Adakah wanita istihadah boleh solat berjemaah dan adakah sah solat jika kita berimamkan wanita istihadah tersebut ?

Istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai ( العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:126)

Wanita istihadah dihukumkan seperti wanita suci. Maka, wanita istihadah (mustahadah)  boleh melakukan solat, puasa dan semua ibadah. Berkata  Imam al-Nawawi:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

“Orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain. Lihat al-Majmu’ (2/372).

Perintah kewajipan melakukan solat bagi perempuan yang sedang beristihadah  berdasarkan riwayat Aisyah R.Anha, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW  kemudian dia bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya“Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang mengalami darah istihadah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak,, kerana darah itu daripada urat ( darah penyakit)  bukannya darah haid. Maka ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis haid  ( kadar adatnya).   Maka kamu mandilah , dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333)

Imam Nawawi menyatakan  bahawa makmum wanita dibenarkan solat berimamkan wanita istihadah  yang kekal dalam hadas dan  sah solat mereka. Namun, makmum wanita tidak dibenarkan solat berimamkan  wanita mutahayyarah [1]. Ini pendapat paling sahih  dalam Mazhab Syafie.  (Lihat Mughni al-Muhtaj (1/484); Lihat  Raudhah al-Tholibin (1/351). Wanita mutahayyarah  (  مُتَحيَّرَة)   tidak dibenarkan menjadi imam sekalipun makmumnya  wanita mutahayyarah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj (2/172;Lihat Tuhfah al-Muhtaj (2/289).

Imam Ibn Hajar menjelaskan alasan solat  makmum wanita sah yang  berimamkan mustahadah adalah kerana wanita istihadah solatnya sah. Sekiranya barisan makmum wanita turut  mengalami istihadah, maka sah juga solat jemaahnya tanpa ada perselisihan pendapat (Lihat Tuhfah al-Muhtaj (2/289; Lihat Nihayah al-Muhtaj (2/172). Oleh itu, wanita istihadah boleh solat berjemaah sama ada menjadi makmum mahupun imam.

Hukum  wanita istihadah (mustahadah) sama hukumnya dengan mereka mengalami kencing tidak lawas  ( سَلِس الْبَوْل ) yang tidak terhalang untuk melaksanakan solat dan puasa. Wanita istihadah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan  solat hanya pada perkara-perkara persediaan sebelum solat ( kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat, menanti jemaah dan seumpamanya. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduknya (tidak batal). Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya keperluan, maka terbatal  wuduk  menurut pendapat sahih. Wajib keatas mustahadah mengambil wuduk setiap kali solat fardu dan memperbaharui balutan (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih (al-ashah) ( Lihat Minhaj al-Thalibin 1/19).

Informasi tambahan, rujuk perbahasan artikel yang lepas pada ruangan  Irsyad al-Fatwa siri ke 148 : Wuduk  bagi  mereka yang kencing tidak lawas dan hukum berimamkan  mereka

Alat yang terbaik menahan darah daripada  keluar daripada mengalir  dan sifatnya  meresap dan adalah kapas ataupun kain.

عن حَمْنةَ بِنتِ جَحشٍ، قالتْ: كُنتُ أُستَحاضُ حَيضةً كثيرةً شديدةً، فأَتَيْتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم أَستَفتيهِ وأُخبِرُه، فوجَدْتُه في بَيِت أُختي زينبَ بنتِ جَحشٍ، فقُلْتُ: يا رسولَ اللهِ، إنِّي امرأةٌ أُستَحاضُ حَيضةً كثيرةً شديدةً، فما تَرى فيها؟ قد مَنَعَتْني الصَّلاةَ والصَّوْمَ، قال: أَنعَتُ لكِ الكُرْسُفَ؛ فإنَّه يُذهِبُ الدَّمَ، قالتْ: هو أَكثَرُ مِن ذلكَ، قال: فاتَّخِذي ثَوبًا

Maksudnya : Daripada Hamnah binti Jahsyi berkata : Aku telah mengalami darah istihadah yang banyak, maka aku pergi bertemu Rasulullah SAW untuk meminta fatwa dan pandangan. Baginda berada di rumah saudara perempuanku iaitu Zainab binti Jahsyi, lalu aku bertanya : Wahai Rasulullah, aku mengalami darah istihadah yang banyak. Apa pendapatmu mengenainya. Adakah ia mencegah aku dari menunaikan solat dan berpuasa? Rasulullah menjawab: “Tahan ia menggunakan kapas, kerana ia boleh menghilangkan darah”. Aku berkata lagi : Ia lebih banyak mengalir. Rasulullah berkata lagi: “Maka ambil secarik kain”.

Sunan  Abu Daud  (287)

Penutup

Setelah meneliti hujah fuqaha, wanita istihadah boleh menunaikan solat secara berjemaah sama ada menjadi makmum mahupun imam. Bahkan   makmum wanita yang tiada hadas dibolehkan solat berimamkan   wanita istihadah.   Namun, perkara yang perlu diberi perhatian oleh  imam mahupun makmum  (mustahadah) ialah  cara bersuci  mengikut tertib sebelum mendirikan solat  seperti berikut :

  • Membasuh faraj
  • Wajib menukar balutan faraj  dengan  tuala wanita  setiap masuk waktu solat
  • Berwuduk setelah masuk waktu (satu wuduk untuk satu solat fardu dan beberapa sunat)
  • Segerakan solat kecuali disebabkan kemaslahatan solat seperti menutup aurat dan menunggu jemaah

Hal tersebut penting untuk dipraktikan oleh mustahadah untuk menjadikan sah ibadah solatnya.  

Akhir kalam, semoga pencerahan tersebut dapat  memberikan kefahaman  yang sahih dalam beragama dan menjalankan kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar. Ameen

[1] Wanita mutahayyirah ( kebingungan ) istilah bagi wanita yang keluar darah tidak henti dan lupa  mengingati tempoh kebiasaan bilangan haidnya, permulaan dan akhirnya  (Lihat : al-Majmu Syarh Muhazab 2/459)

Rujukan :

Yaqin Bakharudin. (2020, March 31). Bolehkah Wanita Istihadah Solat Secara Berjemaah? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4397-al-kafi-1687-boleh-kah-wanita-istihadah-solat-secara-berjemaah

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.