[et_pb_section admin_label=”section”]
[et_pb_row admin_label=”row”]
[et_pb_column type=”4_4″][et_pb_text admin_label=”Text”]
Berikut adalah beberapa pandangan guru pendidikan Islam dalam mengupas Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran pada masa kini, faktor-faktor kelemahan dan cara mengatasinya.
(Maimunah Hamid, 2016) berpendapat bahawa sememangnya masalah pembelajaran Al-Quranpada masa kini kian meningkat. Sebagai contoh, anak-anak muda pada masa kini lebih banyak menghafal lirik-lirik lagu berbanding menghafaz Al-Quran.
Salah satu isu yang menjadi masalah pembelajaran Al-Quran ialah apabila terdapat Al-Quran yang palsu dicetak. Menurutnya, di dalam Al-Quran yang sebegini terdapat ayat yang telah diragui.
Oleh itu, perlu untuk kita ketahui, walaupun tidak ramai yang berminat untuk mempelajari Al-Quran, tetapi masih wujud golongan yang berhasrat untuk mendalami a-Quran. Golongan yang inilah yang akan membaca mushaf yang kita sendiri tidak tahu sama ada mushaf tersebut memang benar mushaf Resm Uthmani, atau sebaliknya.
Manakala, faktor kelemahan pembelajaran al-Quran adalah anak-anak muda hanya mendapat didikan al-Quran ketika di sekolah sahaja. Jarang mereka memperolehi pembelajaran Al-Quran di rumah. Malah, warga emas juga masih ada yang masih merangkak untuk mempelajari al-Quran dan kebiasaanya mereka memperolehi pembelajaran Al-Quran ini di surau-surau yang berdekatan sahaja.
Oleht itu, di antara cara untuk mengatasi masalah ini ialah amanah untuk mengajar ini bukan hanya pada guru sahaja, malah ibu bapa dan keluarga terdekat perlu memberi sokongan secara langsung atau tidak secara langsung. Guru yang mengajar di sekolah perlu menggunakan kreativiti masing-masing untuk memikirkan cara yang mudah bagi anak muridnya senang untuk mempelajari Al-Quran. Dengan demkinan, ibu bapa yang berkelapangan, didiklah anak-anak mereka untuk mempelajari al-Quran.
Selain itu, anak-anak yang masih atau telah mempelajari ilmu Al-Quran, bantulah ibu bapa untuk mempelajari Al-Quran. Manakala, bagi masyarakat sekeliling pula , jangan sesekali menghina atau memandang rendah kepada golongan yang mempelajari al-Quran.
Al-Quran merupakan Kalam suci Allah yakni mukjizat agung yang diturunkan kepada Rasulullah SAW bagi membenarkan ajaran syariat sebelumnya dan juga menyempurnakan hukum-hukum Allah SWT sehingga terbentuknya sumber ilmu yang universal dari berbagai aspek sama ada material, spiritual, jasmani, rohani, dunia dan akhirat. Kesempurnaan al-Quran perlu dipelihara melalui penguasaan bacaan dan hafazan al-Quran dengan baik mengikut hukum tajwid yang telah ditetapkan.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir guru yang hanya menguasai kemahiran atau pengetahuan yang sederhana dalam membaca Al-Quran. Mereka didapati kurang menguasai kemahiran atau pengetahuan yang lebih tinggi dan mencabar. Contohnya, ilmu tajwid dan tanda-tanda bacaan, menghafaz ayat-ayat Al-Quran dan membaca Al-Quran di khalayak ramai.
Masalah-masalah tersebut boleh dikaitkan dengan faktor-faktor seperti ketiadaan pembimbing, kurang penekanan terhadap ilmu Tajwid dan sikap ibu bapa terhadap penguasaan kemahiran membaca Al-Quran. Sesetengah guru mendapati pendedahan awal pembelajaran membaca Al-Quran daripada pembimbing yang tidak bertauliah. Ramai dibimbing oleh para guru dan ibu bapa sendiri yang tidak dilatih khas untuk membimbing membaca Al-Quran. Ini bererti guru tersebut tidak dibimbing secara teratur ketika mula belajar membaca Al-Quran. Ini mengakibatkan tahap kebolehan membaca Al-Quranyang rendah di kalangan guru tersebut.
Faktor kedua yang mempengaruhi keadaan ini pula berpunca dari kurangnya penekanan terhadap Ilmu Tajwid semasa belajar membaca Al-Quran. Apabila pembelajaran dan pengajaran yang tidak sistematik berlangsung maka banyak menjadi penyebab kepada kelemahan penguasaan bacaan Al-Quran. Keadaan ini menjadi bertambah parah apabila dalam pendidikan Islam di sekolah, Ilmu Tajwid hanya disampaikan melalui penggabungjalinan kemahiran Tilawah Al-Quran sahaja.
Manakala, peruntukan masa khas untuk Ilmu Tajwid tidak disediakan. Ia lebih banyak bergantung kepada budi bicara guru Pendidikan Islam sendiri. Adalah malang bagi ibu bapa yang beranggapan Pendidikan Islam di sekolah sudah membebaskan mereka dari tanggungjawab memberi ilmu kepada anak-anak mereka khususnya yang berkaitan dengan ilmu Fardhu Ain, termasuk Ilmu Tajwid. Lebih menyedihkan lagi apabila kita meneliti banyak hasil dapatan kajian menunjukkan sangat ramai ahli masyarakat yang buta huruf Al-Quran.
Selain itu, ibu bapa yang mementingkan pencapaian akademik berbanding penguasaan pembacaan Al-Quran, maka situasi runcing seperti yang dinyatakan oleh para sarjana ini akan terus berlarutan tanpa had sempadan. Ramai ibu bapa akan terkilan sekiranya anak mereka tidak mecapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam tetapi tidak ramai yang terkilan jika anak mereka tidak boleh membaca Al-Quran mengikut hukum Tajwid yang sepatutnya. Maka jelas di sini bahawa kepincangan ini sangat berkait rapat dengan sikap ibu bapa itu sendiri.
Hal ini berlarutan apabila keadaan pada hari ini sangat mendesak kepada pencapaian akademik setiap masa. Guru dan pelajar hanya diberi ruang yang cukup untuk menghasilkan pencapaian tinggi iaitu bilangan A dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Berbeza pula dengan penekanan ibu bapa terhadap kemahiran membaca Al-Quran.
Pada masa lalu, ibu bapa sangat menekankan aspek mempelajari Al-Quran pada waktu petang selain belajar akademik di sekolah pada sebelah pagi sesi persekolahan rasmi. Amalan memastikan anak-anak dapat membaca Al-Quran dengan baik malah mampu khatam Al-Quran sebelum ke sekolah menengah kini telah terhakis. Kesannya apabila anak tersebut meningkat dewasa dan ada yang dipertanggungjawabkan mengajar Al-Quran kepada pelajarnya maka hasil yang dapat diperolehi hanya minimum berikutan guru juga kurang menguasai kemahiran tersebut. (Norah Marisin, 2016)
Oleh demikian, (Norah Marisin, 2016) mencadangkan bahawa isu ini boleh ditangani dengan baik apabila semua pihak berubah dan melakukan perubahan diri. Perubahan ini pula hendaklah dimulai dengan aspek mengenal Al-Quran secara syumul. Ini bertujuan mengajak pembaca mengenal dan mengetahui hakikat dan kepentingan al-Quran. Tanpa mengenalinya, mungkin sikap kurang minat kita untuk mendekati, membaca dengan baik dan menghayati setiap isi kandungannya. Fadilat Al-Quran yang dijelaskan oleh para ulamak jelas bertujuan supaya kita lebih merasa senang dengan Al-Quran, sama ada membacanya, menghayatinya ataupun sekadar mendengar bacaannya.
Di manapun kedudukan kita, Al-Quran adalah pembimbing dan dan sumber rujukan sepanjang hayat dalam seluruh aspek kehidupan. Setiap kelemahan perlu dipelajari daripada pihak yang mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut. Faktor pembimbing menjadi titik tolak pertama supaya setiap kelemahan kita sama ada bergelar pelajar malah guru sekali pun berakhir dengan memiliki penguasaan Al-Quranyang baik. Hasil yang jelas boleh diperolehi apabila kita mempu menguasainya dengan baik, maka akan timbullah dalam hati sanubari rasa gembira berdamping dengan Al-Quran serta kesempurnaan penghayatan isi kandungannya.
Aspek lain yang perlu dilihat juga ialah perubahan bentuk pelaksanaan kurikulum sekolah. Apabila timbul isu penguasaan Al-Quran lemah maka setiap pihak tidak terkecuali sukatan kurikulum wajar dikaji semula. Jika sebelum ini kurikulum tidak memberi penekanan khusus kepada ilmu Tajwid yang hanya disampaikan melalui penggabungjalinan kemahiran Tilawah Al-Quran sahaja, maka perlu diubah dan diberi penekanan khusus sebagai jalan keluar kepada masalah ini.
Maka, adalah wajar diperuntukan masa khas untuk ilmu Tajwid diajar dan dibincangkan dengan bersistematik di kalangan pelajar.
Sebagai contoh apabila mata pelajaran ini diasingkan dan diberi tempoh minit yang cukup setiap minggu, pelajar dan guru akan dapat memanfaatkannya sebagai medan khusus mempelajari semua konsep hukum dan membuat latihan amali bersama-sama di dalam bilik darjah kerana ia berkait rapat dengan pengajian ilmu Tajwid yang memerlukan sistem Talaqqi/ Musyafahah.
Sistem tersebut menitikberatkan hubungan dua hala semasa mempelajarinya. Apabila guru memperdengarkan bacaan maka para pelajar mestilah memerhatikan bacaan guru tersebut. Manakala, proses kedua pula pelajar memperdengarkan bacaan masing-masing kepada guru dan guru berperanan untuk membaiki dan membetulkan kesalahan bacaan pelajar. Ini adalah sistem pengajian Al-Quranyang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan mesti diikuti oleh kita semua supaya kesucian dan keagungan Al-Quran sentiasa terpelihara.
Berbalik kepada sikap sebahagian besar ibu bapa, adalah penting untuk merangsang dan menarik minat mereka kembali supaya cara berfikir mereka lebih menjurus kepada menjadikan anak-anak mereka berjaya dari sudut penghayatan Al-Quran sejajar dengan pencapaian akademik.
Jika pencapaian akademik dilihat amat penting bagi menjamin kejayaan hidup anak-anak maka perlu disedarkan bahawa kejayaan menguasai Al-Quran juga sangat penting bagi menjamin kejayaan hidup yang lebih diberkati dan diredhai olah Allah SWT.
Oleh yang demikian tidak wajar penekanan ibu bapa hanya tertumpu kepada pencapaian akademik tanpa diberi bimbingan supaya menguasai ilmu Tajwid Al-Quran. Anak-anak harus diberi galakan daripada kecil lagi supaya dewasa kelak tidak menyesal dan malu untuk belajar ilmu fardu kifayah ini. Kesan yang cukup besar dalam hidup anak-anak apabila menguasai kemahiran bacaan dan penghayatan al-Quran ini dapat dikecapi oleh ibu bapa apabila anak-anak mereka terselamat daripada keruntuhan moral yang semakin teruk pada masa kini. Al-Quran yang ada di dalam diri anak-anak akan mampu manjadi benteng yang kukuh daripada kemurkaan Allah SWT. (Norah Marisin, 2016)
Menurut (Hanim Abdullah, 2015) Pembelajaran al-Quran sebenarnya perlu diterapkan bermula dari ibu bapa di rumah. Ianya mesti dilakukan dengan penuh rasa ikhlas dan minat yang mendalam terhadap al-Quran dan juga ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya terutamanya ilmu tajwid yang merupakan asas dalam mempelajari al-Quran.
Al-Quran harus dijadikan sebagai bahan bacaan yang dalam setiap keluarga hingga ianya menjadi budaya positif yang berkembang dalam masyarakat. Kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah disebabkan kebanyakan orang lebih cenderung kepada perkara-perkara lain yang melalaikan seperti hiburan, sukan yang malampau dan banyak lagi yang menjauhkan masyarakat dari al-quran.Guru-guru al-Quran perlu memainkan peranan yang lebih aktif disamping perlukan sokongan dari pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan dengan menyediakan pelbagai prasarana dan imbuhan yang sesuai untuk guru-guru al-Quran.
(Saudy Uji, 2015) berpendapat, pembelajaran Al-Quran memerlukan guru pendidikan Islam yang mahir dalam Al-Quranseperti Tajwid. Tajwid adalah salah satu tajuk yang sangat penting dalam pembelajaran Al-Quran. Saya menilai diri saya sendiri dalam situasi ini. Saya kurang mahir dalam tajuk tajwid ini. Kelemahan ini disebabkan oleh kurangnya pendedahan dalam bidang tajwid ini untuk guru-guru pendidikan Islam.
Kursus dan bengkel untuk pembelajaran tajwid ini sangat jarang dilaksanakan diperingkat PPD dan sebagainya.
Oleh itu, cadangan saya adalah supaya pihak PPD atau pun kementerian dapat mengadakan kursus dan bengkel untuk memantapkan ilmu tajwid ini. Pihak tersebut perlu menjemput seorang pengajar yang cukup mahir dalam pembelajaran tajwid ini.
(Nor Asikin Arbain, 2015) bersetuju dengan (Saudy Uji, 2015) bahawa ilmu tajwid adalah suatu yang amat sukar dan perlukan kemahiran dan kepakaran ini perlu berguru. Di dalam mendidik anak didik dengan tanpa mendalami ilmu tajwid memang amat mendukacitakan. Mempelajari ilmu itu perlu berguru. Jika sekadar menghafal hukum-hukum tajwid tanpa diperdengarkan bacaannya kita tidak tahu betul atau tidaknya bacaan kita itu. Latihan dan pengalaman amat perlu bagi seorang pendidik terhadap ilmu tajwid ini oleh itu kita perlu berusaha dan mencari pakar ilmu tajwid akan boleh mendalami ilmu ini demi anak didik kita.
Kini pelbagai kaedah diperkenalkan untuk memahirkan mereka yang berminat mempelajari al-quran. Apa yang penting guru-guru al-Quran mesti mengaplikasikan setiap kaedah dengan teknik yang menarik supaya pelajar lebih berminat tanpa rasa jemu. Setiap masjid dan surau sepatutnya mewujudkan kelas-kelas mempelajari al-Quran tetapi realitinya tidak sebegitu. Ada kelas-kelas al-Quran yang lebih menjurus kepada tafsir ayat al-Quran sedangkan ramai dikalangan pelajar yang masih belum membaca al-Quran dengan baik. Guru-guru tidak menekan soal tajwid, fasahah, sifat huruf dan juga makhraj huruf yang betul. (Hanim Abdullah, 2015)
Oleh yang demikian, pembelajaran Al-Quran adalah perkara yang wajib diajar di setiap sekolah kebangsaan sama ada rendah ataupun menengah. Pembelajaran Al-Quran melibatkan tilawah, hafazan, kefahaman dan tajwid. Antara kelemahan dalam pembelajaran Al-Quran adalah dari segi bahan bantu mengajar yang kurang menarik minat murid-murid. Faktor ini disebabkan guru kurang mahir membuat bahan bantu mengajar dengan kreatif. Bagi mengatasi kelemahan ini, saya mencadangkan supaya pihak kementerian mengadakan kursus cara menghasilkan bahan bantu mengajar yang kreatif serta menarik minat murid dalam pembelajaran Al-Quran pada masa akan datang. (Saudy Uji, 2015)
Pada pemerhatian (Nor Asikin Arbain, 2015) mendapati bahawa pembelajaran al-Quran akan membosankan pelajar jika guru kurang mahir terhadap pendekatan pembelajaran ini. Sebagai seorang guru perlu mencari strategi atau pendekatan yang boleh menarik minat pelajar terhadap al-Quran.Jadikan al-Quran ini tetap dihati pelajar-pelajar.Jadikan matlamat pendidikan Islam yang utama ialah untuk membawa pelajar mengenal penciptanya. Hanya pendidikan yang berkualiti akan melahirkan individu-individu yang berpotensi.
(Fazilah Abdullah, 2015) Al-Quran ialah kitabullah yang terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab dan melimpah ruah,mata air yang mungkin tidak kering.di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.
Allah Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada yang membaca al-quran.tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu sama lain.
Firman Allah S.W.T; Maksudnya; Dan bacalah Al-Qur’an dengan tartil. [1]
Pengalaman (Fazilah Abdullah, 2015) sebagai guru yang mengajar pelajaran al-Quran mendapati masalah yang dihadapi ialah hukum tajwid yang agak lemah. Menurutnya, mengajar tahun satu ialah pelajar cepat lupa sebutan huruf dan bacaan panjang pendek yang tidak betul. Inisiatif yang telah diambil antaranya :
- Pelajar yang agak lemah dipantau untuk mengulangi bacaan ketika waktu rehat, dengan penekanan pada bacaan yang panjang dan pendek.
- Tambahan masa tasmik untuk mengulangan
- Memandangkan pelajar yang terdiri daripada kalangan ibu bapa mualaf kerana mengajar di sekolah cina..Maka, menyuruh mereka pergi sekolah agama dan membaca dirumah atau tempat belajar al-Quran untuk mereka lebih lancar.
Manakala, cara yang berkesan digunakan oleh (Fazilah Abdullah, 2015) bagi mengatasi masalah ini dengan memanggil murid pada waktu rehat.Kemudian murid akan diberi satu kertas yang mempunyai tulisan besar dan kaedah pintas iqra yang dipelajari semasa kursus di PPD Gombak.
Oleh itu, berhadapan dengan murid yang bermasalah dalam mendalami al-Quran ini adalah perkara biasa, terutama bagi pelajar yang hanya belajar disekolah tetapi tiada pengukuhan dirumah, dan mereka ini pula amat lemah didalam mengingati sesuatu pelajaran yang diajar.
Dalam tahun satu untuk memahami hukum tajwid memang agak sukar, guru perlu mencari kaedah atau strategi yang paling mudah atau teknik yang sesuai untuk murid mudah mengingati dan memahami tajwid ini. Sebagai seorang guru kita perlu berusaha mencari pendekatan atau teknik yang sesuai supaya pelajar berasa seronok mempelajari al-Quran terutama di dalam mengingati hukum tajwid. Pendekatan yang lebih berhemah akan menjadikan pelajar berasa seronok belajar dan berminat untuk mendalami al-Quran. (Nor Asikin Arbain, 2015)
Menurut, (Zaleha Othman, 2015) amalan membaca al-Quran merupakan suatu keperluan dan juga tanggungjawab secara fardhu ain kepada umat Islam untuk mahir membaca al-Quran, apatah lagi memahami dan mengamalkannya.
Justeru itu, bukan sahaja isi al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia, malah membaca juga dapat menenangkan jiwa dan merupakan satu ibadat.
Sebagaimana, menurut Ibnu khaldun (2002) dalam kitabnya Muqaddimah menyatakan bahawa “al-Quran itu perlu dipelajari dan dibaca oleh kanak-kanak pada peringkat awal, kerana membaca al-Quran akan menanamkan benih-benih keimanan ke dalam jiwa kanak-kanak”. (Yusof Qardhawi, 2010) menegaskan diantara manfaat membaca dan menghafal Al Quran pada masa kanak-kanak adalah, ianya dapat meluruskan lidah, membaca huruf dengan tepat, dan mengucapkannya sesuai dengan makhraj hurufnya.Isu permasalahan pembelajaran Al-Quran yang dapat dikaitkan masa kini ialah :
Pembudayaan Al-Quran
Pembudayaan Al-Quran di rumah merujuk kepada amalan harian membaca Al-Quran di rumah oleh ibu ,bapa dan anak tidak wujud. Anak-anak khasnya hanya belajar Al-Qurandi sekolah atau di rumah guru Al-Quran sahaja. Ibu bapa pula sibuk dengan urusan kerja, tidak mengambil berat tentang pembacaan Al-Quran oleh anak mereka. Sepatutnya ibu bapa memberi pengukuhan pembelajaran Al-Quran anak mereka seperti pelajaran akademik yang lain. Anak-anak yang bermasalah dalam bacaan Al-Quran hanya dipulihkan oleh guru di sekolah atau guru Al-Quran.Pembacaan Al-Quran berkualiti sukar dicapai oleh anak-anak ini.
Kaedah /teknik
Kaedah warisan, contohnya kaedah Baghdadiah merupakan kaedah yang digunakan memakan masa kerana guru memperkenalkan huruf, baris, mengeja dan menyebutnya. Pelajar menghadapi masalah mengenal,mengeja dan menyebut huruf-huruf kerana tidak mempunyai kemahiran tersebut.
Kemahiran guru
Tidak dapat dinafikan guru yang mengajar Al-Quran mesti mahir semua sudut dalam bacaan Al-Quran.Talaqi dan musyafahah guru mesti tepat kerana murid akan mengikut bacaan guru.Kesalahan dalam pembacaan ini disebabkan kelalaian mengenal pasti makhraj huruf, hukum tajwid, kelancaran bacaan dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pembacaan al-Quran. Oleh itu Islam menuntut agar umatnya memahami konsep mempelajari al-Quran dengan menguasai bacaan, kefahaman, penghayatan, hafazan, taranum dan meneruskan pengajaran kepada generasi selanjutnya (al-Badry 1983, Mohd Yusuf 2000).
Cara mengatasi masalah pembelajaran Al-Quran Masa Kini
Kaedah Iqra’
Kaedah baru seperti Iqra’ yang diasaskan oleh Ustaz H. As’ad Humam. Kaedah Iqra’ disusun secara lengkap, sempurna serta bersepadu dengan huruf yang seimbang.Ia dimulai dengan pembelajaran asas dengan rangkaian huruf-huruf hinggalah ke peringkat suatu ayat yang bermakna.Perkara penting dalam kaedah Iqra’ ini ialah latih tubi sebutan huruf dan ayat agar kemahiran Al-Quran dapat dikuasai. Bahan pengajaran disusun lengkap, terancang dan terarah dari pelajaran asas dan sederhana hingaalah ke tahap satu kalimah yang bermakna.
Metodologi dalam Tilawah Al-Quran
Mengajar kemahiran perlu menekankan kepada arahan, demonstrasi dan pembaikan kesilapan pelajar. Oleh itu keberkesanan dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran banyak bergantung kepada Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) yang dimiliki guru (Tickle,2000). Merujuk kepada amalan pengajaran dan pembelajaran Tilawah Al-Quranyang berkesan, maka guru Pendidikan Islam juga perlu jelas dari segi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan semasa mengajar Tilawah al-Quran. Menurut Abdul Raof (1998) gabungan pelbagai aktiviti pengajaran yang melibatkan strategi pendekatan,, kaedah dan teknik akan membawa kepada pengajaran yang berkesan.
Strategi Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran
Berkaitan strategi pengajaran, menurut Ibnu Khaldun (2000), guru hendaklah memastikan setiap isi pengajaran dan masalah yang timbul semasa proses pengajaran dan pembelajaran diselesaikan dahulu sebelum berpindah ke topik lain.
Berdasarkan strategi pengajaran yang dicadangkan oleh Ibnu Khaldun ini, dapat membantu pelajar dalam pembelajaran yang berkesan. Oleh itu dalam pengajaran Tilawah al-Quran, guru hendaklah memastikan pelajar benar-benar dapat menguasai isi pelajaran yang diterangkan oleh guru, agar pelajar tidak berterusan gagal menguasai kemahiran bacaan al-Qurandengan sepenuhnya. Setelah guru yakin pelajar telah berjaya menguasai kemahiran bacaan al-Quran yang diajar, barulah guru berpindah ke tajuk pengajaran yang seterusnya.
Kaedah pengajaran dan Pembelajaran al-Quran
Berkaitan kaedah pengajaran, menurut Mohd Yusuf (2000), Ahmad (1997), Sharifah (1984) dan Hasan (1981) berpendapat kaedah ialah satu siri tindakan yang sistematik yang bertujuan untuk mencapai objektif pelajaran dengan langkah dan penyampaian yang tersusun.
- Al-Tahqiq, iaitu bacaan yang tenang dan tidak tergopoh gapah yang bertujuan untuk mengajar dan menghayati kandungan dan hukum-hukum bacaan al-Quran
- Al-Tartil iaitu bacaan yang tenang dan tidak tergopoh gapah .
- Al-Tadwir iaitu bacaan sederhana dan tidak terlalu cepat serta mengawasi hokum tajwid
- Al-Hadar iaitu bacaan cepat serta mengawasi segala hukum tajwid.
Kesimpulannya, membaca al-Quran sangat dianjurkan kepada setiap individu muslim kerana al-Quran akan mendatangkan pelbagai manfaat terhadap pembacanya, namun mempelajari kaedah dan tata cara dalam pembacaannya merupakan tuntutan yang mesti dipenuhi, disamping hukuman mendapat gajaran dosa, kesalahan dalam membaca al-Quran akan menentukan sah atau tidak sahnya ibadah yang dilakukan oleh seseorang tersebut. Oleh itu seseorang mesti secara berterusan mempertingkatkan ilmu tilawah al-Quran agar lidah sentiasa terpelihara diwaktu kita membaca. (Zaleha Othman, 2015)
______________________
[1] Al-Muzammil : 4
[/et_pb_text][/et_pb_column]
[/et_pb_row]
[/et_pb_section]
[…] Pandangan beberapa orang guru pendidikan Islam dalam mengupas Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran pada masa kini, faktor-faktor kelemahan dan cara mengatasinya. Catatan sebelum ini dari pautan http://zeckry.net/2016/12/04/pandangan-dalam-isu-dan-permasalahan-pembelajaran-al-quran-pada-masa-ki… […]
artikel yang sangat baik
Isu yang perlu diberi perhatian. Kemahiran Al Quran perlu lebih luas dan tidak terbatas aspek bacaan sahaja. Kreativiti dan kepelbagaian dalam menyampaikan ilmu Al Quran perlu diterspkan. Kaedah terkini yang belum diketahui umum MANHAJ370 diharapkan dapat membantu maksud tersebut. Kaedah yang diinovasikan daripada Kaedah Al Kalam yang dipelopori oleh Kiyai Muhammad Ilyas Paranjang, Bone, Sulawesi Selatan.
Terima kasih atas perkongsian dan respond dari tuan..zeckry.net menghargai atas ulasan tersebut