Kebiasaan naluri manusia perlukan kepada sesuatu yang cepat dalam apa jua aktiviti dipersekitarannya bagi mencapai matlamat dengan segera. Ibarat kalau kita tanam pokok durian musang king hari ini, esok terus dapat keluar buah. Ajaibnya jika terjadi dalam tempoh masa singkat kerana pokok durian musang king berbuah mengambil masa sekurang-kurangnya 30 bulan. Namun, tabiat manusia apabila hendak sesuatu, kalau boleh cepat dapat demi mencapai kepuasan hati. Senario tersebut telah menjelaskan kepada kita, bahawa dalam kehidupan dan ekosistem manusia memerlukan kepada proses inovasi agar sentiasa berlaku kebaharuan dalam berinteraksi dipersekitarannya sama ada dalam sektor perkhidmatan, sosial dan ekonomi bagi mendapatkan hasil yang pantas terhadap sesuatu tawaran perkhidmatan yang disediakan.

Memetik kata bijak oleh Presiden Indonesia Keenam, Susilo Bambang Yudhoyono mengatakan “Sesuatu bangsa yang akan bertahan dan berfaedah pada masa depan adalah bangsa yang adaptif dan inovatif. Bangsa yang berkarakter sedemikian tentu tidak bersikap dogmatis dan menutup diri dari perubahan dan pembaharuan”.

Secara mudahya, kita akan mendapat gambaran pemahaman inovasi dengan jelas apabila kita memandang ke hadapan sepertimana menurut   World Intectual Property Organization (2021) atau Pertubuhan Harta Intelek Dunia melaporkan dalam Indeks Inovasi Global (GII) negara Switzerland mengekalkan sebagai negara yang paling inovatif di dunia dalam tempoh 2013-2019, dikuti dengan Sweden ditempat kedua dan USA menduduki tempat ketiga pada tahun 2019. Ini menunjukkan kepada kita, bahawa ketiga-tiga negara tersebut adalah negara yang paling maju atau berpendapatan tinggi dan negara yang paling banyak berinovasi. Namun, setakat 2019, negara kita masih lagi berada pada kedudukan ke-35 berstatus negara berpendapatan menengah atas.

Senario tersebut juga menunjukkan betapa pentingnya inovasi dalam kehidupan manusia untuk mempercepatkan kemajuan dan kemakmuran negara. Maka, bersesuaian dalam konteks Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang Menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang digariskan berteraskan modal insan agar melahirkan lebih banyak pemodenan organisasi perkhidmatan awam sebagai ‘lidah kerajaan’ yang dapat menyampai dan berinteraksi dengan rakyat agar lebih cekap, berkesan dan berpuas hati. Perubahan persekitaran yang dapat kita lihat sebelum ini ketika bermula revolusi perindustrian pertama yang bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Kemudian, revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Seterusnya revolusi perindustrian ketiga berasaskan sistem perkomputeran dan teknologi maklumat sebagai tonggaknya.

Sedarkah kita sekarang berada dalam Revolusi Perindustrian 4.0 yang begitu rancak diusahakan oleh manusia dipelusuk dunia?  Hakikatnya, hari ke hari manusia melakukan perubahan selaras dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing. Maka, dari dekad ke abad, manusia menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam menyesuaikan kehidupan mereka dengan persekitaran dalam membina tahap kehidupan berkualiti.

Oleh itu, punca perubahan ini tertakluk kepada pencapaian pengetahuan dan kekuatan mental kerana industri 4.0 telah mengubah gaya kita bekerja dan hidup yang dipacu dengan teknologi secara fizikal, digital dan biologikal yang merangkumi simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), pengkomputer awan (cloud), keselamatan siber, analisis data, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan dan automasi robot (Afandi Ahmad, 2017).

Justeru, perbincangan mengenai Pembudayaan Inovasi Menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 memerlukan pencapaian keilmuan yang seiring dengan perubahan persekitaran, kesungguhan dan kesedaran agar keterbukaan pemikiran untuk mempelajarinya dari masa ke semasa. Pada hebat penulis, semestinya gagasan inovasi akan mencapai matlamat dalam usaha menyampaikan sesuatu perkhidmatan kepada pelanggan dengan mudah, cekap dan berkesan. Kelembapan dan ketinggalan dalam pemodenan boleh berlaku seandainya pemikiran pengurusan masih ditakuk lama dan tidak relevan dengan masa yang kita alami sekarang untuk berdepan dengan persekitaran pelanggan yang memerlukan penyelesaian segera dan berkesan bersesuaian kelompok generasi sama ada terdiri dari generasi X,Y,Z dan A yang mewarnai kehidupan manusia dengan kepelbagaian gaya hidup dan budayanya.

Walau bagaimanapun, penulisan ini akan membincangkan “Pembudayaan Inovasi Menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” secara konseptual. Pepatah mengatakan, jika kita tidak dapat terbang, maka berlarilah, dan jika kita tidak dapat berlari, maka berjalanlah, jika kita tidak dapat berjalan, maka merangkaklah, tetapi apapun yang kita lakukan kita mesti bergerak dan terus maju kedepan.

Konsep Pembudayaan Inovasi

i-      Konsep Pembudayaan

Perkataan pembudayaan bersumberkan daripada perkataan budaya bermaksud kemajuan pemikiran, akal budi sama ada melalui cara berfikir atau berkelakuan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2016). Budaya merupakan salah satu komponen penting dalam membicarakan tentang hubungan sosial kerana manusia dikategorikan berasaskan budaya yang diamalkan. Secara umumnya, maksud budaya ialah kebiasaan dalam pengamalan oleh seseorang. Dengan kata lain, budaya dapat ditafsirkan dalam bentuk perbuatan yang dibawa oleh individu.  Manakala, pembudayaan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016) ditakrifkan sebagai proses atau metod membudayakan sesuatu sama ada melalui pemikiran, keilmuan atau pengamalan.

Pada hemat penulis, pembudayaan terhadap inovasi merupakan tuntutan pengamalan dalam sesuatu perkhidmatan, kelangsungan daripada proses kreativiti dan inovasi sekaligus dapat memperkasakan sesebuah organisasi itu maju ke hadapan dengan kebolehan mencipta atau mereka sesuatu yang baharu dan berkesan untuk diikuti. Penghasilan inovasi berasaskan sumber pengetahuan, pemikiran dan pengalaman daripada seorang pemimpin organisasi yang berwawasan. Ini bermakna, pembudayaan merupakan respon positif yang berlaku apabila kita berinteraksi dengan kepelbagaian lapisan kelompok generasi itu sendiri ketika menyampaikan sesuatu mesej yang mengikut kesesuaian dan situasi terhadap pemahaman, pengalaman dan pengetahuan individu itu sendiri.

Adakah kita sedar bahawa selama ini juga, budaya masyarakat telah mengalami perubahan dan terkesan mengikut peredaran masa, apabila datang pengaruh luar terutamanya daripada pengaruh barat moden. Kita dapat lihat dipersekitaran kita sama ada dari sudut hiburan, intelektual, ideologi, makanan, fesyen, kebudayaan, bahasa, komunikasi dan sosial. Begitu juga, dalam kemodenan untuk menyampaikan perkhidmatan masa kini seharusnya melalui medium komunikasi digital yang pelbagai metod dan gaya yang tersendiri.

ii-       Konsep Inovasi

Menurut Kinicki dan Williams (2003), inovasi adalah pencarian kaedah atau formula untuk memberikan produk atau menyediakan perkhidmatan dalam bentuk baharu yang lebih baik.  Ini bermakna setiap organisasi, tidak kira sama ada berpaksikan keuntungan atau sebaliknya, tidak akan cepat berpuas hati dengan pencapaiannya, lebih-lebih lagi apabila saingannya menghasilkan idea kreatif. Inovasi dirasakan sebagai penghasilan suatu yang baharu di pasaran yang mengubah persamaan permintaan dan penawaran (Chell, 2001).

Manakala dalam konteks perkhidmatan awam pula, inovasi adalah hasil cetusan idea-idea kreatif bagi menghasilkan sesuatu kekinian dan relevan dalam penambahbaikan ke atas sesuatu yang sedia ada melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan dan segar. Maka, penghasilan Inovasi berupaya menambah nilai semasa sehingga membawa transformasi daripada amalan sedia ada kepada pengamalan yang berkualiti.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada konsep tersebut, penulis berpendapat bahawa Inovasi Teras Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang sebagai proses menyuburkan dengan metodologi atau formula terkini setelah berada pada revolusi perindustrian 4.0 dalam usaha penyampaian perkhidmatan sebagai pemudah cara kepada masyarakat setempat dengan tepat dan permasalahan rakyat dapat ditangani dengan berkesan. Tambahan pula, organisasi perkhidmatan awam sebagai ‘lidah kerajaan’ untuk berkomunikasi dengan kepelbagaian lapisan generasi masyarakat yang memerlukan perubahan semasa dengan kecekapan dalam pengurusan yang berimpak teknologi tinggi.

Manakala, melalui konteks Pembudayaan Inovasi Dalam Mencapai Kemakmuran Bersama 2030 pula, aspekpengamalan inovasi dalam perkhidmatan awam untuk merealisasikan dasar kerajaan. Misalnya, salah satu teras strategik berasaskan kepada modal insan dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menyasarkan majoriti tenaga kerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi yang menjurus kepada pengamalan inovasi sebagai usaha dan metod mengembalikan proses kebaharuan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkekalan. Ini bermaksud, kebaharuan berasaskan kepada memahaminya, meyakinkan dan mengamalkannya yang dapat melestarikan penyampaian perkhidmatan dengan nafas baru yang sentiasa segar dan lebih relevan mengikut kehendak masyarakat pada zaman yang dialami sekarang.

Jika kita menjengah dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bermula tahun 2011 hingga 2015, kerajaan menyasarkan ekonomi yang berpaksikan pengetahuan inovatif, kreatif dan berkemahiran tinggi yang dijana oleh sektor perkhidmatan. Sewajarnya, pencapaian pada RMK10 telah mencapai matlamatnya untuk menghasilkan perkhidmatan awam yang berteraskan kepada inovatif, kreatif dan berkemahiran tinggi serta membudayakan inovasi yang berlaku secara drastik dan berkesan dalam kalangan penjawat awam di semua agensi sehingga ke akar umbi.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan penyampaian kepada pelanggan berasaskan kepada inovasi dan kemodenan pada hari ini yang telah dilaksanakan berkonsepkan kolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan untuk perkhidmatan yang lebih memudahkan dan pantas kepada rakyat?

Jika kita melihat pada hari ini, perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan melalui dalam talian portal kerajaan Malaysia memudahkan rakyat berurusan dari pelbagai agensi kerajaan secara digital dan lancar, di mana saja mereka berada seperti permohonan bantuan perniagaan, pendidikan, kerjaya, pelancongan, kebudayaan, perumahan, kewangan dan cukai, imigresen dan visa, kebajikan, keluarga dan masyarakat serta kesihatan. Selain itu, kerajaan juga melaksanakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai bagi urusan pembayaran di kaunter atau secara dalam talian serta menerusi program dan penggunaan aplikasi pembayaran seperti MyBayar, MyPay dan JomPay (Ismail Bakar, 2019a).

Maka, jelaslah bahawa inovasi berdasarkan kepada persekitaran dan keperluan masyarakat untuk memudahkan urusan seharian dalam pelbagai aspek sama ada pendidikan, sosial atau ekonomi. Begitu juga, melalui pendigitalan perkhidmatan, kerajaan akan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Tambahan pula, ketika ini dunia global menghadapi ancaman pandemik Covid-19 yang menyebabkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan dalam talian. Secara langsung, proses inovasi dalam penyampaian perkhidmatan berkembang mengikut persekitaran.

Di Malaysia, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang ditubuhkan sejak 1966, berperanan dalam pengurusan pentadbiran Malaysia, bertujuan mengembangkan usaha-usaha pembaharuan pentadbiran Kerajaan. Kini, MAMPU bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemodenan pentadbiran dan transformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi dan pendigitalan ke arah perkhidmatan yang cekap dan berkesan.

Kenapa inovasi ? Ini kerana, tiada satu perkara pun dalam dunia ini yang baharu dan mampu dicipta tanpa ada asasnya yang telah sedia ada. Segala penciptaan manusia merupakan proses tiru kemudian inovasi dengan keperluan semasa untuk mendapatkan hasil yang lebih baik atau yang lebih membantu untuk memudahkan daripada penciptaan sebelumnya. Contohnya, nasi ayam Hani yang ditiru-vasi oleh peniaga dengan menjadikan menu baharu iaitu, Nasi Ayam Goreng Berempah. Nasi ayam Hani menggunakan asas nasi dan ayam. Ayamnya dikukus dengan herba dan dihidangkan dengan nasi yang dimasak dengan air rebusan ayam. Nasi Ayam Goreng Berempah tidak wujud semata-mata atasnya. Nasi campur ayam campur rempah adalah perkara asas yang telah sedia ada. Nasi ayam Hani telah wujud sebelum kewujudan Nasi Ayam Berempah. Oleh kerana orang asia sukakan makanan pedas, maka Nasi Ayam Hani yang ayamnya dikukus dilakukan penambahan dan perubahan. Ayam berempah diinovasikan ke dalam nasi ayam dan menghasilkan nasi ayam berempah yang sesuai dimakan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Nasi Ayam Berempah sesuai dengan selera rakyat Malaysia dan boleh diterima oleh penduduk Malaysia serta menjadi makanan pilihan selain daripada nasi ayam Hani yang pernah terlebih dahulu wujud sebelumnya.

Justeru, penghasilan sesuatu inovasi memerlukan kajian ilmiah dan tindakan wajar dengan segera yang mesti dilaksanakan dalam sesuatu jabatan atau agensi kerana ia cepat berkembang dan mempengaruhi persekitaran masyarakat. Apabila berlaku kajian, maka proses inovasi akan berlaku yang memerlukan kepada pengurusan kebersamaan dengan kakitangannya dalam menangani permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.