Malaysia mengamalkan sistem dwi mahkamah, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berbeza, namun terdapat beberapa peruntukan undang-undang mahkamah syariah yang mengambil undang-undang mahkamah sivil (common law) sebagai panduan dan mengharmonikannya mengikut lunas Islam seperti yang berlaku pada Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah. Proses yang dikenali sebagai harmonisasi dan Islamisasi perundangan ini membuka dimensi baharu perundangan syariah di negara ini. Antara inti pati yang diharmonikan dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah termasuklah kaedah pembuktian kes.

Dalam konteks keterangan dan pembuktian, status yang dirujuk di mahkamah sivil ialah Akta Keterangan 1950 (Akta 56), manakala mahkamah syariah pula berpandukan statutnya yang berbeza mengikut negeri seperti Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997 (Akta 561) dan Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003 kerana undang-undang syariah merupakan hak eksklusif negeri seperti yang termaktub dalam Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Status yang berbeza ini digunakan sebagai panduan untuk mengemukakan pembuktian dan keterangan di mahkamah. Oleh sebab Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah mengadaptasi Akta Keterangan 1950 sebagai panduan.

Oleh itu, pemakaian kaedah fiqhiyyah dan Maksim Perundangan Inggeris dalam Undang-undang Keterangan Islam memainkan peranan yang penting dalam sesuatu prosedur penghakiman yang menepati hukum syarak. Kaedah-kaedah ini yang diharmonisasikan secara praktikalnya di dalam undang-undang keterangan membantu hakim mencari kebenaran dan menjatuhkan hukuman yang tepat seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Keadilan akan dapat ditegakkan melalui pelaksanaan undang-undang yang adil, keterangan yang tepat dan pembuktian yang kukuh.

Di samping itu, dengan menggunapakai kaedah fiqhiyyah dalam keterangan dan prosedur pembuktian di mahkamah, secara tidak langsung hakim telah menghukum berdasarkan apa yang telah digariskan dan diperintahkan oleh-Nya. Hal ini kerana, hakim-hakim hanya menghukum berdasarkan yang zahir sahaja, manakala hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang tersembunyi.

Selain itu, kaedah ini juga diambil dan terhasil dari sumber yang paling utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini akan mewujudkan satu keputusan yang adil dan amanah selain memelihara hak-hak Allah SWT dan hak-hak manusia seluruhnya.

Manakala, dalam sesuatu penghakiman kes, kaedah fiqhiyyah ini juga dilihat dapat menjaga kemaslahatan dan hak-hak pihak yang terlibat. Oleh itu, dapat dikatakan disini bahawa  pemakaian kaedah ini di dalam Undang-undang Keterangan Islam bukan sahaja memberi kemudahan kepada hakim dan para pengamal undang-undang malah kepada pihak-pihak yang terlibat. Pihak yang mendakwa akan membuktikan dakwaannya, pihak yang didakwa diberi  peluang membela diri dan membuktikan dirinya tak bersalah supaya hak yang dirampas dapat dikembalikan dan pihak yang bersalah akan dihukum (Suhaizad Saifuddin, 2019).

Menurut Mohamad (2017) kes Myriam v. Mohamed Ariff [1971] 1 MLJ 265. Dalam kes itu, hakim mahkamah sivil yang selama ini mempunyai bidang kuasa dalam hal jagaan anak, tidak kira Islam atau bukan Islam, berpendapat bahawa mahkamah sivil masih mempunyai bidang kuasa itu walaupun bidang kuasa itu, mengenai orang-orang Islam, telah diberi kepada mahkamah syariah. Akibat daripada penghakiman ini, Perkara 121 dipinda dengan memasuki klausa (1A). Ringkasnya, apa yang dikatakan oleh klausa (1A ) ialah: (Mahkamah sivil) “…….tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.” (Ditambah oleh Akta A704, seksyen 8, berkuatkuasa mulai 10-06-1988.

Tujuannya, seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim dalam artikelnya bertajuk “The Amendment to Article 121 of the Federal Constitution : Its Effect on the Administration of Islamic Law” [1989] 2 MLJ xvii, adalah untuk mengatasi masalah seperti yang berbangkit dalam kes Myriam v. Mohamed Ariff itu.  Pindaan itu hanya tertumpu kepada “apa-apa perkara” (“any matter”) dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Jika perkara itu terletak dalam bidang kuasa mahkamah syariah seperti hak jagaan anak dalam kes itu, mahkamah sivil tidak ada bidang kuasa mengenainya .

Kesimpulannya, mahkamah di negara kita hanya dibahagikan kepada dua iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Kedua-dua kategori tersebut mamainkan peranan berbeza, berikutan bidang kuasa yang berbeza tertakluk kepada peruntukan yang dibenarkan. Mahkamah Sivil diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan sementara Mahkamah Syariah pula diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, bergantung kepada kuasa yang diberikan oleh Sultan atau pemerintah tertinggi negeri tersebut.

Justeru, terdapat sisi persamaan dan perbezaan antara enakmen keterangan mahkamah syariah dengan Akta 56 dalam konteks kaedah pembuktian. Persamaan dan perbezaan ini terhasil daripada proses adaptasi dan Islamisasi yang berlaku pada enakmen keterangan mahkamah syariah. Terdapat tujuh kaedah pembuktian yang diperuntukkan dalam undang-undang keterangan mahkamah syariah dan lima daripadanya diadaptasi daripada Akta 56, iaitu pengakuan, kesaksian, keterangan lisan, keterangan dokumen dan keterangan pakar. Namun, kesemua kaedah ini cuba diharmonisasikan mengikut lunas keterangan Islam.

Maka, peningkatan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman kita terhadap perundangan negara  dapat menyatukan masyarakat yang lebih harmoni dan progresif. Mahkamah Syariah adalah mengkhususkan kepada orang Islam yang boleh dimartabatkan sebagai satu sistem perundangan yang unggul bagi kita semua khususnya yang beragama Islam.

Rujukan

Aziz, S. A. (2018, March 15). Kolumnis Berita Harian Online. Didapatkan dari Perbetulkan Istilah, Takrifan Kurang Tepat: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/03/399660/perbetulkan-istilah-takrifan-kurang-tepat

Bahrom, H. (2010). Siasah Shar`iyyah. Selangor: Open University Malaysia.

Borhan, A. J. (2013). Konsep Siyasah Syar`iyyah dan Pelaksanaannya Dalam Konteks Malaysia. Siyasah Syar`iyyah Dalam Konteks Masa Kini : Isu dan Cabaran Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), 1-8.

Hussin Che Pa, N. H. (2016). Bidang Kuasa Eksklusif Mahkamah Syariah Selepas Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan : Satu Penilaian. Malaysian Journal Of Syariah and Law, 1-20.

Jabatan Bantuan Guaman. (2019, Februari 15). Laman Rasmi Jabatan Bantuan Guaman. Didapatkan dari http://www.jbg.gov.my

JKSM. (2019, Jun 10). Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Didapatkan dari http://www.jksm.gov.my/index.php/ms/profil-jabatan/pengenalan/latarbelakang-jksm/92-jksm/maklumat-korporat

Karim, M. R. (1999). Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institusi Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Khallaf, A. W. (2003). Siasah Syari`yyah Dalam Pemerintahan Islam Terj.Mohd Hapiz Mahaiyadin. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

Mohamad, T. A. (2019, Jun 15). Sistem Kehakiman dan Perundangan Di Malaysia : Satu Wawasan. Retrieved from https://tunabdulhamid.me/2001/04/sistem-kehakiman-dan-perundangan-di-malaysia-satu-wawasan/

Suhaizad Saifuddin, R. M. (2019). Kaedah Pembuktian Dalam Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil DI Malaysia : Suatu Kajian Perbandingan. Kanun : Jurnal Undang-Undang Malaysia, 1-34.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.