Site icon Wacana Zeckry

Kesan Lafaz al-Nahy Dalam Al-Quran

Lafaz al-Nahy secara mudah dengan satu maksud, iaitu perintah Allah terhadap manusia yang mukallaf supaya menjauhi atau tidak melakukan perkara yang dilarang itu. Sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah itu kebiasaannya mengandungi keburukan dan kemudaratan secara keseluruhan atau pun kemudaratannya akan melebihi kebaikan serta manfaat yang ada.

Apabila Allah menetapkan perintah untuk menjauhi sesuatu perkara itu, ia bererti kemaslahatan untuk diri kita, sama ada dalam bentuk agama, jiwa, akal, maruah, dan harta.

Perbincangan ini adalah untuk kefahaman lafaz al-Nahy yang tidak hanya berbentuk kepada larangan tetapi ia juga boleh membawa kepada maksud yang lain seperti karahah ataupun penghinaan.

Begitu juga juga, untuk membincangkan mengenai kesan yang diperolehi daripada lafaz al-nahy itu, sama ada kesannya akan membawa kepada hukum fasid ataupun butlan. Penting untuk seseorang yang mendalami ilmu agama untuk mengetahui secara terperinci mengenai lafaz-lafaz yang terkandung di dalam al-Quran atau al-Sunnah.

Ini adalah kerana lafaz-lafaz bahasa Arab ini boleh membawa kepada pelbagai maksud atau makna yang berbeza mengikut tafsiran ahli-ahlinya. Kurangnya pengetahuan mengenai ilmu usul fiqh ini boleh membawa kepada maksud yang berlainan dengan apa yang dikehendaki oleh syarak atau kesalahan yang ketara dari segi hukum syarak.

Oleh itu, kami harapkan penjelasan yang pendek tetapi mantap ini dapat memberi gambaran yang jelas kepada semua. Sekurang-kurangnya, kami harapkan agar ia dapat menghilangkan keraguan atau ketidakfahaman dalam topik al-nahy itu.

Apa itu al-Nahy

Al-Nahy berasal daripada kalimah bahasa Arab نهى yang membawa maksud larangan atau cegahan ( Ma’jam al-Madrasiyyi 2006 )

Menurut Mustafa Sa’id al-Khinn dalam kitabnya al-Kafi al-Wafi, beliau mengatakan al-nahy ialah:

هو القول الإنشائي الدال على طلب الكف على جهة الإستعلاء

Maksudnya: Penyataan (ucapan) yang dapat dijadikan petunjuk iaitu tuntutan yang berisi larangan untuk berbuat sesuatu yang datang daripada pihak yang lebih tinggi kedudukannya. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 325 )

Penjelasan lanjut mengenai definisi di atas adalah sebagaimana menurut Muhammad Salih al-‘Uthaimin. t.th: 41)

 i) القول الإنشائي :

Kata-kata atau ucapan maka terkeluar dari sini apa-apa ucapan yang berbentuk isyarat seperti menuding jari sebagainya.

 ii) طلب الكف :

Permintaan untuk meninggalkan sesuatu perbuatan .

 iii) جهة الإستعلاء :

Arahan atau perintah yang dikeluarkan oleh pihak yang lebih tinggi kedudukannya . Yang dimaksudkan di sini ialah larangan daripada Allah terhadap mukallaf yang lafaz larangannya itu boleh didapati dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Sighah al-Nahy

Sighah al-Nahy boleh didapati dalam beberapa bentuk. (Rosli SA.M.Ag 1999 : 190 )  Di antaranya:

  1. Sighah لا تفعل

Firman Allah : Maksudnya: Dan janganlah Engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula Engkau menghulurkannya Dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan Tinggallah Engkau

Dengan keadaan Yang tercela serta kering keputusan. ( al-Isra 17: 29 ) Kalimah لا تجعل adalah dalam bentuk Sighah لا تفعل iaitu ‘jangan kamu jadikan..’.

Maka jelaslah melalui sighah ini bahawa ayat di atas membawa kepada maksud pengharaman yang hakiki iaitu dilarang untuk bersifat bakhil dan tidak mahu untuk mengeluarkan nafkah.

Golongan sedemikian diumpamakan sebagai mereka yang mengikat tangan-tangan mereka ke leher mereka sendiri, akibat sifat bakhil dan tamak mereka itu. ii) Fi’l Mudari’ disertai dengan لا al-nahy

Firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih Suci. . ( al-Waqi’ah 56:79)

Perkataan لا يمسه menunjukkan kepada larangan untuk memegang al-Quran bagi mereka yang berhadas besar atau pun kecil.

Hanya mereka yang suci/bersih daripada hadas besar dan kecil dibolehkan untuk menyentuh al-Quran itu. Yang penting di sini adalah Fi’l Mudari’ yang disertai denganلا al-nahy itu mempunyai maksud larangan. iii) Lafaz yang menunjukkan makna tegahan seperti حرم dan نهى .

Firman Allah:

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa) Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ( al-Nahl 16:115 )

 Contoh di atas memberikan penjelasan yang amat nyata mengenai pengharaman memakan bangkai. Ini boleh dilihat dari perkataan حرم yang menuntut untuk meninggalkan perkara tersebut.

KAEDAH-KAEDAH SIGHAH AL-NAHY

Sighah al-Nahy mempunyai kaedah tertentu iaitu: ( Abd Latif Muda 1997: 168 )

1. Asal al-Nahy menunjukkan kepada pengharaman

2. Tegahan sesuatu bermaksud suruhan yang sebaliknya

3. Asal al-Nahy bermaksud tegahan yang mutlak yang berterusan pada setiap zaman.

4. Asal al-Nahy menunjukkan kepada pembatalan hukum secara mutlak Kaedah

1:  Asal al-Nahy menunjukkan kepada pengharaman Penggunaan sighah al-Nahy pada asalnya membawa maksud pengharaman. Namun begitu, kadang-kala ia bukan semata-mata menunjukkan larangan yang bersifat haram tetapi ia juga boleh membawa maksud yang lain. Antara penggunaan sighah al-Nahy yang membawa kepada maksud selain dari haram ialah:

Contoh-Contoh Sighah al-Nahy :

  1. Makruh ولا تصلوا في اعطان الابل

Maksudnya: Janganlah kamu bersembahyang di kandang unta. ( Hadis riwayat Ahmad dan Tarmidzi ) Perkataan لا di sini tidak membawa kepada hukum larangan yang pasti tetapi ia adalah satu perintah untuk meninggalkan dengan tidak pasti, iaitu perintah supaya meninggalkan sembahyang di kandang unta adalah makruh. 

Maksudnya: Wahai tuhan kami! Jangan engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya….. (al-Baqarah 2: 286)

Perkataan لا di sini bukan membawa maksud larangan tetapi ia adalah permintaan daripada hamba kepada Allah supaya tidak dibebani dengan sesuatu yang luar dari kemampuannya.

Maksudnya: Janganlah engkau bertanya (kepada nabi) perkara- perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu. ( al-Maidah 5:101 ) bukan membawa maksud larangan tetapi ia لاPerkataan membawa maksud sebagai petunjuk dan panduan kepada manusia supaya tidak bertanya sesuatu yang akhirnya akan menyusahkan mereka.

Janganlah engkau menujukan pandanganmu(serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka(yang kafir itu) ( al-Hijr 15:88 )

 Perkataan لا tidak membawa maksud kepada larangan tetapi perintah untuk tidak mengendahkan atau mempedulikan nikmat kesenangan yang Allah telah berikan kepada orang kafir.

Maksudnya: Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim (Ibrahim 14:42 )

Perkataan لا tidak membawa maksud kepada larangan tetapi sebagai petunjuk bahawa Allah tidak lalai terhadap perkara-perkara yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.

اليأس (6 Berputus asa

(Maksudnya: “hai orang-orang yang kafir! Janganlah kamu mengatakan uzur (meminta hapuskan kesalahan) pada hari ini” (kerana masa telah terlewat) (al-Tahrim 66:7)

Perkataan لا tidak membawa maksud sebagai satu larangan tetapi ia ditujukan kepada orang kafir supaya tidak mengharapkan agar Allah menghapuskan dosa-dosa mereka.

Maksudnya: Janganlah kamu berdukacita sesungguhnya Allah bersama-sama kita (al-Taubah 9 :40)

Perkataan لا tidak membawa maksud larangan tetapi ia adalah untuk mententeramkan dan menyenangkan hati manusia yang sedang berdukacita.

Kaedah 2 : Tegahan sesuatu bererti suruhan sebaliknya Al-Nahy itu membawa maksud tegahan daripada melakukan sesuatu. Ia juga boleh membawa maksud sebagai suruhan untuk melakukan perkara yang sebaliknya. Contohnya, firman Allah:

Maksudnya: Janganlah engkau mempersekutukan Allah )dengan sesuatu yang lain(. Sesungguhnya mensyirikkan Allah itu adalah satu kezaliman yang hebat. (Luqman 31:13)

Ayat di atas membawa tegahan dan larangan supaya tidak mensyirikkan Allah.

Jikalau dilihat kepada kaedah yang kedua itu, ia membawa maksud yang sebaliknya iaitu perintah untuk beriman hanya kepada Allah sahaja dan tidak menyekutui-Nya dengan mana-mana makhluk yang lain.

Kaedah 3: Asal al-Nahy yang bersifat mutlak menuntut pengulangan untuk setiap ketika Jumhur ulama berpendapat segala larangan yang ditegah meliputi setiap masa dan keadaan. Setiap tegahan bertujuan membendung keburukan.

Oleh sebab itu, keburukan itu dapat dicegah dengan sempurna apabila tegahan itu dijauhi sepanjang masa. Ini dapat dilihat melalui contoh ayat al-Quran yang berbunyi:

Maksudnya: Janganlah kamu menghampiri sembahyang ( mengerjakan ) sedang kamu dalam keadaan mabuk. (al-Nisa 4: 43)

Dalam ayat tersebut tegahan melakukan sembahyang dikaitkan dengan keadaan waktu mabuk. Oleh sebab itu, seseorang yang dalam keadaan mabuk tidak boleh sembahyang. Dan larangan itu berterusan untuk setiap masa, bukan tertakluk pada penurunan waktu itu sahaja. ( Abd Latif Muda, Rosmawati Ali@ Mat Zin. 1997: 171 )

Kaedah 4: Asal al-Nahy menunjukkan makna fasad secara mutlak Jumhur ulama berpendapat asal tegahan itu menghendaki maksud fasad secara mutlak, iaitu terbatalnya sesuatu perbuatan itu dan dikira tidak sah. Contohnya, wanita yang bersembahyang dalam keadaan haid dan nifas.

Semua perbuatan tersebut adalah haram dan tidak sah. Larangan tersebut menunjukkan kepada fasad yang mutlak, iaitu seakan-akan perkara itu tidak pernah terjadi dan sia-sia sahaja.

Untuk itu, sesuatu yang dilarang bermaksud ia tidak diperintahkan dan sesuatu yang tidak diperintahkan itu adalah batal dan tidak sah.

Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, كل أمر ليس عليه أمرنا فهو رد Maksudnya: Setiap perkara yang tidak kami perintahkan, maka ia adalah terbatal. ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini membuktikan bahawa setiap perkara yang tidak diperintahkan oleh Syara’ tidak diterima dan tertolak.

Dalam mengaitkan kepada kaedah yang keempat ini, ia bererti segala perkara yang tidak diperintahkan menunjukkan kepada kerosakan yang mutlak, iaitu ketiadaan perkara itu secara keseluruhannya. ( Abdul Latif Muda 1997 : 172 )

ISU-ISU YANG BERKAITAN DENGAN AL-NAHY

Masalah (1) : Hakikat al-Nahy membawa kepada Tahrim atau Karahah

Ada 4 pendapat mengenainya:

  1. Pendapat jumhur ahli Usul: Sighah al-Nahy itu membawa kepada maksud pengharaman, bukan karahah. Hukum pengharaman itu hanya akan gugur apabila ia disertakan dengan qarinah. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Imam al-Shafi’y dalam kitabnya al-Umm :

 أصل النهي من رسول الله أن كل ما نهي عنه فهو محرم حتى تأتى منه دلالة تدل على أنه إنما نهى عنه لمعنى غير التحريم .

Maksudnya: Asal larangan daripada Rasulullah S.A.W ialah setiap yang dilarang itu maka hukumnya ialah haram sehingga ia disertai dengan dalil yang menunjukkan bahawa larangan itu tidak membawa maksud kepada pengharaman. ( Imam Shafii 7: 291)

Sesetengah mazhab lain berkata sighah al-nahy itu asalnya ialah karahah. Bermakna, jika ia tidak disertai dengan qarinah, maka ia menunjukkan kepada hukum karahah. Dan sighah itu hanya menunjukkan kepada pengharaman jika ia disertai dengan qarinah.

Ini dapat dilihat melalui contoh berikut, iaitu menjalankan akad jual-beli ketika azan solat Jumaat sedang berkumandang.Ini dapat dilihat melalui dalil nas al-Quran

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan lah jual-beli.Yang demikian adalah baik bagi kamu,jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (al-Jumu’ah 62:9)

ii- Pendapat Mazhab kedua mengatakan bahawa larangan jual beli pada ayat di atas menunjukkan kepada hukum karahah berjual beli ketika azan sedang berkumandang.

Hukum itu akan kekal sebagai karahah sehinggalah datang penjelasan atau qarinah untuk sesuatu ayat yang menunjukkan kepada pengharaman perkara itu.

Di dalam hal ini, tiada qarinah yang menunjukkan bahawa hukum asalnya, iaitu karahah telah berubah menjadi haram maka kekallah hukum karahah berjual beli ketika azan sedang berkumandang.

Sekumpulan mazhab yang lain pula berkata, hakikat lafaz al-nahy itu lafaz ishtirak ( perkataan yang berkongsi), sama ada perkongsian secara ma’nawi atau pun lafzi. Dalam hal ini, ia tertumpu kepada perkongsian secara lafzi .

Kadang-kala lafaz itu boleh bertukar menjadi bentuk pengharaman atau karahah dan ia tertakluk kepada penjelasan daripada syarak. Kedua-dua maksud al-Nahy itu membawa kepada satu pengertian yang sama iaitu suruhan untuk meninggalkan sesuatu. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 327 )

Berdasarkan kepada perbezaan pendapat antara ulama usul di atas mengenai masalah hakikat lafaz al-Nahy itu, dapat kita simpulkan beberapa perkara. Sekiranya ayat itu diturunkan dalam bentuk al-Nahy, maka ia boleh membawa kepada maksud pengharaman yang hakiki dan pengharaman itu tidak akan gugur melainkan datang bersama qarinah. Ini menurut pandangan Jumhur.

Ada juga yang berpendapat bahawa hukum asal lafaz al-Nahy itu membawa kepada karahah dan ia tidak akan bertukar kepada bentuk hukum yang lain kecuali datang bersamanya qarinah. Manakala pendapat yang terakhir pula mengatakan bahawa ia adalah ayat yang berbentuk mujmal dan perlukan kepada penerangan. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000: 327 ) Ini boleh dilihat dalam firman Allah: 

Maksudnya: Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. (al-Hujurat 49 : 12)

Larangan untuk mencari kesalahan orang boleh membawa kepada pengharaman yang hakiki dan pengharaman itu tidak akan gugur melainkan ada qarinah. Ia juga boleh membawa kepada karahah dan tidak akan bertukar kepada bentuk hukum yang lain kecuali dengan qarinah. Selain itu, larangan ini juga berbentuk mujmal dan tidak ada penentuan kecuali datang kepadanya penerangan daripada syarak. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 327 )

Masalah (2) : al-Nahy itu diambil kira sebagai fasad atau pun butlan. Al-Nahy , seperti yang diketahui menunjukkan kepada pengharaman (mengikut pendapat jumhur ulama) jikalau ia tidak disertai oleh qarinah. Maka tidak harus untuk seseorang mukallaf itu untuk melakukan perkara yang dilarang itu .

Jika dibuat juga, maka dia berhak untuk mendapat dosa dan akibat daripada perbuatan yang dilarang itu dan balasan yang akan diterima adalah pada hari akhirat nanti. Namun begitu, permasalahan timbul jika sekiranya perkara yang dilarang itu dilakukan dalam beberapa keadaan.

Di sini akan diterangkan pelbagai pendapat mazhab mengenai perbezaan situasi tersebut:

  1. Keadaan 1 : Jika larangan itu disandarkan kepada hakikat sesuatu perbuatan itu.

Contohnya, larangan untuk menjual setiap yang tidak wujud ketika akad transaksi itu. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W: لا تبع ما ليس عندك Maksudnya : “Janganlah engkau menjual (sesuatu benda) yang tidak berada di sisi kamu,” ( Riwayat Abu Daud, Tarmidzi dan Nasai’ )

Bentuk larangan yang didapati di sini akan membawa kepada terbatalnya akad jual-beli itu dan seakan-akan transaksi jual-beli itu tidak wujud kerana tidak berlaku apa-apa perpindahan yang membolehkan penjual atau pembeli memperolehi manfaat daripadanya.

  1. Keadaan 2 : Larangan yang bersandarkan kepada sifat lazim yang ada pada perkara yang dilarang itu. Sifat lazim itu dikira sebagai salah satu syarat untuk mewujudkan sesuatu perbuatan dan ia bukanlah sebagai hakikat perbuatan itu sendiri. Contoh larangan yang dapat dilihat ialah pada jual-beli dengan syarat yang fasid. Pada asalnya, jual-beli itu harus dan dibenarkan tetapi disebabkan ia mempunyai sifat lazim yang terlarang iaitu syarat yang fasid, maka jual-beli itu dikira sebagai haram. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 329 )

Dalam keadaan ini, ulama berselisih pendapat . Jumhur mengatakan bahawa perbuatan yang diiringi dengan sesuatu sifat lazim yang dilarang, maka perbuatan itu dikira batal. Adapun Mazhab Hanafi mengatakan bahawa ia hanya fasad. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 329 )

Contoh yang lebih jelas dapat dilihat ialah bernazar untuk berpuasa pada hari raya. Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: أنه نهى عن صوم يوم الفطر ويوم النحر

Ulama bersepakat bahawa berpuasa pada kedua-dua hari ini haram, sama ada berpuasa itu sebagai puasa nazar, atau pun puasa sunnat atau pun kaffarah dan lain-lain lagi. Namun mereka berselisih dalam masalah orang yang bernazar itu. Adakah nazarnya itu akan terlaksana , dan jika dia berpuasa pada hari raya tersebut, perlukah dia untuk menggantikan puasanya itu? Mazhab Shafii mengatakan bahawa nazarnya itu tidak diambil kira kerana hari raya bukanlah satu tempoh untuk berpuasa kerana ia adalah hari untuk manusia bergembira (dengan makan & minum). ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 330 )

Mazhab Hanafi pula mengatakan bahawa nazarnya itu diambil kira dan ia terlaksana. Ini adalah kerana puasa pada asalnya, disyariatkan. Maka wajib bagi orang yang bernazar itu untuk berbuka puasa dan menggantikan puasa yang dinazarkannya itu.

Dan sekiranya dia berpuasa pada kedua-dua hari raya itu, sah puasa nazarnya itu dengan pengharaman. Ini adalah kerana larangan itu bukan pada puasa itu sendiri, tetapi ia dilarang kerana sifat yang ada bersamanya, iaitu pada hari raya.

  1. Keadaan 3 : Hendaklah larangan itu bersandarkan kepada sifat yang tidak diiringi bersama.

Contohnya, larangan untuk berjual-beli ketika azan untuk solat Jumaat. Jual-beli dan azan untuk solat Jumaat adalah dua perkara yang berbeza, dan ia bukanlah sifat yang melazimi antara satu sama lain. Firman Allah: 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman. Jika datang seruan untuk mendirikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu untuk menyahut panggilan Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu adalah lebih baik untuk kamu jika kamu benar-benar mengetahuinya. (al-Jumu’ah 62:9 )

Dalam keadaan ini, jumhur mengatakan bahawa larangan di sini tidak membawa kepada terbatalnya akad jual-beli itu. Bermakna, kesahihan akad itu akan membawa kepada perpindahan kesan syarak. Ia dikira sebagai jual-beli yang sah tetapi bagi siapa yang melakukan perbuatan itu, maka dia akan menanggung dosa dan akibatnya. ( Mustafa Sa’id Al-Khinn 2000 : 328 )

Masalah ketiga: Dalalah al-Nahy membawa kepada الفور ataupun التكرار Ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. a) Al-Raziyy, al-Baidawiyy dari Mazhab Shafii mengatakan bahawa lafaz al-nahy itu tidak membawa kepada penyegeraan atau pun pengulangan. Ini adalah kerana kadang-kala ia membawa kepada pengulangan, contohnya melalui firman Allah,

Maksudnya: Janganlah kamu semua mendekati zina . ( al-Isra’ 17:32) Larangan untuk mendekati perbuatan zina itu berbentuk kepada pengulangan, iaitu larangan itu akan sentiasa berulang dan berterusan.

Keadaan ini berbeza jikalau seorang doktor mengatakan , لا تشرب اللبن yang bermaksud, jangan kamu minum susu.

Dan larangan dalam bentuk ini hanya berbentuk sementara, iaitu ketika tempoh sakitnya sahaja. Selepas pulih dari sakitnya, maka dia dibolehkan untuk minum susu.

 b) Jumhur ulama seperti al-Amidiyy, Ibn al-Hajib dan juga al-Qarafiyy mengatakan bahawa larangan itu membawa kepada maksud penyegeraan dan juga pengulangan. Hujah mereka adalah , sekiranya syarak telah melarang untuk melakukan sesuatu perkara, maka wajib bagi seseorang itu untuk segera meninggalkan apa yang dilarang itu. Dan wajib juga ke atasnya, untuk tidak mengulangi perbuatan yang dilarang itu pada setiap waktu, sekiranya dia ingin benar-benar menolak kerosakan dan kemudaratan dari perbuatan tersebut.

Contohnya, seorang tuan telah mengatakan kepada hambanya, لا تفعل كذا yang bermaksud, jangan berbuat sedemikian. Sekiranya hambanya itu melakukan perkara yang dilarang itu pada bila-bila masa sahaja, dia telah dianggap melanggari perintah dari tuannya dan dia berhak menanggung akibat dari tuannya itu, walaupun larangan itu tidak menyebutkan kepada pengulangan masa.

Kesimpulannya, perbezaan antara kedua pendapat ini jelas dari sifat dasar larangan dan ada atau tiadanya qarinah yang berkaitan dengan larangan tersebut. Tidak perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Usul mengenai sifat dasar al-Nahy tetapi bebeza pendapat dari segi kesegeraan meninggalkan larangan dan pengulangannya yang mana ia dikaitkan dengan qarinah.

Qarinah menjadi dasar untuk memahami tuntutan al-Nahy dan pengulangannya. Terdapat juga pendapat yang tidak menekankan kepada qarinah yang mana ada atau tiadanya qarinah bukan menjadi dasar untuk memahami tuntutan al-Nahy. Lagipun al-Nahy itu sendiri mengandungi perintah untuk segera ditinggalkan secara berterusan. ( Wahbah al-Zuhaily 1986: 235 )

BAHAGIAN AL-NAHY Al-Nahy atau tegahan itu terbahagi kepada 4, iaitu:

PERTAMA: Al-Nahy menunjukkan kepada hakikat perbuatan itu Ia adalah suatu tegahan yang menyebabkan perbuatan yang ditegah itu batal hukumnya sekiranya ia tetap dilakukan. Contohnya: Hukum wanita haid berpuasa. Wanita haid ditegah untuk berpuasa. Sekiranya dia melakukannya juga, maka batallah perbuatannya itu dan dianggap perbuatannya itu sia-sia.

KEDUA: Al-Nahy menunjukkan sebahagian daripada juzu’ perbuatan itu Contohnya: jual-beli terhadap binatang yang masih dalam kandungan ibunya. Jual-beli pada asalnya adalah halal dan dibenarkan. Namun untuk keadaan seperti di atas, ia tidak dibenarkan kerana menjual sesuatu yang masih tidak pasti lagi. Siapa tahu anak yang bakal dilahirkan itu tidak seperti yang digambarkan.

Sekiranya jual-beli seperti ini dibenarkan maka akan membawa kepada kemudharatan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

نهى رسول الله عن بيع الملاقيح

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang jual beli binatang yang masih dalam perut ibunya. (Riwayat Ibn Majah)

KETIGA: Al-Nahy menunjukkan pada sifat yang melazimi sesuatu perbuatan itu

Contohnya: tegahan berpuasa pada hari pertama raya puasa. Hal tersbeut kerana pada hari itu orang bergembira menyambut ,menikmati kuih muih,beramah tamah. Oleh itu berpuasa pada hari raya adalah haram dan batal. Misalnya hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

نهى رسول الله عن صوم يوم الفطر ويوم النهر

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang berpuasa pada dua hari raya iaitu hari raya aidilfitri dan hari raya korban.

KEEMPAT: Al-Nahy menunjukkan kepada sifat yang terpisah daripada sesuatu perbuatan itu Contohnya: jual beli yang dijalankan pada hari Jumaat setelah berkumanandang azan yang kedua.

Tegahan itu adalah supaya umat Islam member tumpuan terhadap solat Jumaat yang wajib. Jual beli adalah perkara yang dapat dipisahkan dari perbuatan iaitu solat Jumaat. Ini kerana jika jual beli tetap dilakukan maka akan mengganggu orang ramai yang bergegas ke masjid .

Jual-beli yang dilakukan pada hari Jumaat setelah berkumandang azan yang kedua adalah sah tetapi ia adalah haram. Ini kerana menganggu orang ramai yang ingin menunaikan solat dan akan menyebababkan seseorang itu tertinggal solat Jumaat. Berdasarkan firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan lah jual-beli.Yang demikian adalah baik bagi kamu,jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (al-Jumaat 62:9) ( Abdul Latif Muda. 1997 : 172 )

KESIMPULAN Lafaz al-Nahy itu setelah dipelajari dengan lebih teliti membawa kepada maksud yang lebih mendalam. Ia sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada bentuk larangan.

Seseorang itu, apabila terjumpa dengan lafaz al-Nahy itu, boleh bagi dia untuk mengaplikasikan apa yang diketahuinya itu. Ia bukan sekadar dijumpai di dalam nas al-Quran atau pun al-Sunnah tetapi ia sebenarnya diamalkan dalam setiap perbualan harian kita melalui jalan yang secara langsung dan tidak langsung.

Melalui contoh-contoh yang telah dihuraikan diatas, saya pasti penggunaan lafaz al-Nahy itu amat releven untuk digunakan dalam semua aspek. Begitu juga lafaz-lafaz usul feqh yang lain seperti suruhan dan perkataan-perkataan yang berbentuk ‘aam atau muqayyad. Diharapkan kami semua mendapat manfaat daripada kertas kerja ini.

RUJUKAN

Al-Quran

Abd Latif Muda,Rosmawati Ali@ Mat Zin. 1997. Pengantar Usul Fiqh. KL: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

 Abdul al-Karim Zaidan. 1430H/2009M. al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. Beirut: Mua’ssasah al-Risalah al-Nashirun.

Mustafa Sa’id al-Khin. 1421H/2000M. al-Kafi al-Wafi Fi Usul al-Fiqh al-Islami. Beirut: Mua’ssasah al-Risalah al-Nashirun. Rosli SA.M.Ag. 1999.

Muqaranah Mahazib Fi al- Usul. Indonesia: Radar Jaya Pramata Jakarta Wahbah al-Zuhaily. 1406H/1986M. Usul al-Fiqh al-Islami. Damsyik: Dar al-Fikr.

Nurhida Yusoff, Siti Zaharah Takrir & Nor Afifah Abdullah (2010)

Exit mobile version