1.1. Sejarah Sukan Paralimpik

Sejarah sukan paralimpik bermula di Burylesburg, England pada tahun 1948 yang mana disertai oleh orang yang mengalami kecederaan tulang spina. Sukan tersebut diilhamkan semasa Sukan Olimpik berlangsung di London pada ketika itu.Sukan paralimpik tersebut diadili oleh Sir Ludwing Guttman. Beliau digelar Bapa Sukan Paralimpik atau Bapa Sukan Kurang Upaya. Sukan Paralimpik yang pertama berlangsung di Kota Rome,Itali pada tahun 1960.Sebanyak 23 buah Negara telah mengambil bahagian dan lebih kurang 200 orang atlet yang menyertai sukan tersebut.Sejak itu, Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik bergerak bersama iaitu diadakan setiap empat tahun sekali di bandar yang sama.Sebelum tahun 1984, ia dikenali sebagai Olimpik untuk orang kurang upaya dan selepas tahun 1984, namanya ditukar menjadi Sukan Paralimpik. Pada tahun 2001,International Olympic Commite (IOC) dan International Paralympic Commite (IPC) telah menandatangani satu perjanjian di mana setiap bandar yang ingin menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012, hendaklah juga bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Paralimpik.

1.2. Sukan Paralimpik di Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia.

Sukan paralimpik di Malaysia bernaung di bawah kelolaan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). Sebelum itu, Majlis Sukan Malaysia bagi orang kurang upaya telah ditubuhkan pada tahun 1989.Pada tahun 1996,nama majlis ini ditukar kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). Majlis ini merupakan sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang mengawal dan mengelola sukan kebangsaan untuk semua golongan kurang upaya.MPM juga adalah ahli kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang beribu pejabat di Bonn,Jerman serta ahli kepada Far East and South Pacific (FESPIC) yang beribu pejabat di Oita, Jepun. Selain itu,MPM juga menerajui dua badan sukan paralimpik Asia iaitu Asean Para Sports Federation (APSF) dan IPC East Asia Paralympic Game Commite (IPC-EAPC).MPM ialah sebuah badan yang diiktiraf dan disokong penuh oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat serta Kementerian Belia dan Sukan.Selain itu, MPM juga merupakan badan yang sah untuk mewakili Negara dalam kejohanan Sukan Paralimpik dan FESPIC serta semua aktiviti sukan yang berkaitan dengan dua badan induk tersebut. MPM juga berupaya mewujudkan peluang kepada semua OKU dalam bidang ā€˜Sukan untuk Semuaā€™ dan ā€˜Sukan Cemerlangā€™ pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat, aktif dan berkualiti dalam kalangan OKU.Majlis Paralimpik Malaysia diwakili oleh Pertubuhan Sukan Kebangsaan OKU yang meliputi 6 kategori kurang upaya iaitu, cacat penglihatan, cacat pendengaran, cacat anggota, terencat akal, spastik dan orang kerdil.

1.3 Penglibatan dan Pencapaian Atlet Paralimpik Negara.

Seperti atlet-atlet normal yang lain,atlet paralimpik Negara kita juga menyertai kejohanan sukan yang diadakan di dalam Negara mahupun peringkat antarabangsa. Negara kita, melalui Majlis Paralimpik Malaysia akan menghantar atlet paralimpik untuk bersaing dalam kejohanan sukan seperti Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia dan Sukan Paralimpik yang diadakan 4 tahun sekali. Pencapaian atlet negara kita dalam sukan-sukan tersebut juga amat membanggakan kerana atlet negara boleh mendapat kutipan pingat yang tinggi serta mampu berada di rangking yang baik berbanding dengan atlet normal. Sebagai contoh, dalam kejohanan Sukan Para ASEAN V pada tahun 2009,atlet negara kita berjaya memperoleh 94 pingat emas,81 pingat perak dan 71 pingat gangsa dan berada pada kedudukan kedua dalam senarai negara ASEAN yang menyertainya. Atlet Negara juga cemerlang pada edisi pertama Sukan Para Asia di Guangzhou, China apabila berjaya memperoleh 9 pingat emas,13 pingat perak dan 23 pingat gangsa. Ini menunjukkan bahawa atlet paralimpik juga mampu memberikan sumbangan berharga kepada negara serta telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

1.4 Langkah-langkah yang boleh diambil untuk membangunkan Sukan Paralimpik di Malaysia.
Kejayaan atlet-atlet paralimpik negara dalam sukan yang disertai telah mengharumkan nama Malaysia dalam sukan itu di peringkat antarabangsa haruslah dihargai dan dibanggakan oleh masyarakat. Oleh itu,untuk meneruskan kecemerlangan atlet-atlet paralimpik negara di samping menghargai kejayaan mereka,kerajaan haruslah mengambil langkah-langkah tertentu untuk membangunkan lagi sukan paralimpik di negara ini. Antara langkah langkah yang boleh diambil ialah:

I. Membina Pusat Pembangunan Sukan Paralimpik.

Kerajaan hendaklah menyediakan satu pusat pembangunan yang dikhaskan untuk OKU supaya mereka mempunyai tempat untuk berlatih sukan serta tempat untuk beriadah.Pusat pembangunan ini hendaklah lengkap dengan kemudahan sukan, terutama kemudahan yang diperlukan oleh OKU semasa berlatih ataupun beriadah. Contohnya, pada tahun 2009,kerajaan telah memulakan pembinaan sebuah Pusat Pembangunan Sukan Paralimpik yang lengkap dengan kemudahan seperti asrama dan kemudahan gelanggang untuk OKU.Pusat Pembangunan Sukan Paralimpik yang bernilai RM40 juta itu dibina berhampiran dengan Kompleks Sukan Kg.Pandan.

II. Melantik jurulatih bertauliah untuk melatih atlet-atlet paralimpik.

Sementara itu,untuk melahirkan seorang atlet paralimpik yang berjaya, Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Paralimpik Malaysia hendaklah melantik jurulatih yang benar-benar mampu dan layak untuk melatih OKU untuk menjadi seorang atlet yang berjaya. Jurulatih yang bertauliah diperlukan kerana bukan senang untuk melatih seorang OKU untuk menjadi atlet kerana ketidaksempurnaan fizikalnya. Dengan adanya jurulatih yang bertauliah maka tidak mustahil untuk melahirkan atlet paralimpik yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

III. Mewujudkan Pusat Kecemerlangan Atlet Paralimpik di setiap negeri.

Selain itu,kerajaan juga perlu mewujudkan satu pusat kecemerlangan atlet paralimpik di setiap negeri supaya program sukan yang dirancang untuk OKU dapat dijalankan dengan lebih sistematik. Dengan adanya pusat kecemerlangan ini maka setiap program sukan untuk OKU di peringkat negeri masing-masing dapat dijalankan. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan ialah pemilihan atlet untuk mewakili negeri masing-masing ke sukan paralimpik peringkat kebangsaan. Majlis Paralimpik Malaysia juga boleh mengadakan ceramah dan seminar untuk membentuk jati diri para OKU di pusat kecemerlangan ini.

IV. Mengiktiraf sumbangan atau kejayaan yang diraih oleh atlet paralimpik.

Pihak kerajaan juga boleh memberikan pengiktirafan kepada semua atlet paralimpik yang berjaya memperolehi pingat dalam dalam Sukan Paralimpik,Sukan Para Asia,Sukan Para ASEAN melalui skim imbuhan kemenangan, rumah, peluang pekerjaan dan sebagainya.Kerajaan juga boleh mewujudkan program kebajikan demi kesejahteraan dan kesentosaan atlit dan pegawai termasuk latihan dan pendidikan dan penambahan pendapatan. Pengiktirafan seperti ini pasti akan membakar lagi semangat para atlet paralimpik untuk bersaing dalam sukan yang mereka sertai.

V. Memantapkan dan memperkasa struktur sukan paralimpik Malaysia.

Membangun dan memperkasakan struktur sukan paralimpik Malaysia di peringkat negeri,kebangsaan dan antarabangsa dengan masing-masing mengambil peranan dan tanggungjawab secara jelas, fokus, relevan dan berkesan bagi kepentingan dan kemajuan OKU,masyarakat,bangsa dan negara.

VI. Memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada OKU.

Kerajaan juga harus memberikan perhatian penuh kepada golongan OKU ini dengan memberikan mereka ruang dan peluang untuk mengasah dan memanfaatkan bakat mereka terutamanya dalam bidang sukan.Sebagai contoh,kerajaan boleh mengadakan karnival sukan untuk OKU bagi menarik minat para OKU untuk melibatkan diri dalam program tersebut.Selain itu,golongan OKU yang layak juga boleh diberikan peluang untuk menerajui atau memimpin badan-badan tertentu yang berkaitan dengan hal ehwal OKU.

VII. Memberikan pendidikan percuma kepada OKU yang terlibat dalam sukan.

Bagi menghargai lagi golongan OKU ini,pihak kerajaan boleh memberikan pendidikan secara percuma kepada OKU yang terlibat dalam sukan.Antara pendidikan yang boleh diajar ialah pengetahuan Sains Sukan. Pengetahuan atlet dalam sains sukan akan membantu mereka dalam mengembangkan prestasi mereka. Sementara itu,bagi atlet yang berjaya memenangi pingat dalam kejohanan sukan antarabangsa,kerajaan boleh memberikan biasiswa kepada anak ā€“anak atlet OKU untuk membiayai pelajaran mereka.

VIII. Memberikan sokongan dan galakan kepada golongan OKU dalam usaha mereka menonjolkan kebolehan masing-masing.

Selain daripada bantuan dan intensif dalam bentuk kewangan dan material,mereka juga amat memerlukan sokongan moral serta galakan daripada masyarakat.Justeru itu,kita sebagai masyarakat haruslah memberikan sokongan serta galakan berterusan kepada golongan OKU ini agar mereka berani tampil untuk menonjolkan bakat mereka.Persepsi buruk masyarakat terhadap golongan OKU memberikan kesan negatif kepada mereka,menyebabkan mereka malu untuk menunjukkan kebolehan mereka.

Cabaran atlet paralimpik di Malaysia.

Pada pandangan saya,antara cabaran yang dihadapi oleh para atlet paralimpik negara ialah,mereka masih kekurangan tempat untuk berlatih, berbanding dengan atlet biasa.Ini merupakan satu cabaran bagi mereka kerana kekurangan tempat latihan mengakibatkan mereka tidak dapat dapat membuat persediaan dengan cukup. Saya juga melihat golongan OKU di negara ini masih belum berani untuk menonjolkan kebolehan mereka.Maksudnya,mereka masih malu untuk ā€œkeluarā€ kerana takut pada persepsi masyarakat terhadap keadaan fizikal dan kemampuan mereka.Ini merupakan cabaran utama golongan tersebut untuk memajukan diri mereka dalam bidang sukan dan seterusnya menjadi atlet kebangsaan. Selain itu,tanggapan golongan OKU yang mengatakan bahawa mereka tidak perlu bersukan kerana keadaan fizikal yang tidak mengizinkan juga merupakan cabaran kerana kerana mereka juga patut bersukan untuk kesihatan badan dan seterusnya berpeluang untuk menjadi atlet paralimpik. Selain itu, kekurangan jurulatih bertauliah untuk atlet paralimpik juga merupakan satu cabaran bagi atlet-atlet paralimpik kerana mereka tidak dapat mendapat latihan yang cukup dan teratur sebelum menyertai sesuatu kejohanan sukan.Jadi,adalah cabaran bagi para atlet paralimpik untuk berlatih dengan cukup walaupun kekurangan jurulatih.

Kesimpulan.

Kesimpulanya, atlet paralimpik juga mampu mencapai kejayaan dalam sukan walaupun tidak sempurna fizikalnya malah lebih berjaya daripada atlet-atlet normal yang lain.Ini membuktikan bahawa atlet paralimpik juga mampu mengangkat dan mengaharumkan nama negara dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa.Oleh itu,wajarlah kerajaan memberikan peruntukan kewangan untuk membangunkan lagi industri sukan bagi golongan OKU.Selain itu,Majlis Paralimpik Malaysia juga harus meningkatkan lagi usaha untuk menarik minat golongan OKU untuk melibatkan diri dalam sukan serta membuka ruang dan peluang yang luas untuk golongan ini mengasah bakat mereka dalam bidang sukan.Sementara itu,atlet paralimpik juga harus mempunyai semangat dan keyakinan diri yang tinggi untuk menangkis pandangan negatif masyarakat terhadap mereka. Akhir sekali,banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk membangunkan sukan untuk golongan OKU di negara ini. Usaha-usaha yang telah dilakukan sebelum ini hendaklah diteruskan untuk kesinambungan usaha yang bakal dilakukan. Masyarakat juga harus sedar dan peka terhadap kemampuan dan bakat yang dimiliki oleh golongan OKU serta tidak memandang rendah terhadap kebolehan golongan ini sebaliknya memberikan mereka sokongan,galakan dan bantuan untuk memperbaiki kehidupan mereka.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

One thought on “Pembangunan Sukan Atlet Paralimpik di Malaysia.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.