Site icon Wacana Zeckry

Pandangan Dalam Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya (2)

Pandangan beberapa orang guru pendidikan Islam dalam mengupas Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran pada masa kini, faktor-faktor kelemahan dan cara mengatasinya. Catatan sebelum ini dari pautan http://zeckry.net/2016/12/04/pandangan-dalam-isu-dan-permasalahan-pembelajaran-al-quran-pada-masa-kini-faktor-faktor-kelemahan-dan-cara-mengatasinya-1/

Menurut (Fazilah Abdullah, 2015) pula, al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang Syumul sifatnya, yang ditanzilkan oleh Tuhan maha pencipta yang sangat mengetahui akan kehendak serta keperluan manusia.

Dengan demikian Allah turunkan Al-Quran sebagai kitab panduan bagi manusia yang merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan hubungan antara sesama manusia, manusia dengan Allah dan manusia dengan alam sekitar.

Demikian juga ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia seperti pendidikan, falsafah, hukum, perundangan, tauhid, perubatan, pertanian, sains, geografi, sejarah, pentadbiran, politik, sosial dan lain-lain, semuanya ada disentuh di dalam Al-Quran.

Kepentingan Al-Quran dalam kehidupan umat Islam tidak dapat dinafikan. Ianya sebuah kitab panduan dan pegangan hidup yang memandu manusia ke arah mentauhidkan Allah SWT. Setiap muslim yang beriman sewajarnya mempunyai kemampuan untuk membaca Al-Quranselain dari berusaha untuk memahami dan menghayati kandungannya. (Siti Juliana Jamil, 2015)

Pandangan (Siti Juliana Jamil, 2015) bahawa masalah penguasaan dalam bacaan al-Quran dalam kalangan murid sekolah di Malaysia adalah satu realiti. Di sekolahnya misalnya, masih terdapat segelintir pelajar yang lemah aspek tilawah, lemah aspek tajwid, lemah aspek Makhraj huruf,dan juga kedapatan murid yang gagal membaca potongan ayat pendek (buta al-Quran).

Menyedari hal ini, saya berpendapat banyak faktor yang perlu diambilkira dalam melaksanakan pengajaran Al-Quran kepada murid.Sewajarnya perlu ada kaedah dan inovasi pengajaran yang berkesan dan dapat mempercepatkan proses pembelajaran yang akan membantu murid menguasai bacaan Al-Quran.

Kaedah Iqra’ adalah satu usaha inovasi untuk mempercepatkan bacaan Al-Quran terutama untuk murid yang lambat menguasai kemahiran yang diajar.Bagi muridnya yang lambat menguasai hukum tajwid dengan menggunakan kaedah kod berwarna dalam potongan ayat yang ada hukum tertentu. Menerusi kaedah kod berwarna ini,beliau sebagai pembimbing murid akan menerangkan cara membaca dan menyebutnya.

Bersamalah kita berusaha dengan kreatif dengan pelbagai kaedah bagi mencapai sesuatu objektif. Adakalanya sesuatu kaedah itu tidak sesuai diaplikasikan untuk murid kita.Kekreatifan kita memikirkan kaedah yang sesuai untuk meningkatkan potensi murid berkebolehan dalam membaca Al-Quran,Insya Allah akan dapat melahirkan murid yang berkemahiran dalam Tilawah Al-Quran. (Siti Juliana Jamil, 2015)

Menurut pendapat (Siti Rafidah Dikon, 2015) asas utama dalam Islam, ialah menguasai bacaan al-Quran. Penurunan ayat al-Quran adalah untuk dibaca.

Membaca al-Quran dengan betul dari segi tajwid dan makhrajnya supaya tidak terpesong pengertiannya menjadi tuntutan agama ke atas orang Islam kerana membaca al-Qurandapat membentuk akidah dan akhlak individu (Mohd Ali, 1991).

Tujuannya untuk beribadah, akan diberi pahala oleh Allah kepada pembacanya jika dibaca dengan sebutan yang betul dan mengikut kaedah bacaan dan mengikut tajwid, bukan sekadar untuk dihayati sahaja. Ibadah dalam solat juga perlu kepada pembacaan yang betul dan tepat, tidak boleh diterjemah. Membaca al-Quran penting untuk menentukan ibadah yang dilakukan sah atau tidak (Abdul Halim El-Muhammady, 1991).

Dengan sebab itu, maka menjadi kewajipan setiap Muslim berusaha bersungguh-sungguh agar dapat membaca al-Qurandengan baik bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sesempurna mungkin.Di antara permasalahan membaca dan mengajar alquran ini adalah Faktor perskitaran yang tidak menjurus pelajar untuk mempelajari Al Quran. Faktor dalaman seperti ibubapa masa kini lebih mementingkan akademik berbanding unsur-unsur kerohanian.

(Siti Rafidah Dikon, 2015) ada menyatakan bahawa di antara permasalahan membaca dan mengajar Al-Quran ini adalah faktor persekitaran yang tidak menjurus pelajar untuk mempelajari Al Quran di mana faktor dalaman seperti ibubapa masa kini lebih mementingkan akademik berbanding unsur-unsur kerohanian.

Namun, pandangan (Siti Juliana Jamil, 2015) lebih suka memfokuskan tentang peranan sebagai pembimbing yang lebih arif berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran Al-Quran. Sewajarnya kita kembali kepada pendekatan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran oleh Rasulullah SAW.

Berdasarkan kepada pengalaman Rasulullah SAW, proses pembelajaran pada zamannya adalah secara talaqqi dan musyafahah, iaitu secara berdepan dengan guru,di mana guru akan memperdengarkan bacaan, mendengar bacaan muridnya di samping memperbetulkan bacaan muridnya sekiranya terdapat kesalahan.

Selain daripada itu, kaedah kumpulan amat sesuai dijalankan di mana murid dikelaskan berdasarkan kemampuan.Dalam program j-QAF, kaedah ini dapat dilaksanakan dengan baik kerana lebih daripada seorang guru berada dalam kelas mengendalikan pembelajaran dalam kumpulan. Dengan cara ini juga, murid yang lemah boleh diberi tumpuan dan latih-tubi. (Siti Juliana Jamil, 2015)

Setelah meneliti pandangan tersebut, penulis bersetuju dengan pandangan bahawa masalah pembelajaran al-Quran pada masa kini umumnya mengatakan masalah penguasaan murid dari segi tajwid yang meliputi bacaan, panjang, pendek, makhraj dan fasahah.

Walaupun kepelbagaian alat bantuan mengajar (ABM) dan kreativiti guru serta inovasi daripada kurikulum pihak Kementerian, namum masih kedapatan kelemahan murid menguasai. Selain itu, faktor guru yang kurang berkemahiran dalam bidang al-Quran turut mendapat perhatian oleh guru yang lebih berkemahiran berdasarkan hasil dari penguasaan murid dan perbandingan.

Begitu juga, faktor ibu bapa yang kurang dan tidak memberi galakan dan penekanan mengenai ilmu tajwid dan bacaan al-Quran yang bermula di rumah sehingga mendapati murid tercicir dalam kemahiran membaca al-Quran dan ilmu tajwid. Hasilnya juga, menjadi bebanan kepada guru di sekolah melalui subjek Pendidikan Islam dan J-QAF serta KAFA.

Faktor zaman dan kaedah pengajaran al-Quran telah berbeza  berbanding dengan cara orang dahulu belajar secara tidak formal yang belajar di rumah guru, surau atau masjid. Namun, kaedah kaedah talaqqi dan musyafahah masih digunakan diamalkan melalui pendidikan di sekolah yang mana kaedah bersemuka yang mana guru memberi contoh bacaan dengan sebuatan yang betul dan diikuti oleh murid, kemudian guru mendengar dan memperbetulkan bacaan sebaiknya.

Oleh yang demikian, walaupun kelemahan yang ada telah ditambahbaikan oleh para sarjana-sarjana melalui buku-buku panduan dan teknik yang sesuai dan kreativiti guru itu sendiri, sekurang-kurangnya dapat membantu murid agar menguasai bacaan dengan baik (tartil). Manakala mengenai teknik-teknik membaca al-Quran seperti melalui proses IQRA` dan teknik-teknik lain seperti al-Baghdadi sebenarnya sebagai alternatif untuk membantu guru, walapun kita dapati ada kelemahannya, maka kita boleh berperanan untuk menginovasikan bagi yang tersedia ada.

Justeru itu, dunia pendidikan sentiasa berkembang dengan peredaran masa dan zaman, kini kaedah lebih interaktif dengan alat bantuan teknologi sebagai alternatif sahaja, namum kaedah talaqqi dan musyafahah tetap menjadi pengamalan untuk mencapai tahap bacaan TARTIL sebagaimana yang diperintahkan dalam al-Quran dan amalan para Qurra` dengan kata lain bacaan yang bersanad (bersilsilah) dalam pengambilan bacaan dari guru kepada guru dan seterusnya sampai kepada sahabat dan SAW yang masih ada lagi di beberapa para Qurra` di beberapa timur tengah.

Penulis bersetuju pandangan mengenai kemahiran guru itu sendiri yang menjadi pembimbing dalam bidang al-Quran kerana ia berasaskan kepada bahasa Arab yang fasih dalam menjaga sifat huruf, makhraj huruf, hukum tajwid dan hukum Mad dalam memelihara kesalahan sebutan sebenar yang boleh mengubah makna asal seperti tidak jelas huruf KHA yang berbunyi HA` dan Huruf QAF berbunyi huruf KA. Kesilapan Khafi dan Jalliy sekaligus boleh mencemarkan kesucian asal al-Quran yang menjadi pegagan.

Oleh itu, di negara kita sekarang,  ilmu al-Quran juga telah berkembang melalui rancangan realiti tv seperti tarannum dan bacaan qiraat dengan pendedahan tersebut telah menarik murid sekolah dan juga masyarakat dengan adanya kelangsungan persaingan.

Pada pandangan saya, antara cara yang boleh diatasi oleh kerana dunia pendidikan dan pengajaran serta keadaan sosial juga sentiasa berkembang dan berubah, sewajarnya kita menubuhkan kumpulan kajian dengan pakar-pakar yang berkemahiran dalam bidang ini untuk memperbaharui atau penambahbaikan sistem yang tersedia ada seperti sistem IQRA` dan sebagainya.

Kewujudan kumpulan kajian,kreatif dan inovasi dalam bidang ini sentiasa diperlukan dari masa ke semasa untuk mencipta dan mencari kaedah terkini.

Dengan kata lain, apabila kita melihat sesuatu itu ada kelemahan, kita yang diberikan akal seharusnya memikirkan kekuatan bukannya kita saling salah menyalahi. Oleh itu,dengan penyatuan kumpulan kreativiti dan inovasi saya percaya ia dapat menghasilkan sesuatu kerana al-Quran itu sendiri ada seni, dan sifatnya adalah universal atau syumul dan menyakini bahawa al-Quran itu sendiri adalah barakahnya.

References

Fazilah Abdullah. (2015, Oktober 08). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

Hanim Abdullah. (2015, Disember 18). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://www.myguru3.upsi.edu.my

Maimunah Hamid. (2016, Jun 05). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://myguru3.upsi.edu.my

Nor Asikin Arbain. (2015, Oktober 15). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

Norah Marisin. (2016, Mei 03). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://myguru3.upsi.edu.my

Saudy Uji. (2015, Oktober 15). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

Siti Juliana Jamil. (2015, Oktober 05). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: http://www.myguru3.edu.my

Siti Rafidah Dikon. (2015, Oktober 04). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Sultan Idris: https://www.myguru3.upsi.edu.my

Zaleha Othman. (2015, Oktober 06). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

 

Exit mobile version