Site icon Wacana Zeckry

Beza Qawaid Fiqhiyyah dan Usul fiqh

Menurut Azman (2013), syariah Islam mempunyai dasar dan sumber yang tersusun sebagai asas pembentukan dan perkembangannya. Terdapat dua kategori sumber Syariah Islam iaitu sumber-sumber utama dan sumber-sumber cabang. Sumber-sumber utama terdiri daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Al-Quran dan as-Sunnah merupakan sumber pokok kerana ia adalah wahyu Ilahi, manakala Ijmak dan Qias adalah sumber-sumber yang dipersetujui oleh majoriti ulama` usul fiqh. Al-Quran adalah mukjizat yang tidak dapat ditandingi oleh manusia, sama ada dari segi keindahan bahasanya mahupun kesyumulan isi kandungannya dari aqidah, hukum, akhlak dan sejarah umat terdahulu. Manakala as-Sunnah untuk memperkukuhkan hukum-hukum daripada al-Quran yang menjelaskan dan menghurai kesamaran hukum di dalam al-Quran. Ijmak pula persepakatan ulama atas sesuatu hukum syarak manakala Qias pula menyamakan masalah baru dengan masalah lama disebabkan wujudnya persamaan dari segi sifat kedua-duanya.

Namun, Qawa`id fiqhiyyah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana teksnya dibentuk dalam beberapa kalimah yang ringkas dan padat dalam bentuk lafaz yang umum. Tetapi, maknanya adalah luas dan mencakupi cabang masalah yang terperinci seperti pembinaan hukum penggunaan rokok elektronik pada masa kini. Berdasarkan pemerhatian penulis, kelemahan pandangan fiqh berpunca daripada seseorang yang tidak menguasai ilmu fiqh dengan sahih dan mendalam sehingga fatwanya menjadi syaz atau tidak menepati waqi` yang berlaku disekelilingnya. Menurut Fauwaz Fadzil Noor (2018), Usul Fiqh berperanan sebagai pintu kepada ilmu fatwa dan tarjih atau ijtihad yang memberi kelebihan dalam mencapa kebahagian dunia dan akhirat kerana mengetahui dalil-dalil syarak yang sahih.

Justeru, penulisan ini akan membincangkan implikasi sekiranya qawaid fiqhiyyah diabaikan dalam pembinaan hukum, sedangkan dalam istilah perundangan semasa ia dikenali sebagai Islamic Legal Maxims yang mempunyai dasar-dasar hukum yang disusun dengan menggunakan perkataan yang ringksa yang menjadi asas dalam penetapan sesuatu hukum-hakam fekah daripada bab yang pelbagai. Di samping itu, membincangkan aplikasi qawaid fiqhiyyah dalam pembinaan hukum penggunaan rokok elektronik pada masa kini.

2.0 Maksud qawaid fiqhiyyah dan perbezaannya dengan usul fiqh

Menurut Ab. Latif Muda (2010), kaedah Fiqh merupakan sesuatu kaedah dalam undang-undang Islam yang disusun oleh ulama sebagai asas untuk memahami dan mengembangkan Fiqh Islam berkaitan kaedah-kaedah hukum. Namun, ulama mentakrifkan Kaedah Fiqh dengan pelbagai pengertian, namun penulis mendapati ia mengandungi maksud yang sama, cuma dari sudut ungkapannya sahaja dalam pelbagai susunan bahasa. Kaedah Fiqh merupakan prinsip-prinsip Fiqh yang bersifat menyeluruh dalam bentuk nas-nas dan teks-teks perundangan yang ringkas yang merangkumi hukum-hukum yang disyariatkan secara umum mengenai perkara-perkara yang tergolong dalam lingkungannya.

Menurut, Al-`Allamah As-Syeikh Abdul Rahman Nasir As-Sa`diy (1376H/1956),  dalam Al-Manzumah As-Sa`diyyah, pada nuzum (syair) :

فاحرص على فهمك للقواعد # جامعة المسائل الشوارد

فترتقى فى العلم خير المرتقى # وتقتفى سبل الذى قد وفقا

Maksudnya :

“Berusahalah untuk memahami qawaid # yang menghimpunkan masalah-masalah yang berselerak

Kamu akan menguasai ilmu dengan penguasaan yang baik # Dan kamu mengikuti jalan mereka yang diberi taufiq

Oleh itu, bait syairnya itu menjelaskan bahawa ilmu Qawaid al-Fiqh atau Asas Fekah telah menghimpunkan masalah yang bertaburan di bawah satu asas. Apabila kita memahami asas tersebut, kita dapat mengingati dan mengetahui konsep sesuatu permasalahan.

Jika kita mendalami dalam istilah perundangan, Qawaid al-Fiqhiyyah dikenali sebagai Islamic Legal Maxims dan diterjemahkan sebagai “Asas-Asas Fekah”. Walaupun Qawaid Fiqhiyyah mempunyai takrifan yang pelbagai dalam karangan ulama. Hakikatnya sukar untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu secara tepat dengan bahasa yang mudah difahami kerana terdapat istilah yang tidak mungkin boleh diterjemah secara literal tanpa penerangan yang panjang lebar. Maka, secara am, Qawaid Fiqhiyyah bermaksud dasar-dasar hukum yang disusun dengan menggunakan perkataan-perkataan yang ringkas yang menjadi asas dalam penetapan sesuatu hukum-hakam fekah daripada bab yang pelbagai. Misalnya, kaedah “Kemudaratan Hendaklah Dihilangkan, banyak persoalah fekah yang dibahaskan di dalam asas ini (Ahmad Sabiq, 2017) .

Manakala Usul Fiqh merupakan perbahasan tentang kaedah-kaedah yang dijadikan perantaraan untuk mengeluarkan hukum-hukum syarak berbentuk amali daripada dalil-dalil tafsili.

Contohnya, firman Allah SWT ;

a-Secara umumnya setiap suruhan atau lafaz al-Amr membawa hukum Wajib firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ  [النساء: 59]

Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah. (Surah al-Nisa` : 59)

b-Secara umumnya setiap tegahan atau lafaz al-Nahy menunjukkan hukum Haram,

Firman Allah SWT :

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ   [الأنعام: 151]

Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syarak. (Surah al-An`am : 151)

Justeru, perbezaan yang ketara dapat diteliti, bahawa Kaedah Fiqh membincangkan hukum Fiqh itu sendiri berdasarkan kepada kaedah yang dikumpulkan daripada hukum-hukum yang mempunyai persamaan sudut yang tertentu sebagai contoh, Kaedah tentang niat, syak, mudarat, adat, rukhsah dan sebagainya. Manakala, Usul Fiqh merupakan ilmu tentang kaedah mengeluarkan hukum syarak daripada dalil-dalilnya seperti : Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak, Qiyas, Istihsan dan sebagainya (Zuhayli et al., 2013).

Qawa`id Fiqh pula merupakan ilmu yang menghimpunkan prinsip umum hukum-hukum fiqh yang digubal dalam bentuk petikan yang ringkas seperti perlembagaan. Setiap kaedah ini akan menghimpunkan sebahagian besar daripada hukum fiqh yang berkaitan.

Oleh yang demikian, berpandukan kaedah fiqh, para ulama boleh menjadikannya sebagai panduan umum dalam membuat ketentuan hukum. Kaedah ini berperanan menjadi garis panduan untuk para pengkaji hukum Islam. Ia memudahkan mereka memahami dan menyelaraskan kes-kes yang pelbagai di bawah satu kaedah yang boleh merangkumi kesemua kes yang bersamaan konsep dan latar belakangnya sebagaimana disebutkan tadi.


3.0 Implikasi sekiranya qawaid fiqhiyyah tidak diambilkira dalam pembinaan hukum

 i–        Salah Pemahaman

Teks-teks dalam Qawaid Fiqhiyyah yang diadunkan daripada sumber al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Nas yang diturunkan adalah benar dan betul tetapi apabila salah pemahaman menyebabkan kekeliruan dalam masyarat yang mempunyai kepelbagaian tahap pendidikan, pengalaman dan pembelajaran. Pemahaman yang betul akan memimpin kita untuk mengetahui dan membenarkan yang bertujuan kepada keyakinan dalam amal ibadah.

Oleh itu, terdapat nas yang memerlukan hipotesis hukum terutamanya berkaitan transaksi, adat resam dan tingkah laku. Semuanya ini terbuka kepada ijtihad. Percanggahan yang berasal daripada ijtihad yang diperakui terhadap perkara tersebut hendaklah tidak mendatangkan kerosakan atau ancaman. Kefahaman yang sering mencabar masyarakat dalam mencari keseimbangan antara wahyu dan akal. Misalah pemahaman dalam Rasulullah SAW melarang menyimpan daging korban lebih dari tiga hari tanpa mengetahui sebab atau illah, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan juga Imam Abu Daud, para sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ نَهَيْتَ عَنْ إِمْسَاكِ لُحُومِ الضَّحَايَا بَعْدَ ثَلاَثٍ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  إِنَّمَا نَهَيْتُكُمْ مِنْ أَجْلِ الدَّافَّةِ الَّتِي دَفَّتْ عَلَيْكُمْ فَكُلُوا وَتَصَدَّقُوا وَادَّخِرُوا

Maksudnya: Wahai Rasulullah, kau telah melarang kami dari menyimpan daging-daging korban selepas tiga hari. Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya aku hanya melarang kalian disebabkan golongan al-Daffah (arab badwi yang fakir) yang berada dalam kalangan kamu. Sekarang ini makanlah, bersedekahlah, dan simpanlah. Riwayat Abu Dawud (2812)

Hadis di atas menjelaskan larangan Nabi SAW kepada para sahabat terhadap perbuatan menyimpan daging-daging korban lebih daripada tiga hari. Larangan ini membawa kepada hukum haram. Illah bagi pengharaman ini adalah disebabkan golongan arab badwi yang fakir yang berada di kawasan mereka.  Maka Rasulullah SAW melarang para sahabat baginda menyimpan daging-daging korban ini melebihi tiga hari sebaliknya ia hendaklah disedekahkan kepada para fakir miskin tersebut dengan memberikan sedikit daging kepada mereka serta sedikit bekalan. Justeru, sekiranya illah ini hilang maka hilanglah juga hukum pengharaman tersebut (Zulkifli Mohamad, 2016).

Justeru, Qawaid Fiqhiyyah menjadi keperluan dalam menjurus pemahaman dalam fekah kerana ia menghimpunkan permasalahan yang banyak dan berselerak di bawah satu asas atau usul. Daripada itu kita dapat memahami hubungkait antara satu permasalahan dengan permasalahan yang lain. Selain itu, kita dapat mengetahui asas dalam sesuatu permasalahan yang berlaku kepada kita dalam seharian.

ii–       Kekeliruan Umat Islam

Sekiranya kita berhujah dengan ilham dan mimpi akan membawa kepada kerosakan dan kekeliruan kerana tiada siapa yang dapat menjamin kesahihan mimpi atau ilham seseorang. Oleh itu, Jumhur ulama berpendapat bahawa ilham dan mimpi tidak boleh dijadikan dalil dan tidak boleh beramal dengan kedua-duanya. Oleh itu, para ulama berkata, “ Apa yang terlintas pada dirimu hendaklah ditimbang dengan syarak’.

Mentafsir mimpi bukanlah suatu ilmu yang dapat kita pelajari kerana tidak mempunyai satu disiplin ilmu dan kaedah yang tetap seperti ilmu lain. Pentafsiran satu anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Oleh itu, kita tidak melihat mana-mana universiti atau pusat ilmu mempunyai subjek ilmu tafsir mimpi. Pada masa yang sama, ia bukanlah sumber hukum dalam masyarakat. Sebaliknya, ia hanya memberi dorongan dan semangat kepada mereka yang bermimpi perkara baik dan memberi teguran kepada mereka yang bermimpi tidak baik (Fauwaz Fadzil Noor, 2018).

Maka ilmu kaedah fiqh perlu diambil kira sebagai salah satu sumber yang berdasarkan daripada al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Sebaliknya, perkataan yang al-Quran itu sendiri mempunyai keperluan ilmu alat lain untuk menjelaskan.

Sabda Nabi SAW :

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Dari Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi ” (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah)

Hadis tersebut menjelaskan bahawa, Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini. Manakala, Al-Sunnah adalah penjelas dan penerang bagi Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah sama ada percakapan, perbuatan mahupun perakuan. Walau bagaimanapun, menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam Al-quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

Maka, Qawaid Fiqhiyyah sebenarnya membantu kita untuk mengetahui rahsia dan tujuan sesuatu perkara yang disyariatkan agar kekusutan dapat dileraikan dengan mudah. Contohnya, apabila kita mempelajari Qawaid Fiqhiyyah pada asas “Kesusahan Menarik Keringanan” kita dapat memahami bahawa antara tujuan syariat diturunkan adalah untuk menolak kesusahan dan mudah dipraktik tuntutannya yang bersumberkan daripada sumber utama sebagai dalil (Mahad Musa, 2015) .

iii-       Kemunduran Tamadun umat Islam

Kaedah Fiqhiyyah sebenarnya dapat menonjolkan pencapaian gemilang yang pernah dicapai oleh umat Islam silam, pembukaan negara-negara yang merupkan pembebasan bangsa-bangsa yang menindas dan bukannya penaklukan dan penganiayaan serta kezaliman. Memberikan perhatian terhadap tamaduan silam umat Islam yang berjaya menyatukan antara ilmu dan iman, ketuhaan dan kemanusiaan, kebendaan dan akhlak.

Keperluan umat Islam mengambil manfaat dan khazanah umat Islam silam yang berbagai-bagai. Ketelian ahli fiqah, pengkaedahan ulama Usul Fiqh, karya penulisan dan kajian Ulama hadis, pemikiran ulama falsaah, kerohanian ulama tasauf, periwayatan ulama sejahar, kesenian sasterawan, pengamatan para cerdikiawan dan kesimpulan para penyelidik.

Oleh itu, menyedari dengan kedudukan hasil kepelbagaian ilmu dalam Islam jika tidak terpelihara dari kesilapan walapun lahir dari pemikiran ulama Islam. Hasil kajian mereka boleh diwacana dan dikritik walaupun umat Islam secara keseluruhannya tidak akan bersatu dalam kesalahan. Namun, khazanah dilihat dari kacamata wahyu dan hakikat ilmu dengan menghidupkan kembali khazanah ini dengan suasana baru sehingga mampu memberi faedah kepada umat Islam dengan pembinaan hukum melalui kaedah fiqhiyyah secara langsung dapat membina peradaban dan melaksanakan risalanya dalam kehidupan umat setempat dengan harmoni.

aplikasi qawaid fiqhiyyah dalam pembinaan hukum penggunaan rokok elektronik

i- Kemudaratan Mesti Dihapuskan

Kemudaratan dalam kaedah ini bermaksud sesuatu perkara yang menjadi kesukaran bagi mencapai kepentingan asasi kehidupan manusia yang melibatkan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Dalam hal ini, (Azman, 2013) kaedah ini sebenarnya menjelaskan bahawa tiap-tiap perkara yang boleh mendatangkan bahaya dan mudharat hendaklah dimusnahkan. Kaedah ini adalah bersumberkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

(Islam itu) itu tidak boleh bahaya dan membahayakan”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam mengharamkan segala tindakan yang boleh membawa kepada kemudaratan sama ada kepada diri, orang lain dan alam sekitar. Dalam masa yang sama, Islam melarang tindak balas kepada sesuatu tindakan daripada pihak lain yang boleh memberikan kemudaratan.
Ukuran kemudaratan dengan merujuk kepada kesan buruk menurut perspektif agama dan nyawa. Kegagalan mematuhi etika ini akan mengundang kemudaratan kepada sistem nilai manusia.. Asas kepada kaedah ini ialah hadith ini Rasulullah SAW:

Maksudnya : “Tidak dibenarkan melakukan kemudaratan dan membalas sesuatu dengan kemudaratan”.

Oleh itu, aplikasi Kaedah ini adalah menolak kerosakan menjadi keutamaan daripada mengambil kebaikan (mendahulukan tujuan menyingkirkan kemudaratan berbanding kebaikan) Maka, kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang setaraf dengannya. Penggunaan rokok elektronik digunakan atas alasan memudharatkan dan dihukumkan haram kerana ia membahayakan tubuh badah (nyawa) dan pembaziran (harta).

ii- Keadaan Kemudaratan itu mengharuskan tegahan

Secara asasnya, di antara kaedah yang diletakkan oleh para fuqaha adalah, kaedah “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus”. (Zuhayli et al., 2013) Ini disebutkan oleh beberapa ulama di dalam kitab-kitab mereka seperti Imam al-Suyuthi yang berkata:


الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.[1]
Kata Imam al-Suyuthi Rahimahullah apabila menyebutkan kaedah ini: ‘’Inilah mazhab kami (al-Syafi’eyyah)’’.
Berdasarkan kepada kaedah di atas, ia menunjukkan bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus. Justeru, ia boleh menyebabkan berlakunya salah faham di sisi sebahagian masyarakat bahawa kaedah ini umum untuk kesemua perkara termasuklah menghisap rokok elektronik itu sendiri.
Sebenarnya, kaedah ini bukanlah bererti keumuman tanpa sebarang pengikat. Ini kerana, kaedah penuh yang disebutkan oleh Imam al-Suyuthi adalah:


الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Hakikatnya, kaedah di atas ini cukup jelas untuk menjawab salah faham yang digunakan untuk mengharuskan perbuatan menghisap rokok. Ini kerana, sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat padanya dalil pengharaman, maka ia kekal kepada hukum asal iaitu harus. Namun jika telah terdapat padanya dalil pengharaman, maka hukum sesuatu perkara itu menjadi haram.
Jika kita perhalusi dalil pengharaman Merokok seperti berikut :
Perbuatan menghisap rokok adalah jelas pengharamannya berdasarkan beberapa sudut berikut. Di antaranya:

a- Merosakkan Tubuh Badan
Di dalam al-Quran, Allah S.W.T menyebutkan larangan ke atas perbuatan mencampakkan diri kepada kebinasaan. Ini berdasarkan firman-Nya:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan. Surah al-Baqarah (195)
Di dalam kaedah usul menyebut:
النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم
Maksudnya: Larangan membawa erti pengharaman.

Justeru, larangan di dalam ayat tersebut jelas menunjukkan kepada pengharaman sesuatu perbuatan yang boleh membinasakan diri seseorang dan perbuatan menghisap rokok elektronik termasuk dalam perkara yang membinasakan diri seseorang.

Hal ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW:
‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan. Riwayat Malik (31)
Hadis di atas ini merupakan sebuah hadis yang masyhur serta menunjukkan bahawa Islam menafikan sebarang bentuk kemudaratan dan membalas kemudaratan kepada orang lain. Dari sudut usul feqh, ada sebuah kaedah yang menyebut:
النَّكِرَةُ فِي سِياقِ النَّفْيِ تُفِيدُ الْعُمُوم

Maksudnya: Nakirah yang datang dalam konteks penafian menunjukkan kepada keumuman.
Perkataan dharar di dalam hadis tersebut datang dalam bentuk nakirah. Justeru, ini memberi makna bahawa Islam menafikan kesemua bentuk kemudaratan dalam setiap aspek dan sudut. Termasuklah mudarat yang terhasil dari perbuatan menghisap rokok kepada kesihatan dirinya juga kesan buruk yang diterima orang sekelilingnya.


b- Merokok Suatu Pembaziran
Perbuatan menghisap rokok termasuk dalam perbuatan membazir. Di dalam al-Quran, terdapat larangan yang jelas ke atas perbuatan membazir. Firman Allah S.W.T:


وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا


Maksudnya: Dan janganlah kamu membazir. Sesungguhnya golongan yang membazir adalah merupakan saudara syaitan, dan syaitan itu sangat engkar kepada Tuhannya. Surah Al-Isra’ (26-27)
Membazir adalah membelanjakan rezeki Allah SWT ke arah jalan yang batil lagi maksiat. Perbuatan merokok jelas merupakan suatu bentuk maksiat maka membelinya dianggap sebagai suatu pembaziran. Dalalah pengharaman membazir adalah pada terdapatnya لا الناهية serta dipersaudarakan pelakunya dengan syaitan.

c- Rokok Merupakan Suatu Kotoran

Hakikatnya, rokok elektronik adalah sesuatu yang mengandungi bahan-bahan yang kotor seperti nikotin, tar, dan selainnya. Fitrah manusia tidak dapat menafikan hal ini bahawa ia merupakan suatu kotoran. Firman Allah S.W.T:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: Dan dihalalkan kepada kamu perkara yang baik dan diharamkan ke atas kamu perkara-perkara yang kotor.Surah Al-A’raaf (157)
Dalalah pengharaman adalah pada lafaz tahrim di dalam ayat di atas, yang menunjukkan bahawa perkara-perkara yang kotor itu haram ke atas umat manusia.

iii- Menolak keburukan (mafsadah) lebih diutamakan daripada meraih kebaikan.

Sekiranya ada yang mengharuskan perbuatan merokok dengan menjadikan kaedah: ‘’Asal bagi setiap perkara adalah harus’’ sebagai hujah. Hendaklah beberapa perkara berikut menjadi panduan kepada kita dalam memahami kaedah feqh dengan baik:

i- Setiap kaedah ada pengecualiannya. Sebagai contoh, kaedah ‘’asal bagi setiap perkara adalah harus’’ tidak melibatkan isu ibadah. Ini kerana, asal bagi sesuatu ibadah adalah dilarang, melainkan setelah terdapatnya dalil yang membenarkannya.

ii- Perlu difahami bahawa kaedah tersebut terikat kepada bahagian terakhirnya iaitu: Sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.

iii- Para ulama menyatakan dengan lebih terperinci dengan menyebut cabang dari kaedah tersebut iaitu:


الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ النَّافِعَةِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara yang bermanfaat adalah harus.
Juga kaedah yang merupakan cabang darinya:


الأصْلُ فِي الأشْيَاءِ الضَّارَّةِ التَّحْرِيم

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara yang memberi kemudharatan adalah haram.

Justeru, berdasarkan panduan kaedah-kaedah feqh yang telah kami sebutkan, jelaslah bahawa perbuatan merokok elektronik itu haram, dan kaedah yang dikemukakan itu sama sekali tidak tepat untuk dijadikan hujah akan pengharusannya.
Pertembungan di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) seringkali menjadi kayu ukur tentang sesuatu perkara. Maka, memilih perkara yang mendatangkan manfaat dan menolak kemudaratan adalah perkara yang dituntut dalam Islam selari dengan matlamat syariah yang digariskan iaitu ‘jalbu al-masalih wa dar’u al-mafasid’ (meraih kemaslahatan dan menolak kemafsadatan). Walau bagaimanapun, penilaian dan penelitian yang khusus perlu dibuat untuk memperincikan baik buruk sesuatu perkara khususnya dalam isu pemvaksinan (Muftiwp, 2018).


iv- Ditanggung mudarat yang khas kerana menolak mudharat yang am

Kaedah fiqh :


يحتمل الضرر الخاص لدفع ضرر عام
Menanggung mudharat khas untuk menolak mudarat am

Jika bertembung antara mudharat ke atas diri kita sahaja dan mudharat ke atas orang ramai, maka kita perlu untuk menanggung kemudharatan itu untuk mengelak daripada orang ramai terkena kemudharatan dan kerosakan.

Sekiranya membiarkan penggunaan rokok elektronik masa kini tanpa larangan undang-undang dan penguatkuasaan boleh memberi mudharat kepada orang lain seperti menjadi tabiat kepada remaja sekolah dan orang awam seperti menyakiti dan mengganggu persekitaran bagi mereka mengidap penyakita alahan, pesakit jantung atau mereka memerlukan udara yang bersih termasuk haiwan.

Oleh itu, penggunaan rokok elektronik bukan sahaja memberi ancaman kesihatan dan harta adalah mudharat khas, tetapi jika penggunaan rokok elektronik menjadi ikutan kepada remaja atau pesakit lebih berat dan kita mengganggu, menyakiti ramai orang dan merosakkan akhlak. Maka kita perlu menaggung mudharat khas untuk menolak mudharat am.

5.0 Kesimpulan

Kaedah fiqhiyyah secara langsung mengembangkan dakwah Islami  untuk menjadi agenda memahamkan umat Islam tentang agama mereka, memperbetulkan salah faham, memperkukuhkan penghayatan Islam sebagai dakwah universal berpendekatan harmoni. Di sempurnakan lagi dengan fatwa yang dipermudahkan. Kaedah asas sesuatu yang boleh mendatangkan kemudharatan mestilah dhapuskan dan perkara yang memudhratkan itu hendaklah dihilangkan. Oleh itu, pengajian kaedah fiqhiyyah ini sewajarnya diperluaskan dalam perbincangan dalam kalangan orang Islam dengan pendekatan yang santai dan mudah difahami agar keyakinan dalam melakukan ibadah tercapai.

Rujukan

Ab. Latif Muda. (2010). Usul fiqh dan kaedah fiqh.

Ahmad Sabiq, A. R. (2017). Asas-Asas Fiqah Untuk Orang Awam (1st ed.). Kemilau Publika Sdn Bhd.

Azman, A. R. (2013). Qawaid Fiqhiyah (1st ed.). Open University Malaysia.

Fauwaz Fadzil Noor. (2018). Kuasa Usul Fiqh. Telaga Biru Sdn Bhd.

Mahad Musa, Z. (2015). Penulisan Kaedah Fiqh Dalam Majallat Al-Ahkam Al-’Adliyyah. Jurnal Pengajian Islam, 7, 51–74.

Muftiwp. (2018). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan—IIrsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke- 20: Kaedah “Asal Bagi Sesuatu Perkara Adalah Harus” Dan Kaitannya Dengan Hukum Merokok. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/2326-irsyad-usul-al-fiqh-siri-ke-20-kaedah-asal-bagi-sesuatu-perkara-adalah-harus-dan-kaitannya-dengan-hukum-merokok

Zuhayli, W., Zaydan, ’Abd al-Karim, & Muhammad Amar Adly. (2013). Kaedah usul fiqah. Pustaka Al-Ehsan.

Zulkifli Mohamad, A.-B. (2016). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan—Irsyad Usul Fiqh Siri 4: Penjelasan Kaedah Fekah ’Hukum Berlegar Bersama-Sama Illahnya Ketika Ia Ada Dan Tiada. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/1531-irsyad-usul-fiqh-siri-4-penjelasan-kaedah-fekah-hukum-berlegar-bersama-sama-illahnya-ketika-ia-ada-dan-tiada

Exit mobile version