Site icon zeckry.net

Seks Halal atau Perisikan Haram?

Perbincangan ini adalah kesinambungan daripada penulisan saya terdahulu mengenai Mazhab Syiah dan Nikah Mut’ah, yang membincangkan dimensi teologinya. Kali ini, kita menyelami sisi gelap dan kontroversi apabila mut’ah disalahgunakan dalam kancah geopolitik dan perisikan moden.

Nikah mut’ah, atau perkahwinan sementara, adalah amalan yang dibenarkan dalam mazhab Syiah Imamiyyah tetapi ditolak oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Amalan ini, yang sering dikritik kerana dieksploitasi dalam konteks moden, kini mendapat perhatian antarabangsa apabila Catherine Shakdam, seorang wartawan kelahiran Perancis, mengaku telah menyusup masuk ke lingkaran tertinggi kepimpinan Syiah Iran menggunakan status isteri mut’ah kepada lebih 100 individu termasuk tokoh tertinggi Iran.

Shakdam, yang pernah menulis untuk media Timur Tengah seperti The Times of Israel dan The New Arab, mendedahkan sendiri dalam wawancara bersama CNN dan BBC bahawa dia pernah mempunyai akses ke pelbagai tokoh Syiah, termasuk Ayatollah Khomeini, melalui amalan mut’ah. Menurut laporan oleh Time of Israel (2022), beliau mengakui pernah berkahwin sementara” dengan ramai tokoh Iran atas alasan kajian agama dan penyelidikan lapangan.

“I used religion as a cloak. I used love and devotion to get into places others could not.”
(Time of Israel, 2022)

Mengikut pengakuannya, Shakdam menggunakan penampilan sebagai muallaf Syiah dari Perancis yang berkahwin dengan warga Yaman untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat Syiah Iran. Beliau menyusup masuk melalui organisasi bukan kerajaan (NGO) bertemakan “kontra-keganasan”, lalu menjalin hubungan peribadi dan seksual dengan pemimpin-pemimpin Iran dalam bentuk nikah mut’ah. Hal ini selaras dengan taktik klasik perisikan dunia iaitu Sex and Money, dua senjata utama dalam usaha mendapatkan maklumat sulit.

Menurut Christopher Andrew, pakar sejarah perisikan British, dalam bukunya The Secret World: A History of Intelligence (2018), taktik menggunakan hubungan seksual sebagai senjata bukanlah perkara baharu. Ia digunakan sejak era Perang Dingin oleh KGB, CIA, Mossad dan agensi perisikan dunia.

Apa yang menjadi perhatian ialah bagaimana institusi keagamaan digunakan untuk tujuan manipulasi maklumat dan politik. Dalam konteks ini, nikah mut’ah bukan sahaja menjadi ruang kerohanian sementara, tetapi platform perisikan dan pemerasan. Bagi masyarakat antarabangsa, hal ini mencetuskan persoalan besar terhadap legitimasi moral dan keselamatan institusi Iran sendiri.

Pengajaran dan implikasi

Kisah Catherine Shakdam memperlihatkan betapa rentannya institusi agama apabila disalahgunakan oleh mereka yang mempunyai niat terselindung. Nikah mut’ah, walaupun dipraktikkan oleh mazhab Syiah dengan justifikasi tertentu, menjadi alat yang boleh dieksploitasi untuk memenuhi agenda peribadi, politik, dan geopolitik.

Apabila amalan keagamaan tidak dipandu dengan kawalan institusi dan pengawasan moral, ia akan menjadi lorong mudah bagi musuh untuk menyusup masuk, seterusnya menggunakan keyakinan orang beragama sebagai kelemahan untuk dimanipulasi.

Implikasi utama kepada keselamatan Iran ialah bagaimana seorang wanita asing boleh menyusup ke dalam pelbagai agensi dan tokoh utama melalui pendekatan perkahwinan sementara. Ini menunjukkan bahawa sistem keselamatan mereka tidak cukup ketat dalam menilai individu berdasarkan latar belakang keselamatan berbanding latar belakang agama semata-mata.

    Dalam dunia perisikan, ‘human intelligence’ (HUMINT) adalah elemen paling mahal adalah maklumat yang diperoleh secara peribadi dan emosional sukar diperoleh melalui teknologi. Oleh itu, kisah Shakdam menjadi contoh klasik bahawa emosi dan nafsu masih menjadi titik kelemahan manusia, walaupun berpangkat tinggi atau bergelar ulama.

    Walaupun mut’ah dianggap sah dalam tradisi Syiah, pendedahan ini memberi ruang kepada pengkritik untuk menyatakan bahawa amalan ini membuka ruang kepada penyalahgunaan seksual dan manipulasi kuasa. Ini mencetuskan krisis legitimasi moral, bukan sahaja terhadap pengamalnya, tetapi terhadap institusi keagamaan itu sendiri.

      Pengajaran penting di sini ialah perlunya satu muhasabah mendalam terhadap amalan keagamaan yang boleh dieksploitasi secara sistematik. Ia juga membuka ruang perbahasan antara mazhab tentang hikmah, batasan dan etika dalam perkahwinan.

      Kes Shakdam juga memperkuatkan satu naratif lama dalam dunia perisikan iaitu penggunaan wanita sebagai alat manipulasi seksual dalam mendapatkan maklumat sulit. Ini bukan kali pertama Mossad, KGB, CIA, bahkan agensi perisikan Jepun dan China telah merekrut wanita untuk tujuan yang sama.

        Namun ia juga menimbulkan persoalan feminisme dan etika iaitu adakah wanita hanya dilihat sebagai alat seksual dalam dunia perisikan? Adakah agama boleh dijadikan ‘lesen’ untuk menggunakan wanita dalam strategi pengintipan?

        Satu pengajaran besar ialah kepercayaan membuta tuli kepada individu yang ‘berpenampilan Islamik’. Dalam banyak kes, penyusupan dilakukan oleh mereka yang berpurdah, berjanggut, berserban, atau menghafal al-Quran, tetapi itu bukan jaminan keikhlasan akidah atau misi sebenar mereka.

          Dalam konteks ini, perlu ada keseimbangan antara berbaik sangka dan waspada. Islam sendiri mengajar prinsip al-ihtiyat (berjaga-jaga) dalam muamalat, lebih-lebih lagi melibatkan keselamatan negara dan integriti agama.

          Pendedahan skandal ini juga memberi kesan besar kepada imej Republik Islam Iran dan dunia Islam secara umum. Ia menunjukkan bahawa konflik dalaman, kelemahan disiplin pemimpin, dan eksploitasi agama oleh individu asing boleh membawa aib kepada seluruh institusi keagamaan.

            Ini juga membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menanam persepsi bahawa Islam boleh dimanipulasi, dan ulama sendiri boleh tergelincir atas nama cinta, nikah mut’ah dan kepercayaan. Maka dunia Islam perlu memperkasakan etika kepimpinan dan keselamatan dalaman agar tidak lagi menjadi sasaran mudah agenda asing.

            Kesimpulan

            Kisah Catherine Shakdam bukan sekadar skandal, tetapi cermin besar untuk menilai betapa pentingnya integriti, keselamatan, dan etika dalam mengurus agama dan kuasa. Ia membuktikan bahawa apabila agama tidak dikawal dengan hikmah dan kebijaksanaan, ia bukan sahaja menjadi senjata yang memusnahkan musuh,tetapi boleh menjadi jerangkap yang meletup dalam rumah sendiri.

            Untuk memahami latar belakang teologi dan sejarah amalan Nikah Mut’ah dalam mazhab Syiah serta perbezaannya dengan pandangan Ahli Sunnah, anda boleh rujuk tulisan terdahulu saya:
            👉 Ulasan Buku: Mazhab Syiah dan Nikah Mut’ah
            Tulisan itu membincangkan secara ilmiah dan berfakta mengenai bagaimana Nikah Mut’ah berkembang sebagai amalan serta polemik di sebalik legitimasinya menurut mazhab tertentu.

            Exit mobile version