Site icon Wacana Zeckry

Beza Tafsir dan Takwil

Berdasarkan pandangan Dr. Abdulrahman Helali (2011) dalam kajiannya yang bertajuk “Tafsir Wa Takwil Fi Ulum Al-Quran: Satu Pemahaman Konsep” mendapati bahawa tafsir dan takwil mempunyai perbezaan di mana tafsir lebih menjurus kepada penerangan dan takwil lebih kepada kepada ilmu kalam yang banyak digunakan oleh mutakallimin dalam membincangkan ayat mutasyabihat bagi membezakan antara makhluk dengan ketuhananNya.

Beliau juga menyimpulkan istilah tafsir dan takwil adalah dua peringkat yang mana dalam asasnya adalah dua cara untuk berinteraksi dengan teks-teks agama sebagai alat dan unsur-unsur mencari maqlad (matlamat) bagi setiap perkataan. Tafsir dan ta’wil juga adalah metode yang mempunyai kriteria masing-masing dalam cabang ilmu Islam dan menyesuaikan setiap unsur untuk matlamat pentafsiran teks-teks al-Qur’an. (Dr. Abdulrahman Helali, 2011, Tafsir Wa Takwil Fi Ulum Al-Quran: Satu Pemahaman Konsep).

Definisi Tafsir

Secara literalnya, berdasarkan kitab yang disusun oleh Manna’ Khalil Al-Qathan, tafsir telah mengikuti wazan taf’il bermaksud mendedahkan, menyingkap dan menerangkan makna-makna rasional. Kemudian, dikatakan juga “fassara asy-syai’a yafsiru” dan yafsuru, fasran, dan fassarahu bererti abnahu (menjelaskannya).

Kalimah at-tafsir dan al-fasr mempunyai erti menjelaskan dan menyingkap yang tertutup di mana bertepatan dengan Lisan al-‘Arab, kalimah al-fasr bererti menyingkap sesuatu yang tertutup (kasyfu al-mu’ti), sedangkan kata at-tafsir bererti menyingkap maksud sesuatu lafaz yang pelik (Manna’ Khalil Al-Qathan, 2009, hal. 631)

Manakala, dari segi terminologi pula, para ulama’ seperti Abu Hayyan, Az-Zarkasyi dan Al-Jurjani telah mengemukakan pelbagai takrifan berhubung dengan kalimah tafsir.

Kalimah tafsir yang didefinisikan oleh Abu Abdullah Muhammad Yusuf Abu Hayyan dalam kitabnya Bahr Muhit dari sudut istilah bermaksud ilmu yang membahas mengenai cara pengucapan lafaz-lafaz al-Quran, petunjuk-petunjuknya, masalah hukum-hukumnya sama ada yang berdiri sendiri mahupun yang berhubungkait dengan yang lain, serta tentang makna-maknaya yang berhubung rapat dengan keadaan lafaz yang menyempurnakanya. (Abu Abdullah Muhammad Yusuf Abu Hayyan, 1328 H, hal. 13).

Selain itu, menurut Kitab Al-Burhan Fi Ulum Quran, tafsir adalah ilmu untuk memahami kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, menerangkan makna-maknanya serta mengeluarkan hukum dan hikmah-hikmahnya. (Imam Badruddin Muhammad Bin Abdullah Az-Zarkasyi, 1957, hal. 14).

Lanjutan itu, Al-Jurjani dalam kitabnya, Durju Ad-Durar pula menjelaskan tafsir adalah menjelaskan makna ayat-ayat al-Quran, keadaanya, kisah-kisahnya dan asbab nuzul dengan ungkapan yang dapat menunjukkannya secara jelas dan nyata. (Abdul Qahar Al-Jurjani, 2009, Jil.1 hal. 21).

Oleh itu, mentafsirkan ayat-ayat al-Quran adalah dengan menerangkan atau menjelaskan apa-apa yang terkandung padanya dari makna-makna, rahsia dan hukum hakam, firman Allah SWT:

وَلَا يَأۡتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلَّا جِئۡنَٰكَ بِٱلۡحَقِّ وَأَحۡسَنَ تَفۡسِيرًا٣٣

Maksudnya: Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan sebaik-baiknya penjelasan (untuk menangkis segala yang dikatakan itu)

Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa tafsir bermaksud menjelaskan makna ayat-ayat al-Quran, kedudukannya, kisah dan sebab al-nuzul, susunan ayat makki dan madani, muhkam dan mutasyabihat, nasikh mansukh, khusus dan umum, halal, haram dan sebagainya dengan menggunakan ungkapan yang menunjukkan kepadanya secara jelas dan terang.         

Definisi Takwil

Takwil menurut pandangan Al-Zarkasyi menyatakan bahawa takwil berasal daripada kata ‘al-awl’ yang bermaksud al-ruju’ iaitu kembali. Seterusnya, Al-Fayruz al-Abadi pula menambah definisi ‘kembali’ tersebut dengan bermaksud kembali ke belakang dan mundur daripada makna zahir.

Rentetan daripada itu, kamus ‘al-Miftah’ juga ada menjelaskan maksudnya sebagai pentafsiran, penghuraian dan pencerahan terhadap sesuatu. Kemudian, Ibn al-Manzur pula ada menyebut bahawa perkataan takwil ini membawa maksud pentafsiran yang berlainan terhadap terjemahan sesuatu susunan perkataan atau ayat yang asal. (Muhammad Firdaus Abdul Manaf, Md. Noor Hussin, Zaki Ahmad, 2018, Kajian Perbandingan Antara Terjemah, Tafsir dan Takwil dalam Al-Quran, hal.238)

Walau bagaimanapun, menurut Ibn Jarir al-Tabari, takwil dari segi istilah adalah mentafsirkan perkataan dan menjelaskan pengertian maknanya sama ada ia bersesuaian dengan zahir ayat atau pun bertentangan. Lanjutan daripada itu, menurut al-Dhahabi, takwil ialah maksud sebenar bagi sesuatu perkataan itu sendiri. (Muhammad Firdaus Abdul Manaf, Md. Noor Hussin, Zaki Ahmad, 2018, Kajian Perbandingan Antara Terjemah, Tafsir dan Takwil dalam Al-Quran, hal.238)

Kemudian, Manna’ al-Qattan pula berpendapat bahawa takwil ialah memalingkan lafaz daripada makna pertama kepada makna kedua iaitu makna yang paling dikehendaki maksudnya berdasarkan konteks ayat dengan dalil atau bukti yang menyertainya. (Manna’ Khalil Al-Qathan, 2009, hal. 634)

Kesimpulannya, takwil ialah memalingkan kesamaran zahir sesuatu ayat kepada maksudnya yang bersesuaian dengan konteks makna yang dikehendaki atau dikenali sebagai pemurnian ayat untuk menghilangkan kekeliruan. Berdasarkan istilah-istilah secara literasi yang dikemukakan, takwil dalam kamus lughawi merupakan peranan dengan makna tafsir, kembali, akibat, pembaikan, tadabbur dan kefahaman dalam memahami al-Quran yang sebenar dan menerbitkan sesuatu hukum dengan perbincangan dan kajian mengikut syarak (Luwozah Syaqroun, 2013, Qawaid at-Ta`wil `Inda Abdul Qahar al-Jarjani).

Jika difahami daripada hadis Rasullullah SAW berdoa untuk Ibnu `Abbas :

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ

Ya Allah, berikan dia keluasan kefahaman dalam ilmu agama dan ajarkan takwil kepadanya. Muttafaq `Alai

(HR al-Bukhari:143, Muslim:2477).

Daripada hadis tersebut, sekiranya takwil atau tafsir itu hanya terbatas kepada apa yang didengar sahaja, sudah tentulah tidak bermanfaat dikhususkan takwil kepada Ibn `Abbas. Maka, yang dikehendaki dengan takwil di sini adalah tafsir dengan menggunakan ijtihad.

Terdapat beberapa contoh ayat al-Quran dalam kategori tafsir dan juga dalam kategori takwil sebagaimana pembahagian tersebut seperti yang berikut:

Contoh Ayat Tafsir

  1. Surah Al-Fatihah Ayat 4

مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ 

Maksudnya: Pemilik Hari Pembalasan

Berdasarkan kepada Kitab Tafsir Munir, kalimah tersebut ditafsirkan dengan Pemilik hari pembalasan terhadap amalan manusia yang telah dilakukan di dunia. Segala urusan berada di kekuasaanNya pada hari Kiamat (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, Jil. 1. Hal.33).

Al-Quran telah meletakkan dasar keimanan kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, qada’ dan qadarNya serta hari kiamat. Untuk itu, al-Quran menegakkan bukti sehingga kepercayaan terhadap berhala tercabut dan diganti dengan aqidah Islam sehingga kita wajib beriman dengan yakinnya bahawa hari kiamat benar-benar akan berlaku. Hari kiamat bermula daripada tiupan sangka kala, pertama semua makhluk akan mati.

Selepas tiupan sangkakala yang kedua mereka akan dibangkitkan untuk diadili dengan pembalasan terhadap amalan di dunia dan terakhir sama ada menerima nikmat syurga atau azab neraka. Maka, kembali segala yang mati dengan kebangkitan semula. Secara literasinya perkataan يَوۡمِ ٱلدِّينِ  dinamakan hari agama.

Berdasarkan kepada Kitab Tafsir Fi Zilal Al-Quran, perkataan Yaumu Din yang bermaksud hari pembalasan ditafsirkan dengan firman Allah SWT:

وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا يَوۡمُ ٱلدِّينِ١٧ ثُمَّ مَآ أَدۡرَىٰكَ مَا يَوۡمُ ٱلدِّينِ١٨ يَوۡمَ لَا تَمۡلِكُ نَفۡسٞ لِّنَفۡسٖ شَيۡ‍ٔٗاۖ وَٱلۡأَمۡرُ يَوۡمَئِذٖ لِّلَّهِ١٩

Maksudnya: Dan sudahkah engkau ketahui apa yang (dikatakan) hari pembalasan? Lagi, sudahkah engkau ketahui apa yang (dikatakan) hari pembalasan ? (ialah) hari yang tidak siapapun dapat menolong sesiapa kerana semua urusan di hari itu (adalah) kepunyaan Allah”

(Al-Infitar: 17-19)

Oleh itu, tafsiran ini antara sumber tafsir bi al-Ma`thur yang merupakan tafsir yang wajar diikuti kerana di dalamnya mengandungi maklumat-maklumat yang benar dan ia merupakan jalan yang paling selamat untuk menjaga diri daripada tergelincir ke dalam kesesatan dalam memahami kalam ayat-ayat Allah SWT. Maka, jenis tafsir pada ayat tersebut berdasarkan sumber Tafsir al-Quran dengan al-Quran.

         ii.            Surah Al-An’am, Ayat 82

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يَلۡبِسُوٓاْ إِيمَٰنَهُم بِظُلۡمٍ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلۡأَمۡنُ وَهُم مُّهۡتَدُونَ  ٨٢

Maksudnya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan dengan sebarang kezaliman (syirik), merekalah orang-orang yang akan memperolehi keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah.

Menurut Kitab Fi Zilal Al-Quran, kenyataan ini bermaksud manusia yang beriman dan mengikhlaskan diri mereka kepada Allah tanpa mencampur adukkan keimanan ini dengan sebarang syirik sama ada berupa ibadah, kepatuhan, ketaatan atau arah tujuan, maka merekalah orang yang mendapat hidayah Allah. (Sayyid Quthb, 2003, hal. 382).

Ulama berpendapat Nabi adalah pentafsir al-Quran, memandangkan bagindalah yang menerima al-Quran, memahaminya dan bertanggungjawab menyebarkannya kepada manusia sebagaimana yang ditegaskan oleh Muhammad Bin Idris al-Syafie. Para sahabat kembali merujuk kepada Rasulullah SAW, apabila mereka menghadapi kemusyilan dalam memahami atau menghuraikan ayat-ayat al-Quran sebagaimana contoh ayat di atas yang menerangkan perkata (الظلم)  .

Menurut Ibn Mas`ud sewaktu turunnya ayat di atas para sahabat agak kelam kabut kerana mereka memhami maksud al-Zulm dalam ayat tersebut adalah sama dengan kezaliman yang biasa. Lantaran itu mereka bertanya Rasulullah SAW : Siapakah di antara kami yang tidak melakukan kezaliman? Rasulullah SAW menjawab:

Kezaliman di sini bukanlah sebagaimana yang dimaksudkan. Seterusnya baginda bersabda: Apakah tidak kamu mendengar apa yang diucapkan oleh hamba yang soleh seperti yang terdapat dalam al-Quran:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَيَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ

Maksudnya: Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku: Janganlah engkau menyekutukan Allah. Sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar”

                                                                                          (al-Luqman:13)


Oleh itu, perkataan al-zulm pada ayat di atas bermaksud syirik Ini menjelaskan dalam metode tafsir dikenali sebagai tafsir bi al-ma`thur yang bersumberkan dengan hadis Rasulullah SAW.

Maka, kedua ayat tersebut sebagai contoh yang dikatakan sebagai kategori tafsir iaitu Tafsir bi al-Ma`thur bermakna tafsir yang berpegang kepada Riwayat yang sahih iaitu mentafsirkan al-Quran dengan  al-Quran atau dengan hadis kerana ia berfungsi sebagai penerang kepada al-Quran atau dengan Riwayat sahabat (athar), memandangkan mereka adalah orang yang paling mengetahui tentang al-Quran atau dengan sesuatu yang dikatakan oleh tabi`in besar kerana mereka biasanya menerima perkara tersebut daripada sahabat.

Contoh Ayat Takwil

I)        Surah Al-Fath Ayat 10

يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ

Maksudnya: Tangan Allah berada di atas tangan-tangan mereka.

Berdasarkan kitab Tafsir Munir, kalimah يَد bermakna pertolongan (hidayah). Penggunaan kalimah tangan di sini merupakan majaz kerana Allah SWT Maha Suci dari susunan anggota tubuh dan segala sifat jisim. Ulama salaf meyakini wujudnya tangan Allah SWT, tetapi tidak menyamai tangan-tangan makhluk yang lain dan tidak ada suatu apa pun yang serupa denganNya sebagaimana sebagaimana firman Allah SWT dalam surah As-Syura:

لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَيۡءٞۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

(As-Syura: 11)

Ini merupakan pendapat yang lebih selamat walaupun terdapat pendapat yang mengatakan majaz adalah pendapat yang lebih utama secara lojik akal, dan menyerahkan urusannya kepada Allah SWT dengan tetap mengimani apa yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan sunnah sohih. (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.13, hal. 404).

Menurut tafsir at-Tabari dalam kitab Jami’ Bayan An Takwil Al-Quran, ayat takwil pada firman Allah يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِم mempunyai dua aspek pada pentakwilan ayat ini iaitu yang pertama : يد الله tangan Allah di atas perjanjian mereka, ketika baiah semasa perjanjian Hudaibiah kerana mereka berbaiah dengan Allah dan Nabi Muhammad. Kedua : kekuatan Allah di di atas kekuatan mereka dalam pertolongan Rasulullah kerana mereka berbaiah Rasulullah atas pertolongannya ke atas musuh. (At-Thabari, 2014, hal. 56).

Oleh yang demikian, sewajarnya dipelajari bahawa di dalam al-Quran dan al-Hadis terdapat ayat-ayat dan perkataan yang mutasyabihat (kesamaran) yang diwahamkan menyerupai Allah SWT sebagaimana ayat di atas. Ulama salaf (terdahulu semasa sahabat dan tabi`in, sebelum kurun kelima hijrah) berpendapat mana-mana ayat al-Quran dan Hadis yang diberi sangkaan (waham) menyerupai Allah SWT dengan makhluk, maka hendaklah kita i`tiqadkan dengan teguh bahawa Maha Suci Allah daripada berjisim dan Maha Suci daripada bersifat dengan segala sifat yang baharu seperti mana dalam berbincangan ilmu kalam menyebut sebagai mukhalafah lil hawadis (menyalahi Allah SWT bagi segal yang baharu dan mustahul ia menyerupai bagi segala yang baharu, ini menjelaskan Allah SWT tidak ada yang menyerupai dengan segala sesuatu sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya.

Manakala Khalaf (ulama kebelakang selepas kurun yang kelima hijrah) mereka berpendapat mana-mana ayat al-Quran dan Hadis yang memberi waham tasybih (menyerupai dengan segala sifat baharu) hendaklah ditakwil (ditanggungkan) dengan perkara yang layak dan munasabah daripada segala sifat bagi Allah SWT. Maka ulama khalaf mentakwilkan tangan dengan qudrat (kuasa). (Zakaria Ahmad Wan Besar, 2016).

Oleh yang demikian, perbincangan pada ulama aqidah yang terdiri ahli sunnah wal jamaah yang tidak cenderung kepada menjisim atau menjasadkan tuhan (al-tajsim) atau menyerupakan tuhan dengan makhluk (at-tashbih) dengan aqidah yang menafikan memiliki sifat-sifat kesempurnaan (al-ta`til).

Justeru, ayat tersebut dikatogerikan sebagai takwil juga berdasarkan pandangan ahli balaghah, mengatakan majaz merujuk kepada makna perkataan yang menunjukkan bukan untuk makna asalnya di dalam kalangan ahli bahasa. Hubungan antara makna asal yang ditetapkan dalam bahasa dengan makna majazi yang diinginkan oleh penutur merupakan asas perbincangan berkaitan majaz.

II)       Surah Taha Ayat 5

ٱلرَّحۡمَٰنُ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ ٱسۡتَوَىٰ  ٥

Maksudnya: Tuhan yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy.

Menurut kitab Tafsir Munir, yang menurunkan AI-Qur’an adalah ar-Rahman yang melimpahkan nikmat-nikmat yang besar dan nikmat-nikmat yang kecil. Dialah yang Maha tinggi di atas Arsy. Manusia tidak tahu maksud dari di atas Arsy tersebut, tetapi kita beriman dengannya sebagaimana cara para salaf saleh yang beriman dengan sifat-sifat Allah tanpa adanya penakwilan, tanpa penyerupaan dan penyamaan dengan makhluk-Nya, serta tanpa menafikannya.

Maka istiwa’ (bersemayam) ini adalah yang sesuai dengan kekuasaan dan keagungan Allah tanpa cara dan batasan. Hal tersebut bertepatan dengan kitab Fi Zilal Al-Quran yang menyatakan bahawa persemayaman atau istiwa’ di atas Arasy itu ialah bayangan dari penguasaan Allah yang sepenuhnya (terhadap seluruh alam buana).

Oleh itu, seluruh urusan manusia adalah terpulang kepadaNya, sedangkan tugas Rasulullah hanya memberi peringatan kepada orang yang takut kepada Allah. Di samping itu, sifat Allah yang menguasai segalanya ialah sifatNya yang memiliki dan mengetahui segala-galanya.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT, “Tangan Allah di atas tangan mereka.” (al-Fath: 10) Allah SWT tidak berbentuk tubuh dan tidak menyerupai makhluk sama sekali, sedangkan Arsy adalah makhluk yang tidak kita ketahui hakikatnya. Para ulama kontemporeri (khalaf) menakwilkan sifat-sifat Allah, sehingga menurut mereka yang dimaksud dengan istiwaa’ bagi Allah adalah berkuasa, menguasai dan memiliki kewenangan penuh untuk melakukan apa pun. Arsy adalah kerajaan, tangan, dan kekuasaan (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, Jil. 8, hal. 449) 

Kelompok salaf akan menyerahkan makna tersebut kepada Allah yang lebih mengetahui akan maksudnya, mengingat bahawa tidak adanya dalil untuk menentukan makna tersebut. Sedangkan kelompok khalaf akan mentakwilkan ayat ini. Hal yang sedemikian kerana mereka menganggap bahawa tidak mungkin Allah menyampaikan wahyu kepada hambaNya dengan sesuatu yang tidak mereka fahami.

Kelompok Asya’irah menakwilkan kata tersebut secara tidak spesifik dengan mengatakan bahawa ayat tersebut mengkhabarkan bahawa Allah memiliki sebuah sifat sam’iyyah yang tidak diketahui secara spesifik yang disebut dengan sifat al-istiwa’. Sedangkan kelompok kebelakangan (muta’akhirin) menakwilkan kalimah ini dengan al-isti’la (menguasai) dan al-qahr (menundukkan), kerana dua makna ini masih tercakup dalam makna kata istiwa. (Muhammad ‘Abd al-Azim Al-Zarqani, Jil.2, hal, 229).

Ayat ini sering menjadi perbincangan dalam pengisbatan sifat-sifat Allah dalam ulama aqidah, terdapat dua pendekatan utama yang digunakan dalam menghuraikan persoalan pentauhidan terhadap Allah SWT. Pendekatan yang dimaksudkan ialah pendekatan aliran yang kini dikenali sebagai gerakan salafiah dipelopori oleh Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dan Muhammad `Abdul Wahab. Pendekatan yang digunakan dengan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiiyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma wa Sifat.

Manakala pendekatan kedua ialah pendekatan popular di negara kita, iaitu pendekatan al-Asya`irah al-Maturidiyyah yang juga dikenali sebagai pendekatan sifat 20. Pendekatan ini adalah lebih dicenderungi oleh sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia, manakala pendekatan kedua tidak kurang juga pengaruhnya di dunia Islam, khususnya di Arab Saudi.

Ayat tersebut merupakan salah satu keterangan al-Quran yang mengisbatkan kewujudan sifat-sifat Allah SWT yang maha berkuasa di atas segala-galaNya dan berdasarkan dalil-dalil tersebut, para ulama memperkenalkan sebagai sifat 20. Pentakwilan ayat ini merupakan ayat yang mustayabihat yang bererti Allah SWT bukan bererti tuhan bertempat di atas arasy, Maha Suci Allah dari demikian itu, tetapi ayat ini menyatakan bahawa Allah itulah pemilik dan pentadbir alam. Dialah yang menguasai segala-galanya dan Dialah raja segala raja.

Persoalannya, sekiranya Allah di atas arasy, dimanakah Dia sebelum `arasy diciptakan? seandainya Dia di atas arasy bererti juga Dia bertempat, berhajat kepada tempat. Jika Dia di atas `arasy nescaya `arasy itu lebih kuat daripadaNya kerana dapat menanggungNya maka ini adalah mustahil. Perbincangan dalam sifat Allah berbeza daripada segala yang baharu (mukhalafah lil hawadis).

Oleh yang demikian, metod tafsir selain tafsir bil al-ma`thur terdapat tafsir bil`al-Ra`yi yang terbahagi kepada tafsir bi al-ra`yi al-mazmum (tafsir yang tercela) iaitu penafsiran yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak berkelayakan untuk mentafsir ayat-ayat al-Quran berdasarkan sumber-sumber palsu dan tidak mempunyai asas yang jelas.

Manakala tafsir bil al-ra`y al-mamduh (tafsir yang terpuji) bermaksud tafsir yang berlandaskan ilmu pengetahuan yang mantap di dalam bahasa arab, kaedah perundangan dan asas-asas agama termasuk ilmu usul fiqh, hadis dan sebagainya yang tidak bertentangan dengan sumber yang sahih, akal yang sejahtera, ilmu yang pasti dan berusaha keras untuk mencari kebenaran, membersihkan diri daripada hawa nafsu serta mengingati Allah terhadap apa yang diperkatakan.

Tokoh terawal menggunakan kaedah ini ialah Ibn Jarir al-Tabari. Walau bagaimanapun, penggunaan kaedah ini pada masa itu hanyalah menyentuh pengambilan untuk mengesahkan dan memilih riwayat-riwayat yang sahih atau menolak Riwayat yang mungkar dan lemah. Ijtihad juga digunakan untuk menjelaskan ayat-ayat gharib dengan syair-syair kuno berdasarkan cara penggunaan Ibn `Abbad, juga pengambilan hukum hasil daripada ijtihad ahli fekah yang berkembang dalam zaman sahabat dan tabi`in. Maka, jelaslah di sini bahawa ayat tersebut termasuk dalam kategori takwil.

III)       Surah Ar-Rahman ayat 27

وَيَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ٢٧

Maksudnya: Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.

Menurut (Osman Khalid,et.al, 2006) lafaz وَجْهُ secara literal mempunyai kedudukan dan pangkat yang tinggi, menghala ke muka, mengikut.

Manakala, berdasarkan kitab Tafsir al-Quran al-Azim menjelaskan bahawa ayat ini menyebut tentang Allah SWT mengkhabarkan bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah SWT. (Ibnu Kathir, Jil. 7, hal. 110)

Kemudian, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa kehidupan semua akan berakhir dan tiada yang kekal kecuali hanya Zat Allah SWT yang memiliki Keagungan dan Kebesaran. Kefanaan dan kebinasaan adalah sebuah keyakinan dan hal yang pasti bagi seluruh makhluk di langit dan bumi pada hari Kiamat. (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.14, hal. 243).

Al-Qurtubi dalam kitabnya Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran mengemukakan makna “وَجْهُ” bermaksud wajahNya, zatNya dan Maha suciNya. Secara zahirnya, kalimah الوجه   dalam bahasa arab membawa maksud arah bukannya sifat Allah. Kebanyakan pentafsir menukilkan ayat terebut merupakan ayat sifat dan menetapkan bahawa Allah memiliki wajah pada erti yang hakiki. (Al-Qurtubi, 2006, Jil.20 Hal. 132).

Selepas itu, Al-Imam At-Thabari dalam kitabnya, Jami’ Al-Bayan An Takwil Lil Qur’an menyatakan bahawa penafsiran tersebut sesuai dengan perkataan syair seperti yang berikut:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ ذَنْبًا لَسْتُ مُحْصِيهُ… رَبُّ العِبادِ إلَيْهِ الوَجْهُ والعَمَلُ

Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah dari dosa yang aku tak mampu menghitungnya…(Dialah) Rabb hamba-hamba, kepadaNyalah wajah (kehendak) dan amalan.(At-Tabari, 2001, Jil.19, hal. 643).

Lafaz الوجه  (wajah) dalam kalimah syair tersebut bermaksud kehendak dan keinginan. Takwil yang demikian bukanlah takwil yang batil kerana merupakan salah satu penjelasan terhadap makna kalimah yang sesuai dengan konteks bahasa Arab yang boleh difahami.

Justeru, ayat tersebut termasuk dalam kategori takwil, berdasarkan juga istilah ahli balaghah sebagai al-Majaz iaitu ungkapan yang digunakan bukan mengikut pengertian asalnya dalam komunikasi kerana kaitan tertentu yang mempunyai konteks atau mengikut kewajarannya.

Dalam perbincangan ahli balaghah, al-majaz di bahagikan kepada dua, pertama al-majaz al-lughawi yang merujuk kepada makna perkataan yang menunjukkan bukan untuk makna asalnya dalam kalangan ahli Bahasa dan kedua, al-majaz al-`aqli pula merujuk kepada proses menghubungkan perbuatan atau seumpamannya dengan objek yang bukan sebenarnya berdasarkan zahir ayat penutur kerana ada kewajarannya.

Oleh itu ayat tersebut, sekiranya tidak termasuk kategori takwil ia akan memberi waham (sangkaan) pada imiginasi masyarakat awam dan kekeliruan bahawa Allah SWT yang berjisim (mujassamah) dan musyabbah dengan makhluk yang diciptakanNya.

Exit mobile version