Site icon Wacana Zeckry

Keadaan Mengharuskan Solat Jamak

Menurut pandangan ulama’ tentang keharusan solat jamak terdapat empat keadaan yang dibenarkan untuk jamak solat yang menjadi perbahasan dalam kalangan ulama. Hal ini diperincikan sebagaimana berikut:

1. Ketika di Arafah dan Muzdalifah

Dalam mazhab Hanafi mengatakan tidak dibenarkan untuk jamak solat secara jamak taqdim kecuali mereka yang mengerjakan haji di Arafah dengan syarat solat secara berjemaah dengan imam.[1] Manakala di Muzdalifah dibolehkan untuk jamak solat bagi orang yang sedang mengerjakan haji. Hal ini disandarkan dengan dalil Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا

Maksudnya, “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya” [2]

Mafhum daripada firman Allah SWT ini, jelas bahawasanya wajib ke atas orang beriman melaksanakan solat pada waktu yang telah ditetapkan dan dilarang untuk melewatkan waktu solat atau mengawalkan. Menurut mazhab Hanafi perbuatan jamak solat ialah dengan melewatkan waktu Zuhur dengan melaksanakan pada akhir waktunya, dan melaksanakan waktu Asar pada awal waktu begitu juga waktu Maghrib dan Isyak. Perbuatan jamak ini dikira sebagai jamak suri iaitu seakan-akan jamak akan tetapi di sisi kami, melaksanakan jamak sama ada jamak taqdim atau takhir tidak harus.[3] Oleh itu, menurut mazhab Hanafi sebab yang dibenarkan jamak solat di Arafah dan di Muzdalifah adalah disebabkan perbuatan atau sunnah Rasulullah SAW kerana ibadah haji. Dalam pada itu, pendapat Hanafi diterima juga di sisi mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.[4]

2. Ketika Bermusafir

Menurut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali membenarkan untuk jamak solat ketika di dalam perjalanan. Maka dibolehkan ke atas sesesorang individu untuk jamak solat sama ada dengan mengawalkan fardu Asar, atau melewatkan fardu Zuhur dan dilaksanakan pada mana-mana waktu begitu juga dengan fardu Maghrib dan Isyak.[5]

Hujah yang menunjukakkan keharusan solat ketika bermusafir ini adalh berpandukan dengan hadis Rasulullah SAW yang pernah melakukan solat jamak ketika bermusafir ke Tabuk.[6] Hal ini sebagai mana yang terdapat di dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Mu‘az Bin Jabal, telah berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بيَنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بيَنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Maksudnya, “Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan (bermusafir) dan menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak”[7]

Hadis ini menerangkan sesungguhnya jamak solat ketika musafir dibolehkan kerana Nabi Muhammad SAW pernah melakukan ketika baginda bermusafir ke Tabuk. Inilah kelonggaran yang Allah SWT beri kepada hamba-Nya sesuai dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Hal ini kerana terdapat sebab yang membenarkan untuk melakukan solat jamak dalam keadaan ketika musafir kerana terdapat kesukaran untuk melaksanakan solat pada waktunya. Daripada penerangan tersebut maka jelaslah bahawa solat jamak ketika dalam keadaan bermusafir dibolehkan kepada setiap individu kerana terdapatnya kesukaran untuk melaksanakan solat pada waktunya.[8]

3. Jamak Solat Ketika Hujan

melaksanakan solat jamak ketika dalam keadaan hujan di malam hari di sisi mazhab Maliki dan mazhab Syafie dibolehkan. Menurut kedua-dua mazhbah Maliki dan Syafie ini, boleh menghimpunkan solat di antara fardu Maghrib dengan Isyak walaupun ketika dalam keadaan bermukim walaupun tiada hujan tanah yang berbecak atau di dalam kegelapan. Pandangan daripada mazhab Maliki dan mazhab Syafie diterima juga di sisi mazhab Hanbali untuk membolehkan jamak disebabkan hujan. Pandangan jamak solat ketika hujan menurut mazhab Hanbali menyatakan sesungguhnya jamak solat hanya dibolehkan antara fardu Maghrib dengan Isyak disebabkan oleh hujan sehingga boleh membasahi pakaian. Ini kerana dianggap kerana mempunyai kesukaran untuk melaksanakan solat pada waktu yang telah ditetapkan. [9]  Seperti mana dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari:

أن النبي صلى الله عليه وسلم جمع بين المغرب والعشاء، في ليلة مطيرة

Maksudnya: “Nabi SAW pernah mengumpul solat Maghrib dengan Isyak pada suatu malam yang dibasahi hujan lebat” [10]

Di samping itu, solat jamak ketika turunnya hujan atau hujan hampir turun dibenarkan kerana ia merupakan rukhsah ke atas mashaqqah yang ada. Namun begitu perlu difahami bahawa tidak boleh menjamakkan kedua-dua solat pada waktu yang kedua iaitu melakukan jamak ta’khir. Ini kerana mungkin hujan akan berhenti dan ini bermakna seseorang itu telah melewatkan / mengeluarkan solat daripada waktunya tanpa apa-apa keuzuran dan sebab tertentu.[11]

4. Jamak Solat Ketika Sakit

Jamak solat disebabkan sakit, menurut di sisi mazhab Hanafi tidak dibenarkan. Hal ini kerana, mazhab Hanafi tidak menerima jamak solat kecuali jamak solat ketika di Arafah dan di Muzdalifah. Pandangan di sisi mazhab Hanafi bertentang dengan pandangan mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.[12]

Menurut di sisi mazhab Maliki, jamak antara dua solat ketika sakit dibenarkan kerana seperti keadaan pesakit yang berasa takut akan pengsan ke atas dirinya ataupun sakit perut. Tambahan lagi, menurut mazhab Maliki, keringanan ini diberikan ke atas mereka yang mengalami sakit perut atau seumpama dengannya yang mempunyai penyakit yang lebih teruk dan membahayakan dirinya untuk menunaikan solat pada setiap waktu. Oleh yang demikian, mazhab Maliki membenarkan solat jamak ketika sakit dengan bersandarkan dengan dalil daripada al-Quran,[13] iaitu Firman Allah Taala:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِيْ الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama[14]

Daripada firman Allah Taala tersebut maka menurut dalam mazhab Maliki menyatakan, dibenarkan untuk jamak solat kerana kepayahan untuk seseorang itu melaksanakan solat pada waktunya, maka dikategorikan sakit juga suatu kepayahan atau kesusahan untuk melaksanakan solat pada setiap waktu. [15]

Oleh itu, tidak sah untuk jamak solat jika tiada keuzuran atau sebab-sebab yang membolehkan jamak solat, kerana asal solat ialah melaksanakan solat pada waktunya, akan tetapi yang membolehkan sesuatu yang sukar untuk melaksanakannya kepada keringanan hanya dibolehkan jika mempunyai keuzuran sahaja. Jika tidak mempunyai keuzuran atau sebab untuk melasanakan solat maka tidak dibenarkan untuk jamak solat. Menghimpunkan solat bukan hanya ditetapkan ketika bermusafir sahaja akan tetapi situasi-situasi lain yang dibolehkan untuk jamak solat.

Selanjutnya……..


[1] Op.Cit. Hanan Ahmad Sukrii & Nurul Ilyana Muhd Adnanii (2020). Hlm 20.

[2] Surah Al-Nisa’ ayat 103

[3] Op.Cit.

[4] Ibid.

[5] Op.Cit. Hanan Ahmad Sukrii & Nurul Ilyana Muhd Adnanii (2020). Hlm 22.

[6] Ibid. hlm 22.

[7] Hadis Riwayat Bukhari.

[8] Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili. (2010.) Fiqh Islam Wa Adillatuhu. Jilid 2. Jakarta: Gema Insani. 450.

[9] Op.Cit. Hanan Ahmad Sukrii & Nurul Ilyana Muhd Adnanii (2020). Hlm 23.

[10] Hadis Riwayat Bukhari.

[11] Op.Cit. Dr. Mustafa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugha & Ali Asy-Syarbaji. (2011). Hlm 229.

[12] Op.Cit. Hanan Ahmad Sukrii & Nurul Ilyana Muhd Adnanii (2020). Hlm 23.

[13] Op.Cit.  Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili. (2010). 451.

[14] Surah Al-Hajj ayat 78.

[15] Op.Cit. Hanan Ahmad Sukrii & Nurul Ilyana Muhd Adnanii (2020). Hlm 31.

Exit mobile version