Menurut (Kamus Dewan, 2016) usahawan merupakan orang yang mengusaha sesuatu perusahaan atau seorang pengusaha. Keusahawan pula, bermaksud segala yang berkaitan dengan usahawan atau kegiatan dan kemahiran usahawan seperti mencari teknik-teknik baru, sikap atau etika dalam mempercepatkan proses pembangunan dan pengurusan dalam bidang tersebut.
Mengikut (Mubarak, 2017) perkataan keusahawanan dan usahawan umumnya tidak digunakan secara langsung dalam tradisi keilmuan Islam. Istilah berkenaan berbeza dengan istilah perniagaan, peniaga dan jual beli (tijārah, tājir dan al-bayᶜ) (تجارة, تاجر,البيع) yang biasa ditemui dalam perbahasan berkaitan Fiqh al-Tijārah (فقه التجارة) dan ekonomi Islam.
Istilah tersebut disebut secara langsung dalam al-Quran dan al- Sunnah berkaitan kedudukan dan galakannya dalam Islam, akhlak, serta amalan berkaitan dengan perniagaan atau ekonomi secara prinsip dan juga praktikal.
(Siddiqi, 1979) pula berpendapat bahawa intipati kelakuan keusahawanan dalam masyarakat Islam terarah kepada keuntungan yang memuaskan, perkhidmatan kepada masyarakat dan sikap saling bantu-membantu dan menjaga keharmonian. Ini menunjukkan bahawa aktiviti keusahawanan Islam, selain faktor pendapatan dan keuntungan, sebenarnya turut menekankan aspek kebajikan serta sumbangan terhadap keperluan dan kemaslahatan ummah.
Manakala, (Al-Qaraḍāwī, 2001) membincangkan dari sudut soal nilai dan akhlak dalam ekonomi Islam dengan mengatakan bahawa keusahawanan sebagai suatu bentuk ibadah melalui aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor (pengeluaran dan perkhidmatan) yang memberi manfaat kepada manusia untuk meningkatkan taraf atau keperluan kehidupan agar menjadi lebih sempurna dan sejahtera mengikut neraca Ilahi.
Dalam Islam, usahawan dapat difahami dengan golongan yang menjalankan kegiatan perniagaan dengan produk halal seperti urusniaga tanpa riba kerana pengharamannya berdasarkan perlanggaran prinsip-prinsip harta, akhlak dan menjaga kepentingan orang ramai serta berteraskan dengan nilai akhlak mulia yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana Nabi SAW telah menekankan kepentingan sifat amanah yang merupakan prinsip yang akan membawa kepada keberkatan dalam perniagaan.
EMPAT ciri usahawan menurut al-Quran, hadith, dan sirah.
-Amanah dan bertanggungjawab
Amanah adalah satu konsep yang luas meliputi sikap bertanggungjawab terhadap Allah SWT dan juga terhadap sesama manusia. Konsep tanggungjawab kepada Allah s.w.t. bermakna segala harta dan kekayaan adalah milik Allah SWT. Manusia bertanggungjawab menguruskannya bagi kesejahteraan dan faedah bagi seluruh umat manusia. Justeru, amanah dan tanggungjawab seorang usahawan dalam perniagaan ialah membawa manfaat dan faedah kepada sesama manusia. Sabda Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadis bermaksud: Pengkhianat yang paling besar dan paling babaya ialah yang dilakukan oleh seseorang yang ditugaskan menjaga urusan orang ramai lalu diabaikan.
Tindakan dan keputusan yang berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang samada pembeli atau pengusaha mendapat haknya. Penipuan dan perpecahan akan dapat dielakkan sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar.
-Bersabar Untuk Kaya
Sabar bermakna mampu menanggung kesukaran tanpa gelisah untuk mendapatkan pulangan hasil walaupun lambat. Dalam dunia perniagaan, sifat sabar sangat penting kerana keuntungan tidak akan diperoleh dengan cepat. Selain itu, sikap sabar penting dalam menghadapi kerenah dalam perniagaan seperti, keadaan ekonomi yang meleset, peraturan dan tekanan penguatkuasaan dan pesaing.
Justeru, fenomena ini adalah berdasarkan prinsip al-Quran bahawa setiap manusia pasti akan diuji. Lantaran itu, manusia mesti mengatur segala persediaan untuk menghadapi ujian. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Muhammad, ayat 31: Maksudnya: Dan Sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar antara kamu dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwal kamu.
Sabar untuk mendapat keuntungan yang cepat, kelakuan peniaga yang tamak, mahu mendapat keuntungan dengan menyorok atau menyimpan barang-barang tersebut dalam jumlah yang banyak dengan tujuan untuk menjual barangan tersebut dengan harga yang mahal apabila masyarakat menghadapi kesukaran untuk mendapatkannya, juga dilaknat Tuhan. Perbuatan ini adalah satu jenayah perniagaan dalam Islam.
Peniaga Islam sepatutnya memahami keuntungan adalah ditentukan oleh Allah berdasarkan kepada usaha dan cara mereka menjalankan urusan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh dengan memonopoli barang secara menyorok atau
menyimpannya dengan jumlah yang banyak sehingga menyukarkan masyarakat bukan satu keuntungan yang berkekalan kerana ia adalah bertentangan dengan konsep dan prinsip perniagaan Islam. (Saodah, 2017)
Proaktif dan Kreatif
Seorang usahawan perlu bersikap proaktif dan berpandangan jauh ke hadapan. Nabi Muhammad SAW sebagai contoh, merupakan seorang yang bersifat proaktif apabila setiap langkah tindakannya sangat jauh ke hadapan sehingga menjangkau pemikiran manusia biasa. Sikap proaktif ini boleh kita lihat apabila Baginda telah mengadakan aktiviti pemigaan di tempat yang strategik seperti pasar-pasar di Mekah yang merupakan tempat tumpuan orang ramai terutama pada musim haji. Hubungan perniagaan merupakan pembuka hubungan silaturahim dan penyebaran dakwah.
Sehinggakan hubungan tersebut membawa kepada termeterainya perjanjian Aqabah pertama dan kedua sebagai persediaan sebelum Baginda dan umat Islam berhijrah ke Madinah. Justeru itu, seorang usahawan perlu berfikiran kreatif dalam mengendalikan perniagaan. Seorang usahawan perlu kreatif terutama semasa melakukan perubahan atau pembaharuan dalam pemasaran barangan agar lebih baik daripada barangan yang dikeluarkan oleh para pesaing.
Berilmu Pengetahuan
Usahawan yang berjaya adalah mereka yang membina kemahiran, pengalaman dan sumber yang diperlukan sebagai kelebihan dalam merebut peluang. Ilmu berupaya meningkatkan kewibawaan, potensi dan keunggulan diri.
Nabi Muhammad SAW. telah dibekalkan dengan asas ilmu keusahawanan yang ditimba melalui bapa saudaranya, Abu Talib, sewaktu Baginda mengikutinya berniaga. Firman Allah SWT : Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman anataramu dan orang-orang yang diberi pengetahun beberapa darjat, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.(Surah al-Mujadalah : 11)