Sebelum kita teruskan kepada perbincangan yang lebih mendalam tentang hukum pegawai perubatan menjamakkan solat semasa COVID 19, kita perlulah terlebih dahulu mengetahui secara asas berkaitan kefardhuan solat. Solat merupakan perkara penting dan menjadi paksi utama keimanan seseorang mukmin. Ibadat solat merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Solat merupakan tiang agama yang telah difardukan ke atas orang Islam yang mukallaf.[1] Apabila seseorang muslim itu sentiasa menunaikan solat, ia akan menjadi makanan kepada imannya.[2]

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. Dari segi syara, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.[3] Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliy. Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun fi’liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali sebagai rukun qalbiyy. Kewajipan solat tersebut boleh didapati melalui banyak dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadith:[4]

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” [5]

Di samping itu, ada hadis lain yang yang diriwayatkan daripada Buraidah, ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW tentang waktu solat.[6] Nabi SAW bersabda:

صَلِّ مَعَنَا هَذَيْنِ ، يَعْنِي الْيَوْمَيْنِ ، فَلَمَّا زَالَتِ الشَّمْسُ أَمَرَ بِلاَلاً فَأَذَّنَ ، ثُمَّ أَمَرَهُ ، فَأَقَامَ الظُّهْرَ ، ثُمَّ أَمَرَهُ ، فَأَقَامَ الْعَصْرَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ بَيْضَاءُ نَقِيَّةٌ ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْمَغْرِبَ حِينَ غَابَتِ الشَّمْسُ ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْفَجْرَ حِينَ طَلَعَ الْفَجْرَ ، فَلَمَّا أَنْ كَانَ الْيَوْمُ الثَّانِي أَمَرَهُ فَأَبْرَدَ بِالظُّهْرِ ، فَأَبْرَدَ بِهَا ، فَأَنْعَمَ أَنْ يُبْرِدَ بِهَا ، وَصَلَّى الْعَصْرَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ أَخَّرَهَا فَوْقَ الَّذِي كَانَ ، وَصَلَّى الْمَغْرِبَ قَبْلَ أَنْ يَغِيبَ الشَّفَقُ ، وَصَلَّى الْعِشَاءَ بَعْدَ مَا ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ، وَصَلَّى الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ بِهَا ، ثُمَّ قَالَ : أَيْنَ السَّائِلُ عَنْ وَقْتِ الصَّلاَةِ ؟ فَقَالَ الرَّجُلُ : أَنَا ، يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : وَقْتُ صَلاَتِكُمْ بَيْنَ مَا رَأَيْتُمْ

Maksudnya: “Solatlah bersama kami selama dua hari. Apabila matahari tergelincir Nabi SAW mengarahkan Bilal untuk azan kemudian mengarahkan Bilal untuk iqamah zohor. Kemudian Baginda mengarahkan pula Bilal untuk azan dan iqamah pada ketika matahari tinggi sehingga kelihatan putih. Kemudian Baginda mengarahkan Bilal untuk laungkan azan dan iqamah Maghrib ketika terbenam matahari. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal untuk azan iqamah Isyak ketiga mega di langit hilang. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal untuk azam dan iqamah Subuh ketika fajar matahari mula terbit. Pada hari kedua pula, Baginda perintahkan Bilal untuk azan dan iqamah lewat dari waktu zohor. Baginda solat asar dalam  keadaan matahari meninggi dan dilewatkan. Kemudian Baginda solat Maghrib sebelum hilangnya mega di langit. Kemudian Baginda solat Isyak selepas berlalunya satu pertiga malam dan Baginda solat subuh dalam keadaan langit sudah kekuningan. Kemudian Baginda bersabda: Di mana orang yang bertanya tentang waktu solat?. Seorang lelaki berkata: aku wahai Rasulullah. Baginda bersabda : Waktu solat kalian adalah di antara apa yang kalian lihat.[7]

Daripada maksud ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa solat adalah satu ketetapan yang mesti dilakukan dan ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya dan mencuaikannya.[8]

Ini membawa maksud bahawa jika solat dilakukan bukan pada waktu yang telah ditetapkan maka solat tersebut walaupun ditunaikan dengan cukup rukun ianya tetap tidak sah kerana di antara syarat sah solat adalah mesti masuk waktu. Jika dilakukan sebelum masuk waktunya, maka solat fardu yang dilakukan tidak sah. Ibadah solat ini mengandungi prosedur khas yang terdiri daripada syarat-syarat dan rukun-rukun yang mesti dipatuhi.[9]

Selanjutnya…………..


[1] Abdul Majid Bin Omar (2016), Kitab Solat Panduan Komprehensif Mengikut Mazhab Shafie, Darul Fikir, Kuala Lumpur. Hlm 12.

[2] Dr. Mustafa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugha & Ali Asy-Syarbaji. (2011). Fiqh Manhaji: Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 1. Terj: Ridzuan Bin Hashim, Juanda Bin Jaya, Azizi Bin Ismail, Mohd Asri Bin Hashim, Salehan Bin Ayub.  Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd. Hlm 121.

[3] Johari Yaman (2012), Bimbingan Penghayatan Kesempurnaan Solat, Nadi Minda Resources, Rawang, Selangor. Hlm 8.

[4] Abdul Qadir ar-Rahbawi. 2009. Fiqh Solat Empat Mazhab. Terj: Nabilah Abd. Jalil. Selangor: Al-Hidayah Publication. Hlm 25.

[5] Surah An-Nisa’ ayat 103

[6]Laman Sesawang: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020), Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 455: Hukum Solat Jamak Bagi Petugas Covid-19

[7] Hadis Riwayat Muslim

[8] Op.Cit. Dr. Mustafa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugha & Ali Asy-Syarbaji. (2011). Hlm 127

[9] Ibid. 150

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.