Sebelum ini penulis telah membincangkan kepentingan institusi kekeluargaan yang menjadi persoalan adakah perubahan trend semasa mempengaruhi kehidupan dalam struktur sosial, kepelbagaian masalah dan punca telah dibincangkan yang meliputi tabiat individu, media dan ekonomi. Maka, sistem kekeluargaan Islam merupakan suatu institusi kekeluargaan yang jelas mempunyai matlamat dan tujuan yang begitu murni bagi membina suatu kehidupan manusia yang sejahtera, bahagia dan harmoni. Sebaliknya, perceraian sangat memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada sesebuah institusi keluarga. perceraian antara pasangan akan menyebabkan impak besar kepada pasangan tersebut dan seterusnya mempengaruhi anak-anak. Lazimnya, kesan tersebut cederung kepada kesan negatif iaitu kesan psikologikal terhadap corak dan gaya keibubapaan keluarga.

Syariat Islam yang telah disediakan oleh Allah SWT melalui RasulNya Nabi Muhammad SAW sebagai sistem pertahanan keluarga daripada faktor luaran dan dalaman. Susunan keluarga yamg mempunyai etika yang harus dijunjung tinggi dan bimbingan yang harus diikuti serta ajaran yang harus dipelihara dari segala hal yang akan merosak kemuliaan dan kehormatannya. Oleh itu, semua itu harus dipelihara dan dilindungi dari kegoncangan, kerosakan dan penyimpangan serta menghiasinya dengan keindahan kemuliaan dan kehidupan yang baik dan mulia.

Menurut Muhamad Zahiri (2015), tujuan syariah yang berprinsipkan kepada menjaga keturunan merupakan salah satu tunjang dalam memeliharanya dengan baik. Aturan yang memberikan hak kepada suami dan isteri yang menjadikan kehidupan rumah tangga benar-benar harmoni yang dihiasi dengan keturunan yang soleh dan solehah. Dengan kecintaan mereka kepada Allah SWT dan RasulNya, mereka akan selalu mencintai semua makhlukNya. Tidak ada sebuah keluarga pun yang mengikuti syariat Allah SWT tersebut kecuali ia akan mendapat kebahagiaan dan ketenangan kerana masyarakat diibarat seperti pelita bagi orang-orang sekelilingnya dan bagi anggotanya ia akan menjadi kebanggaan tersendiri.

Sebaliknya, keluarga yang menolak dan menjauhi ajaran atau jalanNya atau enggan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW pasti akan memperolehi kesulitan, kesedihan dan kesengsaraan kerana pembentukan masyarakat yang harmoni adalah bermula daripada keluarga yang mempunyai ajaran atau aturan yang menjadikanya berada dalam ruangan yang terlindungi dari segala hal yang bersifat merosak sebagaimana firman Allah SWT :

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ

Dan sesiapa yang berpaling (ingkar) dari peringatanKu (petunjukKu), maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta” (Q.S Taha :124)

Oleh yang demikian, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan oleh Kerajaan Malaysia pada 16 Mac 2020 sebagai langkah pencegahan Covid-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kehakimah Syariah Malaysia, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar mendedahkan sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama perlaksanaan PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun lalu. Hal ini berbeza sebelum PKP sekiranya suami isteri bergaduh mungkin salah seorang boleh keluar rumah untuk menenangkan keadaan dan boleh mengawal emosi. Memandangkan PKP yang diisytiharkan di Malaysia semua rakyat Malaysia mesti berada dirumah bagi mencegah penularan Covid 19. Namun kes perceraian semasa PKP adalah tinggi berbanding sebelum ini (Utusan Malaysia, 2020).

Menurut Mohd Na`im Mokhtar (2020), Selangor mencatatkan jumlah pendaftarn kes cerai paling tinggi dalam Malaysia sepanjang tempoh tersebut iaitu sebanyak 1,252. Sepatutnya dalam tempoh PKP, hubungan institusi kekeluargaan semakin erat berikutan pasangan suami dan isteri banyak masa berada di rumah.

Justeru, peningkatan kes penceraian yang dilaporkan tersebut pasti akan menimbulkan persepsi dalam kalangan umat Islam yang berfikir sama ada yang bakal menempuh alam perkahwinan atau yang telah berkahwin. Walau bagaimanapun, penulisan ini adalah untuk mendapat gambaran terhadap isu penceraian dalam kalangan masyarakat Islam untuk mengetahui sejauh mana persepsi, kefahaman dan kesedaran dalam kalangan umat Islam yang peka dengan isu ini.

Menurut Alyasak Berhan & Wan Abdul Fattah Wan Ismail (2016), perceraian dalam bahasa Arab disebut sebagai talak. Talak menurut bahasa ertinya melepaskan atau meleraikan ikatan. Manakala menurut syarak pula bererti meleraikan hubungan pernikahan dengan lafaz talak dan seumpamanya.  Sebahagian ulama` fiqh mendefinisikan talak sebagai sesuatu perkara yang boleh membubarkan ikatan pernikahan sama ada pada waktu itu atau pada waktu akan datang dengan lafaz yang tertentu atau seumpamanya.  Selain lafaz talak, terdapat juga lafaz lain yang diambil kira oleh syarak sebagai lafaz yang boleh menyebabkan perceraian iaitu al-firaq (pisah) dan al-sarah (cerai) (Al-Syirbini, 1997: 370).

Firman Allah SWT;

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.” (Q.S al-Baqarah 2:229).

فَإِذَا بَلَغۡنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمۡسِكُوهُنَّ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ فَارِقُوهُنَّ بِمَعۡرُوفٖ

Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik.” (Q.S al-Talaq 65:2).

Menurut al-Qurtubi (2006:67), ayat ini telah digunakan oleh Imam al-Syafie sebagai dalil yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga lafaz tersebut iaitu lafaz talak, al-firaq (pisah) dan al-sarah (cerai) merupakan lafaz-lafaz perceraian yang jelas (soreh).

Sehubungan itu, talak yang dianggap sah adalah apabila menepati lima rukun talak iaitu suami yang menceraikan, sighah (lafaz yang digunakan), isteri yang diceraikan, wilayah (kuasa talak) dan qasad (ada kesengajaan) (Al-Syirbini, 1997:368).

Oleh yang demikian, perceraian sering membuka ruangan persepsi negatif dalam masyarakat akibat daripada peningkatan jumlah kes perceraian yang didaftarkan di Mahkamah Syariah di seluruh negara. Hal ini kerana perceraian sering menjadi isu yang kontroversi dalam kalangan masyarakat Islam. Kefahaman mereka terhadap penceraian yang dibolehkan oleh syarak telah menimbulkan pelbagai persepsi, apabila kefahaman terbatas dalam kaedah perundangan yang bersumber dari al-Quran dan Sunnah serta hukum hakam yang telah ditetapkan oleh syarak berkaitan penceraian yang dibenarkan dalam Islam.

Justeru, sebagai umat Islam hendaklah menerima ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk kita. Pencelaan terhadap penceraian sebagai peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah adalah satu bentuk penderhakaan kepada Allah SWT sekali gus menafikan kebijaksanaanNya. Bahkan, ianya juga merendahkan martabat Rasulullah SAW dalam membawa umat Islam lebih harmoni dan berakhlak mulia.

Pada prinsipnya, kehidupan rumah tangga harus didasari oleh mawaddah, rahmah dan cinta kasih yang membawa maksud suami isteri harus memainkan peranan masing-masing di antara satu sama lain yang saling melengkapi dalam menelusi kelangsungan kehidupan. Di samping kewujudan keseragaman, keeratan, kelembutan dan saling memahami dengan lain sehingga rumah tangga menjadi hal yang sangat menyenangkan, penuh kebahagiaan, kenikmatan dan melahirkan generasi yang baik sebagaimana dirasakan kebahagiaan itu hasil dari orang tua mereka.

Sebaliknya, apabila cinta dan kasih sayang telah tandus sehingga hati salah satu pihak atau keduanya (suami isteri) sudah tiada lagi merasakan kasih sayang, lalu kedua-duanya sudah tidak saling memperdulikankan satu dengan lainnya serta sudah tidak menjalankan tugas dan kewajipan masing sehingga berlaku pertengkaran dan tipu daya. Kemudian keduanya berusaha memperbaikinya, namun tidak berhasil, maka pada saat itu perceraian atau pembubaran perkahwinan sebagai penyelesaian kedua pihak. Seandainya Islam tidak memberikan jalan menuju talak bagi suami isteri dan tidak membolehkan mereka untuk bercerai pada saat yang kritikal, nescaya hal itu akan membahayakan bagi pasangan tersebut sehingga berlaku dendam yang berpanjangan dan keganasan dalam rumah tangga, sehingga memberi kesan kepada psikologi anak-anak (Hasan Ayyub & Muhammad Zuhirsyan, 2012).

Persoalannya, apakah persepsi umat Islam dalam memahami konsep penceraian mengikut perspektif Islam. Sejauh manakah kefahaman dan kesedaran pelajar muslim terhadap perceraian dalam institusi kekeluargaan yang semakin meningkat saban hari telah menarik perhatian penyelidik dalam perbincangan ini kerana permasalahan ini mempunyai kesan dalam institusi kekeluargaan yang merupakan inti dalam masyarakat itu sendiri.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, kes perceraian dari tahun 2013 hingga 2017 sebanyak 283,177 kes penceraian direkodkan di seluruh negara sepanjang tahun tersebut. Dalam tempoh 5 tahun tersebut, Selangor merekodkan jumlah yang paling tinggi iaitu 57,838 kes dan Perlis merekodkan jumlah yang paling rendah iaitu 4,115 kes. Ini menunjukkan antara faktor kepadatan penduduk dan kos sara hidup yang tinggi menyumbang statistik penceraian tinggi atau rendah (Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, 2018).

Menurut Mohd Na`im Mokhtar (2020) Malaysia mungkin mengikuti sistem perundangan Syariah beberapa negara di Asia Barat bagi mengekang kes perceraian kerana undang-undang sedia ada mahkamah Syariah mengiktiraf penceraian di luar mahkamah. Di Asia Barat selagi mahkamah tidak beri kebenaran, suami melafazkan berpuluh kali pun di rumah, tidak dikira sah. Dengan cara demikian, Malaysia dapat mengawal kes penceraian.

Berdasarkan pernyataan masalah kajian yang telah dinyatakan di atas, beberapa persoalan dalam kajian ini akan menjawab soalan-soalan berikut:

-Apakah persepsi umat Islam terhadap kes penceraian?

-Sejauh manakah kefahaman umat Islam terhadap implikasi penceraian?

-Sejauh manakah kesedaran umat Islam terhadap kesan penceraian?

Tulisan ini bertujuan untuk mengetahui persepsi umat Islam terhadap kefahaman dan kesedaran tentang kes penceraian. Tujuan kajian secara terperinci adalah seperti berikut:

-Mengenalpasti persepsi umat Islam terhadap kes penceraian.

-Mengenalpasti tahap kefahaman umat Islam terhadap implikasi penceraian.

-Mengenalpasti kesedaran umat Islam terhadap kesan penceraian dalam institusi kekeluargaan

Penyelidikan ini dijalankan berdasarkan kepada beberapa sebab di antaranya :

Pertama : Mengenalpasti Tahap Persepsi Pelajar Umat Islam

Justifikasi penulisan ini dibuat adalah untuk mengenalpasti persepsi, kefahaman dan kesedaran umat Islam di Malaysia terhadap kes penceraian dalam Islam yang memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dan masyarakat.

Dalam Islam, keluarga adalah sumber kekuatan masyarakat, kerana masyarakat itu terdiri dari unit-unit keluarga. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik, dan sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak.

Menurut Marsitah Ibrahim (2017) kekeluargaan adalah kumpulan yang paling penting di mana di mana seseorang memperoleh perasaan keahlian dan identiti. Ia merupakan suasana pertama yang dilihat oleh seseorang setelah dilahirkan. Sebahagian besar masa kita juga banyak dihabiskan dalam kebersamaan dengan keluarga.


Walau bagaimanapun, institusi keluarga memainkan peranan utama dalam membentuk peribadi seseorang. Ada banyak juga faktor-faktor yang mempengaruhi sikap, tabiat dan cara pemikiran seseorang seperti kawan, persekitaran dan media. Dengan kata lain, keluarga merupakan inti masyarakat. Fungsinya tidak hanya terbatas untuk meneruskan keturunan sahaja, bahkan dalam bidang pendidikan, keluarga merupakan sumber pendidikan utama kerana segala pengetahuan dan kecerdasan intelektual manusia diperoleh oleh kanak-kanak daripada orang tuanya dan ahli keluarganya (Muhammad Soulhiey Zeckry, 2018).

Dalam institusi keluarga, peranan ibu bapa dalam pembentukan peribadi sejak perkembangannya yang paling awal adalah sangat penting berpengaruh dalam menentukan pembentukan generasi sebagaiman yang ditegaskan dalam hadis Nabi SAW bersabda:


Nabi S.A.W menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ
أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi” (Hadis riwayat Bukhari 1385)


Kedua : Mengetahui Tahap Kepentingan Struktur Sosial Melalui Perkahwinan

Sesebuah masyarakat itu akan menjadi baik dan dipandang mulia apabila ia berlandaskan kepada sistem hidup Islam. Sesungguhnya setiap manusia amat perlu kepada kehidupan berkeluarga, Justeru itu Allah telah mensyariatkan perkahwinan yang dengannya manusia akan beroleh nikmat dan berkasih sayang antara satu sama lain sebagaimana Firman Allah SWT :

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda-Nya (kekuasaan-Nya) ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berflkir ( Q.S Ar-Rum: 21)

Sekiranya keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati, merasa tertindas atau mementingkan diri sendiri, tidak mendapat tempat di dalam keluarga Islam kerana asas utama dalam perkahwinan adalah perasaan kasih sayang, kerjasama dan perpaduan antara ahli-ahli keluarga. Tanggungjawab kekeluargaan ini amat penting difahami oleh setiap orang Islam khususnya pasangan suami isteri Islam yang baru melangsungkan perkahwinan. Kehidupan berkeluarga bukan sekadar ingin memenuhi runtunan nafsu jantina semata-mata malah ia adalah suatu amanah Allah SWT dan ia juga merupakan unsur yang utama dalam usaha ke arah pembentukan generasi Islam, masyarakat Islam dan seterusnya Negara Islam yang baik, aman makmur dan diredai oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, perceraiaan dalam institusi kekeluarga boleh membawa persepsi yang negatif dalam masyarakat sekiranya tidak terkawal dan terurus dengan baik oleh pihak kerajaan kerana ia boleh mengakibatkan kepincangan dan kerosakan dalam struktur sosial. Konsep sosial merupakan satu konsep yang luas yang terkandung di dalamnya elemen kemanusiaan dan kemasyarakatan. Manakala institusi sosial pula, merupakan norma yang berhubung kait dan dicipta untuk memenuhi keperluan dan atau fungsi sosial yang penting. Rol dan norma institusi tersebut menentukan tingkah laku sosial yang diperlukan untuk memenuhi beberapa keperluas asas dari segi sosial seperti ekonomi, pendidikan, sistem politik, agama dan kekeluargaan adalah institusi utama dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, keluarga masa kini berbeza dengan keluarga zaman dahulu. Hari ini, keluarga mengalami pergolakan dan perubahan yang hebat, khususnya mereka yang hidup di kota berbanding keluarga-keluarga di daerah yang belum mengalami atau menikmati hasil kemajuan teknologi, industri dan sebagainya, kita akan dapati gambaran mengenai ikatan dan fungsi keluarga adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan yang berada di tengah-tengah kemewahan kebendaan.

Justeru, fenomena semasa dalam masyarakat telah mencabar keutuhan institusi kekeluargaan di serata dunia termasuklah Malaysia melalui perubahan budaya, ekonomi, pendidikan dan politik yang secara langsung atau tidak disedari sedikit sebanyak telah mempengaruhi kualiti perhubungan suami isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Ketiga: Mengenal Pasti Visi Dan Misi Keluarga

Kewujudan visi dan misi dalam institusi keluarga adalah penting dan tidak boleh terlewat, bahkan sejak sebelum berkahwin hingga berkahwin. Maka visi, misi, orientasi berkeluarga dari masing-masing pasangan adalah hal yang wajib dilakukan. Tanpa ada hala tuju dalam keluarga tentunya kita sukar membuat orientasi kita terhadap keluarga yang semakin lama semakin suram, akhirnya berlaku pergolakan yang menjadi mangsa adalah anak-anak terabai dari segi kasih sayang. Justeru, visi dan misi keluarga inilah kita boleh belajar bersama dan terus berprosses ke arah yang lebih baik agar perceraian dapat dihindari.

Rujukan :

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. (2018). Statistik Pendaftaran Perceraian Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia - Statistik Pendaftaran Perceraian Mahkamah Syariah 2013-2017 - MAMPU. http://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/statistik-pendaftaran-perceraian-mahkamah-syariah-seluruh-malaysia/resource/5f6eb89f-62d4-41bb-8719-8a92de888468
Mohd Na`im Mokhtar. (2020, Ogos). Lafaz Cerai Luar Mahkamah Tak Sah ? Media Mulia Sdn. Bhd., 14.
Muhamad Zahiri Awang Mat. (2015). Prinsip Fiqh Munakahat. Open University Malaysia.
Muhammad Soulhiey Zeckry. (2018, July 8). Kepentingan Institusi Kekeluargaan • Wacana Az-Zeckry. Wacana Az-Zeckry. http://zeckry.net/2018/07/08/kepentingan-institusi-kekeluargaan/

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.