Site icon Wacana Zeckry

Bangsa Melayu Dulu Budiman Kini ?

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), budiman bermaksud pandai lagi bijaksana. Dalam warisan masyarakat Melayu, orang yang mempunyai budi pekerti, budi bahasa, budi bicara, akal budi atau hati budi dan adab sopan yang tinggi dan mulia dianggap sebagai orang yang budiman. Namun tanggapan demikian sudah terhakis disebabkan pengaruh kemodenan.

Menurut, Mustafa Daud (1995), menjelaskan bahawa perkataan budi apabila ditambah dengan awal “ber” menjadi berbudi atau “man” di akhirnya menjadi budiman akan membawa maksud seseorang yang mempunyai budi bahasa, adab sopan bersungguh-sungguh dalam pekerjaan, mempunyai daya ikhtiar yang tinggi, matang, bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan yang paling banyak menabur jasa dan bakti (Zeckry, 2014).

Justeru, tugasan ini bertujuan untuk membincangkan pengaruh kemodenan hidup dalam mengubah tatalaku masyarakat Melayu yang terhakis amalan berbudi bahasa, budi bicara, akal budi atau hati budi dan adab sopan yang tinggi dan mulia. Persoalannya, adakah pengaruh kemodenan hidup punca kehakisan dalam masyarakat Melayu yang dahulunya terkenal dengan sifat yang terpuji seperti berhemah tinggi, bersopan santun, hormat menghormati, bekerjasama, bertolak ansur, dan masyarakat ini sangat memelihara keperibadian diri, keluarga, masyarakat dan negara. Maka, adakah sebab kemodenan atau pemikiran seseorang yang tidak menyesuaikan diri dalam arus kemodenan, bahkan dengan sebab adat atau budaya yang dikatakan tidak relevan untuk berada di zaman kemodenan.

Memandangkan konsep budiman telah menyatakan nilai akhlak yang tinggi, keyakinan diri srta keberanian untuk menghadapi cabaran. Namun, sebagai orang bersahsiah mulia dan memelihara maruah diri seperti integriti, berfikiran jauh, bermanfaat untuk orang lain dan hidup bermasyarakat. Maka, persoalannya, bagaimana masyarakat memelihara nilai murni tersebut berhadapan dengan era globalisasi yang memungkinkan manusia hilang ciri-ciri budiman dengan sebab perlumbaan hidup yang semakin mencabar sehingga kehidupan msyarakat Melayu telah banyak menyimpang dan terkeluar daripada norma Islam yang terpelihara daripada gejala sosial, perkara menyongsang kehidupan masyarakat melayu dari nilai mulia. Disamping itu, penulis menjelaskan pengekalan nilai budiman dalam masyarakat melayu yang semakin terhakis di alam melayu.

Masyarakat Melayu mempunyai budi pekerti yang mulia


Menurut (Shamsuddin, 2015) rantau Melayu terdiri daripada ribuan pulau yang penduduknya pula terdiri daripada pelbagai suku kaum dan menuturkan pelbagai dialek bahasa yang berbeza-beza. Namun, Melayu dari sejarahnya ialah Melayu yang beragama Islam , berbahasa Melayu, dan beradat resam Melayu. Ketiga-tiga faktor penting yang membentuk keperibadian Melayu ini menjadi teras sebagai takrifan yang terpakai secara rasmi dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia.
Dengan itu, melalui tiga faktor terpenting tersebut iaitu agama, bahasa dan adat resam yang telah mencirikan siapa itu Melayu. Ketiga-tiga faktor tersebut mempunyai kedudukannya masing-masing. Agama menjadi faktor terpenting kerana melaluinya, makna diri dan kehidupan umat Melayu dapat difahami. Bahasa pula menjadi faktor kedua terpenting kerana berfungsi sebagai alat penyampaian dalam menterjemahkan agama, ilmu, adat resam dan pelbagai perkara lagi. Manakala adat resam bersifat lebih longgar jika dibandingkan dengan agama.

Ini kerana Islam telah mencorakkan pembentukan adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu. Peranan agama ini dapat dilihat secara jelas melalui pepatah yang sangat masyhur iaitu “Adat bersendi hukum, hukum bersendi syarak”. Bingkai terpenting dalam takrif Melayu ialah agama. Bahasa dan adat resamnya diresapi dan dipancarkan oleh ajaran agama Islam.
Oleh yang demikian, keadaan ini tidak akan membatalkan takrif Melayu yang difahami sekian lama. Malah, jikalau mereka telah keluar daripada agama Islam, maka bahasanya dan adat resamnya akan bertukar secara radikal. Contohnya, makna yang difahaminya melalui istilah dan konsep penting seperti Tuhan, insan, nabi, syurga, neraka, akhlak, halal dan haram, kejayaan, kebahagiaan, dan pembangunan akan bertukar.


Menurut Hashim Musa (2008), masyarakat Melayu terkenal dengan kehalusan budi bahasa dan budi pekerti yang mempunyai nilaian akhlak yang tinggi seperti sentiasa bermuafakat, bertimbang rasa, tolong-menolong dan menjaga maruah yang terjelma.
Sebanyak dua puluh enam sifat dan amalan murni yang dipegang teguh dalam menjalani kehidupan harian. Tetapi, kini kehidupan msyarakat Melayu telah banyak menyimpang dan terkeluar daripada norma Islam yang terpelihara daripada gejala sosial dan perkara yang menyimpang dan kini seperti sukar untuk dibendung lagi.


Manakala, hati dan budi bertindak secara berintegrasi dalam diri seseorang dengan menterjemahkan tindak tanduk, budi pekerti, budi bahasa, nilai, norma, pemikiran dan ilmunya, dan melahirkan sifat keperibadian atau identitinya secara individu dan secara kemasyarakatan apabila sifat itu dimiliki sepunya oleh masyarakat itu secara kolektif atau disebut sebagai identiti, jati diri atau modal insan.

Sehubungan itu, pembentukan umat Melayu-Islam yang lahir kesan daripada ajaran Islam memberi kesan kepada corak kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri. Islam telah mengubah keperibadian umat Melayu agar ia sesuai dengan tuntutan agama Islam dan pada masa yang sama, berusaha mengekalkan identiti kebudayaannya yang tersendiri. Takrifan dan tafsiran terhadap asas inilah yang membuktikan wujud penyepaduan dan kesebatian Islam dan Melayu. Kesebatian ini tidak memungkinkan wujudnya pemisahan antara satu sama lain kerana pemisahan Melayu daripada agama Islam akan melenyapkan kewibawaan Melayu itu sendiri.

Ini bermakna, nilai yang ada pada budiman dalam kalangan orang melayu telah termasyhur sebagai budaya dan adat yang telah sebati dalam jiwa. Namun, kehadiran Islam bukanlah suatu kebudayaan. Islam sebagai Addin ialah wahyu Ilahi yang universal, mutlak, sempurna dan bebas daripada campur tangan manusia. Manakala kebudayaan pula merupakan hasil kesan daripada ciptaan manusia untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan sekeliling dan kehidupannya.

Kebudayaan Islam sebenarnya membawa pengertian perkara berkait dengan manusia yang responsif dengan kehendak wahyu iaitu al-Quran dan hadis serta pegangan ijmak ulama. Malah kebudayaan Islam mengandungi kebudayaan pelbagai bangsa yang bertindak balas dengan kehendak Islam. Oleh itu, kebudayaan Melayu merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam sekiranya segala hasil ciptaan masyarakat Melayu menyemangati dengan kehendak al-Quran, hadis dan pegangan ijmak ulama dalam Islam (Shamsuddin, 2015).

Justeru, ketinggian dan keluhuran kebudayaan Melayu sebenarnya terhasil kesan daripada ajaran Islam. Dengan mengamalkan segala ajaran agama Islam dengan ikhlas dan taat, maka ia dengan jelas telah mempengaruhi kebudayaan masyarakat Melayu-Islam sehingga budaya yang terzahir daripada perlakuan masyarakat Melayu itu ialah pancaran kebudayaan Islam itu sendiri.

Dengan itu, Islam sebagai agama akhlakiah yang benar telah mempengaruhi dan menyerapi seluruh kefahaman kehidupan masyarakat Melayu. Kebudayaan Melayu itu sendiri menjadi unik seandainya dilihat melalui prisma kebudayaan Islam. Kebudayaan yang dicipta oleh masyarakat Melayu masih dalam ruang lingkup persekitaran Melayu tetapi masih terkawal dalam kerangka Islam. Ia ialah sejenis kebudayaan Islam walaupun mungkin berbeza daripada kebudayaan Islam rantau Arab, Parsi atau Afrika. Perbezaan dan ciri khas kemelayuannya itulah yang menjadikan rantau Melayu ini satu zon dan entiti budaya Islam yang tersendiri.

Justeru, penekanan terhadap akhlak mulia dan budi pekerti yang tinggi menjadi tonggak dalam masyarakat Melayu dalam menjalani kehidupan sekali gus membentuk kebudayaan mereka. Tanpa kefahaman terhadap akhlak yang mulia dan budi pekerti yang tinggi, segala bentuk kebudayaan akan hanya membibitkan kehancuran kepada sesebuah masyarakat. Dengan memberi penekanan terhadap aspek kedua itulah, masyarakat Melayu-Islam telah membentuk kebudayaannya yang tinggi nilainya melalui akhlak mulia seperti budi bahasa, adab sopan budi pekerti, budi bicara, akal budi atau hati budi.

Berdasarkan puisi Melayu lama iaitu gurindam, syair, simpulan bahasa, pepatah dan pantun Melayu yang menganjurkan nilai-nilai murni dalam budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara, maka beberapa teras hati budi Melayu dapat ditubuhkan. “Teras hati budi Melayu” ialah beberapa unsur keperibadian sosial (social character) yang menjadi pemusatan utama struktur peribadi kebanyakan orang Melayu, terbentuk akibat pengalaman asasi dan cara hidup yang dikongsi bersama oleh mereka dalam sejarahnya. Keperibadian teras ini apabila disemai dan dipupuk melalui proses sosialisasi dan pembudayaan yang sempurna, akan melahirkan para ‘budiman’ dalam masyarakat iaitu “peribadi mithali” atau ideal yang diidamkan.

Dalam proses pembudayaan teras hati budi itu kepada orang Melayu iaitu melalui proses ta’adib (penyamaian adab), ta`alim (penyemaian ilmu), tazkirah (penyucian diri), maka pelbagai darjah pencapaian telah dan akan berlaku. Ada pencapaiannya sebahagian sahaja dan ada yang hampir semuanya tercapai di kalangan anggota masyarakat untuk menuju ke arah bentuk peribadi idaman iaitu para ‘budiman’. Mereka yang gagal atau menyeleweng dianggap ‘kurang ajar’ atau ‘kurang adab’ dan yang terburuk sekali ialah yang ‘biadab, bacul dan khianat’. Proses pembudayaan dan pemasyarakatan unsur teras itu akan berjalan terus menerus daripada buaian sehingga ke liang lahad. (Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 6))

Demikian beberapa contoh dalam teras hati budi Melayu yang boleh disemai dan dipupuk demi melahirkan Melayu budiman iaitu handal, bijak dan tangkas; pemangkin kepada pembinaan peradabannya. Dalam masyarakat Melayu Islam orang-orang yang dianggap mempunyai nilai etika, moral dan akhlak yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat dinamakan sebagai orang yang ‘budiman’ yang mempunyai tiga sifat utama, iaitu Budi pekerti dan adab sopan yang mulia, Budi bahasa dan budi bicara yang bernas dan hati budi yang tinggi, akal fikiran dan hati kalbu yang sarat dengan ilmu, kebijaksanaan, dan kebaikan.

Oleh yang demikian, hati budi itu diadun untuk mendasari tingkah laku, perangai dan budi bicara bagi melahirkan jati diri manusia Melayu yang budiman, mampu berbakti kepada dirinya, bangsanya dan seluruh umat manusia sejagat.


Benarkah pengaruh kemodenan menyebabkan terhakis tatalaku masyarakat yang budiman

i- Terpengaruh dengan pelbagai fahaman luar

Penghakisan terhadap komponen teras hati budi itu akibat terpengaruh dengan fahaman liberalisme, sekularisme dan materialisme barat, atau luahan sifat-sifat dalaman yang buruk iaitu penyakit hati budi misalnya nafsu serakah, dendam kesumat, hasad dengki, iri hati dan fitnah, maka berlakulah gejala sosial yang parah yang melanda kebanyakan orang Melayu dan masyarakatnya pada zaman lampau dan juga kini. Semua penyakit hati ini dizahirkan pula sebagai luahan emosi dalam bentuk ucapan, tindakan dan aksi tertentu misalnya mengumpat, memfitnah, menghasut, mengancam, menghina, mencarut, bersengketa, berkomplot, merasuah, berkonspirasi, memukul, mencedera, membunuh dan lain-lain.

Oleh yang demikian, bagi yang terpengaruh dengan fahaman atau budaya luar dan penyakit hati akibat telah berlaku keruntuhan hati budi dalam masyarakat melayu kerana disebab keegoan untuk mempertahankan fahaman dan pengaruh masing-masing seperti popular, ego, membuktikan diri benar dan mengatakan pejuang Allah. Maka, penyakit hati yang berpunca dari Iblis. Allah menciptakan Iblis, syaitan dan jin hanya mengganggu, ibarat virus kepada jaringan-jaringan kecil dan besar pada alam roh yang memberi kesan kepada kehidupan manusia pada skala kecil dan besar, inilah situasi wujudnya virus-virus baru yang merosakkan keperibadian seseorang dengan ancaman yang negatif (Nik Yusouf, 2009).

Namun, kini rahsianya dan hikmahnya agar masyarakat melayu ada perjuangan sebagai mengimbangi dengan seseorang itu berfikir bahawa bangsa melayu terdahulu terkenal orang budiman, berhati mulia dan berhati budi.

ii-Pemahaman agama yang sempit

Kedatangan Islam yang membawa bersama proses Islamisasi telah memberi kesan yang mendalam terhadap banyak perkara seperti soal kefahaman, pendirian, undang-undang, adat dan kebudayaan kepada masyarakat Melayu. Memang Islam tidak pernah berniat untuk menghapuskan secara keseluruhannya segala sifat kebudayaan peribumi. Ini kerana bukan semua kebudayaan peribumi bersifat negatif dan bertentangan dengan Islam. Malah ada banyak kebudayaan peribumi yang dilihat selari dan sejajar dengan Islam serta bersifat positif.


Selain itu, terdapat juga kebudayaan masyarakat peribumi yang tidak terdapat dalam Islam tetapi sama sekali tidak bertentangan dengan syarak dan ia boleh dimanfaatkan sebagai kebudayaan baharu yang disesuaikan dengan kefahaman Islam. Dalam hal keduniaan, Islam mengamalkan prinsip yang disebut al-bara’at al-asliyyah atau al-ibahat alasliyyah yang membawa maksud bahawa semuanya dibolehkan kecuali yang dilarang bahkan Islam mengiktiraf sesuatu adat atau budaya yang baik diamalkan dijadikan hukum.

Tetapi semakin lama, semakin sempit pemahaman dalam agama walaupun teks (nas) telah betul dan permasalahan dalam agama telah diselesaikan lama oleh ulama terdahulu. Begitu juga, istilah dalam ilmu persilatan menjadi perdebatan dan perbincangan begitu lama dan mendalam dan kadang kala menjadi perselisihan kerana ego dengan aliran masing-masing, ini belum lagi ilmu yang berhubung kait dengan mazhab-mazhab dan aliran ilmu ketuhanan atau mistik dan sebagainya.

Selain itu, polemik mentakfirkan (menuduh seseorang dengan kekufuran) dan hobi menuduh syirik sewenang-wenangnya dan menuduh seseorang dengan bidaah yang sesat telah menjadi punca dalam masyarakat melayu sehingga perpecahan, berpuak-puak dan ta`asub sama ada melalui politik kepartian atau jemaah tertentu (Mohd Fadil, 2011).

Persoalanya, kenapa tohmahan dan tuduhan kafir-mengkafir, tohmahan fasiq, bidaah dan sesat berleluasa dalam kalangan masyarakat melayu-Islam sehingga kita ditempatkan dengan mudah di dalam neraka? Kenapakah mereka mengeruhkan kehidupan kita dan menjadikan mata air rahmat Allah SWT itu kering di dalam fatwa-fatwa mereka? Sedangkan disebalik pepecahan, penyelewengan dan taasub membawa kemunduran pemikiran yang kita hadapi sehingga membuka selera kepada ‘kuasa-kuasa besar’ untuk menikmati daging kita, menjajah bumi kita dan memperhambakan rakyat kita.

Islam telah turun dan zahir pada masyarakat Badawi yang mundur, saling berbunuh-bunuhan, pengabdian dan perhambaan manusia, menghina kaum wanita dan menanam mereka hidup-hidup. Kemudian mereka dapat menerima Islam dan bermuamalat bersamanya dengan mudah.

Namun, perbalahan masyarakat melayu dalam mempertahankan diri benar dalam syariat Islamiah sehingga ilmu spiritual yang mengalami evolusi dan pengajarannya mengikut kesesuaian zaman ditentang hebat. Sebaliknya kita telah gagal menghadapinya sedangkan kita memiliki ilmu pengetahuan, pembangunan dan berupaya untuk membina ikatan dan jambatan untuk saling memahami. Maka, apakah yang mengubah kasih sayang kepada kekerasan? Apakah yang menjadikan “kulit luar” kita sebagai pembangunan dan disebaliknya adalah kejahilan dan kemunduran ? Apakah yang menyukarkan kita sehingga menjadikan seperti simpulan benang-benang yang kusut dan berserabut?

Sesungguhnya perselisihan dan persengketaan di alam ini, berpunca pada asasnya daripada perselisihan bahasa dan istilah dalam agama itu sendiri sehingga kita tidak bermuafakat di dalam mendefinisikan makna-makna perkataan dan membenarkan setiap orang setiap orang mentakrifkannya mengikut kehendak masing-masing, maka samalah seperti mereka yang ingin mengukur panjang landasan keretapi mengikut hawa nafsunya, terkadang ia meluaskannya, pada masa yang lain pula memendekannya. Akhirnya keretapi tidak berjalan dan tidak pula melalui landasan tersebut. Justeru, kita tidak mungkin dapat memahami alam tanpa bahasa persekutuan di antara kita dan alam dan tidak mungkin umat Islam dapat saling memahami di antara mereka tanpa bahasa keagamaan yang satu. Firman Allah SWT :


مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ٣٢﴾ [الروم: 32]

Maksudnya : Orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberpa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Ar-Rum :32)

iii- Cara berfikir yang tidak selari dengan modenisasi

Kebiasaan kita dengar bahawa punca terhakis nilai Budiman dalam masyarakat melayu ini berpunca daripada teknologi dan kemodenisasi. Persoalannya, sejauh mana teknologi sekarang telah membantu dan meringankan tugas manusia sebelum ini adakah teknologi dan kemodenan perlu dipersalahkan?

Saidatina Aisyah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia. Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat. Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.” (Riwayat Tirmidzi)

Hadis tersebut memandu kita bahawa akal merupakan kesempurnaan seseorang itu, jika kita merenung dalam sejarah Islam dan al-Quran. Apakah matlamat diutuskan nabi dan rasul dan bersama umatnya ? Mereka diutuskan oleh Allah SWT adalah untuk membawa manusia agar menjadi insan yang sempurna yang dapat menggunakan akal semaksimanya.
Menurut Chazali (2018), kita selalu menjumpai pertanyaan dalam al-Quran “Tidakkah kamu berfikir” perkataan yang sama digunakan sebanyak 20 kali dalam al-Quran. Ini membuktikan bahawa begitu seriusnya Allah SWT menyuruh kita berfikir kerana dengan berfikir itu kesempurnaan kita sebagai manusia yang sempurna.


Manakala menurut kajian Prof Marc Rosenweig, kebanyakan manusia baru menggunakan kemampuan otaknya sebanyak kurang daripada 1% sahaja. Kemajuan teknologi dan kehidupan moden pada hari ini adalah hasil pemikiran otak sebanyak 10% sahaja. Bayangkan apa yang terjadi, apabila kita menggunakan kapasiti otak melebihi 10% (Windura, 2011).


Oleh itu, pemahaman yang silap masyarakat melayu sekarang jelas mengatakan bahawa teknologi terutamanya teknologi digital internet seperti media sosial telah mencarikkan dan menghakiskan banyak nilai-nilai murni alam melayu. Sebenarnya teknologi tidak salah kerana ia telah meringankan dan memudahkan tugas manusia yang silap adalah cara seseorang berfikir tidak selari dengan zaman modenisasi dan teknologi mendahului cara kita berfikir.

Menurut Nik Hasnah (2017), cara berfikir mempengaruhi akan hatinya. Begitu juga dalaman diri menentukan luaran kerana seorang yang hatinya tidak tenang, tidak akan mampu tersenyum ikhlas atau bertindak dengan baik. Pakar psikologi menyebut, manusia sering membazirkan masa kepada perkara yang sama. Ramai orang fokus kepada hasil bukan proses. Bagaimanapun, setiap orang yang mendapat hasil bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna. Contohnya, seorang yang jahat kemudian berubah menjadi orang alim yang baik. Ia berlaku kerana proses yang dilalui seperti mendekatkan diri dengan orang alim, banyak menuntut ilmu, bermujahadah dan istiqamah sehingga menjadi seorang insan yang baik.

Justeru, apa yang kita lakukan setiap hari akan menentukan hasil yang diperoleh. Jika waktu yang dimiliki dibazirkan dengan perkara sia-sia, ia tidak akan mendatangkan kejayaan melainkan kegagalan.
Ibnu Abbas RA berkata :


تفكر ساعة خير من قيام ليلة

Maksudnya,
Berfikir sesaat lebih baik dari pada qiyamullail (al-Adzamah, 1/297) (Ammi, 2015).

Oleh yang demikian, cara berfikir selari dengan kemodenan dan teknologi yang membezakan masyarakat melayu di zaman sekarang sehingga kerana zaman sekarang ramai yang mendapat maklumat dan ilmu dengan mudah dalam pelbagai cara dan bentuk, tetapi malangnya masyarakat kita masih jauh ketinggalan untuk berfikir dengan jauh dalam sesuatu perkara, kadang kala melihat sesuatu perkara hanya pada satu arah dimensi sahaja terutama sesuatu yang negatif atau sesuatu yang boleh membuka kepada tohmahan dan hukuman ke atas seseorang dengan kata-kata yang jauh menyimpang dari nilai-nilai akhlak mulia.


Pandangan kesesuaian pengekalan tatalaku budi pekerti yang tinggi dan mulia

Pada pandangan penulis, pengekalan nilai-nilai terpuji dalam alam melayu adalah dengan cara berfikiran bersesuaian dengan masa sekarang dan mengikut zaman. Berdasarkan pemerhatian penulis, keegoan dan perasaan hasad dengki menjadi budaya utama dalam kalangan orang melayu hasilnya melahirkan penyakit seperti lalai mengingati Allah, tidak menuruti hukum Allah dan fitrah diri, berburuk sangksa terhadap takdir Allah, percaya rezeki datangnya dari usaha semata-masa dan kurang bergantung kepada Allah, berfikiran negatif, bertindak tidak mengikut adab, kurang kreatif dan tidak bijak menangani masalah.

Perkara tersebut perlu dihindari agar insan dapat kekal sebagai Khalifah Allah iaitu yang mengesakan kepadanya serta memelihara diri dan ala mini. Jika tidak, diri dan kehidupan akan mengalami kemusnahan dan kesusahan.
Jika dikaji punca-punca penyakit zahir dan batin secara teliti, apa-apa sahaja penyakit berpunca dari hasil tersebut. Oleh itu, melakukan salah satu atau sebahagian daripada perkara tersebut melemahkan diri insan yang bererti pengkhiatanan terhadap tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi.


Justeru, membebaskan diri dari kewujudan yang “menghantui” pada minda kita adalah bergantung kepada individu agar dilorongkan cara kita berfikiran dengan positif. Misalnya cara dulu jika kita mengarahkan anak-anak kita berhenti bermain, kita berkata: “Dah, sudah main, stop sekarang!”.

Apabila cara kita berfikir dengan positif kita akan katakan kepada mereka: “Main 5 minit lagi yaaa”. Kemudian ingatkan kembali:”Dua minit lagi yaaa”. Kemudian barulah katakan:”Dah, waktu main sudah habis”. Pastinya mereka akan berhenti bermain. Ini dikatakan juga sebagai kita mendidik anak-anak kita mengikut zamannya bukan mendidik mengikut acuan zaman kita. Oleh itu dengan cara yang lebih positif seperti kasih sayang ibu bapa kepada anak menzahirkan masyarakat melayu yang budiman akan terzahir kembali mengikut zamannya.



Kesimpulan

Masyarakat Melayu Islam merupakan masyarakat yang kuat terikat dengan adat dan tradisi yang diwarisi turun- temurun. Segala sistem hidup mereka kuat berakar kepada nilai dan norma Islam yang mementingkan kesejahteraan sosial wujud dalam masyarakat (Mohd. Koharuddin: 2012). Walaupun berlakunya pertembungan budaya dan penyerapan beberapa unsur asing dalam sistem sosialnya, namun selagi budaya tidak bercanggah dengan agama Islam maka budaya itu diterima dan djadikan sebagai sebahagian daripada budayanya sendiri. Islam adalah agama yang suci yang mencorak adalah penganutnya kalau cantik, gemilang dan berkilau maka baiknya dan sejahtera kesemuanya. Sekiranya berlaku kerosakan atau memburukkan imej itu bukan dari Islam tetapi dari penganutnya.

Islam dengan maksud keamanan, apabila disebut ‘tamaddun’ Islam maka, apa-apa kreativiti hasil ciptaan manusia yang membawa manfaat kepada manusia maka ia dikategori sebagai keamanan iaitu tamadun Islam.
Jadi, bukan semua teknologi atau peradaban perlu ditinggalkan kerana antara tujuan Islam adalah untuk memurnikan dan membersihkan fahaman atau teori yang batil. Islam tidak menyekat kreativiti kerana ia adalah universal. Oleh itu, Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah yang paling sempurna, mudah, ideal dan paling berkesan dan amat saintifik.
Justeru, pengembalian nilai-nilai murni yang telah tersemat dalam jiwa orang melayu sebagai budiman atas dasar berpegang teguh kepada Nabi Muhammad SAW sebagai contoh untuk diikuti. Maka, generasi sekarang dapat mengembalikan dengan pengubahan seseorang itu berfikir dan mengaplikasikannya sesuai searus kemodenan yang dihadapi sekarang dengan sifat-sifat terpuji dalam tutur kata dan perbuatan yang disenangi.

Rujukan

Ahmad_Esa_Full_Paper_WCIT_(ok.pdf. (n.d.). Retrieved 18 March 2020, from http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/3322/1/Ahmad_Esa_Full_Paper_WCIT_%28ok.pdf

Ammi, N. B. (2015, Disember). Berfikir Sesaat Lebih Baik dari Beribadah 60 Tahun? | Konsultasi Agama dan Tanya Jawab Pendidikan Islam. https://konsultasisyariah.com/26102-berfikir-sesaat-lebih-baik-dari-beribadah-60-tahun.html

Antashak. (2016, March 6). Konsep Akal Budi Masyarakat Melayu Dari Segi Pemikiran, Pertuturan, Perlakuan Dan Gaya Hidup Masyarakat Melayu. @AntashaK. http://heyantasha.blogspot.com/2016/03/akal-budi-masyarakat-melayu-dari-segi.html
Budi Melayu Menaut Persahabatan Serumpun: Klik Web DBP. (n.d.). Retrieved 15 March 2020, from http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=9064

Chazali, H. S. (2018, June 1). “Afala Ta’qiluun”: Apakah Engkau Tidak Berfikir ? Jurnal Social Security. http://www.jurnalsocialsecurity.com/opini/afala-taqiluun-apakah-engkau-tidak-berfikir.html
Mohd Aris, A., & Ahmad, E. (2012, September 11). Fungsi dan Peranan Komunikasi Berimplikatur Dalam Budaya Masyarakat Melayu Islam.

Mohd Fadil, A. (2011). Sekelip Cahaya. Al Baqir Enterprise.

Nik Hasnah, I. (2017, December 6). Akal pengaruh Cara Berfikir, Bertindak. BH Online. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/12/359263/akal-pengaruh-cara-berfikir-bertindak

Nik Yusouf, N. A. (2009). Hidup Infiniti Wujud Ilusi.

Noriati, A. R. (2005). Nilai Kesantunan Dalam Konteks Sosiobudaya Masyarakat Melayu. 15, 22.

Shamsuddin, O. (2015). Islam dan Kebudayaan Melayu. Open University Malaysia.

Windura, T. (2011). Melatih Anak Berfikir. PTS Professional.

Zeckry, M. S. (2014, March 5). Konsep Budi dan Bahasa • Muhammad Zeckry. Muhammad Zeckry. http://zeckry.net/2014/03/05/konsep-budi-dan-bahasa/

Exit mobile version