Site icon Wacana Zeckry

Universiti Dalam Industri

Hari ini, pengajian tinggi kita masih menggunakan model konvensional yang diamalkan sejak abad 18 selepas meletuskan revolusi industri di Eropah.Bayangkan satu hari nanti, anak anak atau cucu cucu kita tidak lagi melalui pengajian tinggi mereka seperti mana kita sekarang di universiti.

Sebaliknya mereka menyambung pengajian tinggi masing masing di syarikat gergasi. Mereka tidak lagi menghadiri sesi kuliah mendengar secara pasif syarahan ahli akademik tetapi terlibat belajar secara aktif dalam membuat keputusan dan menghasilkan produk.

Sesi kuliah, tutorial atau tugasan akademik sudah berubah kepada bengkel kerja, mesyuarat syarikat dan pembentangan pada klien. Semuanya diberikan penilaian untuk keperluan pengijazahan. Bayangkan mereka akan belajar tiga empat tahun di kampus pengajian Samsung, Apple, Oppo, Sime Darby, Maybank atau Proton.

“Pensyarah” mereka adalah pakar pakar yang sedang bekerja di industri berkenaan. Sekarang pun sudah ada UNITEN dan UTP sebagai contoh. Cumanya model mereka masih lagi dipengaruhi oleh pengurusan ala-universiti konvensional. Kadar employability UTP adalah 90% dan ini adalah yang tertinggi di kalangan semua universiti negara ini. Setaraf dengan Universiti Oxford (91%). Mengapa? Kerana universiti dan industri telah disatukan dalam model UTP. Mereka bukan lagi seperti universiti konvensional yang lain.

Di masa depan selepas SPM atau A level di peringkat sekolah menengah, pelajar akan terus mohon untuk belajar di syarikat. Tidak lagi seperti sekarang, belajar empat tahun, selepas bergraduan baru isi borang memohon kerja. Bayangkan selepas tiga atau empat tahun belajar di ruang industri, mereka bergraduan dan mendapat ijazah masing masing dari syarikat berkenaan. Mana-mana graduan yang cemerlang pula akan ditawarkan untuk terus bekerja di syarikat tempat dia bergraduan.

Tugas MQA atau badan audit pengijazahan ialah sentiasa menjalankan pemantauan dan audit pengajian di syarikat berkaitan. Sesuatu yang boleh dilakukan.Sebenarnya hari ini pun kita sudah ke arah itu. Misalnya sudah ada program 2 tahun universiti dan dua tahun industri (2u2i), internship, latihan industri dan sebagainya.

Akan tiba masanya, yuran pengajian akan dibayar oleh pelajar kepada pihak syarikat /industri dan bukan lagi pada universiti seperti sekarang. Jika universiti konvensional yang bergelar “menara gading” tidak melakukan perubahan, mereka akan hilang permintaan dan diambil alih oleh universiti industri.

Jika pensyarah universiti tiada pengalaman dan jaringan industri, mereka juga akan semakin lenyap secara perlahan lahan dan digantikan dengan pakar dari industri. Dunia akan terus sentiasa berubah. Yang tidak mahu berubah akan ketinggalan..

Sumber :

[zotpressInText item=”{5090062:SBDN9LZK}”]

Exit mobile version