Site icon Wacana Zeckry

Peranan Maqasid Dalam Hukum Zakat Mughallat

Maqasid Syariah Dalam Hukum Zakat Mughallat (Zakat Hasil Daripada Sewaa Aset)

Menurut, Selamat (2016) Maqasid Syariah merupakan dasar dan garis panduan yang telah disediakan bagi menjaga kehidupan manusia supaya sentiasa memperolehi kemaslahatan dan dijauhi daripada keburukan. Oleh itu, peranan maqasid Syariah bukan sahaja terhad kepada penentuan dalam sesuatu permasalahan hukum bahkan penggunaannya adalah meluas untuk diaplikasikan dalam sistem pembangunan sesebuah negara Islam agar selari dengan lunas-lunas Islam kerana maqasid Syariah memberi nilai kesejahteraan dan perkembangan sistem ekonomi.

Maqasid Syariah dalam hukum zakat hasil daripada sewaan aset adalah berkait rapat dengan cara pemerolehan harta, pemeliharaan harta, pengurusan harta perbelanjaan dan agihan harta. Dalam kaedah zakat, seharusnya melihat kepada sifat harta tersebut, sama ada bersifat berkembang atau tidak. Jika pelabur tersebut menjadikan rumah, tanah dan seumpamanya dari kalangan aset itu sebagai kegunaan harian (qinyah) misalnya dan tidak menjana sebarang untung mahupun hasil dari semua aset yang dimilikinya itu, maka tiada zakat yang dikenakan.

Namun, jika sekiranya kesemua aset tersebut dijadikan modal pelaburan dan dijual tatkala harga meningkat untuk menjana keuntungan, maka ia sudah dianggap sebagai harta yang punya nilai yang berkembang dan perlu dizakat dari jumlah semasa nilai aset tersebut walaupun belum terjual sekiranya tiba haul dan cukup nilai nisabnya.

Jika dijual dalam haul, maka jumlah nilai aset dan keuntungannya hendaklah dicampur dan dikira sebagai zakat perniagaan yang diambil nilai zakatnya 2.5% dari nilai keleruhan aset dicampur dengan keuntungan jualan. Jika kos-kos pengoperasian yang terlibat ianya boleh ditolak dari jumlah yang dikenakan zakat.

Jika aset tersebut misalnya belum terjual, dan sudah tiba haul untuk dizakatkan dan pemilik aset tidak mempunyai kecairan kewangan, maka zakat tersebut boleh ditangguhkan pembayarannya sehingga tiba waktu aset tersebut terjual dan tuan punya aset sudah mempunyai kecairan (wang) untuk menunaikan zakatnya yang tertangguh tadi.

Justeru, maqasid syariah dari sudut pemeliharaan Harta (Hifz Mal) yang digariskan di bawah Maqāṣid Ḍarūriyyah: iaitu perkara yang menjadi keperluan asasi manusia untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Jika perkara ini tiada, kehidupan manusia akan menjadi seperti kehidupan binatang yang akhirnya menuju kepada kerosakan dan kebinasaan. Keperluan asasi yang menjadi objektif syarak untuk menjaganya ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dalam Maqāṣid Ḥājiyyah yangmerupakanperkara yang menjadi keperluan manusia yang menjadi objektif syarak dan ketiadaannya menyebabkan manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah dengan penuh kesukaran dan huru-hara. Di antara perkara tersebut seperti keharusan jual beli, sewaan, pinjaman dan keringanan melakukan ibadat ketika sakit atau bermusafir.

Dengan demikian, maqasid syariah bertujuan memelihara dan menyuburkan susunan sosial masyarakat dalam pemeliharaan kekayaan dan penjagaan harta, kerana harta merupakan suatu yang amat diperlukan oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan. Dalam Islam, harta perlu dijaga dengan mengelakkan sebarang cara perolehan yang haram, perlu dilaburkan supaya berlaku pertambahan dan percambahan serta tidak boleh dibazirkan atau dibiarkan.

Matlamat permeliharaan harta tersebut berkait rapa dengan pemeliharan agama kerana hukum-hakam agama menetapkan cara-cara berurusan dengan harta termasuklah perolehan dan perbelanjaan. Ini seiring dengan penjagaan akal kerana syarat sah transaksi kontrak bergantung kepada kematangan pihak berkontrak.

Peranan Maqasid dalam Zakat Rawatib

Keperluan asas bagi seseorang dalam kehidupan seharian mereka, definisi para fuqaha mengenainya adalah seperti mana yang disampaikan oleh al-Shatibi. (1997) menjelaskan bahawa ia sesuatu yang diperlukan kepadanya untuk kelapangan dan mengelak daripada kesempitan hidup, di mana pada kebiasaannya ia akan membawa kepada kesukaran, sebahagian contoh-contohnya ialah makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.

Zakat pendapatan ialah zakat yang dikenakan keatas semua jenis sumber pendapatan,hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan, aktiviti yang menghasilkan pendapatan bagi seseorang muslim. Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr. Hussein Shahatah, zakat gaji dan pendapatan diistilahkan sebagai zakat Mal al-Mustafad iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional. Ianya merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau institusi.

Oleh yang demikian, setiap hasil atau ganjaran daripada pekerjaan atau perkhidmatan secara usaha sendiri atau daripada pihak lain. Contoh item-item yang tergolong daripada pendapatan ialah gaji, elaun, bonus, emolumen, upah, bayaran profesional, dan semua jenis penerimaan yang tidak berasaskan modal, tetapi berasaskan kerja ataupun khidmat yang diberikan.

Justeru, apabila ditinjau dengan lebih mendalam tanggungjawab membayar zakat itu dapat mencapai kelima-lima unsur maqasid syariah.

i. Prinsip Menjaga Kemuliaan Agama

Menjaga kemuliaan agama adalah amat penting dan wajib bagi seseorang muslim. Ini bermakna mereka perlu memelihara kesucian agama dalam apa jua keadaan. Segala tindak-tanduk mestilah tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Segala perintah Allah harus dilaksanakan dan segala larangannya harus dijauhi. Membayarkan zakat sebagai bentuk ketaatan seorang yang beragama Islam kepada Allah SWT kerana ia termasuk kategori menjaga kemuliaan agama.

ii. Prinsip Menjaga Nyawa

Sebagai seorang individu muslim berhak dan sewajarnya bertanggungjawab bagi memastikan keperluan menjaga nyawa (termasuk nyawa orang Islam yang lain) ini dipenuhi demi kesejahteraan semua dan tidak melakukan sesuatu yang akan mengancam nyawa diri sendiri dan masyarakat. Dengan amalan membayarkan zakat dan mengagihkan zakat bererti kita telah menjaga keperluan hidup orang-orang yang memerlukan agihan zakat tersebut terutama golongan fakir dan miskin daripada ancaman kebuluran.

iii. Prinsip Menjaga Akal dan Fikiran

Akal dan fikiran penting untuk menggarap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sewajarnya bagi membolehkan mereka mencari sumber rezeki yang halal. Tanpa kewarasan akal dan fikiran, kemungkinan seseorang akan terdorong untuk melakukan kekerasan, keganasan dan hilang rasa hormat menghormati ketika mencari sumber rezeki yang halal. Zakat sewajarnya dihasilkan daripada sumber yang halal dan ia membentuk keperibadian dan kesejahteraan masyarakat.

iv. Prinsip Menjaga Maruah dan Keturunan

Orang Islam yang menunaikan kewajipannya membayar zakat akan melahirkan penghormatan daripada ahli masyarakat disamping keberkatan dalam kehidupan. Sebaliknya mereka yang tidak membayarkan zakat walaupun sudah memenuhi syarat-syaratnya akan dibenci bahkan dalam sejarah Saidina Abu Bakar r.a pernah memerangi orang yang tidak membayar zakat (Alatas, t.th).

v. Prinsip Menjaga Harta

Di dalam ajaran Islam sendiri mengalakkan umatnya mencari sumber rezeki dan harta yang halal bagi memenuhi keperluan asas mereka seperti makan, pakaian, dan tempat tinggal. Selain itu, harta yang dizakatkan harus juga bersumber dari pendapatan yang halal. Sekalipun harta biasanya diletakkan pada peringkat paling bawah, namun harta penting sebagai wasilah untuk mencapai penjagaan aspek-aspek lain sehingga kepada penjagaan terhadap agama (Mohamad Sabri Haron, 2011).

Apabila semua unsur-unsur maqasid al-syarirah dalam pembayaran dan pengagihan zakat terpenuhi, maka kesejahteraan masyarakat akan dapat direalisasikan. Segala masalah ekonomi, kewangan, dan kemiskinan yang melanda umat Islam dewasa ini akan dapat dikurangkan secara maksima.

Exit mobile version