Site icon Wacana Zeckry

HUTANG KORBAN

Terdapat di internet sekarang ini pihak-pihak yang mempromosi menunaikan ibadah korban dan akikah secara ansuran. Jadi pertanyaan saya, bolehkah seseorang itu berhutang bagi mengerjakan ibadah korban atau akikah dan adakah sah ibadah tersebut ?

Ringkasan Jawapan

Tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban atau akikah kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri. Demikian juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dia diharuskan untuk dia menggunakan pakej akikah dan korban secara ansuran yang ditawarkan.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Al-Kauthar; 108: 2

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Imam al-Qurtubi menafsirkan bahawa maksud ayat ini ialah pelaksanaan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan juga ibadah korban sesudahnya[1]. Selain itu, terdapat juga sabda Nabi Muhammad SAW yang turut menganjurkan amalan berkorban ini, Baginda bersabda:

»مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا«

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Oleh yang demikian, tatkala tiba hari raya korban, sudah tentunya ramai daripada kalangan individu Muslim ingin meraikan hari yang mulia ini dengan turut menyembelih korban sebagai suatu usaha memenuhi anjuran syarak di samping menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW.

Perintah untuk mengerjakan ibadah korban ini merupakan sunat muakkad[2] dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan agar melaksanakannya[3]. Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyrik[4].

Oleh itu, timbul persoalan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya, adakah dibolehkan bagi mereka untuk berhutang bagi tujuan mengerjakan ibadah korban tersebut?

Pada dasarnya, tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:

مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Al-Maidah; 5: 6

Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

Selain daripada itu, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”

Riwayat al-Tarmizi (1078) dan Ibn Majah (2413) [Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dalam Sunannya]

Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.

Pada masa kini, terdapat beberapa gambaran orang berhutang bagi melaksanakan ibadah korban, antaranya ialah:

  1. Berhutang dengan orang lain sejumlah wang kemudian menggantikannya semula sama ada secara ansuran atau secara ‘lump sum’.
  2. Menggunakan platform buy now pay later. Seseorang akan berhutang dengan penyedia platform tersebut untuk mendapatkan pakej korban yang disediakan pihak vendor. Kemudian dia membayar secara ansuran kepada penyedia platform buy now pay later.
  3. Menggunakan kad kredit.

Pandangan fuqaha telah jelas menyatakan bahawa orang yang berkemampuan adalah orang yang dituntut (sunat muakkad) untuk melakukan ibadah korban dan orang yang tidak mempunyai kemampuan tidaklah dituntut untuk melaksanakannya. Justeru itu, seseorang itu tidak perlu berhutang semata-mata untuk melaksanakan ibadah ini sekiranya tidak mampu.

Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif. Hal ini ada kami sebutkan dalam artikel kami yang bertajuk Irsyad Fatwa Haji Dan Korban Siri Ke-49: Hukum Orang Tidak Berkemampuan Ingin Melaksanakan Korban[5].

Penutup

Tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri. Ia juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dibolehkan untuk dia menggunakan pakej akikah secara ansuran yang ditawarkan.

Akhir kalam, kami mendoakan agar kita semua dapat diberikan ilmu dan kefahaman dalam menjalankan perintah Allah SWT.

Wallahualam.

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran¸ Tahkik: Ahmad al-Burduni dan Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H), 20/219.

وَالَّذِي يَقَعُ فِي نَفْسِي أَنَّ الْمُرَادَ بِذَلِكَ صَلَاةَ يَوْمِ النَّحْرِ، وَالنَّحْرُ بَعْدَهَا

[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 6/123.

لِأَنَّ الْأُضْحِيَّةَ اسْمٌ لِمَا يُضَحَّى بِهِ (سُنَّةٌ) مُؤَكَّدَةٌ فِي حَقِّنَا. أَمَّا فِي حَقِّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فَوَاجِبَةٌ

[3] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 6/123.

وَالْمُخَاطَبُ بِهَا الْمُسْلِمُ الْحُرُّ الْبَالِغُ الْعَاقِلُ الْمُسْتَطِيعُ

[4] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 1/233.

3 – الاستطاعة، وتتحقق: بأن يملك قيمتها زائدة عن نفقته ونفقة من هو مسؤول عنهم، طعاماً وكسوة ومسكناً، خلال يوم العيد وأيام التشريق.

[5] Lihat: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-haji-korban-cat/4878-irsyad-fatwa-haji-dan-korban-siri-ke-49-hukum-orang-tidak-berkemampuan-ingin-melaksanakan-korban, laman web diakses pada 14/6/2022.

Soalan

Assalamualaikum, baru-baru ini kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa hari wukuf di Arafah lebih awal berbanding tarikh di Malaysia. Persoalannya adakah tarikh puasa sunat hari Arafah mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi atau mengikut tarikh di Malaysia. Mohon penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan

Di Malaysia penentuan tarikh awal bulan Zulhijah berdasarkan hasil cerapan dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penentuan hari Arafah adalah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijah pada 9 hari bulan mengikut waktu dan tarikh tempatan walaupun berbeza tarikh wuquf di Arab Saudi. Hal ini kerana matla’ atau tempat terbit bulan dan matahari berbeza mengikut tempat masing-masing

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah menunaikan puasa sunat hari Arafah mengikut perkiraan tarikh melihat anak bulan Zulhijah di Malaysia dan tidak mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi. Di samping itu, umat Islam digalakkan untuk berpuasa hari Tarwiyah sehari sebelum hari Arafah iaitu pada 8 Zulhijah.

Huraian Jawapan

Hari Arafah ialah hari yang ke-9 dalam bulan Zulhijah dan sehari sebelum umat Islam menyambut perayaan Aidiladha. Pada hari ini juga Allah SWT menganugerahkan padanya pelbagai kelebihan dan fadilat. Antaranya ia merupakan hari yang Allah SWT banyak membebaskan hamba-Nya daripada api neraka. Di samping itu, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji atau wukuf mereka disunatkan untuk berpuasa,[1] Allah SWT akan mengampunkan dosa mereka setahun yang sebelum dan yang selepasnya. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صيامُ يومِ عَرفةَ إنّي أحْتسبُ على اللهِ أن يُكفّرَ السنَةَ التي بعدهُ والسنةَ التي قبلهُ

Maksudnya: Puasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku berharap agar Allah menjadikannya sebagai pengampun segala dosa selama setahun yang akan datang dan setahun sebelumnya.

Riwayat Muslim (1162)

Seringkali terjadi polemik penentuan hari wukuf di Arafah, kebiasaannya jika penetapan hari tersebut berbeza di antara Malaysia dan Arab Saudi. Persoalannya adakah penentuan hari tersebut perlandaskan penglihatan anak bulan atau mengikut hari wukuf di Arafah. Dalam hal ini, melihat kepada kaedah penentuan bilangan bulan dalam kalendar hijrah berlandaskan dengan cerapan melihat anak bulan atau dengan mencukupkan hitungan 30 hari jika anak bulan tidak kelihatan.[2] Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak bulan. Katakanlah itu adalah penunjuk waktu bagi manusia (waktu-waktu berpuasa, berbuka, iddah seseorang wanita) dan waktu ibadah haji.

(Surah Al-Baqarah:189)

Dalam hal ini juga, penetapan hari dalam bulan hijrah secara umumnya atau hari arafah khususnya, adalah ditentukan oleh sesuatu tempat berdasarkan keupayaan penampakan anak bulan. Ini kerana matla’ atau kawasan terbitnya matahari dan bulan berbeza bagi sesuatu negara dan tempat bahkan bagi setiap tempat itu mempunyai matla’ tersendiri. Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan di dalam karyanya menyatakan bahawa, sekiranya sesuatu negara melihat anak bulan maka kawasan yang berhampiran dengannya boleh mengambil pendekatan hukum yang sama (iaitu dalam penentuan hari dan tarikh kelendar hijrah). Manakala bagi negeri yang berjauhan seperti Iraq dan Hijaz maka ia tidak dibolehkan, hal ini kerana matla’ bagi tempat tersebut adalah berbeza.[3]

Di samping itu, sebaiknya puasa pada hari arafah pada 9 haribulan Zulhijjan disertakan dengan berpuasa sunat tarwiyah[4] iaitu hari ke-8 Zulhijah sehari sebelum hari Arafah bagi mereka yang melakukan ibadah haji atau tidak. Imam Syamsuddin al-Ramli menyatakan bahawa:

وَيُسَنُّ صَوْمُ الثَّمَانِيَةِ أَيَّامٍ قَبْلَ يَوْمِ عَرَفَةَ كَمَا صَرَّحَ بِهِ فِي الرَّوْضَةِ سَوَاءٌ فِي ذَلِكَ الْحَاجُّ وَغَيْرُهُ، أَمَّا الْحَاجُّ فَلَا يُسَنُّ لَهُ صَوْمُ يَوْمِ عَرَفَةَ يَلِ يُسْتَحَبُّ لَهُ فِطْرُهُ وَلَوْ كَانَ قَوِيًّا لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: Sunat berpuasa pada hari ke lapan sehari sebelum hari Arafah seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Raudah bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji atau selainnya. Pun begitu, bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah bahkan disunatkan kepada mereka untuk tidak berpuasa walaupun dalam keadaan sihat kerana mengikut sunnah.[5]

Justeru itu, di Malaysia penentuan tarikh awal bulan Zulhijah berdasarkan hasil cerapan dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penentuan hari Arafah adalah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijah pada 9 hari bulan mengikut waktu dan tarikh tempatan walaupun berbeza tarikh wukuf di Arab Saudi. Hal ini kerana matla’ atau tempat terbit bulan dan matahari berbeza mengikut tempat masing-masing

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah menunaikan puasa sunat hari Arafah mengikut perkiraan tarikh melihat anak bulan Zulhijah di Malaysia dan tidak mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi. Di samping itu juga, umat Islam digalakkan untuk berpuasa hari tarwiyah sehari sebelum hari Arafah iaitu pada 8 Zulhijah.

Wallahu’alam

[1] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib, (Dar al-Kitab al-Islamiy) 1/430

 (فَصْلٌ يَوْمُ عَرَفَةَ) وَهُوَ تَاسِعُ ذِي الْحِجَّةِ (أَفْضَلُ الْأَيَّامِ) لِأَنَّ صَوْمَهُ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ كَمَا يَأْتِي بِخِلَافِ غَيْرِهِ وَلِأَنَّ الدُّعَاءَ فِيهِ أَفْضَلُ مِنْهُ فِي غَيْرِهِ وَلِخَبَرِ مُسْلِمٍ «مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ» وَأَمَّا قَوْلُهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – «خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ فِيهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ» فَمَحْمُولٌ عَلَى غَيْرِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِقَرِينَةِ مَا ذُكِرَ (وَيُسْتَحَبُّ لِغَيْرِ الْحَاجِّ صَوْمُهُ)

[2] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali Al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Taizi’, 1413H) 2/77

يثبت دخول شهر رمضان بأحد أمرين: الأول: رؤية الهلال، ليلة الثلاثين من شعبان، وذلك بأن يشهد أمام القاضي شاهد عدل أنه قد رأى الهلال. الثاني: إكمال شعبان ثلاثين يوماً: وذلك فيما إذا تعسرت رؤية الهلال بسبب غيوم، أو إذا لم يتقدم شاهد عدل يشهد بأنه قد رأى الهلال، فيتمم شهر شعبان ثلاثين يوماً، إذ هو الأصل ما لم يعارضه شيء.

[3] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini,  Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 2/144-145

(إذَا رُئِيَ بِبَلَدٍ لَزِمَ حُكْمُهُ الْبَلَدَ الْقَرِيبَ) مِنْهُ قَطْعًا كَبَغْدَادَ وَالْكُوفَةِ؛ لِأَنَّهُمَا كَبَلَدٍ وَاحِدَةٍ كَمَا فِي حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ (دُونَ الْبَعِيدِ فِي الْأَصَحِّ) كَالْحِجَازِ وَالْعِرَاقِ. وَالثَّانِي: يَلْزَمُ فِي الْبَعِيدِ أَيْضًا (وَالْبَعِيدُ مَسَافَةُ الْقَصْرِ) وَصَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ فِي شَرْحِ مُسْلِمٍ؛ لِأَنَّ الشَّرْعَ عَلَّقَ بِهَا كَثِيرًا مِنْ الْأَحْكَامِ (وَقِيلَ بِاخْتِلَافِ الْمَطَالِعِ. قُلْتُ: هَذَا أَصَحُّ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) ؛ لِأَنَّ أَمْرَ الْهِلَالِ لَا تَعَلُّقَ لَهُ بِمَسَافَةِ الْقَصْرِ، وَلِمَا رَوَى مُسْلِمٌ عَنْ كُرَيْبٍ

[4] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Dar al-Fikr) 8/82

وَالثَّامِنُ يُسَمَّى يَوْمَ التَّرْوِيَةِ

[5] Syamsuddin Muhammad bin Abi al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin al-Ramli, (Beirut: Dar al-Fikr, 1404H) 3/207

Exit mobile version