Mengelakkan Memudaratan Dalam Kehidupan

Qawaid Fiqhiyyah

Kaedah Fiqhiyyah merupakan salah satu cabang ilmu yang terpenting dalam perkembangan tamadun ilmu Islam. Kewujudan himpunan Kaedah Fiqhiyyah bukanlah untuk memisahkan hukum-hakam Allah SWT. Ini kerana Kaedah Fiqhiyyah bersandarkan pertalian dengan nas al-Quran, Hadīth, Ijmak dan sumber hukum lain.

Walau bagaimanapun, Kaedah Fiqhiyyah dihasilkan bukan mengenepikan al-Quran dan Hadīth sebagai sumber rujukan utama. Tetapi sebenarnya Kaedah Fiqhiyyah adalah bersumberkan al-Quran dan Hadith bertujuan memastikan kemudahan kepada ulama dan masyarakat untuk membuat rujukan dan menyelesaikan permasalahan baru. Para ulama telah berusaha memahami nas-nas syarak dan kemudiannya dijadikan kaedah umum yang boleh dirujuk apabila sesuatu masalah berlaku. Apabila masalah baru berlaku dan mempunyai ‘illah yang sama dengan masalah furu’ (cabang) yang telah digabung di bawah kaedah umum berkenaan, maka ia akan memudahkan ulama untuk mengetahui hukum kerana persamaan‘illah akan membawa kepada persamaan hukum. Hal ini menggambarkan seolah-olah kaedah-kaedah tersebut telah menjadi dasar kepada hukum yang dijatuhkan.

Memandangkan kehidupan masyarakat yang semakin kompleks menyebabkan berlaku isu-isu baru yang tidak dinyatakan secara jelas di dalam al Quran dan Hadīth serta dalam peruntukan undang-undang. Sedangkan. Undang-undang adalah penting dalam pentadbiran kehidupan seharian manusia. Menurut sistem perundangan Islam pula, kaedah fiqh mempunyai kedudukan yang amat penting. Tanpa kaedah fiqh, hukum-hukum fiqh akan menjadi satu hukum yang terpisah dan ini boleh menimbulkan perselisihan antara satu masalah dengan masalah yang lain.

Penguasaan dalam kaedah fiqh juga membolehkan seorang faqih memahami cara mengeluarkan fatwa dan menyelesaikan masalah yang timbul tanpa bergantung pada hafalan semata-mata. Mereka juga harus berupaya  mengaplikasikan kaaedah fiqh terhadap masalah baru yang timbul.  Contohnya, penguasaan kaedah fiqh dalam kalangan hakim, pegawai penyelidik dan peguam membantu dalam menyelesaikan banyak kes di mahkamah dengan kepelbagaian isu yang timbul.

Azman (2013)

Oleh itu, penulisan ini akan membincangkan konsep qawaid fiqhiyyah, kriteria dan menyebab yang membentuknya. Di samping itu, akan menghuraikan kaedah Qawaid Fiqhiyyah berkaitan dengan mengelakkan kemudharatan dalam kehidupan manusia kerana Islam itu sendiri terbina atas kebaikan-kebaikan dunia dan akhirat yang ingin dicapai dan Islam menolak sebarang bentuk kemudaratan dunia dan akhirat. Selain itu, penulis menjelaskan beberapa contoh hukum Islam semasa yang menggunakan Qawaid Fiqhiyyah yang berkaitan menolak keburukan.

Konsep Qawaid Fiqhiyyah Menurut Pandangan Ulama

Menurut (Ahmad Sabiq, 2017) mentakrifkan Qawaid al-Fiqh bermaksud dasar-dasar hukum yang disusun dengan menggunakan perkataan-perkataan yang ringkas yang menjadi asas dalam penetapan sesuatu hukum-hakam fikah daripada bab yang pelbagai. Contohnya, asas “keyakinan tidak dihilangkan dengan syak”, banyak persoalan fikah yang dibincangkan di bawah asas tersebut, misalnya, apabila kita terjumpa air bertakung, bagaimana kita hendak menentukan sama ada air itu boleh dibuat bersuci atau tidak? atau ketika kita solat dan terlupa berapa rakaat yang telah dilakukan, apa yang perlu dilakukan? Begitulah seterusnya dalam kaedah-kaedah yang lain.

Oleh itu, asas fikah merupakan hasil kajian yang teliti dan menyeluruh terhadap al-Quran dan sunnah juga ijmak, sehingga dikumpulkan permasalahan dan persoalan fikah daripada bab-bab yang pelbagai. Kemudian diletakkan di bawah satu asas kerana memiliki sifat atau asas (illah) yang sama. Menurut al-`Allamah al-Syeikh Abdul Rahman Al-Sa`diy  dalam syairnya mengungkapkan: Berusahalah untuk memahami qawaid, yang menghimpunkan masalah-masalah yang berselerak, kamu akan menguasai ilmu dengan penguasaan yang baik dan kamu mengikuti jalan mereka yang diberi taufiq. (Ahmad Sabiq, 2017)

Perkataan al-qawaid al-fiqhiyyah merupakan satu istilah yang terdiri daripada dua perkataan iaitu al-qawaid dan al-fiqhiyyah. Menurut para fuqaha pula, perkataan kaedah bererti hukum yang digunakan secara majoriti yang meliputi kebanyakan pecahan-pecahannya supaya diketahui akan hukumnya. Dalam memberi pengertian bagi perkataan al-qawa‟id, para fuqaha mengungkapkan satu kaedah iaitu yang bermaksud hukum yang kebiasaannya dipraktikkan ke atas kebanyakan bahagian-bahagiannya atau cabang-cabangnya.

Perkataan al-fiqhiyyah pula adalah berasal daripada perkataan al-fiqh yang bermaksud faham. Menurut al-Ghazali, ilmu al-fiqh adalah suatu ilmu syariah (undang-undang Allah) yang bersangkut paut dengan pengetahuan furu’ (cabang) agama. (Norfaizah, 2014)

Oleh yang demikian, berdasarkan pengertian-pengertian di atas, dapat dirumuskan bahawa apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan (dari sudut bahasa) menjadi satu istilah baru yang mewakili satu disiplin ilmu yang berasingan, maka ia bermaksud satu susunan kaedah yang berkaitan dengan hukum-hukum fiqh yang diambil daripada dalil-dalil yang terperinci.

Menurut Norfaizah (2014), dalam perundangan dikenali sebagai maksim perundangan adalah seerti dengan qawaid fiqhiyyah atau dalam istilah undang-undangnya dikenali sebagai legal maxim.

Manakala, Maksim Perundangan Inggeris atau Latin sering kali digunakan oleh pengamal undang-undang bagi menunjukkan keindahan keadilan perundangan sivil di Malaysia. Walaupun Maksim Perundangan Inggeris ini berbagai-bagai, namun maksim perundangan yang relevan dengan keterangan dan pembuktian di Mahkamah Syariah adalah terhad dan kebanyakannya menyamai dengan penggunaan kaedah fiqhiyyah secara praktikalnya.

Kaedah-kaedah fiqhiyyah pula merupakan kaedah-kaedah yang bersifat umum yang mengumpulkan masalah-masalah fiqh terperinci yang memudahkan para ulama’ mengistinbathkan hukum bagi sesuatu masalah dengan cara mengklasifikasikan masalah itu di bawah suatu kaedah. Melalui kaedah yang telah diperincikan inilah, hakim-hakim dapat membuat ijtihad yang relevan dengan keadaan semasa. Kaedah-kaedah ini juga telah digunakan oleh para hakim untuk memutuskan sesuatu kes di Mahkamah Syariah.

Ciri Qawaid Fiqhiyyah

Menurut Azman (2013), Kaedah Fiqhiyyah mempunyai pengecualian, oleh sebab itu ia disebutkan juga sebagai kaedah aghlabiyyah iaitu kaedah majoriti atau kebanyakan, bukan umum kulli. Maka, Kaedah fiqh bersifat umum dan menyeluruh, tetapi mempunyai banyak pengecualiannya. Oleh itu, Kaedah Fiqh merupakan himpunan hukum-hukum syarak yang sejenis atau serupa. Hal itu ekoran ata titik persamaan atau terdapatnya ketetapan Fiqh yang merangkaikan kaedah tersebut, contohnya : Kaedah berkaitan pemilikan dalam syariat serta kaedah khiyar dan fasakh secara umum. (`Ali Ahmad, 1998)

Faktor Pembentukan

i- Peranan Mujtahid
Faktor kewujudan kaedah fiqhiyyah disebabkan peranan mujtahid, memandangkan golongan ini berperanan dalam penggunaan akal fikiran mereka berdasarkan daripada sumber perundangan yang selari dengan konsep Syariah yang sesuai dilaksanakan tanpa mengira masa dan tempat.
Para mujtahid sentiasa berusaha dengan berijtihad bagi memahami nas-nas dan mempraktikkan kaedah-kaedah yang berkonsep umum terhadap permasalahan yang berkait dengan furu’ yang baru dan sentiasa muncul sebagai contoh konsep al-Qiyas, Istihsan, Uruf dan sumber-sumber yang lain.
Walaupun kerangka ijtihad mempunyai dalil-dalil yang lebih bersifat zanni yang telah diperselisihkan ataupun perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dan juga para mujtahid. Akhirnya mereka semua bersepakat dan terus berusaha ke arah yang terbaik dalam mencari keredhaan Allah SWT.

Para ulama mengkaji dengan lebih mendalam pada setiap sudut sumber perundangan Islam yang sangat luas dan seterusnya mereka berijtihad berdasarkan ilmu kerana berdirinya sesuatu ilmu itu terletak pada hujahnya. Mujtahid akan berijtihad bagi memahami nas-nas serta akan mengkaji dasar-dasar syariat yang bersesuaian dengan keadaan masa dan tempat. Penggunaan kaedah yang berbentuk umum bagi masalah khusus atau furu’ yang bersifat baru yang sentiasa wujud dalam masyarakat (Muhammad, 2018).

ii- Kepelbagaian Penafsiran Nas

Terbentuknya kaedah fiqhiyyah ialah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama dan fakta sejarah kerana terdapatnya di antara nas-nas yang ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran dan pemahaman yang berbeza. Kepelbagaian masalah yang kebiasaanya adalah berbentuk umum yang menyebabkan wujudnya pandangan yang berbeza-beza dan ada terdapat nas-nas yang mutlak menimbulkan banyak pendapat untuk diikatkan atau untuk memuqayyadkannya.

iii- Kewujudan Kaedah-kaedah Umum Berasaskan Adat

Kesan terdapatnya kaedah-kaedah umum yang lebih berasaskan kepada adat kebiasaan yang muncul dalam perkembangan hidup manusia dari satu generasi ke generasi bagi penyesuaian dengan permasalahan hukum furu’. Dari kerana itulah ianya memerlukan sumber-sumber akal fikiran dan amalan-amalan yang berterusan yang dijadikan sebagai adat atau uruf dalam pengeluaran hukum yang fleksibel disamping menangani persoalan semasa yang sentiasa wujud sehingga ke hari ini. Permaslahan adalah disebabkan fiqh dan furu’ yang terlalu banyak dan luas maka sangat perlu kepada satu cara penetapan kaedah-kaedah tertentu supaya ianya akan menjadi lebih mudah untuk mengembalikan semua permasalahan. Para ulama telah mengembalikan semua masalah furu’ tersebut kepada lima kaedah asas yang utama dan kesan dari itu juga telah terbentuknya pelbagai lagi kaedah seperti kaedah kuliyyah dan juz’iyyah.

Empat Kaedah Qawaid Fiqhiyyah Berkaitan Dengan Mengelakkan Kemudaratan Dalam Kehidupan Manusia

Islam terbina di atas kebaikan-kebaikan, dalam mencapainya dan menolak keburukan-keburukan. Maka. Islam menolak sebarang bentuk kemudaratan dunia dan akhirat. Di atas asas inilah, terbinanya maqasid syariah, iaitu tujuan syariah diturunkan kepada umat manusia, Setiap suatu yang diperintahkan Allah dan RasulNya, padanya ada maslahat dan kebaikan untuk umat manusia. Manakala yang dilarang, padanya ada kemudaratan sama ada di dunia dan akhirat. Asas berkaitan maslahat dan mudarat ini, kebiasaanya istilah yang biasa digunapakai para Fuqaha ialah kemudaratan mesti dihilangkan.

Walau bagaimanapun mengetahui hujah atau dalil setiap hukum tidak diwajibkan ke atas semua orang. Hal itu kerana, dibuka pintu bagi orang awam untuk merujuk dan meminta fatqa daripada ulama. Maka,ia membuktikan bahawa menguasai ilmu Kaedah Fiqh fardhu kifayah hukumnya.

Ekoran permasalahan Fiqh serta pecahannya terlalu banyak, sesetengah ulam mengembalikan semua masalah kepada lima kaedah asas. Kesinambungan itu, terbentuk pula beberapa Kaedah Pecahan atau Kaedah Terbitan.
Kaedah ini paling banyak melibatkan permasalahan dalam hukum fiqh. Kaedah asas ini telah membentuk enam kaedah pecahan seperti berikut:

i- Keadaan darurat mengharuskan yang dilarang

Darurat ialah sesuatu yang tidak memungkinkan tercapainya lima kepentingan yang asasi bagi seseorang Muslim. Manakala المحظورات ialah perkara-perkara yang wujud nas syarak melarang dan mengharamkannya.
Kaedah ini bermaksud bahawa sesuatu yang dilarang oleh syarak boleh bertukar menjadi harus jika dalam keadaan darurat. Dalam konteks ilmu usul fiqh, ia dinamakan rukhsah. Ruksah bermaksud diberi kemudahan dalam melakukan sesuatu ibadat jika ada sebab dan darurat, di samping kekal hukum asalnya apabila hilang sebab dan darurat.
Contoh: Harus melafazkan kalimah kufur jika dipaksa oleh musuh tetapi hati tetap beriman, kerana Allah SWT berfirman yang bermaksudnya:

Sesiapa yang kufur kepada Allah SWT sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah SWT) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman. (an-Nahl : 106)

ii- Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan

Kemudaratan boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih rendah, tetapi tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang sama dengannya atau yang lebih dahsyat kemudaratannya. Sekiranya boleh dihilangkan dengan mudarat juga maka tidak berfungsi kaedah الضرر يزال , Bahkan ia merupakan kemudaratan yang baru diwujudkan.
Contoh : Seseorang yang berhajat menolak kemudaratan dirinya daripada kelaparan tidak memperoleh sesuatu melainkan makanan orang lain yang sama berhajat sepertinya juga, maka ia tidak boleh mengambil makanan orang itu.

iii- Keperluan tertentu dikira darurat, sama ada untuk keperluan umum atau khusus

Hajat sekiranya tidak dipenuhi akan menimbulkan kesukaran dan kesulitan, sedangkan darurat kalau tidak dipenuhi boleh membawa kepada kebinasaan. Hajat yang bersifat umum diperlukan oleh semua orang dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan awam seperti pemerintahan, pertanian dan perindustrian. Sementara hajat yang khusus diperlukan oleh kelompok tertentu seperti penduduk satu-satu negeri, ahli profesional, individu tertentu atau beberapa individu tertentu sahaja.
Maksud kaedah ini ialah kemudahan-kemudahan syarak yang dikecualikan tidaklah terbatas dalam keadaan darurat yang amat mendesak sahaja bahkan hajat-hajat yang martabatnya kurang dari darurat pun membolehkan pengecualian juga.
Contoh : Harus diterjemahkan nas-nas al-Quran bahasa lain memandangkan perlunya manusia mengetahui hukum Islam dan risalahnya yang universal. Ini adalah kerana tidak kesemua orang dapat menguasai bahasa al-Quran dengan baik.

iv- Menolak kerosakan lebih utama daripada mengambil kebaikan

Maksud kaedah ini ialah apabila bertembung keburukan dengan kebaikan, maka pada kebiasaannya hendaklah didahulukan menolak mafsadah kerana penekanan syarak kepada perkara-perkara larangan melebihi perkara-perkara yang diperintah. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Apabila aku larang kamu daripada sesuatu perkara maka hendaklah kamu jauhi perkara itu, dan apabila aku perintah kamu lakukan sesuatu maka hendaklah kamu kerjakannya seberapa yang kamu mampu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru dimaafkan meninggalkan sebahagian yang wajib dengan adanya mashaqqah, sedangkan tidak dibenarkan sama sekali membuat perkara yang dilarang apatah lagi dosa-dosa besar.

Contoh : Harus berdusta (walaupun pada asalnya ia mafsadah yang diharamkan) apabila ia mendatangkan kebaikan (maslahah) yang lebih seperti berdusta kerana bertujuan mendamaikan dua orang yang bertikai dan berdusta dengan isteri bagi tujuan mendamaikannya.

Empat contoh hukum Islam semasa yang mengaplikasikan qawaid fiqhiyyah berkaitan menolak kemudaratan.

i- Contoh : seorang yang menyebarkan ajaran sesat, sudah tentu akan membawa mudarat yang besar kepada masyarakat disebabkan pemikiran songsang yang dibawanya.Tindakannya itu bukan hanya dapat memecahbelahkan masyarakat, malah lebih buruk lagi, ia boleh merosakkan masyarakat itu sendiri. Dalam kes ajaran sesat misalnya, mereka perlu menjatuhkan hukuman ke atas pembawa ajaran tersebut yang sesuai dengan kesalahannya,demi menjaga kemaslahatan masyarakat dan mengelakkan mereka dari terkena mudarat yanglebih besar sekiranya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang telah bertindakmenyebarkannya dalam masyarakat.

Oleh itu kita diperintahkan untuk mempertahankan akidah umat daripada terpesong, disyariatkan jihad di bawah arahan pemerintah yang sahih, demi menjaga agama yang menjadi asas keharmonian manusia di dunia dan akhirat. Oleh itu, menolak kemudaratan dengan ajaran sesat ini termasuk menjaga agama yang mesti diperangi agar tidak mereka dan membuka kemudaratan yang lebih besar, kerana ia termasuk dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara agama.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. (an-Nahl : 90)

ii- Doktor yang merawat atau membedah pesakit, kesan daripada pembedahan itu mungkin menyebabkan pesakit terkena kesan sampingan, ianya adalah suatu mudarat, tetapi memandangkan kemudaratan yang lebih besar seperti kematian akan menimpa sekiranya pembedahan tidak dilakukan, maka secara fitrahnya kita akan memilih untuk dibedah.
ما جاز لعذر بطل بزواله
Apa yang dibolehkan sebab keuzuran, ia menjadi batal dengan terhapusnya keuzuran tersebut. (al-Suyuti, 1998)

Ini menjelaskan bahawa, kemudaratan mengharuskan perkara yang dilarang. Kemudaratan hanya dibenarkan sekadar yang diperlukan, kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan dan lain-lain. Jika terdapat dua kemudaratan, maka mudarat yang lebih besar perlu diutamakan, keperluan tertentu dikira darurat walaupun berbentuk umum atau khusus dan menolak keburukan lebih baik daripada mengambil kebaikan.

iii- Seseorang itu diharuskan mengambil rumput milik orang lain untuk memberi makan ternakannya yang kelaparan. Namun dia tidak boleh mengambilnya untuk dijual kepada orang lain.
ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها
Apa yang dibolehkan kerana darurat diukur menurut kadar darurat itu.

iv- Penggunaan racun serangga, pembuangan sisa toksik dan penggunaan senjata kimia dalam peperangan perlu dihindari kerana apa sahaja yang boleh menyebabkan kecederaan, kematian, keracunan, kepupusan dan lain-lain hendaklah dihapuskan.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima)dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orangorang yang berbuat baik “( al-A’ raf: 56)

Kesimpulan

Kesimpulannya, Kaedah bahaya mesti dihapuskan, walaupun dilihat ringkas dan mudah, tetapi sebenarnya telah membawa kepada terhasilnya pelbagai jalan penyelesaian dalam keempat-empat dimensi fiqh (rubufiqhiyyah) iaitu merangkum rubu ibadat, munakahat, mua‟malat dan jinayat . Ini kerana semua taklif atau tanggungjawab syarak dibina di atas dasar untuk menegah serta menolak kemudaratan dan bahaya.

Oleh yang demkikian, Allah menjadikan fitrah di dalam diri manusia suka kepada kebaikan dan benci kepada kemudaratan dan keburukan. Dalam kehidupan seharian kita, kita akan cuba melakukan yang terbaik untuk urusan dunia kita, dan mengelak bencana dan keburukan daripada hidup. Apabila berlaku pertembungan antara dua kemudaratan, kita akan berusaha mengelak kemudarata yang paling teruk sekiranya tidak, mungkin mengelak daripada kedua-dua sekali. Apabila bertembung dua kebaikan, kita akan berusaha mendapat kebaikan yang paling menguntungkan sekiranya tidak mampu mendapat kedua-duanya sekali.

Walau bagaimanapun, Qawaid Fiqhiyyah merupakan prinsip-prinsip yang bersifat umum yang mempraktikkan masalah-masalah Fiqh terperincil atau pecahan menjadi beberapa kumpulan. Ia merupakan prinsip yang memudahkan dalam mengistinbatkan sesuatu masalah, iaitu dengan cara mengkelompokkan semua masalah yang sama di bawah satu kaedah.
Menyedari hakikat betapa pentingnya penyusunan kaedah tersebut, menjadi perhatian ulama fiqh dan kemudiannya beberapa orang ulama tampil dalam membahaskan Kaedah Fiqh melalui kitab karangan mereka. Justeru, mujtahid berusaha memahami nas-nas dan mengamalkan Kaedah Umum terhadap masalah furu` yang baru dan sentiasa muncul.
Oleh itu, syarak didatangkan untuk memandu fitrah manusia agar kebaikan dan maslahat dalam kehidupan mereka tidak diceroboh sewenang-wenangnya, serta dipraktikkan agar kebaikan yang diperolehi, bukan sekadar untuk kehidupan dan kesenangan duniawi, tetapi membawa kepada ukhrawi yang lebih utama. Sebagaimana manusia inginkan kebaikan dalam kehidupan duniannya, demikian juga dia sebenarnya menginginkan kebaikan untuk kehidupan akhiratnya.

Rujukan

`Ali Ahmad, a.-N. (1998). al-Qawa`id al-Fiqhiyyah. Damsyik: Dar al-Qalam.

Ab. Latif Muda, &. R. (2000). Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

Ahmad Sabiq, A. R. (2017). Asas-Asas Fiqah Untuk Orang Awam. Selangor: Kemilau Publika Sdn Bhd.

al-Suyuti, a.-I. J.-D.-R. (1998). al-Asybah wa al-Naza`ir,. Beirut: al-Kutub al-`Ilmiyyah.

Azman, A. R. (2013). Qawaid FIqhiyah. Selangor: Open University Malaysia.

Ibn Rajab. (2013, Disember 10). Kaedah Fiqhiyyah Al-adatu Muhakkamah Dalam Muamalat Islam. Didapatkan dari https://ibnrajab.wordpress.com/2013/12/10/kaedah-fiqhiyyah-al-adatu-muhakkamah-dalam-muamalat-islam/

Jalil, A. (2011). Al-Qawa`id Al-Fiqhiyyah,hlm.5. Universiti Sains Islam Malaysia.

Norfaizah, R. &. (2014). Maksim Perundungan dan Qawa`id Fiqhiyyah Yang Relevan Dengan Keterangan dan Pemakaian di Mahkamah Syariah. pp. 4-5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.