Site icon Wacana Zeckry

Abstrak : Intervensi Hafazan Al-Quran Terhadap Pelajar Menengah Rendah Di SMKA Tok Bachok

Kajian ini membincangkan pelaksanaan intervensi hafazan al-Quran terhadap pelajar yang lemah di SMKA Tok Bachok. Signifikan kajian ini adalah kerana pelajar lemah sering dilihat dari aspek ketinggalan hafazan al-Quran di bawah program Tahfiz Model Ulul Albab sahaja.

Manakala, aspek-aspek intervensi jarang diketengahkan. Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif oleh semua pihak untuk mencapai matlamat KPM bagi melahirkan huffaz yang profesional dan golongan pemikir abad ke-21. Dalam konteks intervensi hafazan al-Quran, jarang dibincangkan secara menyeluruh dan mendalam dengan kaedah-kaedah yang terkini dan berkesan. Walau bagaimanapun, kajian ini merungkaikan pengamalan intervensi hafazan al-Quran yang dilaksanakan di SMKA Tok Bachok sahaja. Penyelidik telah memilih sejumlah 41 responden dengan menggunakan kajian kuantitatif terhadap pelajar dan kualitatif dengan temu bual tiga orang guru di SMKA Tok Bachok.

Dapatan kajian ini menunjukkan nilai kebolehpercayaan yang dapat diterima dan konsisten berdasarkan nilai Cronbach Alpha yang melebihi 0.6 digunakan sebagai indeks kebolehpercayaan terhadap item-item yang diaplikasikan dalam instrumen kajian ini. Maka, keputusan analisis kajian ini penyelidik telah mendapat gambaran yang jelas bahawa pelaksanaan intervensi dari aspek program intervensi berada pada tahap yang tinggi, manakala faktor-faktor kelemahan hafazan al-Quran, hubungan antara kelemahan hafazan alQuran dengan prestasi pencapaian akademik dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian berada pada tahap sederhana berdasarkan interprestasi skor min yang diadaptasi dari Landell (1977).

Secara keseluruhan, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa majoriti responden adalah pelajar yang lemah hafazan al-Quran telah memahami soal selidik yang dikemukakan. Selain itu, hasil dapatan kajian yang diperolehi, penyelidik telah mengemukakan saranan hasil kajian ini iaitu kaedah tahriri yang menggunakan kaedah berwarna sebagai langkah pengurusan minda, mengadakan kelas murajaah di luar persekitaran sekolah sebagai langkah kepelbagaian persekitaran dan menjemput tokoh huffaz atau ulama` bidang al-Quran dalam meningkatkan motivasi serta menganjurkan musabaqah tahfizul Quran di peringkat sekolah untuk mengekalkan pencapaian hafazan al-Quran yang boleh dilakukan untuk tindakan lanjutan oleh semua pihak termasuklah penyelidik lain dalam menjayakan matlamat TMUA agar berjalan dengan lancar dan memurnikan persepsi negatif.

Ditulis oleh :

[zotpress items=”{5090062:N2WNU433}” style=”apa”]

Exit mobile version