Menurut, Hasan Basri (2020) dalam menterjemahkan hadis, ketelitian dan tanggungjawab serta amanah dipamerkan wajar diimplementasikan dalam kehidupan.

Penguasaan bahasa semata-mata tidak mencukupi untuk menterjemah hadis. Pelbagai syarah hadis perlu dirujuk untuk mencari ketepatan maksud kalam Rasulallah.

Selain itu, penterjemah perlu tahu dan mengenal kod-kod penulisan sesuatu kitab hadis yang menjadi metod penyampaian tersendiri setiap pengarang kitab.

Imam Bukhari ada kod dan metod tersendiri. Imam Muslim, Imam Turmizi dan pengarang kitab-kitab hadis yang lain masing-masing membawa kaedah pengumpulan, penulisan dan persembahan berbeza.

Tanpa kefahaman kod dan metodologi pengarang asal kitab, terjemahan bakal tiada makna. Bahkan terjemahan sedemikian boleh menghilangkan hikmah dan memadamkan ‘isyarat’ pengarang kepada mereka yang ingin mewarisi pusaka hadis Rasulallah.

Kita ketepikan dulu soal ‘modal taruhan besar’ yang perlu dan jarang ada bagi setiap mereka yang mempersediakan kesanggupan menterjemah hadis. Jika disenaraikan, pasti ruang ini bukan tempat yang bersesuaian dan mampu diperlengkap mencakupi segala syarat.

Cuma dikesempatan ini, penulis hanya menimbulkan soal penggunaan bahasa Melayu di dalam terjemahan hadis.

Sepanjang memberikan terjemahan kepada hadis yang diperdengarkan di dalam majlis pengajian, guru kami sering menterjemahkan kalimah ‘fadhilat’ dengan makna ‘keutamaan’.

Terjemahan sebegini dimaklumi berleluasa digunakan dalam kalangan kita, termasuk ramai ulama`.

Berdasarkan kefahaman penulis terhadap bahasa, terjemahan ini tidak begitu tepat meski pun sesetengah golongan boleh menerima maksud dikehendaki. Apatah lagi, ulama` kita terdahulu menterjemahkan kalimah ‘fadhilat’ sebagai ‘kelebihan’.

Fadhilat memberi erti janjian pahala tersedia untuk sesuatu amal yang dikerjakan seseorang hamba Allah.

Sementara lafaz ‘keutamaan’ diungkapkan kepada sesuatu yang perlu atau menjadi prioriti.

Tatkala kalimah ‘fadhilat’ diterjemah dengan makna ‘keutamaan’, maksud kepada terjemahan boleh berpaling menjadikan sesuatu perkara yang asal sunat dikerjakan, menjadi amalan yang perlu didahulukan dan diutamakan.

Dengan satu contoh ini cukup bagi kita untuk tahu dan sedar tentang kepentingan tenaga dan fikiran manusia yang ramai dalam usaha kita menterjemah kitab-kitab hadis untuk bacaan ramai. Dalam kesuntukan waktu dan komitmen kehidupan hari ini, sukar bagi kita menjayakan usaha penkhazanahan ilmu yang bukan calang-calang ini dengan hanya mengharapkan kudrat beberapa individu.

Kita bukan sekadar memerlukan ulama` yang benar-benar ahli di dalam ilmu hadis, tetapi sumbangan dan penelitian pakar bahasa cukup penting demi memastikan hasil kerja berkualiti serta berguna.

Dalam kewujudan gandingan golongan berkeahlian sebegitu sekali pun, ketepatan terjemahan hadis-hadis Rasulallah belum pasti mampu dijanjikan.

Justeru kalam hadis tidak sebagaimana bahasa al-Quran atau kitab karangan ulama`.

Hadis lebih merupakan riwayat kalam manusia yang adakala tergantung memerlukan penjelasan, adakala mengisyaratkan makna pelbagai dan tidak jarang juga berlaku keterbalikan maksud daripada lafaz dinyatakan.

Sifat dan susunan kalam di dalam sesebuah hadis hanya mampu dikuasai pendamping guru hadis yang mempunyai disiplin pengajian hadis bersanad, lengkap mewarisi penguasaan hadis secara riwayat dan dirayah.

Begitu juga, sesebuah hadis adakala memerlukan rujukan kepada beberapa riwayat untuk mengetahui maksud kalam dinyatakan.

Peristiwa berkaitan kalam, bagaimana terungkap dan siapa serta mengapa. Adalah menjadi elemen penting dikuasai demi mencari ketepatan terjemahan.

Oleh yang demikian, masa yang diperlukan untuk menterjemah karya agung seperti Ensklopedia Hadis Kutub/Sunan Sittah bukan enam bulan, bahkan tempoh enam tahun masih merupakan ruang waktu yang sempit demi mencapai objektif penyempurnaan kerja.

Justeru, penterjemah, bukan sekadar baca dan meletak makna. Tambahan pula bukan dengan copy dan paste terjemahan Indonesia menjadi karya kita. Hasil terjemahan yang baik hanya bakal berjaya dihasilkan oleh penterjemah yang sanggup menekuni, mengaji, memahami dan menguasai sesebuah kitab yang ingin diterjemahkan.

Rujukan :

Hasan Basri Omar. (2020, April 20). Penggunaan Bahasa Fadhilat : Keutamaan atau Kelebihan. https://www.facebook.com/palikat.duapuluh/posts/858687617875571

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.