Site icon Wacana Zeckry

Ujian Psikometrik: Perlu Tak Jawapan ‘Tidak Pasti”?

psikometrik

psikometrik

Sekali lagi sambutan calon-calon ujian Psikometrik bertanya soalan mengenai keperluan jawapan ‘tidak pasti’ dalam ujian psikometrik. Sebelum ini kita telah bincangkan keperluan atau fungsi skala ‘tidak pasti”. Berdasarkan pemerhatian RPN, ada keperluannya jawapan tersebut bagi sesetengah perjawatan, misalnya, dalam jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat , kebolehan untuk membuat keputusan yang jelas dan yakin adalah penting, terutamanya apabila berhadapan dengan isu-isu pembangunan masyarakat, perpaduan, dan masa depan komuniti. Jawapan “Tidak Pasti” dalam ujian psikometrik biasanya mencerminkan keraguan atau kekeliruan, yang mungkin dilihat kurang sesuai dalam konteks jawatan ini.

Namun, ada situasi tertentu iaitu jawapan “Tidak Pasti” mungkin diterima jika soalan itu merujuk kepada sesuatu yang sangat kompleks atau tidak dapat dijangkakan dengan pasti. Jawapan ini lebih sesuai apabila situasi memerlukan pertimbangan yang lebih mendalam, atau jika terdapat ketidaktentuan masa depan yang mungkin mengubah keputusan yang dibuat.

Contoh Situasi “Tidak Pasti” Mungkin Sesuai:

1. Soalan: “Adakah pendekatan yang sama akan kekal berkesan untuk program pembangunan komuniti dalam masa 10 tahun akan datang?”

2. Soalan: “Saya yakin bahawa masalah perpaduan antara kaum akan selesai sepenuhnya dalam masa 5 tahun.”

3. Soalan: “Adakah semua ahli komuniti bersetuju dengan pendekatan yang saya cadangkan?”

4. Soalan: “Saya pasti bahawa semua program pembangunan yang dilaksanakan akan berjaya sepenuhnya.”

5. Soalan: “Semua isu sosial dalam komuniti ini akan diselesaikan jika kita berikan lebih banyak bantuan kewangan.”

Penjelasan: Walaupun bantuan kewangan boleh memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu sosial, masalah komuniti sering kali lebih kompleks dan memerlukan pendekatan pelbagai dimensi seperti pendidikan, peluang pekerjaan, dan sokongan sosial. Jawapan “Tidak Pasti” menunjukkan anda memahami bahawa bantuan kewangan sahaja mungkin tidak cukup untuk menyelesaikan semua masalah, dan isu-isu sosial memerlukan strategi yang lebih menyeluruh.

Jawapan yang sesuai: “Tidak Pasti.”

Kesimpulannya, jawapan “Tidak Pasti” boleh diterima dalam situasi yang kompleks atau apabila isu melibatkan ramalan masa depan yang tidak menentu. Dalam jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat, anda diharapkan untuk mempunyai pendirian yang jelas dan yakin dalam banyak isu, tetapi dalam beberapa keadaan tertentu di mana hasil tidak boleh dijangka sepenuhnya, jawapan “Tidak Pasti” menunjukkan anda realistik, fleksibel, dan bersedia menghadapi ketidakpastian.

Walaupun begitu, secara keseluruhannya, jawapan “Tidak Pasti” perlu diberikan dengan berhati-hati dan hanya apabila benar-benar sesuai dengan situasi yang memerlukan pertimbangan lebih mendalam.

Untuk memahami konteks ini, saya gambarkan dengan satu cerita yang sangat popular di Wacana Zeckry iaitu Si Mat Krie dan Keputusan ‘Tidak Pasti’ di Kampung Guar Petai”

Di Kampung Guar Petai, Mat Krie terkenal dengan kehebatannya membuat keputusan… atau kadang-kadang tidak. Beliau seorang yang selalu dilihat berfikir panjang dan suka termenung sebelum membuat pilihan. Tetapi di kampung itu, Mat Krie baru saja dilantik menjadi Pegawai Pembangunan Masyarakat. Tugasnya bukanlah mudah: membantu membangunkan perpaduan, mengurus komuniti, dan memastikan masa depan kampung sentiasa cemerlang. Satu hari, Mat Krie mendapat surat bahawa dia perlu menduduki ujian psikometrik bagi mengesahkan kelayakan jawatannya.


Babak 1: Soalan Pertama yang Menyentap

Mat Krie duduk di hadapan skrin komputer, berpeluh dahi, tangan menggeletar. Soalan pertama muncul:

“Adakah pendekatan yang sama akan kekal berkesan untuk program pembangunan komuniti dalam masa 10 tahun akan datang?”

Mat Krie teringat nasihat MekNoq: “Krieg, masa depan ni tak boleh dijangka. Tak semua benda kekal sama!” Tanpa ragu, Mat Krie jawab “Tidak Pasti” dengan wajah serius. Tiba-tiba, dia terdengar suara dari belakang.

Pak Long: “Oi Krie, kau jawab tak pasti pulak? Kau tak yakin ke?”

Mat Krie tersengih, “Pak Long, kalau benda ni tentang masa depan, manalah aku tahu pasti. 10 tahun boleh macam-macam berubah! Aku kena fleksibel, Pak Long. Ini bukan pasal tak yakin, ini pasal tak meneka melulu.”

Pak Long mengangguk. “Betul juga. Esok lusa cuaca pun tak tentu, inikan pulak pembangunan komuniti.”


Babak 2: Soalan Kedua yang Mencabar

Kemudian, soalan kedua muncul:

“Saya yakin bahawa masalah perpaduan antara kaum akan selesai sepenuhnya dalam masa 5 tahun.”

Mat Krie garu kepala. Dia kenal baik dengan penduduk kampung, ada yang suka bergurau, ada yang cepat terasa. Perpaduan? Dalam masa 5 tahun? Tak mungkin sepenuhnya, dia fikir.

Mat Krie: “Masalah perpaduan ni memang susah, nak selesai cepat? Hmmm, aku rasa… Tak pasti lah. Sebab benda ni susah nak selesai dalam jangka masa pendek. Tapi aku kena kerja keras untuk jadikan ia lebih baik!”

Mat Krie tersenyum yakin, kali ini jawapan “Tidak Pasti” adalah realistik dan dia sedar bahawa perkara sebegitu memerlukan masa yang panjang. Sekali lagi Pak Long menjenguk dari belakang.

Pak Long: “Krie, kau ni pandai la. Jawapan tu tepat sebab bukan semua benda kita boleh harap selesai dalam 5 tahun. Silap-silap, kau pulak yang pening nanti.”


Babak 3: Berurusan dengan Pandangan Orang Kampung

Soalan seterusnya muncul:

“Adakah semua ahli komuniti bersetuju dengan pendekatan yang saya cadangkan?”

Mat Krie ketawa kecil. “Tak semua orang kampung ni senang dipuaskan,” dia berfikir. Mat Krie tahu ada orang seperti Pak Deris yang sentiasa mempunyai pendapat berbeza. Jadi dia pilih “Tidak Pasti”.

Sambil tersenyum, Mat Krie teringat betapa pentingnya mendengar semua pandangan, walaupun ada yang tidak bersetuju. “Kalau aku yakin semua setuju, mesti aku terlalu optimistik,” fikirnya. Jawapan “Tidak Pasti” ini bermakna dia terbuka untuk mendengar pendapat berbeza dan memahami realiti bahawa komuniti memang pelbagai.


Babak 4: Menjangka Kejayaan Program

Soalan keempat menyentak lagi:

“Saya pasti bahawa semua program pembangunan yang dilaksanakan akan berjaya sepenuhnya.”

Mat Krie ketawa kuat, ingatkan kes Mat Som. Satu masa dulu, mereka cuba laksanakan program gotong-royong di kampung, tapi ada yang datang lambat, ada yang lupa, dan ada yang tak hadir langsung! Jadi, sangat pasti semua program berjaya? Tidaklah.

Mat Krie: “Aku rasa, Tidak Pasti lagi terbaik. Sebab aku tahu bukan semua benda boleh dijangka, walau perancangan dah tip top.”

Pak Long gelak besar. “Laa… Kalau semua berjaya, Krie, kita ni jadi kampung contoh Malaysia! Tapi nasib program pun ada campur tangan manusia, kan? Jadi betullah tu jawapan kau.”


Babak 5: Bantuan Kewangan vs. Penyelesaian Masalah Sosial

Soalan akhir yang lebih mencabar muncul:

“Semua isu sosial dalam komuniti ini akan diselesaikan jika kita berikan lebih banyak bantuan kewangan.”

Mat Krie geleng kepala. Dia tahu duit bukan segala-galanya. Pak Mail, ketua kampung, pernah kata: “Orang kampung bukan perlukan duit je, Krie. Mereka perlukan sokongan, pendidikan, peluang kerja juga. Kalau duit je, masalah tetap tak selesai.”

Mat Krie: “Jawapan aku, Tak Pasti. Sebab walau duit banyak, kita perlu lebih daripada tu untuk selesaikan masalah sosial. Pendidikan, kerja, dan sokongan juga penting.”

Pak Long kagum dengan kebijaksanaan Mat Krie. “Betul Krie, kadang-kadang bantuan kewangan boleh bantu, tapi kena ada strategi lain jugak. Kau betul-betul faham cara nak uruskan kampung.”


Kesimpulan:

Pada akhirnya, Mat Krie berjaya menghabiskan ujian psikometriknya dengan cerdik dan bijaksana. Dia sedar bahawa jawapan “Tidak Pasti” bukanlah tanda kelemahan, tapi tanda kebijaksanaan apabila menghadapi situasi yang rumit dan sukar diramal.

Mat Krie balik ke Kampung Guar Petai dengan penuh keyakinan. MekNoq senyum puas melihat Mat Krie berjaya lulus ujian. “Jangan takut jawab “Tidak Pasti” kalau memang itu jawapan terbaik. Tapi ingat, jangan keliru dalam hal-hal yang memerlukan ketegasan!” pesan MekNoq.

Dalam perjalanan pulang, Mat Krie merenung. “Kadang-kadang, “Tidak Pasti” adalah jawapan yang paling pasti, kerana dunia ni penuh dengan ketidaktentuan. Tapi yang penting, aku tetap yakin untuk menghadapi semua cabaran!”


Pengajaran:

Cerita ini mengajarkan bahawa dalam peranan seperti Pegawai Pembangunan Masyarakat, terdapat situasi di mana jawapan “Tidak Pasti” adalah pilihan yang paling realistik dan bijak. Bukan semua perkara boleh dijangka dengan tepat, dan memahami ketidaktentuan adalah tanda kebijaksanaan dan fleksibiliti. Mat Krie belajar bahawa membuat keputusan yang jelas dan yakin adalah penting, tetapi ada juga masa yakni ketidaktentuan masa depan menuntut kita untuk bersikap terbuka dan bersedia untuk berubah mengikut keadaan.

Exit mobile version