Menurut Dr. Abdul Rahman (n.d), mengatakan sesungguhnya musuh-musuh kita adalah ‘Musuh Aqidah’ mereka lebih banyak mengetahui daripada apa yang diri kita tahu dan mereka mengetahui peninggalan (pengetahuan) yang ada pada kita amat lemah apa yang kita tahu. Manakala, Dr.Yusuf Al-Qaradhawi (2014) menukilkan daripada Imam Hasan Al-Banna : “Mengenali, mengesakan, dan menyucikan Allah S.W.T adalah akidah Islam yang paling suci”. Kita menyakini semua ayat dan hadith sahih yang menyebut tentang sifat Allah SWT dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.
Namun, dunia ini tidak sunyi daripada pelbagai cerita yang diusahakan oleh musuh Islam bagi melemahkan umat Islam dan membantut perkembangan dakwah Islam sejak sejarah terutusnya para rasul sehingga ke hari ini, mereka tidak senang melihat Islam terus dijulang di muka bumi ini.
Tulisan ini akan dimulakan dengan pengertian Orientalis dan fakta sejarah kewujudan Orientalis yang mesti ketahui oleh umat Islam. Selain perkaitan matlamat utamanya dalam memesongkan dan menyesatkan akidah orang Islam. Selaras dengan itu, tumpuan kepada beberapa dakwaan golongan Orientalis dalam persoalan tauhid dalam Islam yang dikenalpasti untuk mengelirukan pegangan umat Islam selama ini.
Disamping itu, penulis menjelaskan dengan hujah yang dapat menolak dakwaan mereka bagi memperteguhkan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT terhadap ancaman halus mereka.
Di akhir tugasan ini, penulis membuat kesimpulan bahawa peranan umat Islam dalam mempertahakan akidah dari musuh Islam mesti dijalankan dengan usaha bersungguh-sungguh dan istiqamah mengikut perkembangan dunia semasa agar akidah generasi akan datang terjamin suci dan terpelihara sebagaimana diturunkan.
- PENGERTIAN ORIENTALISME
Menurut Willian Montgomery Watt (2008) mengatakan perkataan Orientalist dalam Bahasa Inggeris wujud dalam Oxford English Dictionary pada tahun 1815. Manakala Orientalisme adalah pengkajian dan pembelajaran tentang kebudayaan dan peradaban ‘Orient’‘ iaitu Timur (Asia) yang meliputi pengkajian tentang Bahasa, Kesusasteraan, Sejarah dan Agama.
Hakikatnya, pengkajian bukan hanya kajian yang menumpukan tentang peradaban-peradaban besar seperti kebudayaan Cina dan India, juga bukan hanya kajian pada unit-unit yang lebih kecil, malahan Orientalisme mencakupi kajian tentang peradaban-peradaban sebelum itu seperti peradaban Mesir dan lembah Tigris-Eufrat.
Selanjutnya, Mohd Rumaizuddin (2013) menjelaskan, orientalisme diertikan dengan ilmu tentang ketimuran atau pengajian tentang dunia Islam orang di Timur manakala orientalis adalah orang yang pakar dalam bidang pengajian ketimuran atau pengajian Islam.
Maksudnya Orientalisme adalah kaji akademik yang dilakukan oleh para ilmuan Barat mengenai Islam dan kaum Muslimin dari seluruh aspeknya termasuk akidah, syariah, kebudayaan, peradaban, sejarah dan manusia bagi penduduk di Timur meliputi negara Asia Tengah, Barat dan Tenggara.
Namun, Hamid Fahmy (2010) menyebut istilah orientalis muncul terlebih dahulu daripada istilah orientalisme berdasarkan A.J. Arberry (1905-1969) dalam kajiannya menyebutkan istilah orientalis muncul tahun 1638, yang digunakan oleh seorang anggota gereja Timur (Yunani).
Menurutnya orientalis adalah “orang yang mendalami berbagai bahasa dan sastera dunia timur.” Pada tahun 1691, istilah orientalis digunakan oleh Anthony Wood untuk menyebut Samuel Clarke sebagai “orientalis yang cerdas”, kerana mengetahui beberapa bahasa Timur.
Manakala, Edward Said (1979) mendifinisikan “Orientalisme adalah bidang pengetahuan atau ilmu yang membincangkan dunia timur secara sistematik sebagai perkara yang dapat dipelajari, diungkap, dan diaplikasikan. Dalam konteks Islam dunia Timur yang menjadi bahan kajian orientalis yang terpenting adalah Islam.
Anhar Burhanuddin (2008), pula menerangkan bahawa Orientalis adalah kumpulan sarjana-sarjana Barat, Yahudi, Kristian, Atheis dan lain-lain yang mendalami bahasa-bahasa Timur (Bahasa Arab, Parsi, Ibrani, Suryani dan sebagainya ) paling utama mereka mempelajari bahasa Arab secara mendalam. Kajian tersebut mereka gunakan untuk memasukkan idea-idea dan fahaman bathil dan mengelirukan ke dalam ajaran Islam dan ajaran Aqidah agar dakwah Islam merosot dan berkurangan pengaruh terhadap umat Islam.
Selanjutnya, Anhar Burhanuddin (2008) menjelaskan bahawa Perkataan Orientalis dalam bahasa Arab ‘al istisyraaq’ ertinya mengarah ke Timur dan memakai pakaian masyarakatnya. Para Orientalis (al Mustasyriqun) bermaksud mendalami bahasa-bahasa Timur sebagai langkah untuk mengarah ke timur. Masing-masingnya mempelajari satu bahasa atau lebih bahasa orang Timur sehingga mereka pakar dalam Bahasa-bahasa yang dipelajarinya.
2.1 SEJARAH KEMUNCULAN DAN MATLAMAT GERAKAN ORIENTALIS
Menurut, Mohd.Muhiden (n.d), Meskipun istilah ‘Orientalis’ secara formalnya baru digunakan pada abad ke 18, tetapi ia mempunyai pertalian dengan latar belakang psiko-historis dari peringkat awal kelahiran Islam yang berdepan dengan golongan agamawan Yahudi-Kristian.
Pertentangan umat Kristian dan juga Yahudi dapat dilihat dari dendam kesumat dan konflik dari mereka seperti gambaran negatif mereka terhadap Islam. Peperangan menguasai Sepanyol dan beberapa siri peperangan salib adalah rentetan dari dendam kesumat mereka terhadap Islam. Di mana serangan yang dilakukan oleh tentera salibiyyin ke atas negara-negara Islam adalah disebabkan dua faktor utama, iaitu faktor agama yang taksub membuta tulis dan faktor politik.
Menurut Mustafa al-Siba`i (1985) Pada anggapan mereka bumi ini hanya layak didiami oleh orang kristian sahaja. Berikutan itu proses pembersihan bumi ini dari didiami oleh orang-orang Islam perlu dilakukan. Selain itu, serangan mereka juga didorang oleh faktor politik dan penjajahan. Di mana kekayaan hasil bumi, kemajuan dan ketenangan yang dimiliki di negara-negara Islam pada masa itu khususnya negara Syam dan sekitarnya sedikit sebanyak mendorong mereka untuk menjajah negara-negara tersebut. Kegiatan penjajahan ini dipelopori oleh British dan Perancis dan diikuti oleh kuasa penjajah yang lain seperti Jerman, Amerika dan lain-lain. Tetapi kehendak Allah SWT mengatasi segalanya, di mana setelah peperangan salib yang berterusan selama dua ratus tahun berakhir dengan kekalahan dan kekecewaan kepada tentera salibiyyin.
Menurut Mohd Fauzi (2009), Sejarah kemunculan Orientalisme dikaitkan dengan kesungguhan orang-orang Kristian untuk mengkaji Islam hasil cetusan ketidakpuasan hati mereka terhadap Islam selepas peperangan Salib yang berlaku dalam tempoh yang amat panjang. Disebabkan peperangan itulah sumber inspirasi dan dorongan mereka yang kuat kepada Kristian Eropah untuk mempelajari Islam, pengajaran dan adat istiadatnya.
Abad ke-19 dan ke-20 dianggap sebagai zaman keemasan Orientalisme. Ini kerana ketika itu para Orientalis secara sepenunya menerajui gerakan akademik dan penerbitan ilmiah mereka sendiri. Perancis telah menumpukan sepenuh perhatian untuk menjadikan Paris sebagai pusat pengajaran Bahasa Arab yang utama dan menjadi tempat tumpuan pelajar dan ulama untuk mempelajari ilmu.
Para sarjana Orientalis melakukan beberapa cara dan kaedah untuk menyebarkan pemikiran mereka sama ada menerusi penulisan buku, ensiklopedia, penganjuran seminar dan persidangan, penubuhan institusi kajian, pengeluaran majalah dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, Menurut Anhar Burhanuddin (2008) setelah mereka menjadi pakar dalam bahasa orang timur yang mereka kuasai, mereka mendalami bermacam-macam ilmu pengetahuan, kesenian, kesusasteraan, kepercayaan masyarakat yang mempunyai bahasa tersebut. Maka bahasa Arab yang menjadi sasaran utama dari tujuan para Orientalis ini.
Kini, telah ramai yang mempelajari bahasa Arab sehingga menjadi pakar dalam ilmu bahasa seperti Nahu, Soraf, Adab dan Balaghah. Kemudian, mereka mulai menjurus kepada ilmu-ilmu Islamiah seperti Al-Quran, Hadis, Aqidah, Syariah dan sebagainya sehingga mereka dapat menokok tambah dan memusnahkan kebenaran asal dan memasukkan secara halus kebatilan-kebatilan mengikut logik akal mereka untuk memalingkan umat Islam dari agamanya yang menunjukinya ke jalan kemajuan dan kemuliaan. Maka tercapailah agendanya untuk memesongkan ajaran Islam sebenar dan berjaya mempengaruhi dan melenyapkan kebudayaan negara-negara Islam tanpa disedari.
Oleh itu, menurut Mohd Fauzi (2009) matlamat utama Orientalisme adalah untuk menyekat dan memusnahkan ajaran Islam sebenar serta merencatkan perkembangan dakwah Islamiah dengan medium gerakan Kristianisasi dan Orientalisme. Dua gerakan ini mempunyai tujuan yang sama iaitu merosakkan binaan Aqidah, Syariah yang mengatur kehidupan dan Akhlak Islam dengan memberi gambaran yang salah dan meragukan tentang hakikat perkara yang haq. Bezanya ialah gerakan Kristianisasi ditujukan kepada kalangan orang-orang Islam awam, manakala Orientalisme difokuskan kepada kalangan sarjana-sarjana Islam dengan berselindung di bawah syiar penyelidikan ilmiah.
Selain daripada berlaku pergeseran politik dan agama antara Islam dan Kristian yang Palestin. Ali Romdhini (2013) menjelaskan bahawa menurut beberapa sumber, kemuncak permusuhan politik yang berkecamuk antara umat Islam dan Kristian selama pemerintahan Nuruddin Zanki dan Salahuddin Al Ayyubi.
Oleh kerana, kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh bala tentara Kristian, maka semangat membalas dendam tetap membara selama berabad-abad. Maka, wujud juga faktor kolonialisme. Ini bermakna, Orientalisme muncul bermatlamatkan atas kepentingan penjajahan Eropah terhadap negara-negara Arab dan Islam di Timur, Afrika Utara dan Asia Tenggara. Seterusnya orang Eropah juga berkepentingan untuk memahami adat istiadat dan agama bangsa-bangsa jajahan demi memperkukuhkan kekuasaan dan dominasi ekonomi mereka pada bangsa-bangsa terjajah.
Menurut Edward W Said (1979), Orientalisme tidak hanya terletak mempelajari budaya sahaja bahkan menguasai politik dan budaya negara tempatan.
Anhar Burhanuddin (2008) menerangkan bahawa bukti yang jelas sekarang kaitan Orientalis dengan Penjajahan adalah Orientalis sangat pesat di Eropah, Amerika dan negara-negara yang ada kepentingannya dengan negara Timur umumnya dan negara-negara Islam khususnya.
Maka, atas kesempatan yang terbuka luas bagi Orientalis di negara-negara jajahan digunakan untuk mengendalikan peperang di negara-negara Timur dalam segala bentuk yang dikenali zaman moden samada perang bersenjata, memecah belah umat Islam melalui media, batu api terhadap orang Islam, perang ekonomi, perang politik atau kebudayaan dan perang minda.
Hakikatnya, ikatan Orientalis dengan penjajah dan tali barutnya menjadikan Orientalisme sentiasa meningkatkan usahanya dalam menyesatkan umat Islam dan memusnahkan Dakwah Islamiyah. Mereka memperalatkan semua segi demi tercapai hasratnya.Oleh kerana agama Islam yang Maha Suci inilah satu-satunya penghalang besar bagi mereka dalam menghadapi perluasan penjajahan dan perhambaan kepada selain Allah.
- DAKWAAN ORIENTALIS TERHADAP PERSOALAN TAUHID DALAM ISLAM
3.1 Golongan orientalis sebenarnya terperangkap dalam imaginasi dan pemikiran mereka. Persoalan ketuhanan dalam Islam adalah Samiyyat iaitu perkara-perkara yang ditetapkan jalannya melalui Al-Quran atau As-Sunnah dan akal tidak dapat menjangkau kerana bersifat lemah juga mengakui bahawa manusia adalah dicipta.(Al-Qurtuby)
Menurut Ismail (1997) Setiap orang memperhatikan kalimah ‘Allah’ dalam Al-Quran, maka akan menemui Allah itu sebagai Yang Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana,Maha Berkehendak dan sifat-sifat yang layak bagiNya. Begitulah pengaruhNya yang akan menyebabkan manusia mengkhayalkan bentuk dan rupa apapun juga bagi Zat.
Justeru itu maka, muncullah imaginasi sebagaimana dakwaan menurut S.M Zweimer, menyatakan konsep Allah SWT yang dinyatakan dalam Al-Quran sebagai konsep pengesaan Tuhan yang mandul (Barren monotheisme of Islam).
Oleh itu, dakwaan tersebut adalah satu penghinaan kepada Allah SWT untuk memesongkan kebenaran dengan membuat penyamaan Tuhan dengan makhluk, kerana perkataan mandul itu adalah sifat yang ada pada makhluk.
Menurut Ismail (1997) Apabila kita telah mengenali sifat-sifat ketuhanan yang selayakNya maka,kita akan menemukan ayat bahawa Allah itu “ Tiada sesuatu pun bandinganNya”(Assyura :11) dan pengertian ini akan memainkan peranannya dalam jalan fikiran manusia hingga pengertian yang digambarkan sama bentuknya seperti makhluk.
Oleh kerana, dalam ajaran Kristian sering menggunakan perkataan ‘diperanakkan’ sering diungkapkan sebagaimana contoh dalam petikan “ Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengurniakan anak yang diperanakkan-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya pada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal”. (Bible-John 3:16-AV).
Menurut Ahmad Deedat (2001) Tiada seorang pendeta pun mengajar “ Satu-satunya anak yang diperanakkan !” ketika mengajari calon pemeluk agamanya. Pernyataan ‘diperanakkan” itu telah dihilangkan oleh para pengubah Bible pada waktu sekarang tanpa permintaan kemaafan.
Mereka sekadar berdiam diri dan tidak menarik perhatian pembacanya terhadap kehilangan kata secara sembunyi yang telah dilakukan oleh mereka.
Menurutnya lagi, Perkataan diperanakkan yang dianggap menghina Tuhan ini adalah merupakan salah satu pelbagaian penambahan di dalam “kitab suci Bible”. Tuhan Yang Maha Kuasa sendiri telah mengutuk penghinaan ini dalam istilah yang keras setelah perubahan tersebut dilakukan.Tuhan tidak menunggu selama 2000 tahun agar para sarjana Bible menyatakan kecurangan tersebut.
Firman Allah : Dan mereka berkata : Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar, hampir-hampir langit pecah kerana ucapan tersebut dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh. Kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) Anak. (19:88-92)
Manakalah Abu Al-Baqir (2011) menukilkan daripada Syeikh Mukhtar Ali Ad-Dasuqi tentang takrif kufur ialah : Bahawa menisbahkan kepada Allah- Perkara yang Ia Maha Suci daripada perkara tersebut sepeti berbilang-bilang, bagaimana, bertempat dan berzaman, mempunyai lawan atau sejenis, menyerupai makhluk, mempunyai sekutu, pasangan, anak dan setiap yang terlintas di dalam jiwamu maka Allah menyalahi dengan demikian itu.
Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa konsep keesaan Tuhan dalam Islam adalah mandul adalah sifat yang ada pada makhluk dan tidak logik akal kerana menyamakan sifat khalik dengan makhluk. Maka, jika kita benar-benar memahami pentakrifan syirik yang ringkas kita sudah terselamat menurut Abu Al-Baqir (2011) Syirik ialah dijadikan(diiktikadkan) kepada selain daripada Allah bersama Allah-mempunyai sifat-sifat yang tidak layak melainkan kepada Allah SWT.
3.2 Dakwaan Anderson yang mengatakan bahawa konsep tauhid yang ada pada orang-orang Islam sesuai difahami di padang pasir (Could be best understood in the desert) ia terlalu luas (vastness), agung (majesty), tiada perasaan belas kasihan dan diselubungi misteri (ruthlessness and mystery)
Tuduhan negatif orientalis berasaskan sejarah orang arab sebelum Islam yang dikenali sebagai zaman jahiliah. Menurut mereka orang di padang pasir sebagai orang yang bodoh dan kolot serta tidak bertamadun. Maka, konsep tauhid sesuai untuk difahami seperti orang arab badawi yang jauh dari kemajuan dan kepercayaan tahyul atau animisme. Jika kita berpandukan sejarah Zaman Jahiliah adalah zaman kejahilan dari segi ketuhanan dan akhlak bukan dari segi ketamadunan dan peradaban orang arab.
Menurut Shahibuddin (2006) Kepercayaan-kepercayaan tentang tahyul atau sifat takjub terhadap sesuatu objek membuktikan bahawa mereka telah menggunakan fikiran, meskipun pada tahap yang rendah, sedangkan penggunaan fikiran begini tidak wujud dalam masyarakat yang tidak mengenal tamadun. Menurut Yusuf Al-Qardawi (2014) seorang sejarawan mengatakan, “Saya menjumpai dalam sejarah, tamadin tanpa kubu, Saya menjumpai tamadun tanpa sekolah.Saya menjumpai tamadun tanpa istana. Tetapi, tiada satu tamadun pun wujud tanpa tempat ibadat.
Menurut Shahibuddin (2006) Kepercayaan keagamaan di kalangan bangsa Arab bukanlah datang daripada kebijaksaan fikiran, tetapi daripada sifat-sifat naluri mereka. Kejahilan mereka pada zaman jahiliah adalah tentang masalah ketuhanan. Mereka beranggapan bahawa Tuhan itu pasti lebih daripada satu, kerana Tuhan yang satu sahaja tidak mampu untuk menjalankan kewajipan-Nya sebagai Tuhan.
Oleh itu, lahirlah istilah menyekutukan atau menduakan Allah dan ketika mereka mendengar baginda Rasulullah SAW menyeru Tauhid, atau mendengar ucapan baginda yang di ambil dari Al-Quran :
Kalau ada tuhan selain-Nya, maka hancurlah dunia ini. Mereka taajjub mendengar ucapan baginda tersebut, dan mereka menjawabnya : Apakah patut ia dijadikan tuhan-tuhan itu Tuhan satu sahaja ? Sesungguhnya ini adalah perkara yang sangat aneh (Surah Al-Anbiya` 21-22).
Syeikh Abdul Halim Mahmud seorang Ulama Al-Azhar, mengatakan bahawa anggapan yang mengatakan tamadun Islam tidak wujud dalam masyarakat Arab pada masa itu tidak benar, kerana mereka pada dasarnya adalah ahli-ahli hikmat (ahli falsafah),ahli syair serta mereka berpegang teguh kepada kepercayaan mereka.
Abdul al-Razzaq mengutip pendapat Taha Huseyn (1965) dengan mengatakan bahawa sesungguhnya orang-orang Arab sejak sebelum Islam lagi telah menggunakan fikiran, tetapi fikiran mereka itu belum sampai ke taraf pemikiran falsafah.
Menurut Shahibuddin (2006) bahawa al-Quran sentiasa meminta kepada mereka (orang-orang Arab) agar memberikan ulasan dan alasan terhadap kepercayaan mereka, tetapi ternyata mereka tidak mampu, maka al-Kindi adalah pelopor ilmu Falsafah, kerana beliau pengasas ilmu tersebut yang dilihat sebagai ahli falsafat Islam yang pertama lahir dalam dunia Islam.
3.3 Goldziher seorang tokoh orientalis yang terkenal mendakwa bahawa aqidah tauhid yang dipegang oleh umat Islam mengalami proses pengembangan dari satu peringkat ke satu peringkat dan ia bukannya sesuatu yang tetap yang bermaksud Islam tidak didatangkan dengan aqidah yang satu dan tetap, tetapi pegangan kepercayaannya dibentuk oleh beberapa generasi yang terawal.
Menurut Zakaria (1996) apabila kita bercakap tentang akidah, sesungguhnya kita sedang bercakap dalam daerah atau lingkungan kepercayaan, keyakinan dan keimanan. Akidah merupakan satu perkataan yang berasal daripada Bahasa arab yang bermaksud “Ikatan kemas” atau simpulan mati” yang melambangkan adanya unsur-unsur makna semacam kekuatan dan keyakinan.
Menurut Mariam dan Zulkefli (2009) Nabi Muhammad SAW berdakwah di Mekah selama lebih kurang 13 tahun yang memfokuskan penerapan dakwah Baginda semasa di Mekah adalah berkaitan aspek akidah atau kepercayaan kea rah mengesakan Allah SWT. Tumpuan dakwah untuk memperbaiki aspek akidah manusia berikutan fenomena kedudukan sasaran masyarakat di Mekah pada masa itu tenggelam dalam pemujaan patung berhala dan kerosakan kehidupan.
Dakwaan Goldziher ini cuba mengelirukan umat Islam secara halus untuk mengajak kepada fahaman Tuhan Triniti dengan menuduh umat Islam berpegang pada aqidah yang tidak tetap.
Sedangkan menurut Ahmad Deedat (2010) Konsep Triniti diterima secara umum oleh umat Kristian, semua penganut Kristian berpendirian kukuh mempercayai apa yang mereka namakan Triniti suci iaitu Bapa adalah Tuhan, Anak adalah Tuhan dan Roh Kudus adalah Tuhan. Petikan “Kami akan datang” dari John 14:23 dia berkata, “ Di mana Anak berada, pasti ada Bapa begitu juga dengan Roh. Oleh itu, tiga adalah satu menjadi bentuk-bentuk yang berbeza dari kehidupan dan kewujudan sifat ketuhanan yang sama.
Ahmad Deedat (2010) menjelaskan Jesus menurut penganut Kristian menderita di tiang salib. Mereka tidak berpisah iaitu Bapa, Roh Kudus dan Anak. Jika dia mati maka dua lainnya juga mati bersama ! agak mengejutkan kita mendengar jeritan di Barat menyatakan “Tuhan Mati” !
Dakwaan Goldziher sebenarnya adalah untuk memesongkan ajaran Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah yang beliau gambarkan pecahan tauhid dalam Islam. Sedang pembahagian dua jenis tauhid tersebut, Umat Islam tetap berpegang pada Keesaan Allah sejak dahulu lagi. Pembahagian tauhid itu beliau menganggap wujud perkembangan.
Menurut Yusuf Al Qardawi (2014) Tauhid Rububiyyah ialah mengakui hanya Allah SWT yang maha pencipta atau tauhid khaliqiyyah. Tauhid ini bermaksud, mempercayai bahawa pencipta langit dan bumi serta isinya adalah percipta dari Tuhan yang Esa. Dialah yang memberi nikmat dan mentadbir semua perkara.Manakala Tauhid uluhiyyah bermaksud, mengesakan-Nya sebagai tempat meminta pertolongan kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT “ Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah yang kami memohon pertolongan” (1:5)
Ini menjelaskan kepada kita bahawa pembahagian dari segi istilah nama Tauhid sahaja untuk pemahaman umat Islam bukan dari segi Keesaan Tuhan dalam Islam.Menurut Mohd Fauzi (2009) Aqidah Islam adalah datang daripada Allah SWT dan apa yang terkandung dalam aqidah Islam hari ini adalah sama sebagaimana ia mula didatangkan oleh Allah SWT kepada manusia tanpa ada proses tokok tambah dan pengurangan seperti ajaran Kristian.
3.4 Selain dakwaan di atas, menurut Mohd Fauzi (2009) mengatakan ada kalangan orientalis yang mendakwa bahawa orang-orang Islam menyembah (worshipped) Muhammad sebagai idola mereka.
Kesilapan besar dakwaan orientalis adalah dari segi pentakrifan perkataan “sembah” dan “mengikut” umat Islam juga boleh terperangkap dengan agendanya untuk menyesatkan aqidah suci umat Islam.
Menurut Abu Al-Baqir (2011) Makna Al-Ibadah ialah Penyembahan. Al-Ma`bud adalah yang diniatkan atau diqasadkan penyembahan kepada zatNya semata-mata.Inilah yang dimaksudkan dengan al-ma`bud (yang disembah).
Dalam Bahasa arab Ittiba` ertinya mengikut. Ini bermaksud mengikut Rasul kerana mencari keredhaan Allah yang mengutuskannya sebagai penerang atau membawa petunjuk ke jalan yang benar. Allah berfirman : Katakanlah (Wahai Muhammad) : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”.(Ali Imran: 31). Dan firmannya lagi : Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, Sesungguhnya ia telah mentaati Allah”
Seseorang mukmin tidaklah menyembah orang yang diikutinya kerana Rasul bukanlah untuk disembah, tetapi untuk diikuti dan menjadikan idola itu sebagai contoh tauladan dengan sifat-sifat keperibadiannya yang terpuji.
Abu Al-Baqir(2011) menjelaskan logiknya seperti seseorang berkata “ Kami ittba`kan (ikutkan) Allah “ Yang disembah itu tidak boleh diikut (bagaimana seseorang dapat mengikut Tuhan, Dia bukanlah makhluk) dan yang diikut pula (Rasul) mana mungkin dapat disembah kerana para Rasul bukanlah tuhan). Segala intipati tauhid itu ialah dapat membezakan di antara penyembahan (ibadah) dan mengikut (ittiba`).
Oleh itu, mereka yang menuduh si pengikut bahawa dia adalah penyembah manusia yang diikutinya itu adalah teramat jahil dengan pentakrifan ikut (ittiba`) dan sembah (ibadah) dan kejahilan itu tidak boleh dijadikan sebagai hujah.
Menurut Jaafar (2014) Allah SWT menolak iman orang yang mengutamakan cinta kepada sesorang makhluk melebihi kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Manakala Abu Al-Baqir (2011) menjelaskan cinta di sini bukanlah semata-mata kerana zat Baginda Rasulullah SAW itu, tetapi kerana Baginda adalah kekasih Allah yang paling mulia dan cintakan Baginda itulah yang menjuruskan kepada cinta Allah sebagaimana Allah berfirman dalam Al-Quran (3:31) Ini bermaksud untuk mendapatkan cinta Allah wajiblah mengikuti Rasulullah SAW.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa kesilapan dari segi tafsiran definisi atau pentakrifan boleh menghasilkan pemahaman yang batil. Menurut Abu Baqir (2001) Pendefinisian (takrif) itu, dapat melindungi kita daripada melakukan tuduhan yang tidak berasas yang amat menakutkan dan menyakitkan, sekiranya kita berta`aruf (berkenalan) di atas penyatuan takrif nescaya kita akan saling menyayangi.
Takrif ialah bertemu pada suatu kalimah yang sama atau bercantum pada satu titik, ia adalah pengkajian pada sesuatu perkara tentang hukumnya. Agar sukar jika kita mengkaji tentang hukum arak sebelum kita mengetahui dan mengenal tentang arak itu sendiri, begitu juga sukar bagi kita untuk menghukum seseorang bahawa ia adalah musyrik sebelum kita mengetahui apakah makna atau takrif syirik.
- Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa akidah atau iman yang tulen itu, daripada persepktif Islam, bukan hanya diwarisi tetapi ia di tertumpu kepada peringkat lidah, anggota badan dan mental seeorang. Munurut Zakaria Stapa (1996) kepercayaan dan keyakinan itu mestilah berasaskan minda dan ilmu yang mantap yang diperolehi dari Al-Quran dan As-sunnah.
Mohd Rumaizuddin ( 2014) Orang Islam juga harus berusaha meningkatkan keilmuan terutama dari segi sains dan teknologi yang boleh menandingi kemampuan orang-orang Barat dan menampilkan cara hidup yang lebih progresif, dinamik, mampu menangani krisis secara bijak dan mampu menggerakkan manusia ke arah kemajuan.Oleh itu, kita mesti memerangi dengan usaha bersungguh-sungguh dan istiqamah dengan ilmu mengikut perkembangan dunia semasa agar akidah generasi akan datang terjamin, difahami dan dihayati sewajarnya.
RUJUKAN / REFERENSI
Al-Quran (2012) Cordoba Amazing, Bandung : Cordoba International
Abu Baqir Ad Dusuqi.(Eds) (2011) Sekelip Cahaya Kota Bharu Penerbit : Pustaka Al-Baqir-Terjemahan dari Lahzah Nur.
Ahmad Deedat.(2010)The Choice Islam dan Chiristiany South Africa Penerbit Abul Qasim Publication, / Diolog Islam dan Kristian (2010) Selangor. Penerbit :Kharisma Network Sdn BHd
Ali Romdhoni.(2013) Kajian Islam Di Barat : diambil dari http://jie.staimafa.ac.id/
Anhar Burhanuddin.(2008) Orientalisme : Propaganda Musuh Islam, Jakarta : Maktabah Abu Salma Al-Atsari
Dr Abdul Rahman (n.d) Islam Wal Muslimun Baina Ahqad At-Tabsyir wa dholal al-Isytiraq. Beirut : Darul Jail.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi (2014) Merungkai Pertingkahan Isu Akidah antara Salaf dan Khalaf Kuala Lumpur PTS Islamika.
Dr Mohd Fauzi Hamat (2009) Prinsip Aqidah, Selangor :t Open University Malaysia
Dr Zulkefli Aini & Mariam Abd Majid 2009 Sirah Nabawiyyah dan Akhlak. Selangor: Open University Malaysia.
Edward Said.(1979) Orientalism Vintage Books, New York
Hamid Fahmy Zarkasyi(2010) Orientalisme Dan Al-Quran diambil dari http://kholilihasib.com
Mohd Rumaizuddin Ghazali (2013) Memahami Orientalis diambil dari Bicara Haraki at 14 November 2013
http://www.mindamadani.my/isu-semasa/item/60-memahami-orientalis.html
Mohd.Muhiden Abd.Rahman (n.d) Pandangan Orientalis Terhadap Al-Hadith Dan Jawapannya Dari Perspektif Islam.Jurnal Usuluddin
Ismail Hashim (Eds.)(1997) Aqidah Muslim Selangor : Thinker`s Library Sdn Bhd
Mustaf Al-Siba`i (1985) Al-Sunnah Wa Makantuha Fi Al-Tasyri` Al-Islami. Beirut : Al-Maktabah Al-Islami.
Ustaz Jaafar Salleh (2014) Fardhu Ain Tauhid 6 Rukun Iman Menurut Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selangor: Pustaka AL Ehsan
Shahibuddin Laming (2006) Pemikiran Al-Kindi Pengaruh Terhadap Intelektual Muslim Di Malaysia dan Indonesia. Kuala Lumpur : DBP
The Oxford English Dictionary, Oxford, 1933, vol. VII, hal.200
William Montgomery Wat.(2008) Studi Islam Oleh Para Orientalis ./Jurnal/Al-Jamiah/Al-Jamiah No. 53 Th. 1993/ Digital Library UIN
Sunan Kalijaga http://digilib.uin-suka.ac.id/388/
Zakaria Stapa & Mohamed Asin Dollah (1988) Islam Akidah dan Kerohanian. Bangi: UKM