Site icon Wacana Zeckry

Kehujahan Solat Jama` Ketika Darurat

Berdasarkan pandangan ulama daripada dalil-dalil solat jamak pada bahagian yang lalu, dapat difahami bahawa pada asasnya, hukum menjamakkan antara dua solat adalah diharuskan atas empat keadaan iaitu ketika musafir, ketika waktu hujan, ketika Hari Arafah dan juga bagi mereka yang berada dalam keadaan sakit. Keempat-empat keadaan ini memperlihatkan bahawa terdapat keringanan yang diberikan oleh Allah SWT buat umatnya yang berada dalam keadaan yang agak rumit dan berbeza daripada keadaan normal harian manusia lain yang tidak memerlukan sebarang rukhsah untuk membolehkan mereka menjamakkan solat.

            Namun begitu, apabila wujudnya pandemik COVID-19 yang merupakan wabak yang membawa jangkitan yang berbahaya ke seluruh dunia, pegawai perubatan menjadi sebahagian yang terkesan dengan pendemik yang kian merebak disebabkan merekalah antara barisan hadapan untuk merawat pesakit. Melihat kepada keadaan urusan kerja mereka yang amat rumit dalam merawat pesakit COVID-19 yang semakin meningkat jumlah kesnya. Maka timbul beberapa perkara yang menjadi kerumitan yang besar buat mereka. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

Melihat kepada situasi ini maka menimbulkan persoalan bahawa adakah pegawai perubatan yang merawat pesakit COVID-19 memerlukan rukhsah bagi dalam melaksnakan ibadat solat. Sebahagian daripada fuqaha mengharuskan untuk menjamakkan solat selain dari sebab-sebab yang disebutkan dengan disebabkan adanya hajat dan keperluan. Untuk menjawab persoalan tersebut, pengkaji mendatangkan beberapa pandangan ulama serta maqasid syariah serta kaedah fiqh yang bersandarkan kepada dalil yang berkait dengan situasi yang sukar buat pegawai perubatan dalam isu ini.

1 .      Pandangan Ulama

Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaili menyenaraikan beberapa sebab yang mengharuskan jamak di sisi mazhab Hanbali. Di antara sebab tersebut ialah keuzuran dan sesiapa yang terlibat dengan sesuatu perkara yang penting yang mana jika tidak dijamakkan solat akan menyebabkan kemudaratan. Berdasarkan mazhab Hanbali ini dapat dilihat bahawa sebab keharusan untuk menjamakkan solat jamak adalah lebih luas berbanding mazhab Syafie. Pada asasnya, di dalam mazhab Al-Syafie, menjamakkan di antara dua solat diharuskan atas tiga sebab iaitu ketika musafir, keadaan hujan dan ketikawa hari Arafah. Inilah pandangan di dalam mazhab Al-Syafi’i berkenaan sebab-sebab yang membolehkan untuk menjamakkan solat.[1]

Menurut Imam Al-Nawawi, beliau menukilkan pandangan sebahagian ulama bermazhab Al-Syafi’i seperti Al-Qadhi Husain, Abu Sulaiman Al-Khattabi, Al-Ruyani, Abu Qasim Al-Rafi’i dan lain-lain. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menjamakkan solat kerana keadaan yang gawat ketakutan dan sakit. Pelaksanan solat jamak tersebut boleh dilaksanakan sama ada secara taqdim dan ta’khir. Kelonggaran ini diberikan adalah kerana ingin memberikan keringanan kepada mereka-mereka yang terlibat atau ditimpa sebab-sebab tersebut. Bahkan keadaan seperti gawat dan takut adalah lebih utama daripada hujan.[2]

Hal ini juga, sebagaimana pandangan Imam Abdullah Al-Kharasyi Al-Maliki, beliau menyatakan bahawa sebab untuk melaksanakan solat jamak bukan sahaja disebabkan kerana seseorang itu bermusafir akan tetapi solat jamak tersebut boleh dilakukan berdasarkan apa sahaja keadaan yang boleh mendatangkan kesukaran kepada seseorang untuk berwuduk dan solat pada waktunya. Bahkan kepayahan yang dilalui oleh orang yang berada di dalam keadaan yang gawat lebih payah daripada kepayahan yang ada pada musafir dan juga hujan.[3]

Pandangan Imam Al-Nawawi dan Imam Abdullah Al-Kharasyi Al-Maliki bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Dalam sebuah hadis tersebut Ibnu Abbas R.A berkata:

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ، قَالَ : فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ : مَا أَرَادَ بِذَلِكَ ؟ قَالَ : أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya : “ Rasulullah SAW menjamakkan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ada kegawatan dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibnu Abbas : Apa tujuan Nabi buat sedemikian rupa?. Ibnu Abbas berkata : Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya”. [4]

Sheikh Abdurrahman Al-‘Asimi Al-Najdi bahawa harus untuk menjamakkan solat kerana ada keuzuran dan keperluan disebabkan ada tugasan penting yang tidak boleh ditinggalkan dan jika ditinggalkan akan mendatangkan mudarat. Hal ini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Sheikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut sesiapa yang ada keuzuran maka diharuskan untuk dia menjamakkan solat. Bahkan beliau menegaskan bahawa bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjamakkan solat sehingga meninggalkan solat maka dia berdosa tanpa syak lagi. Kedua-dua pandangan ini selaras dengan pendapat Ibnu Qudamah menyebutkan bahawa harus untuk menjamakkan solat jika ada keperluan yang mendesak dan ianya perlulah tidak dianggap sebagai adat.[5]

Maka dapat difahami daripada hadis tersebut bahawa jika ada sebab keuzuran, ada kegawatan dan terdapat urusan yang mendesak maka ianya lebih utama untuk dijamakkan solat. Hal ini juga dapat dihubungkankaitkan melalui sebuah hadis yang lain di mana Nabi SAW bersabda:

مَنْ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ فَقَدْ أَتَى بَابًا مِنْ أَبْوَابِ الْكَبَائِ

Maksudnya : “Sesiapa yang menjamakkan dua solat tanpa ada keuzuran, sesungguhnya dia telah mendatangi salah satu dari pintu dosa besar.[6]

Maka, berdasarkan hadis ini, tidak salah menjamakkan antara dua solat jika ada keperluan dan keuzuran. Justeru itu, kami melihat akan keharusan untuk menjamakkan solat bagi petugas COVID-19 kerana tugasan tersebut adalah tugasan yang getir. Ini dianggap sebagai satu keuzuran untuk membenarkan mereka menjamakkan solat. Setelah melihat kepada pandangan mazhab Hanbali dan Syafie yang mebenarkan solat ketika dalam keadaan gawat dan dalam keuzuran maka apatahlagi jika tugasan tersebut melibatkan nyawa dan tidak boleh sewenang-wenangnya ditinggalkan seperti petugas COVID-19 kerana ia boleh membawa mudarat kepada nyawa seseorang jika tidak dilaksanakan dengan sebaiknya. Maka lebih utama baginya untuk menjamakkan solat daripada dia meninggalkan solat dengan sengaja.

2.       Ketetapan Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh

Apabila kita meneliti perbincangan Sadd Al-Zarai` dalam istilah usul fiqh yang bermaksud mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya atau mengeluarkan hukum syarak mengikut kaedah menutup saluran kerosakan walaupun saluran itu pada asalnya harus.[7] Maka covid-19 merupakan pencegahan daripada penularan yang boleh membawa kepada lebih ramai yang dijangkiti dan membawa maut denga cepat serta pengawalannya adalah terlalu kompleks.

Berdasarkan kaedah ini, pihak kerajaan telah mengambil tindakan dengan menyekat sesuatu perkara untuk menjamin kebaikan rakyat dan negara walaupun larangannya tidak ada di dalam nas al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, pelbagai persoalan baharu muncul yang sebelumnya tidak dibahaskan secara terperinci dalam al-Quran dan Hadis. Di antara metod penetapan hukum yang dikembangkan oleh fuqaha adalah Sadd al-Zari’ah iaitu jika sesuatu perbuatan yang belum dilakukan dan diduga akan menimbulkan kerosakan, maka ditegah segala perkara yang mengarahkan kepada perbuatan tersebut.

Menurut al-Qarrafi, Sadd al-Zari`ah sebagai menghentikan jalan-jalan yang menuju kepada kerosakan. Begitu juga, petugas perubatan Covid-19 bertungkus-lumus mengawal bagi menghentikan penularan Covid-19 yang begitu rumit untuk ditangani sehinggakan boleh mengorbankan waktu solat tanpa disengajakan. Dalam hal ini, sebahagian ulama as-Syafie menetapkan serta menggolongkan konsep Sadd Ad-Zari’ah dalam kaedah:

ما لا يتم الواجب إلا به واجب

Maksudnya: Jika suatu kewajipan tidak sempurna dilaksanakan tanpanya, maka hal itu juga wajib dilaksanakan.

Justeru, konsep mengeluarkan (istinbat) hukum mengharuskan jamak solat bagi pegawai perubatan yang mengawal virus covid-19 daripada merebak dengan meluas kepada orang ramai yang belum dijangkiti merupakan kemaslahatan yang wajib dicegah. Maka, penggunaaan kaedah Al-Masalih Al-Mursalah menurut istilah al-Ghazali sebagai menarik manfaat dan menolak kemudharatan. Manakala, menurut al-Syatibi pula, Al-Masalih Al-Mursalah pula merupakan sesuatu yang merujuk kepada membangunkan kehidupan insan, kesempurnaan kehidupannya dan mencapai sesuatu yang dituntut oleh sifat-sifat syahwat dan akal secara mutlak. Maka para ulama usul fiqh menetapkan tuntutan lima jenis maslahat asasi untuk mencapai Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Islam tidak mentaklifkan kepada manusia sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh mereka, begitu juga kesukaran yang dihadapi oleh Petugas Perubatan dalam menangani Covid-19. Oleh itu, dalam Qawaid Fiqh, kaedah “Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan” digunakan untuk mengaplikasikan ijtihad hukum di sisi pandangan mufti-mufti di Malaysia dalam mengeluarkan hukum solat jamak bagi petugas perubatan Covid-19. Kaedah Fiqhiyyah:  

المشَقَّة تَجْلِبُ التَّيْسِيَر

Maksudnya: “Kepayahan dan kesukaran mendatangkan kemudahan.”

Kaedah terbitan bagi kaedah asas tersebut adalah:

  1. إذا إتسع الأمر ضاق (Sesuatu perkara apabila lua, hukumnya menjadi sempit)
  2. المشَقَّة تَجْلِبُ التَّيْسِيَر (kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan)

Berdasarkan kaedah ini, ia membawa maksud apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah SWT, maka perintah itu diringankan tidak seperti asalnya. Ia juga membawa maksud bahawa syariat Islam itu dapat dilaksanakan oleh mukallaf pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ini terjadi dengan memberikan kelonggaran dan keringanan ketika seseorang itu dilanda kesempitan dan kesukaran. Maka dengan ini, wujudlah istilah rukhsah dan azimah atau keringanan dalam syariat Islam. Istilah azimah dan rukhsah merupakan perbincangan dalam usul al-fiqh yang biasanya digunakan dalam keadaan darurat. Oleh itu, pandemik covid-19 merupakan kesusahan atau kesulitan dalam memeranginya kerana corana virus cepat merebak kepada manusia kepada manusia dan haiwan yang boleh membawa kepada maut dalam masa yang singkat.

3.       Kesesuaian Maqasid Syariah

Perkara ini juga perlu diukur berdasarkan Maqasid Syariah khususnya tentang tujuan umum iaitu Maqasid Ammah. Maqasid Ammah adalah maqasid yang mencakupi seluruh kemaslahatan pensyariatan yang bersifat universal seperti rukhsah. Termasuk di dalam kategori ini adalah aspek daruriyyat sebagaimana yang ada dalam maqasid yang lima iaitu untuk menjaga agama, jiwa, akal, keturunan, dan harta.[8] Kesemua maqasid ini termasuk dalam semua bab fiqh kerana sifatnya yang universal, seperti bab ibadah, muamalah, munakahah, jinayah, dan lain sebagainya.

            Oleh kerana itu, maqasid syariah sebagai mana yang telah dibentuk oleh fuqaha ini menjadi payung dari segala bab fiqh dan menjadi tujuan yang harus direalisasikan dari bab-bab fiqh. Kerana sifat hukum fiqh yang universal, maka bab fiqh yang berada di bawahnya harus mampu merealisasikan tujuan utama yang menjadi tujuan kepada pensyariatan hukum. Antara tujuan maqasid Ammah tersebut adalah

i. Menarik kemanfaatan dan menolak kemafsadatan.

Tujuan ini merupakan tujuan utama yang harus direalisasikan dalam setiap pensyariatan. Tujuan ini juga pada hakikatnya adalah manifestasi dari kemaslahatan yang harus dicapai dalam setiap pensyariatan. Kemanfaatan bererti kebaikan yang didapatkan dari persyariatan, baik kebaikan yang berkaitan dengan agama, badan, akal, keturunan, dan harta. Begitu juga sebaliknya, setiap pensyariatan tidak akan menyebabkan kemudratan bagi semua pihak.[9]  Berkaitan dengan ini, Allah berfirman dalam Alqur’an:

لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَا

Maksudnya: “Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.”.[10]

Berkaitan dengan tujuan syariat ini, ada kaidah fiqh yang sangat berkaitan, iaitu:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Bahaya itu harus dihilangkan”

ii-Memberi kemudahan dan menghilangkan kesulitan.

Setiap tasyri’ yang Allah turunkan kepada manusia bertujuan untuk memberikan kemudahan dan menghilangkan kesulitan. Hukum awal solat adalah harus dilakukan dengan cara berdiri, akan tetapi jika umat Islam mengalami gangguan kesehatan sehingga tidak bisa berdiri, maka Allah memberi kemudahan dengan kebolehan solat dengan cara duduk. Hukum awal makan bangkai adalah haram. Akan tetapi dalam keadaan mendesak (darurat) yang mengharuskannya makan bangkai kerana tidak ada makanan lain selainnya, maka dibolehkan makan bangkai untuk sekedar bertahan hidup.[11]

Inilah prinsip dan tujuan syariat Islam yang Allah turunkan kepada umat Islam. Tujuan ini dijelaskan dalam firman Allah:

مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجۡعَلَ عَلَيۡكُم مِّنۡ حَرَجٖ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمۡ وَلِيُتِمَّ نِعۡمَتَهُۥ عَلَيۡكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksudnya: “Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur”.[12]

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”.[13]

Di antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjamakkan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan sebagainya. Ini berdasarkan kenyataan Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”[14]

Berkaitan dengan tujuan syariat ini, ada kaidah fiqh yang sangat berkaitan, yaitu:

المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيسِرُ

Maksudnya: “Kesulitan mendatangkan kemudahan”

Oleh kerana itu, setiap aturan fiqh yang spesifik tidak akan bertentangan dengan dua tujuan syariat di atas, iaitu menarik kemanfaatan dan menolak kemudaratan, dan memberikan kemudahan dan menghilangkan kesulitan. Hal ini juga boleh diaplikasikan dalam amalan solat bagi tenaga pegawai perubatan yang merawat pesakit COVID-19.[15]

Bagi pegawai perubatan, selama mereka mempunyai kelapangan dan tiada berlakunya unsur kemudaratan, maka mereka tetap wajib menunaikan solat sebagaimana umat Islam pada umumnya. Akan tetapi, bagi pegawai perubatan yang berada dalam keadaan yang sukar untuk berwudu’ ataupun bertayammum disebabkan keadaan yang sukar untuk menanggalkan pakaian tugasnya (PPE), maka harus solat dalam keadaan yang diharuskan iaitu jamak. Keadaan mereka ini juga termasuk dalam keadaan faqid thohuraini, iaitu orang yang tidak mampu untuk bersuci dengan air untuk berwudhu atau menggunakan tanah untuk bertayammum.[16]

Seterusnya……….


[1] Op.Cit.  Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili. (2010). 452.

[2] Op.Cit.  Laman Sesawang: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020). dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/263

[3] Ibid.  Laman Sesawang: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020). Dalam Syarh Mukhtasar Khalil, 5/120

[4] Hadis Riwayat Al-Tirmiz

[5] Laman Sesawang: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020), Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 455: Hukum Solat Jamak Bagi Petugas Covid-19.

[6] Hadis Riwayat Al-Tirmizi

[7] Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali. (2010). Usul fiqh dan kaedah fiqh. Kuala Lumpur, Pustaka Salam Sdn. Bhd. hlm 129.

[8] Abdul Aziz bin Abdurrahman Bin Ali Rabi’ah. (2010). ‘Ilmu Maqasid al-Syari’. Riyad, Maktabah al-Abikan. Hlm 193.

[9] Op.Cit. Abdul Aziz bin Abdurrahman Bin Ali Rabi’ah. (2010). Hlm 194.

[10] Surah Al-Baqarah ayat 233

[11] Op.cit. Hlm 194.

[12] Surah Al-Maidah ayat 6

[13] Surah Al-Baqarah ayat 185

[14] Surah Al-Hajj ayat 78

[15] Dr. Holilur Rohman, Vina Azizatur Rachmaniyah Agil Burhan Satia Dewanti Fitriani Putri Lukman Hakim. (2020). Praktek Ibadah Pada Masa Pandemi Virus Covid-19. Jawa Timur: Duta Media. Hlm 40.

[16] Ibid. 39

Exit mobile version