Site icon Wacana Zeckry

Hak Anak Tak Sah Taraf Pada Pandangan Ulama

Anak tak sah taraf tidak boleh dinafikan haknya untuk bermasyarakat, bekerjaya, berkahwin dan mempunyai hak sama rata di sisi Islam. Oleh itu, Anak tak sah taraf berhak seperti berikut:

i-         Harta Pusaka

Ibu dan anak tak sah taraf boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, maka dia berhak mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris sebelah ibunya dan sebaliknya. Anak tak sah taraf tidak boleh mewarisi harta pusaka bapanya dan keluarga sebelah bapanya dan begitu juga sebaliknya.

Masalah pusaka bagi anak tak sah taraf juga tidak dibincang secara lanjut oleh para fuqaha kerana ia merupakan implikasi daripada kedudukan berkenaan yang sangat senang difahami. Maksudnya, oleh kerana anak tak sah taraf itu tidak ada apa-apa kaitan kekeluargaan dengan bapa biologinya, maka soal pusaka antara keduanya tidak berbangkit.

Berbeza sekali dengan masalah pusaka antara anak berkenaan dengan ibu yang melahirkannya kerana apabila sudah jelas bahawa anak berkenaan, dalam keadaan apa sekalipun adalah anaknya yang sah kepadanya. Maka segala perkara yang berkait dengan kedudukan berkenaan akan berlaku seperti biasa, termasuk masalah pusaka.

Dengan kata lain, hukum pusaka akan berlaku antara keduanya tanpa mengira siapa yang mempusakai siapa. Di Malaysia, hukum ini menjadi asas kepada pandangan yang diberikan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 25 Jun 1998, yang memutuskan seperti berikut:

“Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya. Oleh itu kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, maka dia berhak mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, ibunya berhak mewarisi pusaka.” “Seseorang anak tak sah taraf adalah terputus hubungan daripada segi pusaka dengan bapanya tak sah taraf dan dia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak mewarisi pusaka bapanya dan sebaliknya.”[1]

ii-        Penamaan

Mengenai nama atau tegasnya “Bin” atau “Binti” tidak banyak perbincangan yang dibuat oleh para fuqaha mengenainya. Seolah-olah persoalan berkenaan hanyalah sekadar suatu perkara berbangkit daripada fatwa mereka tentang sabit atau tidak nasab keturunan antara anak zina dengan bapa biologinya. Oleh kerana perbincangan di atas merumuskan bahawa anak yang dilahirkan dengan cara yang tidak menepati kehendak Syariat Islam tidak boleh disabitkan nasabnya dengan bapa biologinya maka secara berbangkit dia tidak boleh di “Bin” atau “Binti” kan dengan bapa biologi itu. Pendapat seperti ini merupakan pandangan yang difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-41 yang diadakan pada 25 Jun 1998. Penamaan tersebut menyebut:

a-         Jika seorang perempuan Melayu Islam bersekedudukan tanpa nikah, sama ada dengan lelaki Islam atau lelaki bukan Islam dan melahirkan anak, maka anak itu hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama “Asma’ al-Husna” berpangkalkan Abdul.

b-         Seorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ini mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada kanak-kanak itu. Oleh yang demikian anak tersebut dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma’ al-Husna” berpangkalkan Abdul.

c-         Seseorang anak yang dijumpai terbiar atau anak pungut yang tidak diketahui asal usulnya hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah, dan jika nama Abdullah bersamaan dengan orang yang memelihara anak itu, maka bolehlah dipilih nama “Asma’ al-Husna” lain yang berpangkalkan Abdul seperti Abdul Rahman dan Abdul Rahim.[2]

iii-       Hadhanah

Dipertanggungjawabkan pada ibu atau saudara mara sebelah ibu. Ini kerana tiada bukti untuk mensabitkan siapa sebenarnya lelaki yang terlibat dalam perbuatan terkutuk itu.[3] Manakala, jika seseorang anak yang dipungut dan tidak dapat ditentukan keturunannya iaitu sama ada Islam atau pun bukan Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pentadbir (kerajaan) membesarkannya, menjaga kebajikannya serta mendidiknya menurut agama Islam kerana bersandarkan kepada majoriti rakyat sesebuah negara itu yang beragama Islam.

iv-        Nafkah

Pada asalnya kewajipan memberi nafkah ke atas anak-anak dan isteri adalah tanggungjawab seorang ayah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya” (Al-Baqarah: 233)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا آتِي رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ: فَقَالَ: إِنَّ مَعِي دِينَارًا قَالَ: أَنْفِقْهُ عَلَى نَفْسِكَ قال: إن معي آخر قال: أنفقه عَلَى وَلَدِكَ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu dinar, lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas dirimu, lalu lelaki tersebut berkata: Aku juga mempunyai yang lain (wang), lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas anakmu….” (Riwayat Abu Daud (1691), Al-Nasaie (5/62), Al-Hakim (1/415)

Berdasarkan kedua-dua nas di atas, secara asasnya seseorang bapa berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan.

Walau bagaimanapun, dalam konteks anak tak sah taraf kewajipan memberi nafkah adalah terletak di atas tanggungjawab ibunya kerana hubungannya dengan bapa telah terputus.  Kewajipan ke atas ibu untuk memberi nafkah bagi anak yang ketiadaan bapa adalah berdasarkan firman Allah SWT:

لَا تُضَآرَّ وَٰلِدَةُۢ بِوَلَدِهَا

Maksudnya: ”Janganlah menjadikan seseorang ibu menderita kerana anaknya” (al-Baqarah: 233)

Berdasarkan ayat ini para ulama mengatakan: “Ketika diwajibkan (nafkah) itu ke atas bapa bagi menanggung tanggungannya secara asasnya (asal), maka diwajibkan tanggungan (nafkah) itu ke atas ibu ketika berlaku pemutusan (nasab) itu adalah lebih utama”.[4] 

Berkata Imam al-Mawardi: “Berpindah nafkah selepas daripada bapa-bapa kepada ibu-ibu, dan sekiranya ketiadaan bapa maka nafkah tersebut berpindah kepada ibu”.[5]

Berkata Imam Khatib al-Bujairimi: “Dan zakat fitrah anak zina ialah ke atas ibunya kerana dia tidak mempunyai ayah sebagaimana diwajibkan nafkahnya (anak) ke atas ibunya”.[6]

Berkata Imam Sayyid al-Bakri: “Dan zakat fitrah bagi anak zina ialah ke atas ibunya kerana diwajibkan nafkah (anak) ke atas ibunya, dan hal ini semisalnya anak yang dili’an[7].  Disebut di tempat yang lain: “Dan diwajibkan ke atasnya nafkah anak yang di bawahnya iaitu diwajibkan ke atas ibu anak zina tersebut”.[8] 

Justeru, tanggungjawab ibu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf diperuntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 80. (Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tidak sah taraf) mengatakan:

a-         Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

Namun begitu, para ulama’ meletakkan syarat-syarat tertentu dalam menyediakan keperluan nafkah anak tak sah taraf iaitu seseorang ibu berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya dalam keadaan berikut:

a-         Anak tersebut tidak mampu berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga mempunyai pekerjaan.

b-         Anak tersebut miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menyara dirinya. Anak tersebut cacat anggota. Jika anak tersebut sudah besar atau baligh dan mampu berdikari maka ibu tidak lagi wajib memberi nafkah kepadanya.

c-         Anak tersebut masih menuntut ilmu.

Ibu tersebut mampu memberi nafkah. Jika ibu tidak mampu memberi nafkah maka kewajipan tersebut berpindah kepada waris (ibu).[9]

Namun, sekiranya seseorang ibu tidak berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, maka nafkah tersebut dipertanggungjawabkan ke atas waris ibu. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وعلى الوارث مثل ذلك

Maksudnya: “Dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika bapa tiada)”

Justeru jelaslah bahawa kewajipan memberi nafkah dan saraan hidup bagi anak tak sah taraf adalah terletak kepada ibunya mengikut Hukum Syarak. Hal ini adalah disebabkan anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja dan tidak dinasabkan kepada bapa yang menyetubuhi ibunya melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat perbuatan rogol.  

v- Perkahwinan

Perkahwinan anak tak sah taraf perempuan mesti diwalikan oleh wali hakim. Bapa tidak layak menjadi wali kepada anak tak sah tarafnya. Anak tak sah taraf (lelaki) tidak boleh menjadi wali sepertimana susunan wali dalam pernikahan. Pemohonan wali hakim perlu dirujuk ke Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Agama Islam Daerah.

Jika ibu berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain, maka lelaki tersebut menjadi bapa tiri kepada anak tak sah taraf wanita yang dikahwininya. Oleh itu, wudhu’, aurat dan pergaulan bapa tiri dengan anak tiri (anak tak sah taraf) seperti hubungan mahram* dan mereka haram berkahwin.

Jika wanita yang telah hamil atau melahirkan anak hasil zina tidak mengahwini pasangan zinanya, maka hubungan anak tak sah tarafnya dengan bapa biologi (bapa tak sah taraf) adalah seperti hubungan bukan mahram. Mereka boleh berkahwin, wudhu’ terbatal (jika bersentuhan), aurat dan pergaulan perlu dijaga seperti hubungan ajnabi (orang luar).

vi- Agama

Kematian anak tak sah taraf yang belum baligh adalah menurut agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, dia diuruskan dengan cara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan Islam, dia diurus dengan cara bukan Islam walaupun lelaki yang menyetubuhi ibunya beragama Islam.

Hak Anak Tidak Sah Taraf dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri

Ibu bapa merupakan orang yang paling utama menanggung nafkah anak-anak. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan setiap ibu bapa memberikan nafkah kepada anak-anak sama ada anak-anak mereka fakir, masih kecil, sakit atau gila. Di Malaysia, undang-undang keluarga Islam di negeri dan Wilayah Persekutuan mempunyai peruntukan tentang nafkah anak, termasuk peruntukan tentang kewajipan ibu menyara nafkah anak tak sah taraf. Terdapat tiga pihak yang dipertanggungjawabkan memberikan nafkah kepada anak tak sah taraf sama ada ibu atau waris ibu atau pemerintah (baitulmal). Oleh itu, Enakmen Undang-Undang Kekeluargaan Islam Negeri bertunjangkan dan bersumberkan kepada hukum syarak yang telah dibincangkan bahawa anak tidak sah taraf yang menjadi keutamaan hak sebagaimana berikut :

i-         Tanggungjawab Ibu

Pada dasarnya, tanggungjawab memberikan nafkah kepada anak-anak merupakan tanggungjawab bapa kerana bapa berkewajipan menunaikan segala keperluan mereka di hadapan Allah dan masyarakat. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor, iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya “Dan kewajipan bapa pula ialah memberikan makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya”. (al-Baqarah:233)

Begitu juga dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA. bahawa Hindun binti ‘Utbah telah berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Suffian (suaminya) ialah seorang yang kedekut. Dia tidak memberikan belanja yang cukup untuk saya dan anak-anak kami, kecuali jika saya ambil dengan tidak diketahuinya.” Rasulullah SAW menjawab pertanyaan tersebut dengan bersabda, “Ambillah sekadar yang cukup untuk keperluan kamu dan anak-anak kamu dengan cara yang baik[10].

Kedua-dua nas tersebut menegaskan bahawa seseorang bapa bertanggungjawab sepenuhnya menyara nafkah anak-anaknya dan kewajiban tersebut tidak dikongsi bersama-sama dengan pihak lain. Sekiranya bapa sudah meninggal dunia atau tidak berkemampuan untuk menyara nafkah, maka tanggungjawab menyara nafkah anak berpindah kepada ibu. Ibu berkewajipan menyara nafkah anak, termasuk anak tak sah taraf kerana dinasabkan kepadanya dan tidak dinasabkan kepada bapa yang menyetubuhinya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksud “Janganlah menjadikan seseorang ibu menderita kerana anaknya”.(al-Baqarah :233)

Al-Qurtubi memetik pendapat jumhur ahli tafsir yang sepakat menyatakan bahawa ibu tidak boleh enggan menyusui anaknya hanya kerana mahu menyusahkan bapa anaknya. Ibu dilarang menuntut upah menyusu melebihi kadar yang munasabah dan bapa tidak boleh menghalang ibu menyusui anaknya apabila ibu menghendakinya.[11]

Kewajipan ibu menyara nafkah anak tak sah taraf disebabkan pertalian darah (nasab) bersamaan dengan kewajipan bapa memberikan nafkah kepada anak yang dinasabkan kepadanya. Antara syarat menyara nafkah anak adalah seperti yang berikut:

i-         Anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkan dirinya.

ii-        Anak itu belum boleh berdikari atas harta yang dimilikinya atau usahanya sendiri.

ii-        Tanggungjawab nafkah berpindah kepada waris, jika bapa tidak berkemampuan.[12]

Sekiranya ibu atau bapa tidak mempunyai harta tetapi mempunyai pekerjaan yang cukup untuk dirinya sahaja, maka timbul perselisihan dalam kalangan ulama sama ada wajib atau tidak memberikan nafkah kepada anak.

Menurut pendapat yang sahih dan disokong oleh majoriti ramai (al-aksarun) wajib memberikan nafkah kepada anak, manakala pendapat yang kedua mengatakan tidak wajib.

Sekiranya anak mempunyai harta atau pekerjaan, maka ibu atau bapanya tidak wajib memberikan nafkah kerana anak tidak lagi berhajat kepada pemberian nafkah sama ada anak tersebut sakit, gila atau buta. Sebaliknya, ibu atau bapa wajib memberikan nafkah jika anaknya fakir, sakit, gila atau masih di bawah umur yang belum mampu bekerja.

Menurut Abu Thur, ibu atau bapa berkewajipan memberikan nafkah kepada anaknya walaupun anaknya mempunyai kelebihan rezeki. Sekiranya anak itu sihat tetapi tidak boleh bekerja, maka timbul persoalan adakah ibu atau bapa wajib memberikan nafkah kepada anak dalam keadaan tersebut?

Al Rafi’ menyatakan wajib seperti juga anak wajib memberikan nafkah jika ibu bapanya berada dalam keadaan yang sama. Menurut pendapat yang sahih, tidak wajib kerana nas hanya mewajibkan pemberian nafkah kepada anak yang belum cukup umur berbeza dengan anak yang sakit dan gila.[13]

Oleh itu dari sudut Enakmen undang-undang keluarga Islam di seluruh negeri di Malaysia mempunyai peruntukan yang mewajibkan setiap wanita yang melahirkan anak tak sah taraf memberikan nafkah mengikut kemampuannya. Misalnya di Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis mempunyai peruntukan yang hampir sama seperti yang berikut:

Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat dirogol, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberikan apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Kebanyakan kes yang dirujuk di mahkamah syariah di Malaysia berkaitan dengan tuntutan selepas perceraian seperti nafkah iddah, nafkah anak, tunggakan nafkah isteri dan anak, mutaah, hadanah dan harta sepencarian, manakala kes yang berkaitan dengan kesahtarafan anak terlalu sedikit diputuskan oleh mahkamah. Kes kesahtarafan anak yang banyak diputuskan oleh mahkamah adalah berkaitan dengan permohonan untuk mendapatkan kebenaran pernikahan menggunakan wali hakim.

Secara keseluruhannya, permohonan tersebut diluluskan oleh mahkamah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah pasangan ibu bapanya mengaku telah berzina sebelum bernikah, kedua-dua pasangan tidak mempunyai dokumen pernikahan yang sah dan pernikahan tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam.

Di Kedah, mahkamah syariah tidak pernah memerintahkan seseorang ibu menyara nafkah anak tak sah taraf disebabkan tiada permohonan dibuat oleh mana-mana pihak, kecuali kes permohonan kesahtarafan anak untuk mendapatkan kebenaran pernikahan menggunakan wali hakim.

Dalam kes Siti Nur Azira binti Hj. Abdul Ghani, bapa pemohon, Hj.Abdul Ghani telah bersekedudukan dengan ibunya, Norhayati binti Teh Idris tanpa dokumen perkahwinan yang sah. Tujuan permohonan tersebut adalah untuk menentukan status kesahtarafan anak dan kebenaran wali hakim sebagai wali nikah. Pada 13 Ogos 2012, mahkamah memutuskan bahawa pemohon, Siti Nur Azira binti Hj. Abdul Ghani yang lahir pada 9 September 1987 merupakan anak tak sah taraf Hj. Abdul Ghani dan wali nikah pemohon berpindah kepada wali hakim. Dalam kes Ibrahim bin Mat Isa, pemohon telah berkahwin dengan Sarbiah binti Kechik pada 10 Ogos 1989. Pada 29 Disember 1989, isteri pemohon telah melahirkan anak yang diberi nama Faizahnur binti Ibrahim. Pemohon mengakui anaknya telah dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah selepas perkahwinannya.

Permohonan tersebut bertujuan untuk menentukan status kesahtarafan anak tersebut. Pada 3 Jun 2014, mahkamah memutuskan bahawa Faizahnur binti Ibrahim merupakan anak tak sah taraf kepada Ibrahim bin Mat Isa dan Sarbiah binti Kechik.

Terdapat juga kes permohonan kesahtarafan anak di mahkamah disebabkan oleh Jabatan Pendaftaran Negeri Kedah menolak nama anak dibinkan atas nama bapa apabila hendak membuat kad pengenalan. Dalam kes Jamuri bin Ishak dan Azira binti Aziz, pemohon telah berkahwin pada 22 Februari 1983. Pada 21 Jun 1998, pemohon kedua telah melahirkan anak dan diberi nama Mohd. Ikhtisam Adwa bin Jamuri. Tujuan permohonan dibuat adalah disebabkan Jabatan Pendaftaran Negeri Kedah meragui status kelahiran anak tersebut apabila pemohon hendak membuat kad pengenalan.

Pengesahan status anak tersebut perlu diputuskan oleh mahkamah. Pada 4 Februari 2013, mahkamah memutuskan bahawa Mohd. Iktisham Adwa ialah anak tak sah taraf Jamuri bin Ishak dan Azira binti Aziz.[14]

ii-        Tanggungjawab Waris Ibu

Ibu merupakan pihak yang paling rapat dengan anak tak sah taraf yang dinasabkan kepadanya, jika kelahiran anak tersebut tidak melalui jalan perkahwinan yang sah. Oleh itu, ibu berkewajipan memberikan nafkah kepada anaknya. Sekiranya ibu tidak mampu, tanggungjawab tersebut berpindah kepada ahli waris. Abu Thur menyatakan ahli waris harus memberikan nafkah kepada anak tersebut. Pandangan Abu Thur adalah berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika bapa tiada)”. (al-Baqarah :233)

Menurut al-Qurtubi, sebahagian ulama seperti Mujahid dan Atha’ menyatakan bahawa ahli waris lelaki sahaja yang wajib membayar kos penyusuan seperti bapa yang wajib menyaranya ketika hidup. Qatadah berpendapat waris bermaksud anak lelaki dan anak perempuan. Ahmad dan

Ishak berpendapat waris membayar kos penyusuan anak kecilnya sekadar sebagai waris sahaja. Menurut Abu Hanifah, kewajipan memberikan nafkah kepada anak kecil dan kos penyusuannya terletak pada mahramnya. At-Tabari berpegang pada pandangan Abu Hanifah sambil menyatakan jika anak lelaki bapa saudara (sepupu) atau orang lain tidak menjadi mahramnya, maka mereka tidak wajib memberikan nafkah kepadanya. Sufyan berpendapat al-waris merujuk saudara kandung anak tersebut yang masih hidup setelah salah seorang daripada ibu bapanya meninggal dunia. Jika bapa meninggal dunia, maka ibu wajib membiayai keperluan anak jika anak tidak memiliki harta. Begitu juga, ’asabah wajib membiayai penyusuan anak berdasarkan bahagiannya daripada harta pusaka.

Wahbah al-Zuhaili menjelaskan tanggungjawab waris ibu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf adalah seperti yang berikut:[15]

i-         Ibu ialah waris, jadi wajib membiayai nafkah dengan jelas daripada nas al Quran. Jika anak kecil itu ada nenek dan saudara lelaki, maka ke atas nenek satu perenam dan yang selebihnya ditanggung oleh saudara lelaki. Dengan ini jadilah susunan pembiayaan nafkah mengikut susunan pewarisan. Maka, sebagaimana nenek mendapat habuan pusaka satu perenam, ia juga wajib membiayai nafkah satu perenam dan sebagaimana habuan pusaka yang selebihnya bagi saudara lelaki, maka begitu pula ia wajib membiayai nafkah yang selebihnya setelah nenek membiayai satu perenam. Jika berhimpun ibu bapa di sebelah ibu (nenek dan datuk di sebelah ibu), maka pembiayaan nafkah wajib ke atas emak ibu (nenek) kerana ia adalah ahli waris.

Oleh itu, jelaslah bahawa waris ibu yang utama yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan nafkah ialah nenek (emak ibu) dan saudara lelaki seibu sama ada abang atau adik kepada anak tak sah taraf. Kadar saraan nafkah adalah mengikut bahagian yang diterima oleh waris tersebut dalam harta pusaka, iaitu nenek sebanyak satu perenam bahagian, manakala bakinya kepada saudara lelaki seibu. Yusuf al-Qaradhawi (2009) menyebut bahawa Islam mengutamakan nafkah kepada keluarga terdekat dan orang yang berada dalam tanggungannya sebelum diberikan kepada orang fakir, miskin, orang yang berjuang di jalan Allah dan orang yang dalam perjalanan (Ibnu Sabil). Beliau merujuk hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Satu dinar kamu belanjakan di jalan Allah (berjihad), satu dinar kamu belanjakan bagi hamba (untuk memerdekakan hamba sahaya), satu dinar kamu belanjakan bagi orang miskin dan satu dinar kamu belanjakan bagi keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu belanjakan untuk keluargamu”. (Sahih Muslim)

Pemberian nafkah yang wajib lebih besar pahala di sisi Allah SWT berbanding dengan sedekah yang sunat. Nafkah merupakan hak seorang anak kecil yang lemah yang tidak mampu mengurus diri. Bapa ialah orang yang paling akrab dengan anak-anaknya yang disandarkan kepada nasab, maka hak memberikan nafkah adalah mengikut peringkat kaum kerabat.

iii-       Tanggungjawab Pemerintah

Merujuk hadis sahih yang disepakati bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Setiap kamu adalah penjaga dan kamu semua bertanggungjawab terhadap jagaanmu”. (al-Bukhari)

Hadis tersebut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mengingatkan setiap orang merupakan pemimpin dan setiap pemimpin hendaklah menunaikan sesuatu perkara yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.

Tanggungjawab sebagai pemimpin berbeza-beza antara satu dengan yang lain sama ada kecil atau besar bergantung pada wilayah penguasaannya seperti gabenor atau khalifah. Setiap pemimpin akan dipersoalkan atas segala urusan yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.

Oleh yang demikian, penjaga juga merujuk pemimpin yang bersifat amanah dan melakukan pembaikan (islah) dengan adil. Pembaikan dan keadilan akan dipersoalkan sama ada telah ditegakkan terhadap orang yang dijaganya atau sebaliknya?

Dalam sistem pemerintahan Islam, baitulmal bertanggungjawab menyediakan segala keperluan untuk orang yang memerlukan bantuan dan memenuhi keperluan mereka. Baitulmal yang kini dikenali sebagai institusi kewangan atau bank merupakan tempat untuk menjaga harta kerajaan dan sebahagiannya digunakan untuk nafkah.

Baitulmal terbahagi kepada empat tunjang, iaitu zakat, harta ghanimah (rampasan perang), harta rampasan (al-Fai) dan harta yang hilang. Baitulmal juga dikenali sebagai khazanah (perbendaharaan) Islam. Menurut Al-Kasani dalam membicarakan tanggungjawab baitulmal mengurus harta dan kewajipan menyatakan bahawa:

Adalah menjadi tanggungjawab baitulmal menyediakan peruntukan untuk membeli ubat-ubatan kepada golongan fakir, membiayai kos rawatan orang yang sakit, menguruskan pengebumian jenazah bagi mereka yang tidak mempunyai harta, memberikan nafkah kepada anak-anak yang dijumpai (terdampar), orang-orang yang tidak mampu bekerja (daif), orang-orang yang tidak mempunyai ahli keluarga (kerabat) yang bertanggungjawab memberikan nafkah kepadanya, dan seumpamanya. Seseorang imam (pemerintah) hendaklah mengagihkan atau membahagikan hak tersebut kepada orang yang berhak menerimanya.

Kisah yang masyhur semasa pemerintahan Saidina Umar dan harta baitulmal. Pada suatu malam Saidina Umar al-Khattab mendapat tahu bahawa seorang wanita bersama anak-anak kecilnya dalam keadaan lapar dan memerlukan makanan. Saidina Umar al-Khattab dengan sendirinya telah mengambil makanan daripada baitulmal lalu memberikan makanan kepadanya. Wanita tersebut mengucapkan terima kasih kepada Saidina Umar al-Khattab sambil berkata, “Sesungguhnya Allah berada di antara kami dan Umar.” Kisah ini menunjukkan bahawa seseorang pemerintah bertanggungjawab menjaga hak rakyatnya.

Menurut Ibnu Khuwaiz Mindad pemerintah berkewajipan menguruskan saraan nafkah anak yatim dalam kalangan orang fakir yang tidak memiliki harta yang diambil daripada baitulmal. Jika pemerintah tidak melakukannya, kewajipan menyara nafkah anak tersebut kembali kepada ahli keluarga (muslimin) yang terdekat dan yang jauh. Jika ibunya masih hidup, ibunya wajib menyusui dan menguruskan nafkah anaknya kerana ibu lebih dekat dengan anaknya.[16]

Di Kedah, baitulmal diwujudkan pada tahun 1962 di bawah seksyen 102 dan 172 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Kedah) 1962 dan kini di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Negeri Kedah) 2008, seksyen 47.102 Antara fungsi baitulmal di Kedah termasuklah menguruskan permohonan dan membuat siasatan terhadap permohonan bantuan daripada pelbagai pihak, terutamanya lapan asnaf yang layak menerima zakat.

Di Wilayah Persekutuan, baitulmal telah menubuhkan dua institusi pendidikan, iaitu Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB). IPB ditubuhkan pada 23 April 1992 bertujuan untuk melahirkan profesional Muslim, memasyarakatkan ilmu pengetahuan ke arah pembentukan masyarakat madani dan meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.103 IKB pula ditubuhkan pada tahun 1991 yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat Islam dengan cara memberikan mereka peluang menjalani latihan kemahiran supaya mereka boleh berdikari setelah tamat kursus.

Di Malaysia, terdapat agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan fungsi tertentu yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak di antaranya ialah:[17]

i-         Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat KPWKM) yang berperanan untuk memelihara hak wanita, keluarga dan masyarakat dengan adil dan saksama tanpa unsur diskriminasi, serta memantapkan institusi keluarga.

ii-        Program Latihan Kemahiran di institusi dan kelas akademik dengan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke institusi pengajian tinggi.

ii-        Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menyediakan program ibu tunggal seperti Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), Jejari Bestari dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA) dengan Kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bertujuan untuk meningkatkan pelibatan wanita, termasuklah wanita hamil luar nikah dalam aktiviti keusahawanan agar mereka boleh berdikari tanpa perlu bergantung pada kerajaan untuk membesarkan anak tak sah taraf.

iii-       NGO seperti OrphanCARE mengendalikan Baby Hatcy di Petaling Jaya, Selangor dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Kedah (LKPI) mengendalikan Rumah Perlindungan Nurul Hana (RPNH) di Jalan Stadium, Alor Setar. Yayasan OrphanCARE menerima dana daripada kerajaan sebagai insentif menjalankan program seperti forum, kempen, ceramah, dan sebagainya. Rumah Perlindungan Nurul Hana (RPNH) berdaftar dengan JKM dan mendapat geran tahunan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai galakan kepada RPNH yang berganding bahu dengan kerajaan untuk memenuhi keperluan sosial negara.

5.0 Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan para fuqaha’ tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah.[18] Persetubuhan syubhah adalah merujuk kepada persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah.[19]

Hukum Syarak dan undang-undang telah menetapkan bahawa penjagaan anak yang tidak sah taraf adalah kepada ibunya dan saudara mara sebelah ibu. Oleh kerana responden adalah seorang yang muallaf dan tidak mendalami hukum Islam dengan sebaiknya, perjanjian persetujuan yang dibuat semasa Majlis Sulh tersebut tidak dipandu oleh Hukum Syarak dan undang-undang. Ini menunjukkan perjanjian persetujuan tersebut adalah bertentangan dengan Hukum Syarak dan undang-undang.

Berdasarkan satu kaedah fiqh yang menjelaskan bahawa yang bermaksud hukum itu mengikut kemaslahatan yang kukuh. Kaedah ini menjelaskan walaupun kadangkala pada zahirnya didapati ada kerugian kepada sesuatu perbuatan, namun kesudahannya atau hakikatnya terdapat kemaslahatan yang kuat dan rajih. Walaupun pemohon mendapat kerugian kerana tidak dapat memelihara anak lelaki tersebut, kita harus memahami terdapat satu kemaslahatan yang kukuh disebalik Hukum Syarak dan undang-undang menetapkan bahawa anak tidak sah taraf hendaklah dinasabkan kepada ibunya.

Selain itu, satu lagi kaedah fiqh yang berbunyi yang bermaksud apa yang sabit dengan syarak didahulukan daripada sabit dengan syarat. Kaedah ini membawa maksud, sesuatu atau apa sahaja yang telah ditetapkan menurut syarak didahulukan atau diutamakan daripada apa yang ditetap melalui syarat. Yang mana antara lain juga, ketetapan yang berasal dan bersumber daripada jalan serta kaedah syarak itu seharusnya didahulukan dari sesuatu amalam dan pelaksanaannya daripada apa yang ditetapkan atau daripada ketetapan yang terbentuk daripada syarat-syarat yang dibuat oleh manusia.[20]

bapa tidak boleh mewalikan pernikahan jika anak perempuan tidak sah taraf itu ingin berkahwin, sebaliknya hak perwalian akan berpindah kepada wali hakim yang akan diputuskan Mahkamah Syariah.

Bagi urusan perwarisan dan pembahagian harta pusaka, hukum faraid terpakai ke atas anak adalah seperti anak atau adik-beradik seibu dalam keluarga itu.

Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan dengan ibunya dan boleh mewarisi antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, anak boleh mewarisi hartanya dan begitu juga sebaliknya kerana hukum faraid membenarkan anak dan ibunya serta saudara sebelah ibu saling mewarisi.

Justeru, ibu bapa yang mahu menerangkan kepada anak-anak mengenai kedudukan mereka sebagai anak tak sah taraf perlu melakukannya secara berhemah dan penuh hikmah berdasarkan kesesuaian umur. Namun tiada kewajipan menceritakan perkara sebenar, apatah lagi jika berbuat demikian akan membuka aib seseorang apatah lagi kita dituntut menutup aib sendiri dan orang lain selagi berupaya.


[1] Paizah Ismail hlm.88

[2] Ibid. hlm.88

[3] Abas Nordin, Kedudukan Anak Tak Sah Taraf: Dari Aspek Perundangan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya hlm.27

[4] Al-Baghawi, Abu Muhamad al-Hussain. (). Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafie. Jil.3. Beirut: Dar al-Kutub al-ʽIlmiyyah. H.156.

[5] Imam Abi al-Hasan bin Habib Al Mawardi Hawi al-Kabir fi Fiqh al-Shafi’i (2009) Dar Ahya-at-Turas-ul-Arabi Al-Hawi al-Kabir, jld.11 h.479 Al-Baghawi, Abu Muhamad al-Hussain. (1997). Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafie (Vol. 3). Dar al-Kutub al-ʽIlmiyyah.

[6] Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Syafi’i, Darul Kutub al-‘Ilmiyah. Beirut, Lebanon jld.4 h.437.

[7] Abu Bakar Muhammad Syatha ad-Dimyathi I’anah al-Tolibin, Darus Salam, Kaherah, Jid. 2 h.169

[8] Ibid Jil. 2 h.335

[9] Opt.Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil.10 h.7413-7415

[10] Jam’u Jawami’ al-Ahadis wa al-Asanid wa Maknin al-Sihhah wa al-Sunan wa al-Masanid, 1431H/2010M. Sahih Bukhari. Kitab al-Nafaqaat. Juzuk 3. Kaherah: Jam’iah al-Maktabah alIslami, hlm. 1123.

[11] al-Qurtubi, Abi Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansori, 1428H/2007M. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Juzuk 3. Kaherah: Dar al-Hadis, hlm. 143.

[12] Muwaffiq al-Din wa Shams al-Din Ibn Qudamah, (t.t.). Al-Mughni wa Syarh al-Kabir. Juzuk 7. Beirut: Dar al-Fikr, hlm. 258‒59.

[13] al-Husaini, Imam Taqiyuddin Abi Bakr Muhammad, 1429H/2008M. Kifayah al-Akhyar fi Hilli Gha’yah al-Ikhtisor. Beirut: Dar al-Minhaji, hlm. 578.

[14] Abd Ghani Ahmad & Nuarrual Hilal Md. Dahlan (2016), Kewajipan Menaggung Nafkah Anak Tak Sah Taraf : Satu Kajian Kes Di Negeri Kedah, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, h.227-229

[15] Wahbah al-Zuhaili, 1409H/1989M. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Juzuk 7. Damsyik: Dar al-Fikr, hlm. 827–28

[16] al-Qurtubi, 1428H/2007M. Al-Jami’ li Ahkam Ahkam al-Quran. Juzuk 3. Kaherah: Dar al-Hadis, hlm. 144

[17] Op.hlm.237

[18] Muhammad Yusuf Musa (1967) Al-Nasab wa Atharuhu,  Edisi 2, Dar al-Ma’rifah, Kaherah , ms 7-20

[19] Abd Karim Zaydan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim fi al- Syariah al-Islamiyyah, Jid.9, Muassasah

[20] Syariah Law (2017), Mohamad Ariff bin Ali v Siti Nor Aslinah Lim Li Ming [2017] 4 SHLR, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, h.86

Exit mobile version