Syariah Islam terus unggul dengan kesempurnaannya yang dijamin oleh Allah SWT yang menampilkan penyelesaian kepada masalah jenayah yang dihadapi oleh masyarakat manusia. Falsafah yang berteraskan Rabbani telah membuktikan bahawa dalam sejarah kemanusiaan mereka menghadapi masalah jenayah dengan tenang dan berjaya. Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam dengan tegas dan adil yang mengenakan hukuman potong tangan ke atas pencuri, hukuman Qisas ke atas pembunuh di Mekah dan Madinah, banyak membantu mengurangkan jenayah.
Walau bagaimanapun tugasan ini merupakan salah satu usaha pencerahan pelaksanaan hukuman keseksaan menurut pertimbangan syariah dan realiti perundangan serta Masyarakat, walaupun Hudud berdepan pelbagai polemik dalaman dan luaran sebelum dimartabatkan sebagai undang-undang, walaupun dalam negara Islam sendiri.
Oleh itu, hudud bukan sekadar undang-undang jenayah, tetapi dilihat sebagai simbol dan kemuncak kepada pelaksanaan syariah secara menyeluruh dalam negara Islam. Di samping itu, penulis membincangkan mengapa majoriti negara Islam tidak melaksanakan hudud yang merupakan satu bahagian daripada hukuman jenayah Islam, juga menjelaskan pandangan sarjana Islam kontemporari tentang pelaksanaan hukum hudud masa kini. (Zainuddin Jaafar, 1990)
Selain itu, penulis mengemukakan cadangan dalam menangani isu takfir yang lahir daripada polemik hudud yang berpunca kejahilan, pemahaman Islam yang menyeleweng, ketegangan politik kepartian dan kepentingan pengaruh tertentu.
KONSEP UQUBAH DALAM PERUNDANGAN ISLAM
Bagi memahami Uqubah dalam perundangan Islam, terdapat empat konsep yang dijelaskan oleh sarjana Islam.
Pertama: Uqubah merupakan pembalasan yang setimpal bertujuan untuk mencegah manusia daripada melakukan perkara yang ditegah. `Uqubah disyariatkan untuk mencegah manusia daripada melakukan jenayah. Sekiranya mereka telah melakukannya, mereka tidak akan melakukannya kali kedua atau berulang kerana mereka telah dikenakan `Uqubah (hukuman pembalasan) sebagaimana yang ditetapkan Allah SWT melalui firmannya :
Maksudnya : Maka sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu seimbang atau sama seperti dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu, dan bertaqwalah kepada dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa.(al-Baqarah:194) (Subri, 2013)
Kedua : Uqubah merupakan pencegah perbuatan jenayah sebelum dilakukan dan menggerunkan penjenayah setelah dikenakan `Uqubah sekaligus akan mendapat kesedaran sekiranya melakukan berulangan kerana `Uqubah dikenakan ke atas orang yang telah disabitkan melakukan sesuatu jenayah.
Tetapi, disyaratkan bahawa seseorang itu mestilah bersifat mukallaf untuk dipertanggungjawabkan terhadap perbuatan jenayahnya menurut hukum syarak sebagaimana Rasulullah SAW:
رفع القلم عن ثلاثة عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يبلغ، وعن المجنون حتى يعقل
“ Diangkat qalam (dosa) daripada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga dan kanak-kanak sehingga dia mencapai baligh, dan orang gila sehingga berakal. (Riwayat Muslim)
Hadis tersebut menunjukkan bahawa, syariat tidak mengambil kira perbuatan orang yang melakukan sesuatu jenayah dalam keadaan tidak sedar, darurat atau kerana dia tidak tergolong dalam golongan orang mukallaf. (Muhammad Salam Madkul, 1969)
Ketiga : Uqubah dari segi istilah ulama Feqh yang ditakrifkan oleh Imam As-Syafi`e yang dijelaskan oleh Al-Mawardy dalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah :
‘Sesungguhnya larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk menghalang kejahatan yang dilarang dan melakukan apa yang diperintahkan. (Ali Muhammad Al-Mawardy, 450H).
Keempat : Konsep seseorang tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah. Ini menjelaskan bahawa semua manusia tidak bersalah selagi dia tidak disabitkan bersalah oleh mahkamah untuk dikenakan hukuman. Seseorang tidak akan dipertanggungjawab kecuali di atas perbuatan yang telah disabit kesalahannya. Firman Allah ayat 164, surah al-An’am bermaksud:
Maksudnya: Seseorang tidak memikul dosa orang lain. Dalam ayat yang lain Allah berfirman dalam, surah ayat 38 surah al-Muddatstsir: Maksudnya: Setiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh mestilah disabitkan telah melakukan perbuatan jenayah itu tanpa ada sebarang keraguan. Namun, sebelum tertuduh disabit bersalah, tertuduh adalah dianggap tidak bersalah. Kaedah yang diterima pakai dalam isu ini ialah:
Maksudnya : Asalnya seseorang itu adalah tidak bersalah (bebas daripada kesalahan).
Kaedah ini juga menjadi asas pembelaan terhadap orang yang dituduh, dalam hal ini orang yang dituduh berhak menuntut agar kesalahan yang dikatakan dilakukannya dibuktikan dengan jelas dan nyata untuk menghapuskan keyakinan asal bahawa ia tidak bersalah melainkan dibuktikan sebalinya. Ia tidak melakukan jenayah melainkan dibuktikan sebaliknya.
Dalam sesuatu perbuatan seseorang itu tidak dianggap melanggar undang-undang, melainkan setelah undang-undang itu diwujud dan diumumkan. Kaedah yang menjamin hak asasi manusia dan keadilan ini adalah berasaskan ayat al-Quran dan hadis. Firman Allah : Maksudnya : “Dan tiadalah kami mengazabkan sesiapa pun sebelum kami mengutus seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)” (al-Isra`:15)
Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah Islam menjamin hak seseorang yang dituduh agar tidak dianiayai kerana asalnya ia bebas daripada sebarang kesalahan, jenayah, tanggungjawab dan tanggungan melainkan setelah dibuktikan sebaliknya. (Alias, Othman, 2011)
SEBAB MAJORITI NEGARA ISLAM TIDAK MELAKSANAKAN HUDUD YANG MERUPAKAN SATU BAHAGIAN DARIPADA HUKUM JENAYAH ISLAM
-Halangan Terhadap Pelaksanaan Hukuman
Dalam menyempurnakan sesuatu hukuman, kadang-kadang pelaksanaannya sama sekali tidak dapat dilakukan kerana terdapat beberapa halangan dalam kes-kes seperti berikut:
Jika pesalah yang melakukan kesalahan Jenayah Qazaf adalah bapa kepada mangsa yang dituduh atau datuknya ke atas, atau pesalah itu ibunya atau neneknya ke atas. Begitu juga dalam kes-kes yang berkaitan dengan pembunuhan dan kecederaan. Hal ini adalah disebabkan terdapat beberapa nas yang menghalang pelaksanaan hukuman tersebut terhadap pesalah, antaranya sabda Rasulullah S.A.W.:
“Seorang bapa tidak akan diqisaskan kerana sengaja membunuh anaknya.”
Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: “Maka janganlah kamu berkata kepada mereka berdua (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Uff“.
Firman-Nya lagi:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”
Jika pesalah dalam kesalahan zina, curi dan minum arak membatalkan pengakuan mereka, maka hukuman tidak harus dilaksanakan ke atas mereka. Namun pesalah dalam kesalahan qazaf dan pembunuhan tetap akan menerima hukuman biarpun mereka membatalkan pengakuan masing- masing.
Jika salah seorang saksi dalam kesalahan zina meninggal dunia dan hukuman yang diperuntuk kan dalam kesnya adalah rejam, jika pelaksanaannya berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan saksi wajib memulakannya, maka hukuman itu akan turut gugur dengan kematiannya.
Begitu juga dengan dua kes kesalahan yang bertindih seperti seorang yang mengaku melakukan kesalahan zina dan qazaf, kemudian dia hanya dituduh oleh mangsanya sebagai melakukan kesalahan qazaf, maka hukuman qazaf tidak akan dilaksanakan ke atas dirinya jika dia sudah menjalani hukuman zina. Ini kerana seseorang pesalah tidak harus menjalani dua hukuman yang bertindih jika dia sudah menjalani salah satunya.
Jika pesalah jahil dengan undang-undang tanpa sebarang ketaksiran, seperti penzina yang jahil tentang pengharaman zina kerana pada asalnya dia seorang kafir harbi yang hanya baru menganut agama Islam. Kejahilan begini boleh menjadi sebab kepada gugurnya hukuman zina keatas dirinya.
-Penangguhan
Dalam pelaksanaan hukuman ke atas pesalah, ia wajib dilakukan dengan segera, tetapi terdapat beberapa sebab yang berasaskan kepada keadaan diri pesalah atau tempat berlakunya kesalahan atau kedua-duanya sekali, yang membolehkannya ditangguh ke waktu yang sesuai, seperti:
- Kesalahan yang dilakukan semasa dalam perjalanan atau peperangan kerana ditakuti pesalah yang terlibat akan lari berlindung di negara musuh. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
Maksudnya: “Janganlah kamu potong tangan-tangan pesalah ketika dalam perjalanan”.
- Jika pesalah zina seorang perempuan hamil, hukuman terhadapnya ditangguhkan sehingga dia melahirkan anaknya. Sementara menunggu kelahiran anaknya, dia harus diletakkan di dalam tahanan jika kesnya sabit menerusi keterangan saksi, tetapi jika kesnya sabit menerusi pengakuan sendiri, dia tidak harus
- Dalam kesalahan yang tidak rnembawa kepada hukum bunuh, pelaksanaan hukuman terhadapnya ditangguhkan jika ia boleh mengancam nyawa pesalah, seperti ia tidak dilaksanakan dalam cuaca yang buruk, sama ada cuaca terlalu panas ataupun terlalu sejuk. Ia juga ditangguhkan jika pesalah sedang sakit atau sedang dalam masa nifas atau ketika sedang
Namun demikian hukuman rejam yang diwajibkan terhadap penzina muhsan dan juga hukum bunuh yang diwajibkan ke atas pembunuh sengaja, perlak sanaannya tidak akan ditangguhkan kecuali terhadap perempuan yang hamil sahaja.
–Kematian Pesalah
Pelaksanaan hukuman juga akan berakhir dengan kematian pesalah yang terlibat. Bukan sahaja hukuman asas, tetapi kesemua hukuman lain yang dianggap sebagai hukuman pelengkap, begitu juga dengan pembayaran diyat, menurut pendapat yang terkuat, tidak harus dituntut terhadap ahli waris sesudah kematiannya.
-Pengampunan kepada Pesalah
Walaupun hukuman dalam kesalahan Jenayah Qisas dan Hudud telah ditetapkan jenis dan kadarnya menerusi nas al-Quran dan Sunnah, tetapi sebahagiannya boleh diampunkan oleh pihak yang berkaitan sama ada mangsa yang terlibat atau warisnya atau pihak berkuasa. Hal ini disebabkan sebahagian hukuman itu merupakan hak individu, manakala sebahagiannya yang lain pula merupakan hak Allah.
Pihak berkuasa diharuskan memberi pengampunan kepada pesalah yang terlibat dalam kes-kes kesalahan Jenayah Takzir dengan berdasarkan kepada kepen tingan umum. Hal ini disebabkan mereka telah diberi kuasa untuk menentukan jenis dan kadarnya dalam kes-kes tersebut terhadap pesalah.
Dalam kesalahan Jenayah Qisas, mangsa yang terlibat atau ahli warisnya diberi pilihan sama ada menuntut hukuman qisas atau mengampunkannya berdasarkan pembayaran diyat atau mengampunkan kepada kedua-duanya sekali. Hak pengampunan ini meliputi kes-kes pembunuhan dan kecederaan.
Pihak pemerintah berhak memberikan pengampunan kepada pesalah jika mangsa yang dicerobohi meninggal dunia sedangkan tuntutannya terhadap hukuman qisas tidak diketahui. Begitu juga pemerintah tidak mengetahui tentang pengampunannya terhadap qisas dan tuntutannya terhadap pembayaran diyat atau dia telah meng gugurkan kedua-duanya sekali. Dalam keadaan di mana mangsa adalah seorang yang tidak mempunyai ahli waris kerana kedudukannya sebagai warga asing atau ahli warisnya sudah tiada lagi kerana suatu sebab, maka dia diwarisi oleh Baitulmal. Dengan itu pihak pemerintah dengan sendirinya berhak bertindak sebagai walinya.
Walaupun dalam kes ini, pihak pemerintah memiliki hak pengampunan, tetapi hak itu terbatas kepada hukuman qisas sahaja. Pemerintah tidak berhak sama sekali memberi pengampunan kepada hukuman qisas serta pembayaran diyat kedua-duanya sekali kerana diyat pada saat ini dimiliki oleh Baitulmal yang menjadi milik kepada orang-orang Islam dan pemerintah tidak berhak memberi pengampunan terhadap sesuatu yang menjadi milik orang-orang Islam.
Namun, terdapat sebahagian ulama Syariah yang mengharuskan pemerintah memberikan pengampunan kepada kedua-duanya sekali (iaitu qisas dan diyat) kerana sesuatu kepentingan yang dipandangnya perlu. Pendapat ini disetujui oleh kumpulan Khawarij al-Abadiah yang mengatakan diyat wajar diagihkan kepada golongan fakir miskin (Khalid Rashid al-Jumaili. al-Diyat wa Ahkamuha. 153).
Namun dalam isu ini, tidak ada siapa pun yang berhak memberikan pengampunannya kepada pembayaran kaffarah yang merupakan hak Allah semata-mata.
Bagi kesalahan Jenayah Hudud, kita dapati kenyataan Fuqaha` mengatakan bahawa tidak ada ruang untuk diberi ampun kepada pesalah, sama ada daripada orang yang menjadi mangsanya atau daripada pihak pemerintah sendiri, jika kesnya telah disampaikan kepada pemerintah menerusi apa saja caranya, sama ada menerusi pengakuan pesalah atau kenyataan para saksi.
Biarpun begitu dalam beberapa catatan, masih terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ruang memberi ampun kepada pesalah dalam kesalahan Jenayah Hudud seolah-olah masih wujud. Hal ini dapat kita lihat dalam kes-kes berikut:
Seorang perempuan telah dibawa ke hadapan khalifah Umar pada masa pemerintahannya kerana berzina, lalu Umar memerintahkan supaya dia direjam. Namun oleh kerana perzinaan itu berlaku dalam keadaan dipaksa maka dia dilepaskan atas nasihat Ali, antara kata-kata Ali: Perempuan ini terpaksa melakukannya, saya berpendapat dia perlu dilepaskan, lalu Umar melepaskannya.
Hukuman dalam kesalahan qazaf merupakan hak yang mesti dituntut, tetapi ia boleh digugurkan dengan pengampunan mangsa yang terlibat kerana hak individu dalamnya lebih mengatasi hak Allah sekalipun ia merupakan salah satu antara kesalahan dalam Jenayah Hudud.
-Kelewatan Menuntutnya
Kelewatan menuntut hak dalam sesuatu kes atau kelewatan para saksi memberikan kenyataan mereka dalam kes yang mereka saksikan boleh menyebabkan kes berkenaan gugur tanpa dikenakan apa-apa hukuman terhadap pesalah.
Antara fuqaha yang banyak memberikan perhatian tentang isu kelewatan kes ialah kalangan ulama Mazhab Hanafi. Abu Hanifah sendiri berpendapat bahawa hukuman dalam pelbagai kesalahan Jenayah Hudud seperti zina, curi dan minum arak (kecuali kesalahan qadhaf sahaja) boleh gugur dengan sebab kelewatan membuat aduan.
Menurut mazhab ini terdapat tiga pendapat tentang perkiraan masa yang dianggap lewat:
- Apabila sempurna masa sebulan (inilah pendapat yang terkuat di kalangan mereka);
- Apabila sempurna masa enam bulan; dan
- Apabila sempurna masa
Lantaran itu jika sesuatu hak dalam sesuatu kesalahan itu lambat dituntut oleh yang berhak sehingga sempurna masa sebulan maka ia tidak lagi harus dilayani oleh pihak kehakiman kerana kesnya telah bertukar menjadi kes lama yang sudah lupus keterangan, saksi dan masanya untuk didengar dan diadili.
PANDANGAN ULAMA/SARJANA ISLAM KONTEMPORARI TENTANG PELAKSANAAN HUKUM HUDUD PADA MASA KINI
-Pandangan al-Qardhawi, melalui ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud merupakan antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan. Oleh itu, “sebelum dilaksanakan hukum hudud, beri makan terlebih dahulu kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih para pekerja. ( Shamsul Muda, 2011)
-Pandangan Ustaz Kasim Elias, hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia bersatu menerima hukum tersebut. Oleh itu, hukum hudud yang wajib dilaksanakan adalah untuk semua rakyat di dalam sesuatu negara tersebut. Tiada pengecualian kepada yang bukan beragama Islam. Jika hukum hudud digunapakai di Malaysia, maksudnya kita akan ada dua jenis hukuman yang berbeza. Sekiranya Orang Islam yang melakukan zina (bagi yang sudah berkahwin) akan dihukum rejam, manakala orang bukan Islam yang berzina pula akan didenda ataupun tidak dikenakan apa-apa denda pun.
Masalah ini akan menjadi lebih rumit bila pasangan zina itu adalah penganut agama Islam dan pasangannya pulak bukan beragama Islam. Pasangan yang bukan Islam itu mungkin tidak dikenakan hukuman berat pun, dan pasangannya pula yang beragama Islam akan direjam sampai mati (jika pesalah sudahpun berkahwin).
-Pandangan Syeikh Ali Jum’ah suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, bukan mempertikaikan kesempurnaannya dan kewajipan melaksanakannya. Ia sebaliknya berkenaan ‘ketidaksempurnaan’ suasana semasa. Iaitu tidak memiliki syarat yang ditetapkan bagi membolehkan hukum itu dilaksanakan. Antara syarat tersebut ialah kewujudan saksi-saksi yang berwibawa. Bagi mensabitkan jenayah hudud (zina, qazaf, minum arak, mencuri, hirabah dan kesalahan murtad), saksi yang bersifat adil (‘adalah) diperlukan. Saksi yang adil didefinisikan sebagai, antaranya ‘seorang Islam yang menjauhi dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, bersikap baik dan bersopan santun (chivalry), dan boleh dipercayai ketika marah. Dengan makna tidak melampau batas dalam tindak tanduknya ketika marah (Rujuk Feqh al-Manhaji, jld. 3, ms.569) Ketiadaan saksi yang memenuhi piawaian yang dinyatakan, akan mengakibatkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.
-Pandangan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud, pemerintah menegakkan keadilan masyarakat dalam segala aspek. Peratusan besar jenayah yang pelbagai masa kini berada di bawah takzir. Mekanisma ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk pelaksanaannya Dalam pelaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebalinya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan di luar mahkamah.
Berdasarkan hadis “Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullahh seakan kecewa sedih. Mereka berkata: Wahai Rasulullah ! Seakan engkau membenci hal ini’ Jawab Nabi: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan. Lalu baginda membaca firman Allah yang bermaksud, Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu (an-Nur :22) (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak.
CADANGAN MENANGANI ISU TAKFIR YANG LAHIR DARIPADA POLEMIK HUDUD
-Pengukuhan Aqidah
Menurut Imam Nawawi, sesorang menjadi kafir jika mengingkari sesuatu hukum yang telah diijma` Ulama Islam, dan hukum itu telah diketahui oleh seluruh umat Islam, seperti wajib solat lima waktu, puasa bulan Ramadhan, mandi janabah, haram berzina dan sebagainya, kecuali mereka yang baru masuk Islam dan jahil tentang hukum-hukum dalam syariat Islam. Keingkaran tersebut dengan sebab kejahilan mereka tidak menyebabkan mereka menjadi kafir.
Oleh itu, pendidikan dari segi aqidah secara jelas dan terperinci seharusnya memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat Islam yang harmoni agar tidak terjebak isu takfir sebagaimana yang menjadi larangan dan haram memanggil orang Islam dengan Wahai orang kafir! sebagaimana hadis yang dilaporkan bahawa, Rasulullah menerangkan, Apabila seseorang berkata kepada saudara seagamanya. ‘Hai orang kafir, kata-kata itu pasti kena kepada sesorang daripada mereka. Sekiranya saudaranya itu seperti yang dikatakannya, jadilah dia begitu Sekiranhya tidak, kata-kata itu balik semula kepada orang yang berkata. (Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.)
–Membasmi Kejahilan Hukum Hudud
Menurut (Juanda Jaya, 1998) kejahilan ini berpunca daripada pengaruh sekular di dalam pelbagai sudut kehidupan melalui pencerobohan pertama terhadap syariah yang bermula dengan pencerobohan terhadap hukum-hukum jenayah dan hudud atau apa yang dinamakan sebagai uqubah (hukum kesiksaan). Ia mencakupi masalah qisas (hukum balas) terhadap jiwa dan yang selainnya hudud zina, qazaf, mencuri, minum arak, murtad, bughah (penentang kerajaan yang sah) dan hirabah (perompak).
Ini berlaku sewaktu Khilafah Uthmaniyah memperbaharui Undang-undang Pembalasan ‘Uthmani pada tahun 1840 yang sebenarnya merupakan terjemahan bagi Undang-undang Pembalasan Perancis dengan sedikit perubahan padanya.
Undang-undang ini dilaksanakan terhadap keseluruhan negara Islam. Dengan itu telah terabailah suatu sudut daripada Fiqh Islam daripada alam perlaksanaan. Bermulalah ia surut daripada seluruh Dunia Islam. Kalaulah bukan kerana Allah telah mengkhususkan Semenanjung Tanah Arab daripada terus berpegang dengan perundangan Islam nescaya ia terus lenyap.
Manakala, undang-undang yang berhubungan dengan hukum-hukum hubungan sivil seperti jual beli, sewa, jaminan, kafalah, hiwalah (tukar ganti), gadaian, amanah, wadi’ah (simpanan), hibah, rampasan, merosakkan, syufa’ah, syarikat dan sebagainya, Daulah Uthmaniyah masih terus melaksanakan apa yang terkandung di dalam Fiqh Islam berdasarkan mazhab Hanafi, walaupun ia telah menyusunnya di dalam apa yang dinamakan sebagai Majallah al-Ahkam al-Syarie’yah. Ia juga turut dilaksanakan oleh negara-negara yang berada di bawah kekuasaan Daulah `Uthmaniya.
Sewaktu penjajah Barat menyerang Dunia Islam, setelah mereka menghancurkan saki-baki kekuatan Dunia Islam, mereka menyerang bersama-sama dengannya Undang-undang ciptaan yang ada pada mereka. Dengan itu hukum Undang-undang Sivil Barat menguasai keadaan dan bank-bank riba dengan pelbagai bentuk transaksinya tersebar. Ia telah menguasai sepenuhnya terhadap pembangunan sumber alam, peniagaan dalaman dan luaran.
-Pemahaman Islam Yang Sebenar
Hasan al-Banna pernah mengingatkan para pendukung dan penyokong al-Ikhwan al-Muslimun tentang bahayanya gejala takfir berpuluh-puluh tahun sebelum munculnya pemikiran tersebut. Beliau memberi penekanan agar para belia tidak terburu-buru untuk ‘memetik buah sebelum betul-betul masak’ dalam perjuangan menegakkan Islam.
Beliau memberi garis panduan dalam persoalan takfir dengan katanya (yang bermaksud); “Kita tidak mengkafirkan seseorang Islam yang mengucap dua kalimah Syahadah dan beramal dengan tuntutannya, hanya disebabkan pandangan peribadi atau sesuatu maksiat kecuali dia mengakui dengan kalimah kufur atau mengingkari perkara-perkara yang maklum dalam perkara agama atau mendustai sesuatu yang jelas dalam al-Qur’an atau menafsirkan al-Qur’an dalam bentuk yang tidak dapat diterima oleh uslub Bahasa Arab sama sekali atau melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh ditafsirkan melainkan kafir.”
-Dakwah Dengan Hikmah
Hikmah ialah perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dengan yang bathil. Dengan itu, Allah Ta’ala meletakkan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai asas pedoman dakwah bagi Rasulullah SAW dan setiap umat yang bertugas meneruskan dakwah beliau hingga akhir zaman. Walau bagaimanapun, komunikasi memiliki seni tersendiri agar suatu informasi dapat diterima dengan baik, benar, dan tepat kepada komunikan. Sehingga, tidak keliru dalam memahami informasi yang dimaksud serta tidak salah memahami keinginan sang pemberi informasi tersebut.
Dalam sejarah dakwah Islam, Rasulullah SAW juga sangat memperhatikan metode dakwah agar pesan dakwah dapat diterima dengan baik bagi mad’u (yang didakwahi).
Hal itu dapat dilihat ketika Rasulullah saw melaksanakan wahyu Allah Ta’ala untuk mentauhidkan akidah umat yang keliru dengan menuhankan banyak Ilah dan membersihkan peribadahan dari segala bentuk kesyirikan.
Beliau secara khusus memiliki sebuah tugas mulia dengan jalan mendakwahkan dien Islam ini kepada umat melalui metode yang haq iaitu berupa cara-cara yang sesuai dengan petunjuk Allah Ta’ala.
Melalui metode dakwah beliau SAW adalah Bil hikmah wal mau’izhah berdasarkan firman Allah SWT bermaksud : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. an-Nahl, 16:125)
KESIMPULAN
Jenayah merupakan fenomena sentiasa subur di dalam kehidupan manusia. Jenayah tidak pernah berakhir, malah menjadi lebih serius dan membimbangkan. Walaupun sepatutnya tamadun yang dimertabatkan akan membawa ketinggian akhlak dan ketertiban hidup, namun keadaan sebaliknya terus mengancam kehidupan di alam ini. Kewajaran untuk menerima uqubah di atas apa yang dilakukan harus dijatuhkan hukuman keseksaan bagi menjamin ketegasan, keadilan dan kesucian agama Islam.
Oleh itu, pelaksanaan hukum harus diteliti dengan pemahaman yang jitu agar keadilan terjamin kepada masyarakat dalam sesebuah negara. Manakala pandangan sarjana Islam mengenai pelaksanaan hudud ia memerlukan masa untuk mendidik masyarakat agar pemahaman Islam dengan baik.
Namun, isu takfir yang berpunca dari kepentingan pengaruh tertentu yang mengancam perpaduan umat Islam amat merugikan dan mencemarkan imej Islam itu sendiri. Kesedaran dalam memartabatkan keilmuan dan kefahaman hudud kepada masyarakat harus dimainkan oleh semua pihak agar perbalahan ini dapat dihentikan.
Rujukan :
Shamsul Muda. (2011, Disember 29). Perlaksanaan Hukum Hudud : Apa Kata Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi. Didapatkan dari https://fitrahislami.wordpress.com
`Adil Salamah . (2008). Tadakhal Al `Uqubat Fi Syariah al Islamiah. Gaza: Gaza University.
Abdul al-Qadir Audah. (1986). Al-Tasyri` al Janae al Islami. Beirut: Mu`assasat al-Risalah.
Ali Muhammad Al-Mawardy. (450H). Beirut, Lubnan: Dar Al-Kutub Al `Alamiah.
Alias, O. (2011). Fiqh Jinayat. Selangor: Open University Malaysia.
Fuad Abdul Munein. (2011, Oktober 19). Alukah Dot Net. Retrieved from Mafhum Uqubah: http://www.alukah.net/sharia/0/35474/
Ibnu Taimiyah :171 . (t.t). Fatawa Ibn Taimiyah. tanpa penerbit.
Juanda Jaya. (1998). Halangan-Halangan Pelaksanaa Syariah Islam. Selangor : Maktabah al-Qardhawi.
Mat Saad, A. R. (2006). Hukuman Kesalahan Jenayah Dalam Masyarakat Majmuk. Kuala Lumpur: Intel Multi Media & Publications.
Mohammad Ismail, M. Y. (2012). Prinsip Fiqh Jenayah. Selangor: Open University Malaysia.
Zainuddin Jaafar. (1990). Hukuman Mengikut Undang-Undang Syariah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.