Site icon Wacana Zeckry

Konsep Siasah Syar`iyyah

Catatan mengenai konsep Uqubah dalam Islam, Kali ini penulis cuba panjangan lagi mengenai Konsep Siasah Syar`iyyah.

Pendahuluan

Sistem politik Islam merupakan suatu perkara asas kepada masyarakat ke arah memahami hakikat pemerintahan Islam. Politik Islam dalam istilah fuqaha ialah siyasah syariyyah. Sistem perundangan di Malaysia menyaksikan pengamalan sistem dwi mahkamah iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Bagi setiap mahkamah, terdapat peruntukan-peruntukan tersendiri dalam bidang kuasa tertentu untuk menjamin keadilan yang maksimum kepada rakyat.

Menurut Aziz (2018), dalam konteks sistem perundangan yang diamalkan di dunia, secara umumnya, ada tiga sistem undang-undang yang berpengaruh di dunia, iaitu common law, civil law dan religious law. Civil law dalam konteks sistem perundangan merujuk kepada undang-undang bertulis dan hakim yang menafsir undang-undang. Civil law yang berasal daripada undang-undang Rom ini banyak diterima pakai di negara bukan Komanwel. Perbezaan utama di antara common law dengan civil law ialah peranan prinsip duluan kehakiman. Common law mengutamakan duluan kehakiman, tetapi civil law mengutamakan undang-undang bertulis. Justeru, istilah civil law umumnya merujuk kepada sistem perundangan yang bukan common law dan bukan merujuk kepada undang-undang yang tidak boleh menerima nilai agama.

Manakala, Mahkamah Syariah ialah institusi kehakiman yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman ke atas orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah agama mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan untuknya (JKSM, 2019).

Oleh itu, pemahaman asas Siasah Syar`iyyah dapat difahami dengan dihuraikan dari sudut bahasa, istilah pandangan ulama dan pelaksanaannya. Di samping penulis akan menerangkan status kedua-dua sistem mahkamah dari sudut perlembagaan negara, jenis-jenis mahkamah dan bidang kuasanya dan membincangkan mengenai keselarian antara sistem dwi mahkamah dan konsep Siasah Syar`iyyah. Walau bagaimanapun, perbincangan ini juga berfokus kepada tentang aplikasi konsep siasah syar`iyyah dalam pengamalan sistem dwi mahkamah di Malaysia.

Definisi Siasah Syar`iyyah

Dari segi bahasa, Siasah Syar`iyyah merupakan gabungan dua perkataan Arab iaitu daripada kata kerja: ساس- سياسة -ساس يسوس

Bermaksud: mentadbir, mengurus atau menyelenggara sesuatu yang memberi manfaat kepadanya dan شرع-شرعا – وشريعة وشرعية –شرع – يشرع

Bermaksud: melakukan atau menjelaskan sesuatu perkara mengikut undang-undang dan lunas-lunas syarak serta maqasidnya (matlamat syarak).

Dari sudut istilah, Siasah Syar`iyyah adalah suatu disiplin ilmu yang membicarakan tentang urusan pentadbiran dan pemerintahan sebuah negara serta hal ehwal kehidupan manusia berdasarkan tuntutan dan kehendak syarak (Borhan, 2013).

Menurut Khallaf (2003) para fuqaha pula mentakrifkannya sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya (Abdul Wahab Khallaf: 1982, hal. 18) atau menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak. Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya yang bermaksud: “Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhum al-anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, politik atau siyasah itu bermaksud mengurusi urusan masyarakat, ini menjelaskan kepada kita secara umumnya manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat secara semula jadi. Kepimpinan politik adalah satu yang dharuri dalam apa sistem sekalipun, demi menjaga kestabilan, keamanan dan kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi. Ini kerana secara semula jadinya, manusia suka bercakaran antara satu sama lain kerana orang yang kuat akan menindas orang yang lemah dan begitulah seterusnya. Maka, Siyasah dalam Islam terbina atas tujuan menjaga kemaslahatan hidup manusia berasaskan syariat. Ada pemerintahan yang diatur secara tabe‟i dan ada yang berpandukan manhaj ilmu.

Kebanyakan ulama mendefinisikan pengertian siyasah dengan definisi yang tidak lari daripada kedua-dua takrifan di atas. Oleh itu ilmu siasah syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau sebagaimana pernyataan Abdul Wahab Khallaf iaitu mentadbir urusan umum bagi daulah Islamiah dengan perkara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan kemudaratan daripada mereka dengan tidak melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliyyah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin.

Manakala, pendapat sarjana Islam seperti Ibn Khaldun berpendapat Siyasah Syar`iyyah adalah satu mekanisme untuk menjalankan pentadbiran negara dan pelaksanaan hukum-hukum, merancang dan meminda peraturan dan undang-undangnya (Ibn Khaldun: tt, hal. 302-311). Bagi melaksanakan siyasah syar`iyyah ini, Ibn Khaldun menyatakan dua kaedah yang perlu digunakan iaitu:

 Pertama: Dinamakan Siyasah Diniyyah (agama) untuk kebaikan dunia dan akhirat bersandarkan kepada prinsip-prinsip dan ketentuan syariat yang diturunkan Allah di mana ia wajib dipatuhi dan ditaati tanpa dipersoalkan berdasarkan kepada konsep keimanan dan pembalasan di akhirat kelak.

Kedua: Bersandarkan kepada kekuatan akal (siyasah aqliyyah) yang juga wajib dipatuhi. Kewajiban mematuhi siyasah akal ini kerana tindakan, keputusan dan dasar yang diambil melalui kaedah ini tetap berpandu kepada kepentingan dan kemaslahatan masyarakat seluruhnya.

Ibnu Khaldun berpendapat kerajaan atau al-mulk bertanggungjawab menanggung semua manusia mengikut kehendak tujuan dan nafsu, dan kerajaan siyasi atau politik, menanggung semua manusia mengikut kehendak pandangan akal dalam membawa kemaslahatan dunia dan menolak kemudharatan. Beliau berpendapat Siyasah Syar‟iyyah sebagai peraturan-peraturan kerajaan yang selaras dengan ketentuan syariat dan apapun peraturan yang dijalankan kepada masyarakat yang dapat memenuhi kehendak syariah Islamiyyah.

Manakala, pandangan Yusuf al-Qardawi merupakan reaksi dan perbezaan pandangan pemikiran sekuler dan liberal yang banyak dilaksanakan di dunia Islam belakangan ini. Beliau sama sekali menolak cara dan sistem negara yang didasarkan kepada sistem yang memisahkan syariat di dalam menjalankan pentadbirannya. Oleh sebab itu, tidak ada tolak ansur dalam hal pengertian tentang istilah politik selain dalam perspektif syariah sebagai acuan utamanya. Kritik keras yang dilontarkan oleh Yusuf al-Qardawi terutama dihalakan kepada pengertian politik yang digagaskan oleh Machiavelli. Pengertian dan falsafah politik Machiavelli yang bertunjangkan kepada penyingkiran moral dan menghalalkan segala cara bagi mencapai tujuan politiknya. Kaedah mengadu domba, berdusta, menebar fitnah, pembunuhan karakter, menganiaya, mengancam, menyingkirkan dan sampai kepada pembunuhan lawan-lawan politiknya merupakan norma yang biasa dalam politik yang tidak menyertakan elemen-elemen syari‟ah dalam amalan politik.

Walaupun bagaimanapun, pandangan yang diberikan oleh ulama dan pemikir Islam tentang siyasah syar‟iyyah tersebut dapat difahami bahawa kerajaan di samping memiliki kekuasaan untuk menerapkan hukum Allah, ia juga memiliki autoriti untuk membuat pelbagai peraturan hukum berkaitan dengan perkara yang tidak diatur syariah secara eksplisit dan terperinci. Kuasa untuk menetapkan hukum syarak adalah hak Allah. Dia adalah pencipta manusia dan pembuat syariah (Hussin Che Pa, 2016).

Exit mobile version