Menurut Ghazali Sulaiman (2017) komunikasi adalah merujuk kepada kita bercakap, mendengar, menonton, membaca, menulis, muhasabah diri dan sebagainya. Ini bermakna segala kegiatan sehariannya kita tidak terpisah dengan maksud komunikasi yang menggunakan lima pancaindera yang dianugerahkan kepada kita.
Namun, konsep komunikasi dalam Islam berukunkan kepada nilai-nilai terpuji yang diajarkan oleh agama dengan mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan yang mengandungi nilai-nilai positif dalam berinteraksi dengan tenang, lemah lembut dan berkesan serta tidak takabbur. Kesentiasaan berdoa kepada Allah SWT, menghormati pandangan orang lain, memulakan pertemuan dengan pengucapan salam. Justeru, amalan yang baik (soleh) yang
kita lakukan menjadi ibadah di sisi Allah SWT. Begitu jua amalan komunikasi yang kita lakukan setiap hari.
Menurut Yusof Husin (1993) perkataan komunikasi berasal daripada perkataan Yunani iaitu communicate bermaksud menjadikan sesuatu itu milik bersama. Apabila kita berkomunikasi, kita telah menyampaikan sesuatu mesej kepada pendengar kemudian pendengar memberi tindakbalas yang bersesuaian.
Kini, kemajuan teknologi digital yang meluas telah membuka ruangan komunikasi yang begitu luas dalam pelbagai bidang sosiologi, pendidikan termasuk bidang dakwah Islam. Secara asasnya, manusia berkomunikasi dengan dua kaedah yang paling utama iaitu menulis dan bercakap, misalnya kita berdiri di hadapan khalayak, maka cara yang tercepat untuk
menyampaikan idea ialah dengan boleh bercakap dengan baik dan berkesan kerana menggunakan kebolehan untuk menyampaikan idea secara tepat dan melekat dalam ingatan orang lain dan mereka akan dilihat sebagai orang yang tertampil sama ada melalui teknologi maklumat terkini seperti youtube, instagram dan whatapps yang sering digunakan sebagai bahan dakwah untuk berkomunikasi.
Menurut (Don, 2008) dalam bukunya Grown Up Digital mentakrifkan generasi Y adalah kelompok manusia yang lahir antara 1977 hingga 1997. Manakala generasi Z terdiri daripada mereka yang lahir antara 1998 hingga 2009.
Penulisan ini bertujuan menjelaskan konsep komunikasi dalam Islam, membincangkan hubungan di antara teknologi maklumat dan komunikasi untuk penyediaan bahan dakwah. Di samping menganalisa bahan multimedia dakwah untuk generasi Y & Z.
Konsep komunikasi dalam Islam
Apabila kita membincangkan konsep komunikasi dalam Islam pastinya dakwah Islamiah merupakan salah satu alat komunikasi untuk menyeru kepada seluruh manusia terhadap sesuatu perkara dan menggalakkan mereka bagi mendapatkan sesuatu hasil atau tindakan. Secara mudahnya, komunikasi Islam merupakan proses bagaimana seseorang pendakwah berfungsi sebagai komunikator, berkongsi pengetahuan, pengalaman dan maklumat dengan sasaran
dakwahnya. Sebagaimana menurut Abdullah Hassan (2001) komunikasi adalah apabila seseorang pendakwah melalui proses menyampaikan pengetahuan dan pengalamannya kepada sasaran dakwahnya.
Maka, komunikasi menurut Islam berasaskan nilai-nilai keagamaan yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Segala sesuatu yang berhubung sehingga berkembang maka dikatakan sebagai proses komunikasi sama ada secara prinsip, berkaedah, mesej, bermatlamat dan media yang semestinya berpandukan wahyu dan sunnah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT :
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang Berjaya (Q.S Ali Imran : 104)
Ayat tersebut menjelaskan satu perintah Allah SWT kepada kita untuk melaksanakan tanggungjawab berdakwah. Berdakwah merupakan salah satu bentuk komunikasi yang berlaku antara individu dengan individu atau kelompok. Tugas menyampaikan Islam kepada manusia dinamakan berdakwah. Allah SWT mewajibkan kepada setiap umat Islam untuk menyampaikan seruan Islam kepada orang lain. Menurut Abdul Karim Zaidan (2002) perkataan ummah pada ayat tersebut bermaksud segolongan ulama atau para komunikator. Tugas mereka ialah mengajak manusia melakukan amalan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perintah wajib ini ditujukan kepada setiap individu muslim mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.
Oleh yang demikian, bagi memahami konsep komunikasi Islam ini, kita melihat bagaimana Allah SWT berkomunikasi kepada hamba-hambaNya. Contohnya pada firmanNya :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ٦
“ Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (Q.S al-Hujurat : 6)
Bagaimana bentuk komukasi ayat di atas ? ayat tersebut Allah SWT memberikan satu peringatan kepada orang-orang beriman. Allah mengingatkan mereka agar berhati-hati terhadap berita yang dibawa oleh golongan fasiq. Larangan tersebut bertujuan membendung dan mengelakkan berlaku kezaliman terhadap orang-orang yang tidak bersalah. Oleh sebab itulah, Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk menyiasat terlebih dahulu berita yang disampaikan oleh
orang-orang yang tidak beretika dan berakhlak. Justeru, ayat tersebut sangat sesuai digunakan oleh golongan wartawan dan pemberita yang mencari berita untuk tatapan orang awam. Seruan Allah SWT dalam ayat di atas seharusnya dijadikan satu etika dalam komunikasi Islam dalam kalangan mereka yang terbabit dalam bidang media (Nor Saleha Mohd Salleh, 2011) .
Justeru, dalam al-Quran terdapat tiga contoh komunikasi iaitu :
i- Komunikasi Allah SWT dengan malaikat dan para Rasul
ii- Komunikasi para Rasul dengan manusia dan
iii- Komunikasi sesama manusia.
Baca lagi di http://zeckry.net/2020/10/16/bahan-dakwah-generasi-y-dan-z/