Hangat dengan cerita Baba Ismail Sepanjang al-Fatani yang buat Rukyah ke atas kereta baru.Sekarang cuaca panas. Rupa-rupanya panas lagi dalam media sosial. Ia bukan pasal skandal atau kisah rumah tangga tetapi tentang gambar Babo Ismail Sepanjang Al-Fatani membaca rukyah ke atas sebuah kereta mewah.
Ulama al-Fatoni yang Masyhur
Babo Ismail Sepanjang Al-Fatani adalah ulama daripada pondok Fatani. Beliau seorang yang alim dan selalu datang ke Malaysia mengajar kitab-kitab.
Sesetengah orang mungkin biasa mendengar tentang rukyah iaitu perawat membaca ayat-ayat Al-quran, selawat dan doa mathur terhadap pesakit.
Tetapi kali ini perawat membaca rukyah terhadap kereta.
Orang yang tidak biasa melihat senario ini akan berasa pelik dan komen macam-macam.
Sebelum saya ke Mesir, saya sempat duduk sekejap di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan.
Sempatlah menadah kitab, hidup dalam pondok beratapkan zink dan mandi air telaga.
Ketika itu di Pondok Pasir Tumbuh, Almarhum Ustaz Atiqullah masih ada lagi. Kami panggil Ustaz Tiq.
Kadang-kadang Ustaz Tiq akan membaca rukyah ke atas kereta atau motor baharu.
Baca Rukyah Ke Atas Kereta Baru
Mungkin membaca rukyah ke atas kereta jarang dilihat tetapi ia adalah senario biasa di Pondok Pasir Tumboh ketika itu.
Ada sesetengah pihak mempertikai perbuatan Babo Ismail Sepanjang.
Rukyah bukan hanya khusus untuk manusia sahaja.
Rukyah boleh dibaca ke atas jamadat (benda tidak hidup) seperti rumah, unta kereta dan sebagainya.
Ulama yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Syeikh Ibnu Jibrin (ahli Majlis Ulama Kibar Arab Saudi), Syeikh Ibnu Uthaimin, Syeikh Uthman Al-Khamis (ulama Kuwait aliran Salafi) dan sebagainya.
Syeikh Ibnu Jibrin dan Syeikh Ibnu Uthaimin adalah ulama besar dalam dunia Salafiah.
Manakala Syeikh Uthman Al-khamis ialah ulama masa kini yang masyhur terutamanya di benua Arab.
Dalil yang membenarkan membaca rukyah keatas jamadat seperti berikut:
Nabi Muhammad SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
“Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka Ain lah (yang dapat menjangkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.” (Riwayat Muslim)
Ain ialah pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ia boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Bahaya Penyakit `Ain Tanpa Sedar
Dalam hadith ini, cara rawatan ain ialah mandi supaya hilang daripada penyakit ain.
Berdasarkan hadith ini, ulama berpendapat benda yang terkena ain boleh di baca rukyah seperti pada pakaian, rumah, kereta dan sebagainya.
Bahkan Syeikh Al-Albani berkata hadith ini menyatakan jika benda yang terkena ain ialah pakaian maka ia perlu dicuci.
Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا تَزَوَّجَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً أَوْ اشْتَرَى خَادِمًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَمِنْ شَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ وَإِذَا اشْتَرَى بَعِيرًا فَلْيَأْخُذْ بِذِرْوَةِ سَنَامِهِ وَلْيَقُلْ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ أَبُو دَاوُد زَادَ أَبُو سَعِيدٍ ثُمَّ لِيَأْخُذْ بِنَاصِيَتِهَا وَلْيَدْعُ بِالْبَرَكَةِ فِي الْمَرْأَةِ وَالْخَادِمِ
“Apabila salah seorang diantara kalian menikah atau membeli hamba maka hendaknya ia mengucapkan; (Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan sesuatu yang Engkau ciptakan dia padanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya dan keburukan sesuatu yang Engkau ciptakan dia padanya), dan apabila ia membeli unta maka hendaknya dia memegang bonggol unta dan mengucapkan seperti itu.” (Riwayat Abu Daud)
Guna Air Untuk Rukyah
Dalam hadith ini, Nabi Muhammad SAW menyebut unta dan hamba.Maka pada zaman sekarang boleh dikiaskan dengan kereta, rumah dan sebagainya.
Ada pihak mempersoalkan penggunaan air semasa rukyah. Sepatutnya baca rukyah sahaja tanpa air.
Isu ini khilaf di kalangan ulama. Ada ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Wahid Abdul Salam Bali, penulis kitab rawatan Islam terkenal aliran salafiah dari Mesir dan Syeikh Aziz Farhan Al-Anazi (Arab Saudi), Syeikh Abdul Razaq Al-Badr (Arab Saudi) dan sebagainya.
Bahkan Syeikh Ibnu Baz, mantan mufti Arab Saudi menyebut tidak mengapa jika dibaca rukyah ke atas air dan diberi minum atau direnjis kepada pesakit.
Kesimpulannya, membaca rukyah ke atas kereta ada asasnya dan bukan sesuatu yang pelik jika kita merujuk kepada pandangan ulama dalam hal ini. Salam hormat.
Rujukan tulisan daripada:
Dr. Abdul Rahman A Shukor
30 April 2024
Link di bawah adalah ruqyah utk kuda dan lain2 binatang dibuat oleh salafussoleh terdahulu.
Sebelum ini saya pernah catatkan mengenai haiwan juga boleh melemparkan penyakit `Ain