Site icon Wacana Zeckry

Keseimbangan Antara Penguasaan Ilmu Fardu Ain Dan Firdu Kifayah

Antara isu yang timbul berkaitan dengan cabaran dalam bidang ilmu dan pendidikan termasuklah:

Isu ilmu fardhu `ain dan fardhu kifayah

Ketidakseimbangan penguasaan ilmu fardhu ain dan fardu kifayah telah menjadi polemik dalam kalangan umat Islam sedunia, termasuk di negara kita. Dalam penguasaan dan kesepaduan fadhu ain dapat dilihat apabila sebahagian umat Islam tidak menguasai ilmu tersebut pada tahap yang sewajarnya sehinggakan sehingga ilmu tersebut masih tidak selesai sehingga ke usia yang lanjut. Walaupun tidak berniat untuk meremehkan usaha mempelajari ilmu fardhu ain yang tertinggal atau dilupakan ketika usia yang lebih muda. Kesannya kita tidak dapat mencapai tahap ilmu yang lebih tinggi termasuk ilmu yang berkaitan dengan pemikiran dan pengurusan penyelesaian masalah umat Islam kini.

Oleh yang demikian, umat Islam tidak berganjak kepada tahap peningkatan ilmu yang lebih kompleks sehingga menimbulkan kekeliruan yang berkaitan dengan ilmu mengenai amalan-amalan asas sebagai orang Islam yang telah mukallaf menyebabkan perkembangan ilmu umat Islam terbantut.

Contohnya, masyarakat umum dalam kekeliruan dalam meletakkan ibadah wajib dengan ibadah sunat, kedapatan lebih meraihkan ibadah sunat, tetapi meninggalkan yang wajib seperti mengimarahkan masjid pada bulan Ramadhan dengan solat sunat terawih tetapi suasana masjid dipandang sepi setelah bulan Ramadhan berlalu. Begitu juga, melaksanakan sebahagian yang wajib tetapi meninggalkan ibadah wajib yang lain seperti berpuasa di bulan Ramadhan tetapi tidak menunaikan solat wajib. Walaupun, aktiviti keagamaan di masjid atau surau melalui kuliah subuh atau kuliah maghrib yang memfokuskan kepada kurikulum fardhu ain dan fardhu kifayah tidak dibudayakan sewajarnya dalam meningkatkan keilmuan Islam.

Kelemahan dalam penguasaan ilmu-ilmu fardhu kifayah

Isu kelemahan dan penguasaan ilmu fardhu kifayah juga menjadi perbincangan yang dikatakan kurang penguasaan pada umat Islam masa kini berbanding dengan orang bukan Islam. Ilmu fardhu kifayah merupakan ilmu yang berkaitan dengan kemaslahatan umum. Menurut sejarah, pada zaman kegemilangan Islam dulu seperti di zaman Bani Abbasiyah, orang bukan Islam menjadikan umat Islam sebagai sumber mereka mempelajari ilmu-ilmu Islam, kemudian dikembangkan ke dalam pelbagai bidang sama ada bidang sains tabi`e atau sains sosial.

Kemunculan sarjana Islam telah membuktikan bahawa umat Islam dahulu telah membawa contoh untuk diikuti seperti Ibnu Khaldun telah menjadi sumber asal dalam bidang sejarah dan sosiologi, al-Razi, Ibnu Sina, al-Khawarizmi dan sebilangan besar yang lain telah menjadi sumber inspirasi orang barat menguasai bidang sains, matematik dan perubatan. Kini, umat Islam pula yang menjadi makmum kepada sebilangan besar sarjana barat dalam pelbagai bidang sehingga menjadi pengikut yang taasub dan tidak dapat menilai kebenaran ilmu atau metode yang diperkenalkan oleh sarjana barat itu seperti pemikiran orientalis yang bermotifkan untuk mengurangkan kepercayaan dan keyakinan orang Islam dalam soal ketuhanan, kenabian dan perkara ghaib.

Oleh yang demikian, kini dalam kehidupan yang umum, umat Islam ironisnya lebih bersikap sebagai masyarakat pengguna daripada masyarakat pencipta keperluan hidup sehingga kreativiti seolah-olah menjadi milik umat lain, bukan milik umat Islam. Dalam kebangkitan bangsa Jepun, Korea, China, di samping bangsa-bangsa Barat, kreativiti umat Islam tidak begitu ketara dalam bidang perekaan dan inovasi (Kembara Bahasa, 2011).

Kedua-dua isu tersebut pastinya berkaitan dengan sistem pendidikan yang belum berasaskan petunjuk yang telah ada dalam tradisi pendidikan Islam. Ilmu menurut kerangka Islam terbahagi kepada dua kategori yang utama. Yang pertama ialah ilmu-ilmu fardhu `ain (yang meliputi ilmu-ilmu tanzil atau ilmu yang diwahyukan (the revealed knowledge). Yang kedua ialah ilmu-ilmu yang dicari, iaitu ilmu-ilmu yang diperoleh daripada kajian, pemerhatian, renungan dan sebagainya oleh manusia (the acquired knowledge).

Kategori ilmu yang pertama merupakan teras kerana berkaitan dengan ilmu yang berkaitan dengan Allah sebagai pencipta, kepercayaan kepada para Rasul, Kitab-kitab, para Malaikat, Hari Pembalasan, dan Ketentuan Allah. Kategori ilmu yang kedua pula merangkum ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup, termasuk untuk memenuhi amanah sebagai pentadbir atau pengurus di muka bumi. Dalam kategori ini terangkum pelbagai ilmu sains kemanusiaan seperti sosiologi, sejarah, psikologi, pengurusan dan ilmu sains tulen seperti kimia, fizik, biologi, perubatan dengan pelbagai cabangnya dan lain-lain.

Oleh yang demikian, umat Islam secara sejagatnya masih belum menguasai kedua-kedua kategori ilmu itu secara bersepadu dan seimbang. Sistem pendidikan sebahagian besar umat Islam masih terbelengggu oleh sistem dualisme, iaitu yang memisahkan ilmu keagamaan daripada ilmu duniawi dan sebaliknya.

Maka lahirnya pengkhususan atau aliran yang mengakibatkan adanya golongan lulusan bidang agama dan golongan lulusan bidang bukan agama seperti sains, perubatan, undang-undang, pengurusan dan sebagainya. Penguasaan ilmu-ilmu keagamaan dianggap sebagai pengkhususan golongan tertentu, sehingga golongan yang berada dalam aliran atau pengkhususan ilmu bukan keagamaan seakan-akan tidak disyaratkan menguasai ilmu keagamaan sebagai ilmu teras.

Baca lagi ? Cabaran dalaman dalam perkembangan ilmu Islam

Exit mobile version