Menurut, Siti Hajar Abd Aziz (2009), membaca adalah tindakan komunikasi yang memproses fikiran bagi menghasilkan idea, kenyataan dan perasaan yang disampaikan oleh penulis kepada pembaca melalui perantara lambang-lambang bahasa. Ini menjelaskan bahawa membaca merupakan salah satu kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana melalui pembacaan, individu dapat menguasai ilmu.
Manakala, Kamus Dewan (2014) mendefiniskan membaca adalah melihat dan memahami apa-apa yang tertulis. Oleh itu, pengamalan membaca dalam kalangan pelajar bahasa Arab sekiranya dilakukan secara berterusan dalam pembelajaran bahasa Arab ini dapat meningkatkan maklumat yang diperolehi. Walau bagaimanapun, bagi menjamin kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik, pastinya akan bermula dengan kaedah yang diterima oleh pelajar itu berdasarkan kaedah yang telah dikuasai oleh para pengajar.
Justeru, kemahiran membaca perlu diterapkan secara berkesan supaya individu dapat menguasai kemahiran ini kerana proses membaca mempunyai hubungan yang rapat dengan kemahiran yang lain seperti mendengar, bertutur dan menulis agar maklumat yang diterima itu dapat difahami dengan jelas dan berkesan.
Tulisan ini bertujuan untuk menganalisis kaedah mengajar kemahiran membaca dalam pengajaran bahasa Arab dengan menjelaskan definisi kemahiran membaca bahasa Arab, membincangkan jenis dan kepentingan menguasai kemahiran tersebut. Begitu juga dengan menjelaskan faktor yang mempengaruhi kebolehan menguasai kemahiran bahasa Arab. Selain itu, penulis membincangkan kaedah mengajar kemahiran membaca bahasa Arab yang berkesan. Penulis mengakhiri perbincangan dengan jurnal refleksi tentang pengalaman penulis yang telah melaksanakan satu sesi pengajaran kemahiran membaca bahasa Arab.
Apa yang dimaksudkan kemahiran membaca dalam bahasa Arab ?
Menurut Husaini (2014), mendefinisikan kemahiran membaca merupakan kemahiran menerima maklumat atau dikenali sebagai kemahiran memahami lambang bagi huruf atau tulisan.
Oleh itu, ini menjelaskan bahawa kemahiran membaca merupakan salah satu alat kepada komunikasi yang berpaksikan kepada perkataan berbentuk tulisan. Konsep kemahiran membaca dalam bahasa Arab ini meliputi maksud membaca iaitu (al-Qira`ah wal-Mutalaah), pembelajaran kemahiran membaca, pembahagian bacaan kepada senyap dan nyaring.
Sebenarnya kemahiran membaca ini menzahirkan kepada penguasaan atau memahami dengan baik bahan yang dibaca sama ada berbentuk peta, jadual, statistik dan ilustrasi yang terdapat dalam sesuatu bahan bacaan tersebut. Selain juga, kemahiran mengumpul maklumat yang merangkumi kemahiran membaca dengan pantas, mengingati pengarang buku, penerbit, tempat penerbitan dan tahun bahan tersebut diterbitkan.