Site icon Wacana Zeckry

Pengalaman mengajar kemahiran membaca bahasa Arab

Jurnal Refleksi ini ditulis bertujuan melaporkan pengalaman mengajar kemahiran membaca bahasa Arab dalam usaha menjayakan tugasan ini. Pengajaran ini dibuat dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Kuching (PERKACH) yang beroperasi di Borneo744, Jalan Semangat, Bintawa Industrial Estate, 93450 Kuching, Sarawak.

PERKACH sentiasa mengadakan kelas bahasa Arab setiap minggu dalam kalangan ahli-ahlinya, usaha tersebut untuk memantapkan kefahaman tentang ilmu-ilmu agama.

Dalam jurnal ini saya akan mengemukakan beberapa refleksi yang telah berlaku dalam usaha menjayakan tugasan saya kali ini. Selain itu, saya juga menyatakan peristiwa-peristiwa yang berlaku, sebelum, semasa dan selepas program ini. Program ini dilaksanakan memerlukan komitmen yang tinggi pada diri saya. Tambahan pula, berlaku peristiwa-peristiwa penting yang urutannya haruslah dikenal pasti. Saya berpendapat bahawa pengalaman ini adalah penting kerana tanpanya, program ini tidak dapat dijalankan dengan jayanya.

Akhir sekali, saya akan memberikan langkah-langkah dan cadangan untuk memperbaiki dan membuat penambahbaikan terhadap program yang telah dilaksanakan.

Peristiwa Sepanjang Perlaksanaan Program

Sebelum Pelaksanaan Program

Setelah saya meneliti soalan tugasan kali ini, saya mengadakan satu perbincangan ringkas untuk membincangkan program yang akan diadakan. Perbincangan ringkas ini telah diadakan pada 20 Jun 2019 hari Sabtu di Magic Sarawak, Bilik Sibu. Perbincangan diadakan dengan kehadiran Ketua Biro Pendidikan dan 3 orang Ahli Jawatankuasa PERKACH serta guru kelas bahasa Arab iaitu Ustaz Muhammad Said yang berlulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang selalu mengajar di kelas tersebut bagi mendapatkan pandangan dan kaedah yang digunakan dalam pengajarannya. Di samping saya mendapatkan keizinan mengajar pada tempoh dua sesi Kelas Bahasa Arab anjuran PERKACH.

Pelaksanaan Kerja Lapangan

Saya bertolak ke Magic Sarawak pada jam 8.30 pagi dari rumah di Taman Matang Jaya, Kuching. Saya tiba jam 9.00 pagi, perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit dari rumah saya.

Setelah saya tiba, saya terus diperkenalkan oleh Ustaz Muhammad Said kepada pelajar yang hadir pada pagi tersebut. Kemudian saya memulakan kelas bahasa Arab ini dengan menyediakan bahan-bahan bantuan mengajar yang diperlukan untuk melihat keberkesanannya seperti komik dalam bahasa arab, petikan-petikan bergambar dan artikel-artikel dengan bahasa sederhana yang boleh difahami. Sesi kelas ini terdapat 10 orang dewasa yang mengikuti kelas ini sudah 4 bulan. Apa yang menghairankan kelas ini terdapat seorang yang berbangsa cina yang memang minat belajar bahasa Arab.

Pengalaman pembelajaran yang dialami

Pada sesi kelas ini saya mengedarkan salinan petikan cerita dalam bahasa Arab kira-kira 100 perkataan yang berbeza-beza dalam bahasa Arab yang mudah difahami dan perkataannya tidak berbaris, kemudian saya mengedarkan petikan-petikan yang sederhana dan bahasa yang tinggi. 10 orang pelajar ini saya membahagikan kepada dua kumpulan. Saya juga terkejut kerana terdapat 6 orang daripada 10 orang tersebut, mereka mahir membaca bahasa Arab walaupun tanpa berbaris yang mana mereka dapat mengenali dan membezakan jenis kata nama, perbuatan dan harf dalam bahasa Arab. Mereka dapat membaca dengan lancar perkataan bahasa Arab tersebut dan dapat memahami keseluruhan cerita dalam petikan yang saya bawa pada sesi kelas ini. Hasil daripada pengujian sepanjang saya mengendalikan kelas ini, keseluruhan pelajar dapat membaca, cuma ketepatan sebutan yang perlu diperbaiki untuk lebih mahir. Ekoran daripada kajian lapangan ini, dapatlah disimpulkan bahawa mengenalpasti kaedah tatabahasa arab (Nahu) dan kaedah binaan kata (Sorf) adalah penting dalam membantu kemahiran membaca.

Kelemahan semasa menjalankan kajian lapangan

Sepanjang menjalankan kajian, saya teleh mengenalpasti kelemahan yang terdapat dalam dua kumpulan yang dibahagikan. Kelemahan-kelemahan yang didapati adalah pada tahap minimum di mana ianya dapat diterima secara terbuka oleh setiap ahli kumpulan tersebut.Kelemahan paling utama adalah kurangnya perbendaharaan kata dalam memahami makna perkataan apabila saya menguji untuk membina ayat dan menyusun perkataan yang betul untuk membentuk ayat yang difahami setelah diberikan taburan perkataan yang tidak tersusun. Kesemua ahli kumpulan menerima kelemahan ini sebagai sesuatu yang boleh diterima untuk terus menambahkan kosa kata dan sentiasa membaca dan menggunakan kamus sebagai bantuan utama.

Kekuatan semasa menjalankan kajian

Di samping mengenalpasti kelemahan yang ada dalam dua kumpulan tersebut, saya juga telah dapat menemui dan mengenalpasti kekuatan-kekuatan kumpulan tersebut. Kekuatan atau kelebihan pertama yang dapat saya kenalpasti adalah komunikasi yang mudah diwujudkan antara setiap ahli. Seperti yang telah dinyatakan, dua kumpulan yang dibahagikan tersebut dapat menerima arahan dapat difahami dengan jelas di antara saya dan semua ahli kumpulan yang saya menggunakan komunikasi dalam bahasa Arab dan Melayu. Perkara ini amat penting kerana hal ini bermaksud tidak berlaku perselisihan faham di antara kumpulan,

Kelebihan seterusnya tabiat semangat belajar yang ditunjukkan juga menjadi salah satu kelebihan atau kekuatan kedua-dua kumpulan. Kekuatan seterusnya ialah komitmen dan bekerjasama di antara satu sama lain dalam memberi makna perkataan yang ada ahli lain tidak tahu. Kerjasama ini penting kerana semua ahli kumpulan patut memberi input dan idea, jika kumpulan menghadapi kesukaran.

Cadangan pembaikan

Langkah-langkah dan cadangan penambahbaikan yang telah saya persetujui bersama adalah melibatkan kerja-kerja refleksi. Sebagaimana yang telah saya nyatakan bahawa sepanjang sesi pembelajaran ini telah dikenalpasti kelemahan-kelemahan yang terdapat pada setiap ahli kumpulan agar ia dapat dijadikan pengajaran supaya tidak lagi diulangi pada masa depan.  Saya juga sedar bahawa penguasaan masyarakat untuk membaca walaupun dalam bahasa melayu juga tidak membudayakan amalan membaca dalam kehidupan kemungkinan tiadanya pengaruh ibu bapa atau keluarga dalam menitikberatkan perihal budaya membaca terhadap anak-anak mereka.

Oleh itu, kewujudan budaya ilmu dan membaca dalam bahasa Arab sewajarnya dibudayakan dan diperluaskan melalui skop membaca dan mengucap seperti mengadakan pertandingan yang bermula dari ahli kelas sehingga dapat diperluaskan ke peringkat yang berskala besar seperti dalam bentuk pidato dan pengucapan awam atau khutbah dalam bahasa Arab agar dapat mengasah bakat dan sebutan-sebutan yang fasih. Selain itu, pengamalan membaca kisah-kisah pendek yang gaya bahasa yang mudah dalam bahasa Arab dapat mengasah kemahiran membaca bahasa Arab.

Penutup

Sebagai kesimpulan bagi jurnal refleksi ini, tugasan yang telah dilaksanakan oleh saya banyak membantu dalam melengkapkan diri sebagai seorang pelajar yang mampu bekerja dalam kumpulan kecil dengan hubungan yang baik.

Segala usaha saya dalam menyelesaikan tugasan ini mendatangkan hasil apabila ianya telah lengkap dan siap untuk dihantar. Kejayaan kajian ini merupakan hasil daripada kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terutama PERKACH yang telah memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan pengalaman yang berharga.

Bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan semasa kami membentangkan idea kajian ini juga banyak membantu. Ulasan dan cadangan yang diberikan oleh Ustaz Muhammad Said juga banyak membantu berdasarkan pengalaman beliau belajar di negara Arab dan mengajar dalam bahasa Arab.

Sebagai penutup, sekalung penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada kesemua pihak yang membantu saya dalam membuat kajian ini.

Tuntasnya, membaca sangat penting bagi setiap orang kerana dapat meningkatkan pengetahuan dan wawasan bagi mereka yang mengamalkannya. Bahasa sangatlah berperanan penting dalam sesuatu bacaan kerana ia merupakan modal membaca. Walaupun terdapat jenis kemahiran membaca bahasa Arab dengan nyaring dan senyap yang dibincangkan menjelaskan kepada kita bahawa untuk kita sentiasa membiasakan membaca bahasa Arab yang berbeza sebutan-sebutan dalam bahasa Melayu. Selain itu, kaedah membaca yang digunakan untuk membaca buku perlu dikuasai, tanpa menggunakan kaedah, membaca satu buah buku akan memakan waktu yang lama untuk menghabiskannya. Jika kita lihat kepada penyebab yang boleh mempengaruhi kebolehan menguasai kemahiran membaca bahasa Arab seperti mendapatkan guru bahasa Arab yang mahir dan penggunaan kamus serta alat bantuan teknologi maklumat merupakan penyokong dan saling membantu dalam menciptakan pemahaman yang mantap sama ada secara intelek mahupun emosional dalam terus menggalakan pelajar mendapat kemahiran dan minat membaca bahasa Arab.

Rujukan

Aziz, S. H. (2009). Bahasa Melayu II. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Husaini, M. H. (2014). Kemahiran Pengajaran Bahasa Arab. Selangor Darul Ehsan: Open University Malaysia.

Ishak, S. (2013). Super Speed Reading : Kaedah Langkap dan Praktik Meningkatkan Kemampuan Membaca. Kuala Lumpur: SAM Synergy Media Sdn Bhd.

Jabar, M. A. (2011). Analisis Wacana Arab. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

LillyPad. (15 Jun, 2019). Teknik Interaktif Untuk Mengajar Bahasa Arab. Retrieved from https://frogasia.com/thelilypad/3-teknik-interaktif-untuk-mengajar-bahasa-arab/

Windura, T. (2012). Peta Minda : Langkah Demi Langkah. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn Bhd.

Exit mobile version