Mekanik Kuantum merupakan bidang fizik yang paling hampir dengan realiti. Teori Kauntum telah menjadi titik tolak teori-teori daya asas seperti teori elektro-lemah (elektrodinamik) dan daya kuat (kromodinamik) tetapi juga mungkin teori graviti. Beberapa aspek Mekanik Kuantum agak berlawanan dengan intuisi contohnya, boleh berlakunya penerowongan, keruntuhan fungsi gelombang (atau kebarangkalian) dan percampuran keadaan-eigen (kebarangkalian) secara linear.
Jika difikirkan secara mendalam, tidak ada sebab asas mengapa semua aspek ini boleh diterima, namun didapati sesuai dengan hukum alam dan kejadian peristiwa seperti tekal dengan hukum-hukum fizik yang lain).
Tulisan ini cuba melihat Mekanik Kuantum dalam kerangka metafizik. Ini diperkuatkan oleh premis bahawa alam fizikal sendiri terbenam dalam alam metafizik (alam ghaib).
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa Teori Mekanik Kuantum dan alam fizik itu sendiri berada dalam satu manifold teori dan alam yang lebih rumit yang topologinya masih belum diketahui.
Beberapa kesamaan di antara aspek Mekanik Kuantum dengan bidang kesufian ditinjau dan didapati terdapat beberapa keselarasan. Dari segi penerimaan umum pula, intrepetasi Copenhagen terhadap Mekanik Kuantum yang paling ramai pengikutnya walaupun intrepetasi yang lebih ‘keislaman’ seperti teori banyak alam (many worlds) yang diutarakan oleh Wheeler dan intrepetasi Bohm semakin mendapat perhatian sekarang. Khasnya, intrepetasi Bohm yang dapat mengatasi masalah ‘pengukuran’ dan ‘keruntuhan fungsi gelombang’.
Terdapat dua aliran pemikiran Mekanik Kuantum sekarang iaitu :
(1) Aliran menerima kelokalan dan menolak realisme dan aliran satu lagi
(2) Aliran menerima realisme dan menolak kelokalan.
Jelas bahawa aliran yang menerima realisme dan menolak kelokalan lebih hampir dengan pandangan tauhid malah nampaknya aliran ini semakin rancak diterokai dalam bentuk daya asas sebagai mod-mod getaran supertali dan supermembran.
Topologi Alam Semesta
Menurut Abu Yazid al-Bistami (seorang tokoh agung sufi), terdapat 18,000 alam lain yang wujud di alam semesta ini. Mungkinkah ini sebahagian daripada manifold Calabi-Yau yang dianggarkan berjumlah di sekitar 25,000 bilangannya dan tidak semua bersesuaian dengan hasil darab kumpulan yang tekal dengan teori supertali Green dan Schwarz itu?
Namun, ini tekal dengan intrepetasi Mekanik Kuantum Wheeler. Diriwayatkan juga bahawa Abu Yazid al-Bistami sendiri boleh ‘berpecah’ kepada 25,000 iaitu beliau pernah dilaporkan berada di 25,000 tempat dalam sesuatu masa.
‘Pengklonan diri’ ini bermakna pemecahan fungsi gelombang boleh dilaksanakan seperti yang boleh dibuktikan secara ujikaji fizik malah satu fonomena kebalikan ‘penyatuan diri’ contohnya penyatuan fungsi-fungsi gelombang berlaku dalam pembentukan kondensat Bose-Einstein yang berlaku pada suhu hampir sifar Kelvin.
Banyak riwayat tentang kekeramatan ahli-ahli sufi ini yang boleh memendekkan masa dan menerowong ke tempat yang jauh dengan sekelip mata, satu perkara yang tidak mustahil seperti yang diberitakan oleh al-Quran tentang jin (apatah lagi manusia) dan sebahagian huraian ini terdapat dalam kitab al-Hikam hasil nukilan Ibnu ‘Ata’illah al-Iskandari dan Risalah al-Qushairiyah; dua buah kitab tasauf yang sudah lama diajar dan ditelaah oleh pelbagai pondok dan pesantren di Nusantara.
Dalam Mekanik Kuantum, jelas bahawa ‘penerowongan’ oleh jirim di benarkan malah kekaramatan yang dikaitkan dengan perjalanan melebihi kelajuan cahaya sekarang menjadi kajian yang sangat rancak di kalangan ahli fizik sub-bidang fizik tachyon dan isyarat superluminal.
Kewujudan Jirim Secara Ex-Nihilo
Sebelum wujudnya teori Mekanik Kuantum sukar untuk ahli fizik moden menerima hakikat bahawa sesuatu jirim boleh diwujudkan daripada ‘tiada’ walaupun Einstein sudah membuktikan bahawa jisim=tenaga (E=mc²).
Apabila teori Mekanik Kuantum sudah begitu pesat diterima oleh komuniti ahli-ahli fizik, teori ini digunakan untuk mengkuantumkan Alam Semesta (dalam bentuk persamaan De Witt-Wheeler) dan dikaji secara mendalam oleh Hawking dan Hartle dan lain-lain yang membenarkan kewujudan alam semesta ini daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’ melalui proses ‘penerowongan’ (atau flutuasi vakum).
Teori Mekanik Kuantum juga mengandaikan satu skala Planck di mana teori ini tidak boleh digunakan lagi. Ini mencetuskan bidang Fizik Skala Planck yang diterokai oleh Finkelstein di Desert Institute, Nevada, USA.
Skala yang sangat kecil ini pun mempunyai ‘zarah’ dan dipanggil oleh Ibnu ‘Arabi sebagai al-Haya – satu jirim asas di alam Malakut yang boleh digunakan oleh para wali Allah yang dibenarkan oleh Allah Ta’ala untuk membuat sesuatu jirim dengan isim ‘Kun Fayakun’.
Proses kejadian alam semesta selepas berlakunya Letupan Besar (daripada ‘tiada’) mengambil enam peringkat seperti yang dijelaskan dalam al-Quran.
Sifat Temporal (Kesementaraan) Alam Ini
Segala sesuatu dalam alam ini mengikuti Hukum Termodinamik Kedua iaitu entropi akan terus bertambah nilainya. Ini bermakna bahawa alam semesta akan menjadi lebih kalut (chaotic) dan tidak teratur yang akhirnya mengakibatkan kehancurannya (kiamat).
Tetapi, jika dilihat ada skala kosmologi pula keakhiran alam semesta ini boleh berlaku begitu mudah (dalam sekelip mata sahaja atau lebih cepat seperti dijelaskan yang dijelaskan dalam al-Quran) dan secara teori Mekanik Kuantum ini boleh berlaku secara ‘runtuhan fungsi gelombang’.
Namun, jika kita lihat secara mikroskopik iaitu dari satu galaksi ke satu galaksi yang lain maka termodinamik yang diikuti oleh setiap galaksi adalah tak songsang (irreversible), kehabisan (dissipative) dan tidak seimbang (non-equilibrium).
Kekompleksan ini ditambah lagi oleh kewujudan rejim-rejim pergerakan zarah yang boleh diramal (predictable) dan yang tidak boleh diramal (chaotic). Jadi sudah pastinya qada’ dan qadar itu merupakan satu mainan (interplay) di antara rejim-rejim itu dengan sifat termodinamik tadi dan keruntuhan fungsi gelombang alam semesta ini hanya akan dapat difahami jika teori graviti itu sendiri dapat dikuantumkan.
Namun percubaan untuk mengkuantumkan gravity sehingga kini masih belum dapat dilakukan oleh ahli fizik teori. Kemungkinan besar masalah pengkuantuman graviti ini boleh diselesaikan melalui teori supertali dan supermembran di masa yang terdekat.
Dilihat dari segi mikroskopik supertali dan supermembran itu sendiri merupakan mod-mod geteran tenaga (dalam pelbagai dimensi) dan ini mengingatkan kita tentang “semua yang di langit dan di bumi berzikir kepada Allah Ta’ala” (al-Quran).
Oleh yang demikian penerokaan ilmu ini seharusnya diambil peduli agar menggunakan minda kita melebihi 5% keupayaan otak. Sewajarnya, belajarlah ‘menggunakan’ selebihnya. Kegagalan menggunakan minda ini menyebabkan kaum lain menguasai dunia dan kita sendiri tidak memahami Ad-Din Al-Islam itu sendiri lantas menyempit dan dijadikan alat untuk pertelingkahan.
Walau bagaimanapun, dimensi mekanik kuantum ini telah menyingkap sesuatu yang telah dibincangkan dalam ilmu spirtual atau kesufian.
Misalnya kita kadang-kadang cepat ‘menghukum’ seperti “tasyabbuh bil-kuffar” (menyerupai orang-orang kafir), maka penyerupaan yang dilarang adalah penyerupaan dalam hal keyakinan dan kepercayaan (aqidah). Bukannya terbatas dalam hal-hal yang bersifat zahir, kerana apabila difahami secara sempit seperti menaiki kereta, membuat kek atau menyambut birthday, memakai pakaian jeans, makan menggunakan sudu dan garpu, memakai perfume dan sebagainya, Adakah semua itu diharamkan ! selagi tiada setitik pun yang haram kenapa kita perlu sempitkan lagikan Islam Cara Hidup, sekiranya disempit-sempitkan kita boleh menganggap Islam itu mengongkong.
Begitu juga, kita lihat orang-orang Majusi mengelilingi api untuk menyembah, maka kita juga boleh mengikut cara mengelilingi api namun bukan untuk menyembah, melainkan sekadar untuk memanaskan badan saja. Niat dan aqidah-lah yang membezakan.Ini perlu kita fahami dengan luas berdasarkan ilmu.