasaran. Melihat kepada Institusi kewangan Islam di Malaysia terdiri daripada institusi perbankan Islam, institusi kewangan Islam bukan bank dan lain-lain institusi yang menjalankan operasi dan aktiviti berlandaskan prinsip patuh Syariah dan menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam atau produk patuh Syariah.

Maka, Instrumen kewangan Islam di Malaysia terdiri daripada instrumen deposit, instrumen pembiayaan dan lain-lain instrumen yang terdapat dalam pasaran kewangan Islam. Manakala, Pasaran dalam konteks sistem kewangan Islam di Malaysia merujuk kepada pasaran kewangan Islam, termasuklah pasaran modal Islam yang terdiri daripada pasaran sekuriti berbentuk ekuiti dan pasaran sekuriti berbentuk hutang.

Oleh yang demikian, kejayaan amalan sistem kewangan Islam di Malaysia boleh dilihat dalam konteks pembangunan instrumen, pasaran, undang-undang dan peraturan, peranan kerajaan dan penglibatan Malaysia dalam aktiviti kewangan Islam di peringkat global.

Perbncangan akan menerangkan pengertian menyeluruh berkenaan Sistem Kewangan Islam Berdasarkan Prinsip Syariah yang bertunjangkan kepada maqasid syariah. Kemudian akan membincangkan komponen-komponen utama yang terdapat dalam sistem kewangan Islam berserta huraian contoh pengaplikasiannya di Malaysia. Di samping menganalisis kategori instrumen kewangan Islam seperti yang diamalkan di institusi perbankan Islam dan kewangan Islam bukan bank Malaysia.

Pengertian Sistem Kewangan Islam Berdasarkan Prinsip Syariah

Menurut (Ab.Ghani, 1999) sistem kewangan Islam hendaklah berasaskan kepada falsafah agama Islam kerana ia sebahagian daripada tuntutan agama. Islam menghendaki penganutnya menerima agama ini sebagai al-Din dalam erti kata lain agama yang sempurna untuk dijadikan pegangan hidup dalam semua aspek kehidupan sama ada kepercayaan atau tindak tanduk seseorang. Sebagai al-Din, Islam merangka matlamat hidup penganutnya meliputi kehidupan dunia akhirat.

Oleh itu itu, sistem kewangan Islam adalah merujuk kepada semua aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan harta (tasarruf maliyyah) dalam sektor ekonomi. Harta dalam konteks ini secara umumnya merujuk kepada benda atau barangan yang bernilai atau berharga dan kehilangan barang tersebut akan menyebabkan kerugian kepada pemiliknya. Menurut Mohd Daud Bakar (2003), sistem kewangan Islam merujuk kepada sistem kewangan yang berjalan selaras dengan undang-undang Islam yang bersumberkan al-Qur`an dan al-Sunnah serta ijtihad para ulama.

Ianya berasaskan ciri-ciri tertentu yang membezakannya dengan sistem kewangan konvensional yang sedia ada. Antaranya ia hendaklah bebas dari unsur riba, judi, gharar dan aktiviti yang diharamkan oleh Islam seperti penjualan barangan yang dilarang seperti arak, dadah, khinzir serta bebas daripada sebarang bentuk penindasan.

Justeru itu, objektif kewujudan sistem kewangan Islam boleh dirumuskan sebagaimana yang berikut:

Namun, bagi mencapai sistem kewangan Islam berasaskan prinsip syariah memerlukan kepada maqasid seperti berikut:

Maqasid pertama: Memenuhi tuntutan manusia

Keperluan seseorang itu selalunya berada pada kemampuan, kekuasaan, dan pemilikan orang lain, ia tidak diberikan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa menerima gantian. Maka, urusniaga menjadi perantara bagi memenuhi keperluan itu tanpa perlu bersusah payah. Ia juga boleh dijadikan sumber pemilikan dan pendapatan.

 

Ibnu A’syur menyatakan: “Pemilikan bererti memperoleh sesuatu yang memenuhi keperluan dengan memberikan gantian untuknya, iaitu harga barangan. Manakala pemerolehan bererti proses mendapatkan sesuatu yang memenuhi keperluan, sama ada dengan bekerja ataupun persepakatan bersama orang lain. Terdapat tiga prinsip pemerolehan, iaitu tanah, modal, dan bekerja.  Terdapat banyak dalil yang menyebutkan berkenaan maqasid ini antaranya: Firman Allah SWT: “Apabila kamu selesai menunaikan solat (solat Jumaat), maka bertebaranlah kamu di permukaan bumi dan carilah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak semoga kamu beroleh kejayaan. (Q.S Al-Jumuah: 10)

Maqasid kedua: Rawaj (Pengaliran dan pengedaran wang dan harta secara sekata)

la adalah tujuan murni dan dapat dilihat melalui galakan Islam kepada amalan pertukaran dengan menggunakan harta. Tujuannya adalah bagi memindahkan hak pemilikan dengan proses penggantian (jual beli) ataupun bersedekah.  Ini adalah perintah Allah SWT supaya harta itu dapat dirasai oleh semua manusia dan bergerak atau disebut sebagai pelaburan.

Dalil yang menyokong pernyataan ini adalah ayat:  Supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu. (Q.S Al-Hasyr: 7)

Menurut Yusuf al-A`lim dalam kitab al-Maqasid al-A`mmah Li al-Syarih al-Islamiah, terdapat banyak mekanisme pengaliran harta, dan sudah pasti mekanisme yang penting adalah jual beli. Maka, pengaliran harta hanya dapat dicapai sekiranya kita mengikuti sistem jual beli yang berlandaskan syariat. Terdapat peraturan dalam sistem jual beli yang perlu kita ikuti, iaitu melarang urus niaga menggunakan dua mata wang ataupun makanan untuk tempoh tertentu. Ini kerana, ia mengandungi unsur riba nasi’ah dan hukumnya haram. Hikmahnya adalah menjimatkan wang dan makanan, serta memelihara keperluan urus niaga itu sendiri. (Zaharuddin, 2014)

Maqasid ketiga: Meraikan fitrah semula jadi manusia

Fitrah manusia cenderung bagi memiliki dan mencintai harta. Oleh itu, Islam sebagai agama syumul mengawal keeenderungan ini. Dalam masa yang sama, ia menggalakkan pengaliran harta kepada setiap individu supaya mereka berusaha keluar dari kancah kemiskinan.

Maka, aktiviti mereka tertumpu kepada pelaburan harta yang ada dalam tangan dan membangunkannya. Aktiviti-aktiviti ini memberikan manfaat kepada semua orang, sama ada individu mahupun masyarakat. Allah SWT. menyebutkan dalam ayat-Nya berkenaan fitrah manusia ini:

Sesuatu keindahan pada pandangan manusia cinta kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu),iaitu wanita-wanita, anak-anak, dan harta benda yang melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda dipelihara yang bertanda serta baik, binatang-binatang ternakan, serta kebun-kebun

tanaman. Demikian itu adalah kesenangan hidup di dunia. (Ingatlah) di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). (Q.S al-Imran: 14)

Maka, dengan disyariatkan urusan jual beli, Islam sudah menghapuskan kebakhilan sistem kapitalis barat dan kedengkian sistem komunis timur. Ia menyucikan hati umat Islam dengan sistem yang penuh hikmah dan tersusun. Melalui sistem ini juga, umat Islam pada masa dahulu berlumba-lumba memperoleh harta dengan cara yang adil, saling tolong-menolong antara satu sama lain, dan menginfakkannya ke jalan kebaikan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Maqasid keempat: Harta yang jelas

Sistem urusniaga dalam Islam mengelakkan umatnya daripada pertelingkahan, permusuhan, dan sikap menyakiti antara satu sama lain. Melalui sistem ini, harta dapat dijaga daripada hilang. Selain itu, memelihara tatacara jual beli secara Islam mampu merealisasikan keamanan, keselamatan, dan kestabilan urusniaga.

Di samping itu, dapat membawa kepada kehidupan berekonomi yang bertambah baik dan urus niaga yang berkembang. Ia mampu direalisasikan sekiranya diatur mengikut piawaian-piawaian dan syarat-syarat yang ditentukan.

Menurt (Zaharuddin, 2014) Antara piawaian-piawaian itu adalah:

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutangyang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil. (Q.S al-Baqarah, ayat 282).

Allah SWT menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 282: “Hendaklah kamu mengambil dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu. Sekiranya tidak ada dua orang lelaki, ambil seorang lelaki dan dua orang perempuan dalam kalangan orang yang kamu redha menjadi saksi. Dengan itu, sekiranya seorang daripada dua orang wanita itu terlupa, seorang lagi akan mengingatkannya”.

Kedua-dua ayat di atas menjelaskan panduan terbaik dalam penjagaan harta dan mengelakkan pertelingkahan.

Allah SWT menegaskan dalam surah Al-Maidah, ayat 1:

Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah tuntuan akad.

Disebutkan juga dalam sebuah hadith:

Perdamaian sesama Muslim diharuskan, kecuali perdamaian yang mengharamkan halal ataupun menghalalkan haram. Dan orang Islam perlu berpegang dengan syarat mereka, kecuali syarat yang mengharamkan halal ataupun menghalalkan haram. (Riwayat At-Tirmizi)

Kebanyakannya dilarang kerana mengganggu kestabilan dalam berurus niaga, juga membuka ruang pertelingkahan dan permusuhan.

Kesemua faktor ini adalah punca kepada perpecahan masyarakat. Antara jual beli yang dilarang adalah jual beli gharar, iaitu menjual sesuatu sebelum menerima barangan, menjual barangan yang tidak dimiliki, menjual barangan yang dibeli orang lain, dan sebagainya.

Maqasid kelima: Menjamin keadilan dalam memperoleh pendapatan dan harta.

Tujuan memperjuangkan keadilan dan kesamarataan adalah mendapatkan ketenangan dalam hidup. Apabila wujud keadilan, penjual dan pembeli tidak akan bimbang berkenaan haknya.

Ini kerana tiada penipuan, rampasan harta, dan kecurian. Islam mensyariatkan jual beli bagi menjamin keadilan dalam memiliki harta dan mencari rezeki. Siapa bersungguh-sungguh dan berlaku adil dalam pekerjaannya, Allah SWT mengurniakan keberkatan kepada hartanya.

Manakala siapa yang malas berusaha dan berlaku zalim, mendapat kerugian dalam perniagaannya kerana nama baiknya akan tercemar. Apabila nama tercemar, manusia tidak mahu berurus niaga dengannya memandangkan mereka boleh memilih untuk berurusan dengan peniaga lain yang lebih amanah. Islam sebagai agama syumul sudah meletakkan prinsip-prinsip kukuh yang menjamin kebaikan kepada masyarakat.

Maqasid ini jelas dijelaskan oleh Maidah, ayat 8: Allah SWT dalam surah Al-Quran :

Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Rasulullah SAW juga menerangkan: Tidak halal untuk seorang Muslim menjual barang

kepada saudaranya, sedangkan dia tahu barang itu mempunyai kecacatan, kecuali dia menjelaskan kecacatan itu.

Hadith ini menjelaskan, tidak boleh menyembunyikan kecacatan pada barang, malah menjadi wajib kepada penjual untuk memberitahunya kepada pembeli. Hadith ini juga menjelaskan pengharaman berlaku zalim dan menipu dalam berjual beli. Ini adalah satu maqasid syariah. (Zaharuddin, 2014)

Pengaplikasian bagi komponen-komponen sistem kewangan Islam

Di Malaysia terdapat sistem perbankan Islam yang berlainan daripada sistem perbankan konvensional di mana mempunyai perundangan dan peraturan yang berasingan. Tetapi, Bank Negara Malaysia yang menyelia bank Islam sama seperti menyelia bank-bank lain. Semua aktiviti bank Islam dilakukan berdasarkan hukum syariah (hukum Islam).

Bank Islam yang pertama di Malaysia adalah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan diikuti dengan Bank Muamalat. Bank Islam merupakan salah satu daripada bank perdagangan tetapi operasinya berbeza daripada bank perdagangan. Selain daripada bank Islam, institusi kewangan lain juga menawarkan perkhidmatan perbankan Islam melalui skim perbankan Islam.Maka, segala entiti bank Islam ditawarkan dengan berdasarkan hukum Islam seperti Al-Wadiah, Al-Mudharabah, Al-Murabahah, Bai’ Bithaman Ajil, Al-Ijarah dan Al-Musyarakah.

Konsep cagaran dalam pasaran wang secara Islam bagi membolehkan para peserta pasaran mendapatkan dana dengan mencagar sekuriti hutang Islam yang mereka miliki kepada peserta pasaran lain. Sekuriti hutang Islam ini berbentuk tanpa skrip (scriptless) iaitu penerima biaya hanya perlu mengenal pasti sekuriti yang dicagarkan dalam sistem tanpa memindahkan sekuriti tersebut kepada pembiaya.

Penerima biaya juga tidak akan membuat sebarang urus niaga terhadap sekuriti yang dicagarkan sama ada untuk dijual beli, dicagarkan kepada pihak lain dan sebagainya sepanjang tempoh cagaran tersebut. Dalam hal ini, MPS dirujuk berhubung dengan isu sama ada sekuriti hutang Islam oleh digunakan sebagai aset cagaran dalam kontrak rahn.

Maka, penggunaan sekuriti hutang secara Islam sebagai aset cagaran dalam kontrak rahn adalah digunakan Penerima biaya juga dibenarkan untuk sekadar mengenal pasti sekuriti yang dicagarkan dalam sistemnya tanpa perlu memindahkan sekuriti tersebut kepada pembiaya.

Ini kerana konsep rahn merupakan salah satu kaedah sekuriti terhadap hutang yang diterima dalam Islam dan diamalkan sejak sekian lama. Aset yang boleh dijadikan asset cagaran dalam rahn ialah sebarang aset berharga yang boleh dijual beli serta dipersetujui bersama oleh penerima biaya dan pembiaya. Dalam hal ini, sekuriti hutang secara Islam memenuhi ciri-ciri aset cagaran kerana ia berharga dan boleh dijual beli dalam pasaran.

Sebagaimana ulama Syafii membenarkan cagaran diambil dan digunakan oleh pihak yang mencagar selagi mendapat keizinan penerima cagaran.

Ulama Maliki pula membenarkan “rahn rasmi/hiyazi” iaitu penyerahan cagaran melalui catatan secara rasmi dalam daftar pihak berkuasa, dan ia boleh menjadi ganti kepada penyerahan sebenar. Pandangan ini jelas selaras dengan pandangan ulama semasa yang membenarkan penggunaan sekuriti hutang dan suk.uk sebagai aset cagaran dalam rahn.

Sehubungan dengan itu, walaupun sekuriti hutang Islam yang digunakan sebagai aset cagaran dalam kontrak ini berbentuk tanpa skrip, namun sekuriti tersebut wujud secara maknawi atau konstruktif. Ini kerana ia memenuhi ciri barang yang boleh dicagarkan iaitu mempunyai nilai, boleh diniagakan dan boleh dipindah milik. Tambahan pula, ia diseliakan oleh sistem yang berwibawa dan terjamin dari segi integriti, kebolehpercayaan serta disiplin pasaran yang tinggi dan telus. (Bank Negara Malaysia, 2010)

 

Sebagaiamana menurut (Bank Negara Malaysia, 2010) Pelbagai aset berbentuk nota telah dihasilkan sebagai instrumen dalam pasaran kewangan, antaranya aset yang berasaskan konsep mudarabah seperti SijilPelaburan Mudarabah dan aset yang berasaskan hutang seperti bil penerimaan secara Islam dan sijil hutang boleh niaga secara Islam. Aset-aset ini juga digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk cagaran.

Maka kaedah ini digunakan seperti berikut:

i-Sijil Pelaburan Mudarabah boleh dijadikan aset sandaran dalam urusniaga bertangguh seperti bai’ ‘inah kerana ia merupakan aset yang dipegang oleh pemiliknya dan ia tidak tergolong dalam kategori barangan ribawi;

ii-Sebarang aset yang berasaskan hutang tidak boleh diniagakan secara bertangguh kerana setiap jual beli hutang (baf dayn) perlulah dilakukan secara tunai; dan

iii-Aset yang masih dalam cagaran boleh dijadikan aset dalam urus niaga bar ‘inah dengan persetujuan pemegang cagaran.

Analisis kategori instrumen kewangan Islam yang diamalkan di institusi perbankan Islam dan institusi kewangan Islam bukan bank Malaysia

 

iInstrumen Deposit

 

Instrumen deposit merupakan instrumen atau produk paling awal yang ditawarkan oleh sistem kewangan Islam. Ia menawarkan perkhidmatan penyimpanan wang secara Islam berasaskan prinsip wadiah yad dhamanah.

Seterusnya, pelanggan kepada instrumen ini pula, tidak terhad kepada orang perseorangan dan boleh terdiri daripada bank, syarikat, pertubuhan dan perbadanan. Sekiranya tuan punya akaun tidak dapat dikesan atau dipastikan di mana dia berada atau sama ada telah meninggal dunia maka konsep wadiah ini wajib diteruskan sehinggalah terbukti kematiannya. Maka pihak bank akan menyerahkan kepada waris-warisnya mengikut hukum faraid.

Gabungan prinsip wadiah yad dhamanah telah memberi keizinan kepada pihak bank untuk menggunakan wang pendeposit dalam apa jua cara yang sesuai, selagi ianya selari dan patuh kepada Syariah. Di samping itu, bank juga menjamin deposit yang disimpan akan dibayar balik sepenuhnya atau sebahagiannya kepada pendeposit pada bila-bila masa sahaja. Di atas budi bicara bank sebahagian keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan tersebut boleh diagihkan kepada pendeposit dalam bentuk ganjaran atau hibah.

Instrumen deposit ini terbahagi kepada dua jenis iaitu akaun simpanan dan akaun semasa. Selain itu, di bawah instrumen deposit juga terdapat jenis akaun yang lain yang ditawarkan oleh institusi perbankan di Malaysia, iaitu merujuk kepada akaun pelaburan am dan akaun pelaburan khas. Selain daripada mempunyai kriteria yang sama dengan akaun simpanan dan akaun semasa, akaun pelaburan ini adalah bersandarkan kepada prinsip mudharabah.

Mengikut prinsip ini, akad di antara dua orang iaitu pemilik harta dan pengusaha di mana pemilik harta akan menyerahkan harta kepada pengusaha untuk diniagakan dan diusahakan. Keuntungan yang diperoleh pula akan dikongsi bersama di antara pemilik harta dan pengusaha mengikut nisbah yang telah dipersetujui antara kedua pihak.

Misalnya dalam Akaun Pelaburan Am Mudharabah yang mana akaun ini disediakan sebagai pilihan yang sesuai sekiranya pelanggan memerlukan alternatif pelaburan yang lebih bermanfaat. Ia terbuka kepada individu atau entiti perniagaan Islam dan yang bukan Islam. Misalnya, bagi tempoh 3 bulan atau lebih, pelaburan minimum yang diperlukan ialah RM1,000. Manakala bagi tempoh pemegangan selama 1 bulan, pelaburan minimum adalah RM5,000. Dividen atau keuntungan pelaburan akan dibayar pada tempoh matang berdasarkan nisbah keuntungan yang telah dipersetujui. Terdapat kes pengecualian bagi tempoh pemegangan melebihi 12 bulan, keuntungan akan dibayar pada setiap 6 bulan.

ii-Lain-lain Instrumen

 

Lain-lain instrumen adalah merujuk kepada instrumen kewangan Islam meliputi instrumen sokongan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam di Malaysia selain daripada instrumen yang diklasifikasikan di bawah kategori instrumen deposit ataupun instrumen pembiayaan. Misalanya dalam tukaran wang asing al-sarf.  Kontrak al-sarf bermaksud tukaran mata wang dengan mata wang yang lain. Ianya merujuk kepada instrumen yang membolehkan tukaran mata wang asing yang berbeza dilakukan.

Sebagai contoh, urus niaga lani (spot market) dalam situasi melibatkan negara yang berlainan, pertukaran akan dilakukan selepas dua hari bekerja. Kadar yang dipakai adalah kadar pada hari pertukaran dan bukan hari urus niaga. Sekiranya tarikh urus niaga jatuh pada 19 Oktober 2011 dengan kadar pertukaran ASD1 = RM3.52 dan tarikh pertukaran adalah pada 21 Oktober 2011 dengan kadar pertukaran ASD1 = RM3.50, maka kadar yang akan dipakai ialah kadar pada 21 Oktober 2011.

Meskipun dari segi prinsip Syariah, wang termasuk dalam barangan ribawi, maka pertukaran mestilah berlaku serentak pada masa yang sama, namun ada pendapat yang mengatakan ianya dibolehkan dalam tempoh 2 hari bekerja berasaskan kepada `uruf tijari. Bank juga mengenakan ujr (upah) ke atas setiap transaksi yang dilakukan.

Kesimpulan

 Tuntasnya, sistem kewangan Islam yang kukuh dan terancang amat penting bagi menjana pembangunan ekonomi sesebuah Negara. Tujuan utama sistem tersebut adalah bagi memenuhi keperluan umat Islam terhadap satu sistem yang benar-benar menepati lunas-lunas Syariah, sebagai satu sistem kewangan yang komprehensif serta mampu bersaing dengan sistem konvensional yang telah wujud berdekad lamanya.

Namun, pihak kerajaan semestinya memainkan langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan sistem kewangan Islam berfungsi selaras dengan prinsip-prinsip Syariah yang telah digariskan oleh al-Qur`an dan al-Sunnah dari segi matlamat dan operasinya dan produk perbankan Islam ini dapat diperkasakan.

Exit mobile version