Site icon Wacana Zeckry

Cadangan Model Kurikulum Keilmuan dan Keintelektualan

Konsep Muhsinin

Model Muhsinin ini mengambil daripada perkataan al-Quran iaitu Muhsinin pada ayat al-Maidah:93 untuk aplikasikan dalam kehidupan insan agar mendapat pemikiran yang jernih, positif dan kreatif berdasarkan penyucian jiwa atau muhajadah Nafs. Firman Allah :

ثُمَّ اتَّقـَوْا وَآمَنُوا ثُمَّ اتَّقـَوْا وَأَحْسَنُوا والـَّلهُ يُحِبُّ المُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Kemudian mereka bertakwa dan beriman kemudian mereka bertakwa dan mencapai maqam / martabat Ihsan dan Allah mengasihi orang-orang yang mencapai martabat Ihsan.”  (Al-Maidah:93)

Konsep muhsinin ini juga berasaskan kepada pandangan al-harith al-Muhasibi, akal adalah naluri, tabiat dan hakikat semulajadi yang ada pada manusia. Melalui hakikat dan naluri tersebut manusia itu mampu dan bersedia untuk memahami dan menerima segala ilmu pengetahuan yang diajar. Maka, akal diibaratkan dan diumpamakan cahaya atau nur yang dicampakkan dalam hati manusia dengan nur itu mereka memahami sesuatu dan mendapat petunjuk.

Maka tempat terbit adalah bermula dari hati yang suci yang menzahirkan nilai-nilai positif (tabiat fitrah) kepada akal yang dapat mengubah cara seseorang itu berfikir dengan tenang. Akal walau setinggi dan sepintar mana ia tetap bersifat terbatas dan terhad ruang lingkup kemampuannya. Hakikat mengenal kekurangan dan kelemahan ini perlu diinsafi agar apabila seseorang itu makin tinggi dan makin berilmu, ia semakin tawadu` dan bertaqwa, bukan bertambah angkuh. Pemikir Islam seperti Imam Ghazali menyatakan di dalam kitab Ihya `Ulum al-Din, akal memerlukan naqli (wahyu al-Quran dan Sunnah). Maka naqli memerlukan akal. Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah suatu kebodohan, manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu ilahi dan sunnah nabi SAW adalah satu penipuan.

Justeru, penerapan konsep muhsinin ini adalah untuk menyedari insan bahawa ilmu bermartabatkan kepada ( عِلْمُ اليَقِينِ ),  ( عَيْنُ اليَقِينِ dan  ( حَقُّ اليَقِينِ )yang memerlukan kepada metode tahalli, takhali dan tajalli. Oleh itu, sumber sesuatu pengetahuan dan kefahaman adalah berpunca daripada kesucian hati sehingga terzahir kepada akal.

Analogi ini yang sentiasa kita alami dalam pengetahuan seperti berikut:

Kita melihat satu lembaga dari jarak yang jauh. Pada waktu itu, (jarak jauh), kita tidak dapat membezakan adakah ianya manusia, binatang atau benda (tahap ilmu). Setelah kita mendekatinya dan semakin mendekati, maka Lembaga itu lebih jelas itu adalah manusia (tahap ain). Apabila semakin dekat, rupa-rupanya manusia itu adalah sahabat kita dan kita memang mengenali si fulan (Haq). Jadi keadaan ianya adalah si fulan tidak menafikan yang ianya adalah manusia dan keadaannya sebagai manusia tidak menafikan keadaannya sebagai lembaga yang bergerak.

Aspek konstruktif dan realistik

i-         Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.

ii-        Tahalli  – mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji dan positif

iii-       Tajalli  – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.

Pada ketiga-tiga peringkat dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan riadatunnafsi (latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu.

Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)

Kesan daripada kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya:  “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)

Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudah dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar. Ingatlah sabda Rasulullah SAW pada Sahabat-Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari satu medan peperangan:“ Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang besar.” Bila para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus (jismul-latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.

Untuk lebih jelas, disenaraikan peringkat-peringkat nafsu manusia. Sepertimana iman itu sendiri berperingkat-peringkat, begitu juga nafsu. Seseorang yang dapat mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah seterusnya sehingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan kepada perintah Allah.

            Maka, generasi sekarang perlu mengembalikan dengan pengubahan seseorang itu berfikir dan mengaplikasikannya sesuai searus kemodenan yang dihadapi sekarang dengan sifat-sifat terpuji dalam tutur kata dan perbuatan yang disenangi. Oleh yang demikian, kembalikan diri kepada fitrah. Sebenarnya, nafsu dalam Islam amat berkait dengan keadaan emosi. Emosi yang baik dinamakan nafsu yang jahat dan emosi yang baik dinamakan nafsu yang baik.

Dalam spiritual Islam, nafsu bermula dari pengalaman lima deria yang menimbulkan konsep-konsep fikiran seperti sakit, rasa sedap, panas dan dingin yang membawa kepada konsep yang lebih kompleks iaitu tenang, gembira, derita dan lain-lain. Misalnya surah-surah dalam Al-Quran seperti Al-Qiamah dan Ar-Rahman biasa menggambarkan dengan terperinci kenikmatan dan penyiksaan yang bertujuan untuk merangsang pemikiran melalui pengalaman-pengalaman deria.  Tujuannya ialah untuk membuat satu ‘mindset’ yang betul untuk ‘menenangkan’ nafsu kehaiwanan (negatif) yang timbul dalam kehidupan agar kembali tenang (nafsu yang baik) (Az-Zeckry, 2021).

Ini bermakna kawalan dan penyaluran nafsu atau emosi yang negatif perlu dilakukan agar tindakan penting manusia iaitu bagaimana membuat suatu keputusan dalam kehidupan sehari-harian dapat dibuat dengan tepat dan harmoni. Apabila nafsu atau emosi ini dapat dikawal, maka ia perlu dilatih agar sentiasa kekal terkawal (consistense). Inilah timbulnya konsep sabar, puasa, latihan zikir, selawat dan sebagainya akan dirangkum dalam kurikulum yang berkonsep Muhsinin.

Oleh itu, punca perbalahan dalam masyarakat kita adalah disebabkan tidak mengenal diri dan tahap nafsu. Para ulama dulu melalui jalan mujahadah dalam mengenali tingkatan nafsu dari terendah kepada yang paling tinggi dinamakan peringkat nafsu.

Gambaran untuk mengenali tahap nafsu seseorang yang bersumberkan daripada al-Quran dan As-Sunaah yang telah lama dibincangkan oleh ulama-ulama muktabar iaitu :

i-         Nafsu Ammarah

Iman di peringkat paling rendah. Jiwa manusia lebih cintakan kemaksiatan dan benci kebajikan. Dari segi biolektrik banyak kehilangan tenaga yang membawa kelemahan pemikiran, nafsu yang terkawal dan kuasa diri lemah . Mengalami pelbagai gangguan penyakit fizikal dan rohani.

ii-        Nafsu Lawwamah

Manusia berjinak kepada kebajikan dan akhlak mulia tetapi masih melakukan maksiat walaupun pada skala yang kecil. Ada rasa bersalah dan kesal. Biolelektrik tubuh makin pulih.

iii-       Nafsu Mulhamah

Semakin tinggi amalan kebajikan, dapat membuang kekotoran dan fikiran kemaksiatan. Peningkatan biolektrik tubuh lebih tinggi. Badan sihat, ringan, sukar dijangkiti penyakit, semangat tinggi, kreatif dan berlapang dada. Manakala, pada peringkat-peringkat maqam nafsu seterusnya, aliran biolektrik laju dan tinggi, minda dan tubuh sudah memasuki frekuensi gelombang yang mampu mengubah menjadi insan yang mulia, mempunyai kuasa penyembuh, kuasa mempengaruhi melalui kata-kata, niat yang mudah termakbul, firasat tepat dan lain-lainnya.

iv-       Nafsu Mutmainnah

Jiwa yang tenang dan tetap iman walau apa pun keadaannya. Jiwa sudah berserah kepada Allah, sentiasa bersyukur dan tunduk kepada Allah, tidak lupa diri walaupun mendapat nikmat.

v-         Nafsu Radhiah

Manusia tidak gelisah dengan ujian Allah, dan tidak terleka dengan limpahan nikmat Allah. Sudah mencapai kejernihan hati, nafsu sudah dipenuhi dengan perasaan keredhaan kepada segala keputusan Allah.

vi-       Nafsu Mardhiah

Pada peringkat orang yang soleh dan solehah. Segala percakapan dan perbuatan mereka di redhai Allah. Memperlihatkan akhlak yang mahmudah (terpuji), penguasaan terhadap nafsu dan perasaan dan jiwa yang mantap.

vii-      Nafsu Kamil

Nafsu yang sempurna yang dimiliki oleh para nabi dan rasul.

Misi model Muhsinin

Pada suatu masa dulu mereka yang mencapai kedudukan nafsu tertinggi ini diambil kira dalam pemilihan sebagai pemimpin utama dalam apa bidang sekalipun. Kini tahap nafsu ini dinamakan darjah-darjah kecerdasan emosi iaitu EQ (Emotional Quotient) atau dinamakan Emotional Intelligence. Para pengkaji barat percaya bahawa EQ atau Emotional Intelligent ialah satu kuasa yang menentukan kejayaan hidup. Malah dalam buku Napoleon Hill yang sangat popular mengatakan kecerdasan emosi yang sangat tinggi dinamakan Infinite Intelligence yang dikatakan mempunyai kuasa mencipta sebagai rahsia kejayaan kebanyakan tokoh-tokoh di dunia (Napoleon Hill, 2014).

Daripada kajian saya, kedudukan nafsu ini amat berkait dengan pencapaian frekuensi gelombang otak seseorang individu. Pada tahap-tahap frekuensi gelombang manusia berlaku penghasilan tisu-tisu baru, pembahagian kromosom (struktur pewarisan), ketenangan dan kreativiti.

Umat Islam terdahulu, dikenali sebagai Salafus Soleh telah menunjukkan kesungguhan dan istiqamah mereka dalam melakukan amalan penyucian diri. Amalan orang-orang alim dan soleh untuk mengukuhkan ketaqwaan kepada Allah melalui proses penyucian jiwa atau rohani, kerana roh kita ini yang akan mengadap Allah kelak.

Seterusnya, kita membina imaginasi positif iaitu yang merupakan satu ‘mind set’ (menetapkan niat) agar minda difokuskan kepada satu tujuan yang khusus dalam kehidupan ini iaitu ketenangan dan keharmanion. Misalnya di dalam Al-Quran, banyak pendekatan ‘mind set’ digunakan untuk meningkatkan keinginan dan keazaman seseorang.

Sebagai contoh, satu amalan harian popular yang dianjurkan setiap hari ialah membaca surah Al-Waaqiah. Fadhilat membaca surah ini setiap hari akan dipermudahkan jalan rezekinya. Walau bagaimanapun, apabila mengamati makna surah, tiada satu pun diberi formula atau rahsia kejayaan dalam perniagaan. Hampir keseluruhan isi kandungan surah tersebut menggambarkan kenikmatan syurga secara terperinci.

Sebaliknya, setiap kali pembacaan dilakukan dengan tenang dan penuh penghayatan, didapati perasaan atau emosi akan dirangsang menyakini nikmat-nikmat syurga yang dinyatakan. Keinginan untuk mencapai syurga meluap-luap, apatah lagi surah yang indah sebutan dan bunyinya. Jadi, dimana formula mendapat rezeki di sini? Kuncinya ialah imaginasi dan rasa (perasaan). Keadaan ini yang dipanggil pakar-pakar minda sebagai peningkatan kecerdasan emosi (EQ) akan berlaku. Minda jadi positif dan apa yang dikatakan sebagai hukum sains yakni asbab-musabab ( The Law of Attraction) akan dipenuhi (Michael J. Losier, 2003).

Hukum tersebut akan mengarahkan alam semesta agar menjadikan pemikiran atau imaginasi positif ditukar kepada kejayaan hidup, sebab itulah semua doa makhluk, Allah akan diperkenan juga. Cuma yang berbeza sama ada lambat atau cepat. Cuma tekniknya yang perlu diperbetulkan dan tepat untuk mendapat hasil yang pantas. Ibarat menangkap ikan. Mereka yang menggunakan peralatan GPS dan pukat besar yang ditunda oleh bot berkuasa tinggi sudah tentu mendapat hasil yang lebih.

Kesimpulan

Hasil perbincangan ini dapat dirungkaikan bahawa punca pertikaian kepelbagaian aliran disebabkan masyarakat Melayu dahulu terpengaruh dengan kepelbagaian kepercayaan sehingga kini. Walaupun kepelbagaian aliran pemikiran hanya metode yang membezakan dan pendekatan masing-masing yang dapat menarik minat majoriti umat Islam di Malaysia.

Islam adalah agama yang suci yang mencorak adalah penganutnya kalau cantik, gemilang dan berkilau, maka baiknya dan sejahtera kesemuanya. Sekiranya berlaku kerosakan atau memburukkan imej itu bukan dari Islam tetapi dari penganutnya. Jadi, bukan semua teknologi atau peradaban perlu ditinggalkan kerana antara tujuan Islam adalah untuk memurnikan dan membersihkan fahaman atau teori yang batil.

Perbincangan ini juga telah menyentuh mengenai ketidakseimbangan penguasaan ilmu fardhu `ain dan fardu kifayah dalam kalangan Islam masa kini yang menyebabkan keilmuan Islam lain terbantut seperti menguasai pemikiran Islam, perbandingan agama, falsafah dan sebagainya. Kemudian, perbincangan ini telah membincangkan cabaran-cabaran dalaman dalam perkembangan ilmu Islam seperti permasalahan kefahaman, kemodenan dan pendekatan dakwah yang diamalkan masa kini yang lebih dekat kepada dunia maya.

Oleh itu, hasil perbincangan ini juga dapat membuka ruang kepada semua pihak turun ke lapangan untuk memberi kefahaman Islam yang lebih efektif, begitu juga kurikulum pendidikan perlu kepada perubahan yang sesuai dengan masa dan zaman.                       

Rujukan

Az-Zeckry. (2021). Analisis: Bid`ah & Sunnah (1 ed.). Al Ahlam Resources.

Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah & Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz. (2020, Juni 9). Apakah Yang Sebenarnya Kita Mahu Daripada Dakwah? Bicara Prof. Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid dan Dr Mohamad Kamil Hj Ab Majid. Zoom Video Communications, Inc. https://www.facebook.com/390766194642182/videos/1312135658976032

Farid Mat Zain. (2007). Islam di Tanah Melayu Abad ke-19. Karisma Publication Sdn Bhd.

Idris Awang. (2009). Penyelidikan Ilmiah Amalan Dalam Pengajian Islam. Kamil & Shakir Sdn Bhd.

Kembara Bahasa. (2011). Kembara Bahasa: Islam dan Cabaran Masa Kini: Aspek Ilmu dan Pendidikan. http://kembarabahasa.blogspot.com/2011/10/islam-dan-cabaran-masa-kini-aspek-ilmu.html

Michael J. Losier. (2003). Law Of Attraction. PTS Professional Pub.

Mohd Fadil, A. (2011). Sekelip Cahaya. Al Baqir Enterprise.

Mohd Kamil Ab Majid. (2017). Skop, Sejarah dan Aliran Pemikiran Islam. Jurnal Usuluddin, Universiti Malaya, 111.

Mohd Kamil Ab Majid. (2018). Skop, Sejarah dan Aliran Pemikiran Islam. Universiti Malaya, 111.

Muammar Ghaddafi Hanafiah. (2019). Isu Membidaahkan Amalan Masyarakat Melayu: Analisis Wacana Media Massa (Accusations of Heresy Against the Practice of Malay Community: A Mass Media Discourse Analysis). Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication,Universiti Kebangsaan Malaysia, 35(2), 68–86. https://doi.org/10.17576/JKMJC-2019-3502-05

Muhammad Mudarris Nadzir. (2006). Mengusik Keheningan Hakekat. Lajnah Ta`lif wa Nasyr Nahdlatul Ulama (LINU), NUASA.

Napoleon Hill. (2014). Think and Grow Rich. PTS Publisching House Sdn Bhd.

Nor Afzan Mohamad Yusof. (2019, Mei 14). Perkukuh ilmu kalam, hadapi cabaran akidah, pemikiran moden. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/05/563677/perkukuh-ilmu-kalam-hadapi-cabaran-akidah-pemikiran-moden

Prof. Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid, Dr Mohamad Kamil Hj Ab Majid, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, & Datuk Seri Mohd Annuar Zaini. (2020, Juni 2). Realiti Dakwah Semasa Di Malaysia. Zoom. https://www.facebook.com/390766194642182/videos/256152445621580

Rahimin Affandi Abdul Rahim, Paizah Ismail, & Nor Hayati Mohd Dahlal. (2009). Ijtihad Dalam Institusi Fatwa Di Malaysia: Satu Analisis. 28.

Shamrahayu A.Aziz. (2017, November 9). Cabaran Utama Umat Islam Di Malaysia. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/sumber/media/penerbitan/suara-pemikir/2153-cabaran-utama-umat-islam-di-malaysia

Exit mobile version