Site icon Wacana Zeckry

Apa itu Teknologi Maklumat

Teknologi Maklumat dan Komunikasi menurut (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015) teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.

Istilah “teknologi maklumat” muncul pada sekitar dekad 1970-an. Bagaimanapun, konsepnya yang asas boleh dikesani jauh lebih lama lagi. Pada sepanjang abad ke-20, pihak tentera telah berikat dengan berbagai-bagai industri untuk membangunkan elektronik, komputer, dan teori maklumat. Secara sejarah, pihak tentera telah mendorong penyelidikan-penyelidikan tersebut dengan memotivasi dan membiayai inovasi dalam bidang penjenteraan dan pengkomputan. (Omar Zakaria, 2012)

Pada hari ini, istilah teknologi maklumat telah diperluas untuk merangkumi banyak aspek pengkomputan dan teknologi, dengan istilah ini lebih dapat dikenal, berbanding dengan dahulu. Payung teknologi maklumat adalah amat besar, dan meliputi banyak bidang sehingga digunakan dalam aktiviti seharian sangat meluas di kalangan masyarakat. Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) merupakan satu inovasi dalam kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.

Tulisan ini akan membincangkan bagaimana IT telah diaplikasikan dalam industri telekomunikasi, perbankan dan pengangkutan kerana penggunaan ICT dalam kehidupan memberi kesan baik untuk memudahkan kita melakukan kerja-kerja harian, mendapatkan maklumat dan berurusan dengan cepat.kerana fungsinya adalah memberi kemudahan untuk dinikmati dengan positif. Tetapi disebalik itu, kita harus sedar bahawa terdapat cabaran dalam menghadapi kepantasan teknologi maklumat dari masa ke semasa sehingga kerajaan Malaysia mendasari falsafah dan garis besar haluan dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menghadapi ledakan ICT dalam pelbagai bidang.

Teknologi Maklumat diaplikasikan di Malaysia bagi industri telekomunikasi

Sejarah komunikasi manusia telah bermula sejak beribu-ribu tahun yang lampau dengan penggunaan pelbagai media seperti lakaran lukisan di dinding gua, api, air mahupun asap sebelum munculnya telekomunikasi moden selepas penciptaan telegraf dan telefon pada sekitar tahun 1870-an. Pada dasarnya telekomunikasi merupakan komunikasi elektronik jarak jauh sama ada satu atau dua hala yang didefinisikan sebagai sains berkaitan dengan penghantaran maklumat melalui talian telefon, gentian optik, gelombang mikro dan satelit.

Sejarah awal telekomunikasi negara bermula dengan sistem rangkaian telegraf pertama yang digunakan untuk menghubungkan pejabat Residen British di Kuala Kangsar dengan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke pejabat Majistret di Matang, Perak pada 16 April 1876. Pada 1886, perkhidmatan talian telegraf yang menghubungkan di antara Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura diperkenalkan. Perkhidmatan telefon pula mula diperkenalkan pada akhir tahun 1891. Menjelang 1895, terdapat 21 buah telefon di Kuala Lumpur yang disokong oleh kira-kira 400 batu talian telefon dan telegraf.

Selepas kemerdekaan negara pada tahun 1957, program pembangunan telekomunikasi menjadi antara agenda yang diberi perhatian oleh kerajaan dalam pembangunan negara. Pada tahun 1963, selepas tertubuhnya Malaysia bidang komunikasi terus berkembang di negara ini. Sistem rangkaian jauh negeri Sabah dan Sarawak mula dilaksanakan dengan menggunakan gelombang mikro untuk membawa trafik telefon dan televisyen dari Kudat ke Kuching. Perhubungan di antara Sabah, Sarawak dan Semanjung Malaysia diwujudkan melalui litar kabel dalam laut Perhubungan Kawat Komanwel SEACOM. SEACOM Bahagian Kuala Lumpur-Singapura-Kota Kinabalu dilancarkan pada 15 Januari 1965 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Penerokaan dalam bidang telekomunikasi di Malaysia bermula pada awal 1970-an dengan pembinaan stesen satelit bumi di Kuantan, Pahang. Stesen yang dibina dengan kos RM9 juta ini dirasmikan pembukaannya pada 6 April 1970 oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Perasmian satelit bumi ini membuka lembaran baharu dalam sejarah telekomunikasi dan menandakan kemajuan dicapai dalam bidang perhubungan dengan dunia luar. Stesen satelit ini dihubungkan dengan satelit di ruang angkasa Lautan Hindi, INTELSAT 3, (Konsortium Satelit Telekomunikasi Antarabangsa) yang merentasi Malaysia dengan India, Indonesia, United Kingdom, Jepun dan Australia. Pembukaan stesen satelit bumi ini membolehkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan siaran secara langsung detik bersejarah pelancaran dan pendaratan kapal angkasa Apollo di bulan. (Arkib Negara, 2018)

Kini di Malaysia menyaksikan perkembangan dan perubahan yang pesat dalam teknologi telekomunikasi. Pelbagai inovasi dihasilkan sehingga membolehkan komunikasi dan interaksi manusia kini, lebih pantas, cepat serta berupaya melampaui batasan masa dan tempat. Pencantuman dunia teknologi maklumat dan telekomunikasi menghasilkan pemesatan pembangunan teknologi canggih yang membawa dunia ke abad baru yang berasaskan teknologi maklumat.

Telekomunikasi moden masa kini meliputi telefon, Internet, 3G (3rd Generation), WiFi (wireless-fidelity) dan lain-lain medium yang lebih sosfikated bagi menghubungkan manusia dengan perkakasan antaranya menggunakan satelit dan kabel fiber optik yang mampu menghantar, menyalur dan menerima isyarat atau maklumat dengan jelas. Bermula pelancaran jalur lebar berkelajuan tinggi tahun 2010, pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara dan Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) mengumumkan empat insentif dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju. Langkah ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia negara maju abad ke-21.

Inisiatif NBI yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bermatlamat menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang berpengetahuan dan mewujudkan persekitaran ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Oleh yang demikian, kemajuan teknologi maklumat dalam bidang komunikasi telah banyak menghasilkan produk-produk seperti telefon pintar, rangkaian siaran televisyen dan peralataan pengkomputeran telah berkembang pesat di pasaran.

Kedudukan negara dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat (ICT), semakin terserlah di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan pencapaian telekomunikasi oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia telah melonjak dari tempat ke-34 pada tahun 2009 melonjak kepada tempat ke-23 di dunia pada tahun 2010.

Sesungguhnya pada masa kini peranan telekomunikasi sangat penting dan amat mempengaruhi kehidupan seharian rakyat Malaysia dan perkembangan gaya hidup seperti yang dipancarkan dalam media sosial. Penggunaan media sosial seperti Blog, E-mel, Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan sebagainya telah mengubah cara berkomunikasi masa kini. Tambahan pula kebanyakkan telco-telco di Malaysia menawarkan pakej panggilan yang serendah RM0.03 seminit dan pakej panggilan telefon tanpa had bagi pengguna prabayar serendah RM30.00 sebulan.

Ini menunjukkan kerajaan terus memberikan fokus dalam membangunkan prasarana telekomunikasi negara agar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kedudukan lokasi atau taraf sosioekonomi bagi menyahut cabaran dalam menghadapi Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana cabaran paling besar adalah kerukunan hidup masyarakat sebelum ini berteraskan nilai dan etika seperti bersopan santun, bersangka baik, memberi pertolongan, menjaga kerukunan dan saling menghormati. Namun, nilai dan etika itu kebelakangan ini kelihatan semakin terhakis akibat perkembangan gaya hidup dengan media sosial. Begitu juga cabaran dalam menangkis penyebaran berita palsu, penipuan atas talian, jenayah siber dan sebagainya berlaku secara berleluasa sehingga ia menjadi gangguan dan ancaman kepada kerukunan hidup seharian.

Teknologi Maklumat diaplikasikan di Malaysia bagi industri perbankan

Menurut Pikkarainen et al. (2004) mendefinisikan perbankan internet sebagai laman web di atas internet, di mana pelanggan boleh menggunakan pelbagai jenis perkhidmatan perbankan yang terdiri daripada pembayaran bil, untuk membuat pelaburan dan sebagainya.

Dengan itu, Perbankan Internet adalah menawarkan cara yang lebih mudah dan cepat bagi pelanggan berurusniaga di atas talian. Capaian komputer dengan akses Internet, pelayar internet dan telah mendaftar untuk kemudahan perbankan Internet dengan institusi perbankan tertentu, kita boleh menjalankan perbankan internet dari mana-mana sahaja di serata dunia.

Mengikut sejarah industri perbankan internet bermula pada 1 haribulan Jun tahun 2000, Bank Negara Malaysia telah memberi kebenaran untuk bank komersial tempatan untuk menyediakan perkhidmatan perbankan internet.

Maybank Berhad sebagai korporat perbankan yang terbesar di Malaysia merupakan perintis memberi perkhidmatan perbankan internet kepada para pelanggannya pada 15 haribulan Jun tahun 2000. Bagaimanapun, tahap berjayanya saluran baru ini untuk produk dan perkhidmatan perbankan bergantung kepada peningkatan kegunaan teknologi baru yang diaplikasikan oleh pengguna Malaysia secara runcit ataupun korporat. Manakala, Hong Leong Bank pula telah menyediakan perkhidmatan perbankan Internet pada Disember 2000. Southern Bank merupakan bank yang telah memperkenalkan perbankan internet kemudiannya (Balachandran 2000). Sehingga awal abab ke-21 ini, didapati perbankan internet telah dijadikan sebagai satu perkhidmatan asas yang harus dibekalkan oleh korporat-korporat perbankan Malaysia. (Bank Negara Malaysia, 2018)

Disamping itu, industri teknologi maklumat digunakan dalam industri perbankan dengan meluas. Penggunaan mesin teller automatic (ATM) contohnya, menyebabkan maklumat serta urusan simpanan dan pengeluaran wang secara atas talian. Penggunaan komputer juga membolehkan sistem pembayaran bil dilakukan secara atas online dan setempat dilakukan.

Oleh itu, di Malaysia Perbankan Internet telah ditawarkan oleh semua institusi bank yang berlesen di negara kita menyediakan perkhidmatan perbankan internet membolehkan pelanggan mereka menguruskan hal ehwal kewangan dari rumah, tempat kerja atau di mana-mana sahaja dengan cepat dan pekhidmatan disediakan 24 jam kerana perbankan internet menawarkan dan memudahkan kita berurusan seperti pemindahan wang dari sesama bank pelanggan atau ke bank lain tanpa dikenakan sebarang caj. Selain itu, menyemak baki akaun dan penyata akaun dalam talian, permohonan dalam talian untuk akaun baru, kad kredit atau kemudahan pinjaman, membuat pelaburan deposit tetap dan kemudahan untuk membayar ultiliti bil.

Peningkatan penggunaan perbanakan internet begitu cepat apabila telah ramai pengguna menggunakan telefon pintar dan peranti mudah alih yang lain membolehkan hubungan dan mendapat pelbagai maklumat serta memudahkan kehidupan kita dan penggunaannya begitu meluas untuk menjalankan urus niaga kewangan mereka setiap hari.

Mengikut laporan (Bank Negara Malaysia, 2018) penggunaan pembayaran elektronik di Malaysia telah meningkat pada kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 23.4 peratus sepanjang sedekad yang lalu. Pada 2012, kumpulan isi rumah dan perniagaan Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 300 juta urus niaga kewangan dengan nilai hampir mencecah RM15 trilion melalui saluran-saluran dalam talian. Kebanyakannya terdiri daripada pemindahan dana, pembayaran bil, isi semula kad prabayar, pembelian kad telefon dan pembayaran pelaburan dalam pasaran modal. Antara saluran elektronik, perbankan Internet merupakan saluran yang paling popular.

Dengan penambahan peranti bergerak pada kadar penembusan 142 peratus di Malaysia, tidak hairanlah perbankan bergerak menikmati tahap penggunaan yang tinggi dengan langganan seramai 3.25 juta orang pengguna. Walau bagaimanapun, perbankan bergerak turut berhadapan dengan cabaran.

Oleh yang demikian, cabaran dalam menghadapi Transformasi Nasional 2050 (TN50) selaras dengan meningkatnya kepentingan platform pengkomputeran bergerak dalam urus niaga dalam talian. Maka menaiktarafkan ciri keselamatan juga akan seiring berubah kerana penjenayah siber yang berskala besar sentiasa mengintai peluang untuk mencari mangsa di alam maya kerana sebaran dan penggodaman oleh trojan perbankan yang moden ini adalah amat fleksibel. Ia menyokong pelbagai fungsi yang direka untuk memudahkan urus niaga palsu melalui pelbagai jenis perkhidmatan.

Di Malaysia, bank dan institusi kewangan sentiasa berusaha untuk melindungi data pelanggan mereka berikutan dengan penambahan jumlah data serta peningkatan bilangan titik akhir dan peranti bergerak. Keadaan menjadi bertambah rumit dengan kenaikan bilangan pencerobohan data daripada ekonomi bawah tanah canggih yang menyasarkan kad kredit, kelayakan akaun bank serta data rahsia yang lain.

Dalam pada itu, pengguna akhir selalunya menjadi rantaian yang paling lemah semasa urus niaga dalam talian. Teknologi yang paling kuat sekalipun mudah terkena serangan kejuruteraan sosial. Institusi perlu bersikap terbuka tentang risiko keselamatan mereka dan terus mendidik para pelanggan tentang isu-isu keselamatan yang dihadapi.
Maka, cabaran utama institusi bank sentiasa mengemaskinikan corak internet banking terutama dari segi keselamatan kerana bank berada dalam kedudukan yang sangat baik tetapi mencabar. Bank kini boleh berhubung dan berinteraksi dengan pelanggan melalui cara baharu yang lebih menarik. Namun demikian, peranti bergerak turut membawa ancaman siber yang baharu dan isu-isu kawal selia yang mencabar.

Dengan semakin ramai pengguna menggantikan perbankan konvensional di cawangan atau perbankan melalui telefon dengan perbankan bergerak, memastikan pengguna merasa selamat adalah sangat penting. Namun persoalan yang penting ialah berapakah lapis keselamatan yang kita perlu untuk memastikan tiada Trojan atau kod berniat jahat yang cuba untuk mengakses data rahsia kita? Terdapat banyak cara untuk menangani isu ini.

Institusi kewangan pada hari ini perlu menyediakan penyelesaian mobiliti perusahaan yang merangkumi keperluan pekerja, mengautomasikan dan meningkatkan pengurusan risiko, melaksanakan penyelesaian yang kukuh di masa akan datang dan melabur dalam perkhidmatan pelanggan bergerak bagi mencapai kelebihan daya saing dan kepuasan pelanggan. Keupayaan untuk menawarkan keselamatan klien selain penyelesaian keselamatan bank untuk akses menambahkan lagi lapisan untuk perkhidmatan perbankan. Ini akan menjadi semakin penting dengan peningkatan trend dompet dan pembayaran bergerak. (Symantec Malaysia, 2014)

Oleh itu, dengan kemudahan dan keselamatan terjamin pasti akan diberi kepercayaan oleh pelanggan yang dapat melonjakkan arus ekonomi yang kukuh, Menurut Yoon (2010) pelanggan tetap perkhidmatan perbankan internet berpuashati dengan perkhidmatan yang telah diberikan iaitu berasaskan dimensi reka bentuk, kelajuan, keselamatan, kandungan maklumat dan khidmat pelanggan. Sementara itu, Jun et al. (1999) menyatakan bahawa kepercayaan, perhatian dan mudah digunakan memberikan kesan kepada kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan. Yang & Jun (2002) dalam kajiannya mencadangkan dimensi perkhidmatan internet yang boleh digunakan adalah kepercayaan, akses, keselamatan, mudah digunakan, personel, kredibiliti dan responsif.

Teknologi Maklumat diaplikasikan di Malaysia bagi industri pengangkutan

Dalam bidang pengangkutan dengan kehadiran industri teknologi maklumat telah banyak memberi kemudahan dan kecekapaan dalam mengurus dan mengendalikan sistem-sistem penerbangan misalnya. Kini kemudahan tempahan dan pembelian tiket penerbangan atau keretapi di atas talian telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan harga yang menjimatkan. Di mana saja pengguna berada dan tempahan boleh dibuat dalam masa 24 jam melalui laman-laman web penerbangan atau pengangkutan darat seperti pengangkutan kereta api di Malaysia terdiri daripada LRT (Light Rail Transit) yang boleh dibahagi kepada Kelana Jaya Line dan Ampang Line, KL Monorail, KLIA Express, KLIA Transit, dan KTM (Keretapi Tanah Melayu). KTM mempunyai rangkaian terbesar yang menyeluruh di Peninsular Malaysia yang mempunyai panjang laluan keretapi 1699 km, manakala perkhidmatan keretapi yang lain tertumpu di Bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Kesemua pengangkutan keretapi tersebut menawarkan perkhidmatan yang murah dan selesa.

Selain itu, kemudahan menggunakan kereta sewa melalui aplikasi Uber atau Grab telah memberi saingan kuat kepada teksi-teksi bermeter di bandaraya sebelum ini. Kemunculan Perkhidmatan Grab yang menawarkan harga yang sangat murah berbanding harga teksi biasa telah melonjakkan industri teknologi maklumat dalam bidang pengangkutan.

Justeru, cabaran akan datang teknologi baharu harus diserapkan dan dinaiktarafkan dalam ekosistem pengangkutan awam darat negara kerana bukan sahaja dapat memudahkan dan memberi keselesaan kepada pelanggan tetapi juga dapat memenuhi komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan karbon kepada 40 peratus menjelang 2020 dan TN50 nanti.

Menurut (Shukri, 2017) hal tersebut sejajar dengan yang dipersetujui dalam Persidangan Deklarasi Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2014 yang mana kerajaan perlu memastikan bahawa kita bukan sahaja bersedia untuk mengatasi kemajuan teknologi baharu, tetapi juga menjadi mahir dan mempunyai pengetahuan yang cukup untuk dapat memimpin ke arah mencapai kebaikan industri secara keseluruhan dan untuk masa depan negara. Sementara itu, 2016 dan 2017 merupakan tahun yang positif dalam mencapai kejayaan perlaksanaan bagi projek utama dengan pelancaran sambungan jajaran sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang dan Kelana Jaya serta operasi sepenuhnya Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang pada Julai tahun ini. Jelasnya, perkembangan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan untuk melihat pelaksanaan projek-projek yang akan meningkatkan pengalaman perjalanan awam bandar.

Kesimpulan

Tuntasnya, teknologi maklumat yang digunakan dalam telekomunikasi, perbankan dan pengangkutan menunjukkan internet sebagai sumber dapat kemudahan dan keselesaan kepada pengguna atau pelanggan dan lebih banyak lagi produk-produk baru yang akan ditawarkan oleh pihak koporat sekaligus ekonomi negara cepat berkembang.

Oleh itu, peralihan teknologi dalam bidang telekomunikasi, perbankan dan pengangkutan salah satu akar untuk merapatkan jurang masyarakat pedalaman dan bandar untuk menikmati kepelbagaian peluang-peluang perniagaan.

Namun begitu, disebalik kenikmatan yang kita manfaatkan kerukunan hidup yang berteraskan adab dan akhlak seperti bersopan santun, bersangka baik, memberi pertolongan, menjaga kerukunan dan saling menghormati sememangnya dikekalkan sebagai budaya kita sejak dulu. Kita tidak mahu nilai dan etika dengan kehadiran teknologi maklumat ini kelihatan semakin terhakis akibat perkembangan gaya hidup hanya di media sosial. Begitu juga dengan pendidikan-pendidikan seharusnya diterapkan dan dicegah dari awal agar gejala penyebaran berita palsu, penipuan atas talian, jenayah siber dan sebagainya berlaku secara berleluasa sehingga mengancam kepada kehidupan seharian.

 

Rujukan

 

Arkib Negara. (2018, Julai 17). Pekembangan Telekomunikasi Negara. Didapatkan dari http://www.arkib.gov.my/perkembangan-telekomunikasi-negara

Arsad, M. S. (2018, Julai 02). ICT DIberikan Keutamaan Jayakan Aspirasi TN50. Didapatkan dari Utusan Online: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ict-diberikan-keutamaan-jayakan-aspirasi-tn50-1.481921

Bank Negara Malaysia. (2018, Julai 05). Perbankan Internet. Didapatkan dari http://www1.bankinginfo.com.my/02_know_your_products/0205_using_echannels/internet_banking.php?intPrefLangID=2

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2015). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Karen Furst, et.al. (2000). Internet Banking: Development and Prospect. Program on Information Resources Policy Harvad Offers Internet Banking, 30.

Marzuki Sepiaail, R. F. (20, Julai 2016). Komunikasi dan Penyiaran Islam. Didapatkan dari Jabatan Pengajian Am: http://kpijpapsas.blogspot.com/2016/07/20-course-learning-outcome-clo.html

Omar Zakaria, e. (2012). Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan. Selangor: Open University Malaysia.

Shukri, N. N. (2017, Oktober 24). Teknologi baharu perlu diserapkan dalam pengangkutan awam darat. Didapatkan dari http://www.utusan.com.my/berita/nasional/teknologi-baharu-perlu-diserapkan-dalam-pengangkutan-awam-darat-1.541912

Symantec Malaysia. (2014, Februari 24). Perbankan Bergerak Utamakan Kemudahan atau Keselamatan. Didapatkan dari Utusan Online: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140224/ek_03/Perbankan-bergerak-Utamakan-kemudahan-atau-keselamatan

 

 

Exit mobile version