Isu gangguan saka dan masalah rohani sering dibincangkan dalam kalangan wanita terutamanya. Masalah rohani yang dihadapi perlu diselesaikan. Kebiasaannya masalah dalam rohani ini diselesaikan dengan kaedah rawatan alternatif Islam, rawatan tradisional dan rawatan konvesional atau klinikal.

Apa maksud saka?

Menurut Zulkifli Mohamad al-Bakri (2019) perkataan saka merujuk kepada sejenis makhluk halus daripada golongan jin atau syaitan yang dipelihara bagi tujuan memelihara diri. Saka ini dikatakan terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa. Saka ini biasanya diwarisi turun-temurun oleh waris walaupun tanpa pengetahuan mereka. Saka merujuk kepada semua jenis jin seperti bajang, toyol, hantu raya, pelesit dan lain-lain.

Berdasarkan takrifan tersebut menunjukkan, ia dipelihara untuk menjaga diri dan harta benda daripada musuh. Pada saat yang sama, ia boleh digunakan untuk menganiayai orang lain. Benarlah firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: “

Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

(Surah al-Jin: 6)

Al-Sobuni mengatakan:

Adanya makhluk manusia meminta perlindungan dengan lelaki-lelaki jin. Maka bertambahlah kesesatan dengan sebab memohon mereka dan berdosa serta melampau.

(Sofwah al-Tafasir, 3/435)

Abu al-Su’ud berkata:

Adalah lelaki apabila bermalam di satu lembah dan dia merasa takut dan bimbang mengancam dirinya maka dia berdoa: “Aku berlindung dengan tuan tempat lembah ini dari orang-orang yang bodoh daripada kaumnya (dikehendaki dengan jin dan pembesarnya).” Apabila mereka mendengar demikian itu maka bertambahlah sombong dan bongkak dan berkatalah: “Kami telah menguasai manusia dan jin.” Justeru bertambahlah takabbur jin dan melampaunya mereka.

(Tafsir Abi al-Su’ud, 5/200)

Kemudian, Kamal Hassan (2024) dalam buku “5 Kaedah Kendiri: Hapus Saka” mengatakan, pengamal perubatan alternatif yang ditemui rata-ratanya menggambarkan saka adalah satu entiti atau makhluk ghaib yang terlalu istimewa dan berkuasa. Mereka mendefinisi saka sebagai jin atau syaitan dalam bentuk wujud yang amat ditakuti dan digeruni oleh masyarakat melayu seperti hantu raya, pemakan janin, bunian, toyol, pontianak, hantu bungkus (pocong) dan sebagainya. Saka ini dikatakan mendapat kawalan penuh iaitu menakluki 100% terhadap diri yang ditumpang. Saka akan mengganggu pesakit dengan menzahirkan dirinya dalam alam nyata, sebagai mimpi ngeri atau mengambil alih jasad seseorang sepenuhnya. [BACAAN LANJUT DI SINI]

Sebati dalam diri

Dalam keadaan begitu saka dikatakan sudah sebati dengan diri, apatah lagi pesakit memperolehinya melalui warisan turun-temurun  dari nenek-moyang mreka. Di war-warkan pula tiada jalan keluar merawati saka melainkan mendapatkan perkhidmatan pengamal perubatan yang arif atau pakar sahaja. Pesakit perlu menjalani temujanji rawatan berulang-kali sebagai syarat membuang saka dari tubuh seseorang atau keturunannya.

Saka adalah syaitan yang mengganggu

Seterusnya, Ateef Ahmad (2010) dalam tulisan “Rahsia Pemusnah Saka” pula berpandangan, SAKA atau syaitan yang mengganggu diri tidak semestinya apa yang kita sangka iaitu umpama satu entiti yang menakutkan. Apa yang sebenarnya berlaku ialah syaitan tersebut akan menyebabkan kecelaruan dalam metabolisme tubuh badan. Yang disangka akibat pemakanan yang tidak betul atau penyakit. Sepatutnya tubuh badan insan yang hebat serta sempurna tiada punya masalah menghadapi apa cabaran luaran dan dalaman 99% penyakit sebenarnya berpunca gangguan gelombang syaitan ini. Doktor perubatan hanya dapat mendiagnosis masalah luaran kerana tiada alat moden yang dapat mengesan hal-hal kerohanian akar atau intipati penyakit gagal di’singkir’kan. Akhirnya menyebabkan serangan ke atas jasmani. dengan mengakibatkan pelbagai penyakit kronik.

Kesimpulan

Isu gangguan saka merupakan skop yang luas dan terdapat permasalahan dalam aspek rohani dan jasmani yang memerlukan perubatan alternatif secara kendiri yang lebih selamat kerana dapat mengelakkan daripada unsur-unsur syirik. Justeru, kekeliruan sesetengah kita memahami isu dan masalah dalam konteks kajian penyelidikan juga perlu ditangani agar tiada persamaan antara isu dan masalah.

Rujukan:

Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2019). Penyucian Jiwa Daripada Amalan Saka, Susuk Dan Sebagainya Membantu Kemabruran Haji. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3554-bayan-linnas-siri-ke-192-penyucian-jiwa-daripada-amalan-saka-susuk-dan-sebagainya-membantu-kemabruran-haji
Zainal Ad-Din. (2010). Rahsia Pemusnah Saka.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan Sains Sosial [Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah] di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial dan Perujuk Amanah Raya Berhad (ARB). PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.