Apabila menulis kertas kerja, artikel dan tugasan bertulis berbentuk ilmiah yang lain, terdapat beberapa cara untuk menulis petikan di dalam teks. Anda perlu menguasai cara-cara tersebut dan menggunakannya mengikut kesesuaian. Berikut saya sertakan tiga contoh bagaimana menulis petikan di dalam teks kertas kerja ilmiah anda iaitu;
i. Memasukkan sisipan petikan
ii. Menulis petikan yang melebihi 40 patah perkataan
iii. Petikan dalam bahasa asing
Menulis Sisipan Petikan Dalam Teks
Memasukkan sisipan dalam teks dilakukan apabila petikan berkenaan terdiri daripada ayat atau rangkai kata tertentu sahaja. Ayat atau rangkai kata berkenaan sederhana panjang dan tidak melebihi 40 patah perkataan.
Apabila petikan mahu disisipkan dalam teks, ayat atau rangkai kata berkenaan perlu dimasukkan dalam Tanda pengikat kata atau petik ( “ “ ) seperti contoh di bawah;
Contoh Petikan Yang Disisip
Contoh 1:
Kajian Aminuddin dan Mohd. Ali mendapati sifat mesra-dingin, yang dianggap oleh mereka sebagai “… ciri-ciri peribadi yang membawa kandungan sosial dan bukannya ideologikal” (1988: 120), muncul sebagai dimensi terpenting dalam imej pemimpin Pemuda UMNO.
Contoh 2:
Watak Ungging dalam novel Pindah adalah seorang Penan yang “rajin berhuma, kuat berkebun lada, cekap berburu dan berani pula” (Jong Chian Lai, 1988; 39). Tubuhnya yang tegap membuktikan keupayaannya berkerja. Hutan menjadi punca rezekinya yang lumayan. “Kalau berburu waktu siang pasti seekor dua lotong, monyet, seekor dua burung empuna, segayan ataupun imbok terpanggul di bahunya ketika pulang” (Jong Chian Lai, 1988; 75). Dia menjadi wira dalam masyarakatnya yang mementingkan kemahiran berburu.
Menulis Petikan Yang Melebihi 40 Patah Perkataan
Apabila tulisan ilmiah yang anda hasilkan mengguna petikan yang melebihi 40 patah perkataan, petikan berkenaan perlu ditulis dalam perenggan yang tersendiri. Perenggan itu pula perlu dimasukkan satu tab ke dalam di bahagian kanan dan kiri perenggan itu berbanding teks yang lain. Jadi, perenggan ini wujud secara berasingan daripada teks dan berbeza daripada perenggan yang lain. Dua contoh di bawah memaparkan bagaimana cara menulis petikan jenis ini.
Contoh Petikan Yang Melebihi 40 Patah Perkataan
Contoh 1:
Aminuddin (1990: 253) mencadangkan:
Insiden-insiden kritis yang mengandungi unsur-unsur kepimpinan yang berlaku dalam masa pemimpin karismatik ini menguruskan umatnya secara jarak jauh dalam hubungan dengan khalayak ramai, dengan kelompok kecil atau dengan umatnya secara individu perlu digali daripada perbendaharaan sejarah Islam untuk membolehkan kita menarik kesimpulan tentang proposisi-proposisi Islam tentang kepimpinan dan menimba hipotesis-hipotesis yang boleh diuji.
Contoh 2:
Masyarakat Lun Bawang sangat menghormati semangat padi kerana mengenang jasa dan pengorbanan dua beradik yang sanggup berkorban demi kelangsungan masyarakat mereka. Ini dijelaskan dalam novel Anak Ruma’ Kadang seperti petikan di bawah;
Lama-kelamaan, kerana kebuluran, budak lelaki itu pun mengambil keputusan untuk membunuh adik perempuannya itu. Kemudian dia menarik mayat adiknya itu atas ladang sehingga tanah itu berlumuran dengan darahnya. Di mana darah adiknya jatuh, di situlah padi dan tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan tumbuh. Akhirnya, si abang pun mempunyai makan yang mencukupi daripada padi yang telah tumbuh itu. Inilah sebabnya orang Lun Bawang pada masa silam menganggap pembaziran terhadap beras sebagai satu tindakan yang jahat dan tidak menghormati budak perempuan yang yang rela mengorbankan dirinya untuk mereka. Mengikut kepercayaan nenek moyang mereka, sekiranya orang itu tidak memelihara padinya dengan baik sehingga menyebabkan pembaziran seperti membuang biji-biji padi ke tanah, roh padi itu akan meninggalkannya, mengkibatkan hasil tanamannya berkurangan.
(Mohamad Faizal Jamil, 2007; 45-46)
Petikan Dalam Bahasa Asing
Cara menulis petikan dalam bahasa asing terdiri daripada kedua-dua cara di atas. Sekiranya petikan berkenaan terdiri daripada ayat atau rangkai kata yang kurang daripada 40 patah perkataan, petikan ini disisipkan dalam teks, manakala bagi sumber petikan yang berjumlah 40 patah perkataan atau lebih, petikan berkenaan perlu dimasukkan dalam perenggan yang tersendiri.
Walau bagaimanapun, petikan dalam bahasa asing ini seperti bahasa Inggeris, petikan berkenaan perlu disendengkan atau etalic.
Contoh Petikan Bahasa Asing
Contoh 1:
Larsen menyatakan bahawa “fostering and growing awareness of our collective denial of a shared responsibility for the relocation of the boundary between culture and nature” (1998;14) sebagai hala tuju kritikan ekologi yang menggabungkan antara sastera dan alam sekitar.
Contoh 2:
Mengikut Global English Newsletter (2002);
…the knowledge business is becoming increasingly global. In science, technology, medicine, economics, and other social sciences, disciplinary knowledge is mediated through international journals, conferences…English plays a central role in the construction of such global knowledges, …
Contoh 3:
Perincian tentang masyarakat Penan boleh dilihat seperti berikut;
There are a number of significant differences between Eastern and Western Penan with regard to subsistence technology, settlement patterns, social organization, and in the tenor of social relationships. Western Penan communities tend to be much larger than those of Eastern Penan and are enduring social aggregates characterized by long-term stability and a strong sense of community solidarity. Smaller Eastern Penan bands are much more fluid with respect to composition and much more ephemeral with respect to long-term historical identity. Today nearly all Penan have settled and taken up agriculture. Despite the fact that they have settled, most Penan remain on ancestral lands and have not been forced to resettle.
(Brosius, 2002; 5)