Site icon Wacana Zeckry

Analisis Perkembangan Aliran Pemikiran

Persoalan besar dalam kehidupan seorang manusia yang berfikir adalah tentang ketuhanan. Soal ketuhanan yang memunculkan pemikiran dan falsafah yang menjadi asas perbahasan dan perdebatan sejak dahulu. Sejak Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama sehinggalah manusia mendapat petunjuk wahyu daripada Allah SWT.

Namun, masih terdapat manusia  mempersoalkan hakikat keberadaan dan kewujudan Allah SWT, hakikatnya juga manusia tidak puas untuk terus mencari sehingga terlibat dengan aliran-aliran tertentu yang dirasakan apa yang difikirkan berdasarkan pengetahuan dan kefahamannya.

Kemuncaknya timbul rasa tidak puashati dengan aliran lain yang hanya yakin dan percaya pada aliran kita pegang yang menyebabkan timbul rasa taasub, jumud, tidak rasional, kebencian dan musnah kasih sayang. Kesan-kesan ini akhirnya membawa kepada perpecahan umat Islam dan ketinggalan dalam pelbagai bidang serta tidak kreatif.

Pada hemat saya, hal ini berlaku bermula daripada keterlibatan dan pengaruh umat melayu dulu dalam khurafat, mistik, bid`aah daripada agama sebelum Islam di alam melayu. Walaupun Islam telah lama bertapak di alam Melayu, tema aqidah ini yang menjadi asas, tercetusnya pelbagai aliran-aliran pemikiran dalam mengembangkan ilmu Islam dengan pelbagai metode seperti al-Hadith, al-Ra`y, Fuqaha, Mutakalliman, Sufi, Mufassiran dan Filasof.

Oleh yang demikian, penulisan ini bertujuan menganalisis perkembangan ilmu Islam dalam konteks Malaysia yang menjadi cabaran dan polemik dengan kepelbagaian metode aliran pemikiran dalam mengembangkan ilmu Islam. Tetapi, apabila terdapat perbezaan pandangan dengan pengaruh yang kuat sehingga timbul fitnah dan fanatik.

Akhirnya menjadi penyumbang kepada perpecahan umat Islam. Kemudian perbincangan ini, membincangkan keseimbangan dari aspek penguasanaan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah  dalam kalangan umat Islam masa kini. Seterusnya, perbincangan untuk mendapatkan cabaran dalaman dalam perkembangan ilmu Islam. Di akhir perbincangan ini cadangan model kurikulum dan keintektualan yang sesuai dalam rangka membawa generasi baru ke arah yang terbaik.

Analisis perkembangan aliran pemikiran dalam konteks Malaysia

Sewajarnya, Islam mesti difahami secara menyeluruh dan tuntas agar tidak berlaku kesalahfaham sebagaimana yang banyak berlaku dalam kalangan umat Islam. Jika ditanya kitab yang terbaik bagi digunakan untuk belajar Iimu Aqidah, Ilmu Tawhid atau perbahasan mengenai Rukun Iman? Jawapannya adalah al-Ouran dan al-Hadith.

Cuma kemudian apakah para ulama menyusun secara khusus dengan memilih ayat al-Quran dan al-Hadīth berkaitan perbahasan ‘aqīdah, tauḥid dan iman secara ringkas berbentuk matan yang kemudian ada sharahnya atau dalam kitab,berbentuk  perbahasan dengan memasukkan juga perbahasan isu-isu semasa yang menjadi tantangan dalam isu ‘aqidah pada zaman mereka masing-masing. Jika kita menjengah dalam konteks di Malaysia, saya berpandangan kepada tiga aspek iaitu:

i-         Bidaah

Menurut Az-Zeckry (2021) masyarakat melayu mengenali takrif bid`ah sebagai segala yang diada-adakan selepas wafat Rasulullah ﷺ untuk dijadikan syara` dan agama padahal yang diada-adakan itu tidak ada di dalam agama, diada-adakan itu pula dengan sebab sesuatu syubhat (keterangan yang menyamarkan) atau kerana sesuatu takwil. Setelah diperhatikan, perkataan bid`ah telah mengetuk pintu-pintu pertengkaran dan pengaduhan di antara umat Islam, lalu menjadikan mereka sentiasa dalam keadaan berpecah-belah, keadaan liar, seolah-olah mereka berada dalam suasana ‘perang saudara’.

Persoalannya, adakah semua perkara yang tidak dikenali pada zaman Rasulullah ﷺ dikatakan bid`ah? lalu kita takut kepada perkara-perkara tersebut?  Rasulullah ﷺ telah bersabda, maka wajar difahami dengan teliti sebelum kita menghukum. Kekeruhan daripada pentakrifan ini menyebabkan kekeliruan yang akhirnya berlaku pulau memulau dan perpecahan dalam masyarakat. Perbincangan yang hilang definisi dan konsep bid`ah, sedangkan definisi adalah penting untuk kita qiaskan (timbangkan) segala-galanya, apabila jahil tentang ta`rif hilanglah segala kaedah dan neraca.

Perkataan Bid`ah (بِدْعَةٌ  ) merupakan perkataan dari bahasa Arab yang berasal dari kalimah “بدع “ yang bermaksud mereka, mencipta, mengeluarkan[1].

Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab mendefinisikan perkataan tersebut iaitu:

بدَع الشيءَ يَبْدَعُه بَدْعاً وابْتَدَعَه: أَنشأَه وبدأَه.

Dalam mazhab Syafie pula, bid`ah bermaksud segala sesuatu perkara baru dalam agama bukan dalam kehidupan seharian yang meluaskan dan merangkumi sama ada bid`ah baik atau bid`ah buruk.

Sesetengah mazhab lain, menyempitkan bid`ah itu kepada perkara ibadah yang khusus sahaja. Manakala, al-Qardhawi membahagikan bid`ah mengikut hukum ada yang dinamakan bid`ah mughalazah, mukhaffah, bid`ah haram, harus atau syirik.

Tetapi, pada sudut terminologi, terdapat perbahasan yang panjang di antara fuqaha’ dalam menentukan takrifan bid`ah. Secara amnya takrifan bid`ah dari sudut terminologi terbahagi kepada tiga kefahaman iaitu:

i-          Kefahaman yang mentafsirkan bid`ah kepada dua iaitu hasanah (baik) dan dalalah (sesat).

ii-        Mereka yang memahami bid`ah dengan mentafsirkannya kepada setiap perkara baharu yang berlaku dalam urusan agama selepas zaman Rasulullah ﷺ, termasuk di dalam batasannya perkara yang kelihatan baik secara zahirnya mahupun jelas keburukannya dan kedua-duanya merupakan perkara yang dilarang dan ditegah dalam agama.

iii-       Kefahaman yang mentafsirkan bid`ah kepada setiap perkara baharu yang bercanggah dengan hukum syarak yang menatijahkan ianya sebagai perkara yang terkeji.

Perbincangan Muammar Ghaddafi Hanafiah, (2019) dalam jurnal bertajuk Isu Membidaahkan Amalan Masyarakat Melayu: Analisis Wacana Media Massa telah menyatakan bahawa isu membid`ahkan amalan masyarakat Melayu boleh mengancam perpaduan umat Islam.

Meskipun kerajaan Malaysia telah mewartakan fatwa untuk menjaga keharmonian. Namun, masalah ini belum dapat dibendung dan dihapuskan dalam pemikiran umat Islam di Malaysia khususnya. Sehubungan dengan itu, kajian tersebut dilakukan bagi menganalisis isu membid`ahkan amalan masyarakat Melayu menerusi wacana media massa. 

Hasil kajian tersebut, menunjukkan terdapat enam perspektif yang perlu diberi perhatian dalam isu membid`ahkan amalan masyarakat Melayu, iaitu konsep bid`ah yang tidak jelas atau belum dapat diterima oleh sebahagian masyarakat.

Kekeliruan masyarakat antara persoalan bid`ah dan khilafiah (perselisihan pandangan), kelemahan memahami konsep sunnah yang sebenar, kekaburan menyentuh konsep difusi antara agama dan budaya, kebimbangan masyarakat terhadap sifat taksub sesetengah pihak dengan kefahaman yang dipegangnya tentang bid`ah dan kerisauan masyarakat terhadap sifat ekstrem pada sesetengah pihak yang keras menentang pihak yang dianggapnya ahli bid`ah.

Melihat kepada konsep bid`ah berdasarkan kepada nukilan daripada Muhammad Mudarris Nadzir (2006) dan Mohd Fadhil (2011) yang menukilkan daripada Al-Arif Billah As-Syeikh Mukhtar Ali ad-Dasuqi:

البِدْعَةُ هِيَ إِطْلَاقُ مَا قَيَّدَهُ اللهُ وَرَسُولُهُ أَوْ تَقْيِيْدُ مَا أَطْلَقَهُ اللهُ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: Bid`ah ialah meluaskan apa yang telah dihadkan atau ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata`Ala dan Rasulnya atau membataskan (menyempitkan) apa yang telah diluaskan oleh Allah dan RasulNya.[2]

Dalam memahami makna bid`ah yang digagaskan daripada perkataan   مُحْدَثَة Muhdasah (perkara baru yang belum ada dijumpai sebelum ini).

Berdasarkan kepada Hadith:

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ،

 وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Maksudnya: Hendaklah kamu berpegang teguh terhadap sunnahku dan sunnah Khulafa` Ar-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid`ah adalah sesat.[3]

Adakah kebaharuan ini boleh menjadi tercela? Jika tidak, kenapa harus dikatakan bid`ah dan terus dengan pukulan dalalah (kesesatan). Kekeliruan penyingkapan atas terma bid`ah tersebut menyebabkan kekhilafan kita memahami nas (teks) pada Hadith:

عنْ عَائِشَةَ d، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:  مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا

هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: Sesiapa menciptakan dalam urusan atau perkaraku ini sesuatu yang tidak berasal darinya, maka tertolak.[4]

Hadith tersebut sangat dipercayai sebagai petunjuk kepada muhdasah dan bid`ah secara profesional, kerana dari penelitian Hadith tersebut menerbitkan hukum bahawa pembaharuan yang tertolak adalah produk atau keluaran yang bukan hasil istinbat [5] atau bertentangan dengan syarak dengan dalil مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ (sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka tertolak).

Sedangkan makna disebaliknya, bahawa bentuk ‘kebaharuan’ yang merupakan istinbat, maka dikategorikan sebagai keadaan yang islami مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ مقبول (sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka diterima).

Maka tidak semua bid`ah adalah tercela, sebagaimana tidak semua muhdasah dihukumkan buruk dalam kaca mata agama sehingga membezakan antara bid`ah hasanah (baik) dan bid`ah sayyi`ah (buruk).

Misalnya, al-khamru (minuman keras) dan zabib (kismis). Kedua-duanya adalah muhdasah yang diperbuat daripada buah anggur.

Namun, minuman keras menjadi bid`ah sayyiah yang haram, sedangkan kismis termasuk sebagai bid`ah hasanah yang halal sehinggakan bid`ah tersebut menjadi tradisi dan terus berkembang, maka hukumnya menjadi sunnah hasanah. Sebaliknya minuman keras(arak)bersumber daripada bid`ah sayyi`ah.

Maka, definisi bid`ah sayyi`ah dalam hal ibadah dikonsepkan sebagai bentuk “meluaskan” apa yang “disempitkan oleh Allahldan Rasulullah ﷺ seperti menambah rakaat dalam solat, mengubah waktu perlaksanaan ibadah haji yang merupakan contoh kecil bid`ah sayyiah.

Adapun pengamalan berzikir berjemaah, bacaan surah yasin malam jumaat, berselawat atau berzanji, maulidur rasul, ziarah kubur dan sesetengah amalan adat orang melayu adalah dibolehkan kerana tidak termasuk dalam لَيْسَ مِنْهُ (bukan daripadanya) dan tidak terdapat nas yang mengharamkannya.

Hal ini sesuai berdasarkan kaedah fiqh iaitu “hukum asal sesuatu adat adalah harus” sebagaimana dinukilkan oleh al-`Allamah Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa`diy.

وَالْأَصْلُ فِى عَادَاتِنَا فِى الإِبَاحَةِ حَتَّى يَجِئَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya: “Dan asal bagi adat-adat kita ialah harus, sehingga datangnya sesuatu yang mengubah keharusan itu

Ini menjelaskan bahawa hukum asal sesuatu adat kebiasaan seharian kita ialah harus selagi mana tidak ada dalil syara` yang mengubah hukum asal tersebut kepada wajib, sunat, haram atau makruh. Asas ini menunjukkan agama merangkumi semua aspek kehidupan, bukan sekadar terhenti di masjid atau surau, solat, puasa dan haji sahaja.

Manakala, Dr. Said Abu al-As`ad dalam kitabnya berjudul سُبُلُ الخَيْرَات للفَوْزِ بِالبَاقِيَاتِ الصَّالِحَاتِ yang diperakui oleh Dr. Ali Jumaat, mantan Mufti Mesir telah mengupas bahawasanya pengamalan keberagamaan yang telah mengakar secara adat dalam masyarakat muslim seperti maulidur rasul, ziarah maqam Rasulullah ﷺ, tabarruk dan tawasul, mempunyai sumber atau dasar yang kuat dari al-Quran dan sunnah kerana ia bukan termasuk dalam hal ibadah.

Maka, lembaga penelitian, penerbitan dan penterjemahan al-Azhar, secara rasmi mengakui, bahawa segala perbahasan dalam kitab tersebut banyak menjurus kepada beberapa karya khazanah tradisional (turats) Islam tersebut tidak ada yang menyimpang dari aqidah Islam ahlu al-sunnah wal Jamaah[6].

ii-        Tajdid

Menurut Ibn Manzur dalam Muhamad Zaid Ismail & Norahida Mohamed, (2015), kalimah tajdid berasal daripada jaddada dan yujaddidu. Tajdid bermaksud sebagai sayyarahu jadidan iaitu menjadikannya baru atau bernafas baru. Manakala al-Manawi (1356H) mendefinisikan dari sudut istilah, tajdid bermaksud sebagai upaya menghidupkan kembali apa yang telah hilang dan terhapus dalam penerapan kandungan al-Qur’an dan al-Sunah, serta perkara yang wajib dikerjakannya.

Definisi yang dinyatakan oleh al-Manawi tersebut hampir menyamai dengan maksud tajdid yang dikatakan oleh al-Qaradhawi (1996) iaitu menghidupkan apa yang difahami daripada al-Quran dan al-Sunnah dan perkara-perkara yang bersesuaian dengan kedua-duanya.

Tajdid ini lebih menjurus kepada tajdid amal kerana tajdid merupakan salah satu usaha dan kaedah mengembalikan sesuatu seperti keadaan asal. Selanjutnya al-Qaradhawi (1996) mengistilahkan tajdid sebagai mengembalikannya kepada keadaan asal sehingga menampilkan seperti sesuatu yang baharu.

Ini dilakukan dengan cara memperkukuh sesuatu yang lemah, memperbaiki sesuatu yang usang dan menampal sesuatu yang retak sehingga kembali mendekati bentuknya yang asal. Dengan kata lain, tajdid bukan bererti meruntuhkan binaan yang asal atau menggantikannya dengan yang baharu.

Manakala, usaha mentajdid agama, bukan bermakna merubah agama tetapi mengembalikannya menjadi seperti dalam era Rasulullah ﷺ, para sahabat dan tabiin serta pengikut-pengikut seterusnya. Ini menjelaskan bahawa tajdid sebagai memperbaharui agama dan mengubahnya supaya sesuai dengan zaman.

Maksud pembaharuan ialah pembaharuan dari segi memahaminya, keimanan dan pengamalannya. Dalam pada itu, Muḥammad al-Ghazali pula mengibaratkan proses tajdid dengan merujuk kepada perbuatan membasuh baju.

Apa yang dilakukan adalah mencuci baju tersebut agar menjadi bersih seperti baru, bukan mengubah, menambah, atau mengurangkan apa-apa pada entiti baju tersebut demi menunjukkan kebaharuannya walaupun kekotoran masih ada.  Manakala, menurut Abdul Hayei Abdul Sukor (2003), memperbaharui atau mentajdidkan agama, tidak bermakna membawa sesuatu yang baru, tetapi maksudnya ajaran Islam yang sedia ada diberi pendekatan yang baru, sesuai dengan zaman dan waktu yang berubah-ubah.

Tajdid merupakan baik pulih sebuah rumah lama dengan cara yang terbaik dan kini rumah itu dicat dan diberi warna baru supaya kelihatan lebih menarik dan menawan hati lebih ramai orang.

Justeru, berdasarkan definisi yang dikemukakan, bahawa konsep tajdid sebagai dakwah kerana Allah untuk menghidupkan sunnah dan mengikis bid`ah sayyiah dengan berhikmah dan mau`izah hasanah serta saintifik. Oleh kerana itu, tujuan mulia ulama-ulama terdahulu berdakwah kerana Allahldengan segala kepatuhan dan ketaaan kepada syariat Allahldari pelembagaan yang termaktub di dalam al-Quran mahu pun bersumber dari sunnah rasulNya.

Manakala, menyegarkan sunnah dan mengikis segala bid`ah sayyiah sebagai melestarikan dan menghidupkan agama Islam dengan nafas baru dan lebih relevan mengikut zaman.

iii-       Pemikiran

Pemikiran manusia sentiasa berkembang berdasarkan kemajuan keilmuan dalam tamadun manusia. Sejak zaman sahabat, tabi’ tabiin, salafus soleh dan ulama’ muktabar hinggalah ke hari ini perdebatan dan pertelingkahan tentang sesuatu fahaman tidak pernah tamat.  Sehinggalah terbentuknya aliran-aliran, mazhab-mazhab.

Ada yang masih kekal dan ada yang telah lama lupus. Masing-masing dengan hujah dan kupasan tersendiri yang diperkuat dengan kitab-kitab yang ditulis oleh tokoh-tokoh yang berkaliber dalam pelbagai bidang, kewarakan dan kisah hidup yang sangat indah.

Penulis percaya dalam setiap hati mukmin tiada siapa yang ingin sesat dan ingin menyesatkan orang lain. Naik turun sesuatu mazhab atau aliran mengikut kajian dan pemerhatian penulis amat bergantung kepada kecenderungan pemerintah waktu itu.

Contoh, zaman pemerintahan Al-Makmun yang terkenal wara’ dan sangat tinggi ilmunya, mazhab anutan beliau dan pembesar serta rakyat jelata, kiranya mazhab rasmi ketika itu adalah Muktazilah, begitu juga beberapa khalifah yang menyusul. Begitu ramai ulama yang mendokong aliran ini sehingga menjadi ‘mainstream’ kebanyakan rakyat.

Pada masa tersebut, terdapat evolusi pemahaman tentang ajaran Islam yang mula membentuk aliran pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aliran Al-Ashariyah) yang di susun atur lebih baik oleh beberapa ulama’ seperti Imam Malik, Imam Hambali dan sebagainya, walau pun sebelumnya telah ada cuma belum berstruktur.

Kadangkala perbezaan ini antara golongan ulama’ yang berbeza mazhab atas beberapa perkara seperti Al-Quran itu Qadim atau Hadith (baru) menjadi hangat dan kuasa politik digunakan untuk ‘melupus’ mazhab tersebut dan ini melibatkan penangkapan dan penyiksaan yang agak teruk dan mengerikan.

Pada satu tahap ada ulama’ dan pengikut aliran Al-Asy`ariyah dihukum bunuh dan ditindas. Kita tidak boleh mengatakan zalim kerana ‘mainstream’ rakyat dan pihak pemerintah adalah muktazilah dan ‘pembaharuan’ ini ditakuti mengancam perpaduan empayar Islam. Jadi siapa yang bersalah di sini? Kita boleh pandang pemerintah dan rakyat yang salah atau sesat jika kita mengadilinya mengikut gambaran mazhab ‘mainstream’ pada masa kini.

Aliran muktazilah musnah bersama-sama dengan keagungan empayar Baghdad akibat diserang oleh Monggol. Monggol menakluk hampir semua empayar Islam kecuali Mesir. Mesir mengambil alih khilafah Islamiyah dan ditakdirkan pada masa tersebut fahaman Al-Asyaariyah mula menjadi ‘mainstream‘, akhirnya pemerintahan khalifah Islam dan rakyat jelata serta ulama’ menerima Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kemudiannya didokongi lagi oleh ulama’ seperti Iman As-Sayuti. tetapi, aliran muktazilah dianggap sekarang sebagai menyesatkan akidah (Az-Zeckry, 2021).

Baca selanjutnya :


[1] Osman Khalid et.al (2015) Mu`jam al-Arabi-al-Malayuwi al-Kabir : Kamus Besar, Arab-Melayu.Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

[2] Ad-Dasuqi, Mukhtar Ali. (2002). Al-Bid`ah wal Khid`ah, Akhbar Soutul Ummah, Bil.94 didapatkan dari http://lahzetnour.com/new/2010/07/14.

[3] Ibn Majah

[4] Al-Bukhari: 2697

[5] Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur hlm.592. Istinbat bermaksud: amalan mengeluarkan hukum atau keputusan berdasarkan al-Quran atau hadis tertentu.

[6] Said abu al-As`ad. (2006). Subul al-Khairat li al-Fauz bi al-Baqiyat al-Shalihat. Kaherah: Syirkah al-Fath li at-Thoba`h wa Nasyr Wa An Tauzi`.hlm.282.

Exit mobile version