Pemilikan Harta Dalam Islam

Harta sememangnya menjadi idaman semua manusia kerana akan memudahkan mereka hidup dengan selesa di dunia. Ramai yang berusaha mencari sebanyak harta yang boleh dalam kehidupan. Manusia boleh senang dengan harta. Manusia juga boleh susah dengan penyalahgunaan harta. Disebabkan kepentingan harta terhadap manusia sama ada di dunia atau di akhirat, Allah SWT telah menyebut dengan begitu banyak sekali dalam al-Quran (Muhammad Fuad Abdul Baq (Baqi, 1994)i, 1994).

Islam menerusi hukum syariahnya sentiasa menggalakkan semua umatnya mencari harta sebanyak mungkin, asalkan dengan cara yang diharuskan seperti menjalankan perniagaan atau mengusahakan tanaman. Tuntutan tersebut selaras dengan kewajipan setiap mukalaf supaya mencari rezeki yang halal dan baik sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah (Surah al-Baqarah 2:172)

Walau bagaimanapun, Islam mengambil sikap yang jelas dan terbuka dalam soal pengurusan harta dengan berdasarkan nilai dan objektif untuk kebaikan dunia dan akhirat sekali gus menghindari segala keburukan dan kemudaratan. Oleh kerana, harta merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Allah SWT menyediakan harta khusus untuk menjamin kepentingan manusia supaya boleh hidup dengan baik dan sempurna. Harta yang diciptakan sebagai alat untuk kehidupan tidak seharusnya diselewengkan oleh pemiliknya atau sesiapa sahaja. Justeru, al-Quran mencela sifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, memiliki mahupun membelanjakan harta dengan cara yang haram.

Oleh itu, harta adalah sesuatu yang terpenting dalam perbincangan mengenai teori pemilikan. Hal-hal yang akan dibincangkan dalam harta ini ialah pengertian harta, konsep pemilikan harta dan permasalahan harta pusaka yang tidak dituntut khususnya dalam kalangan masyarakat Islam serta kesan keburukan daripada permasalahan tersebut. Di samping penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi permasalahan harta pusaka yang tidak dituntut menjadi tanggungjawab pewaris menguruskan harta pusaka.

 

PENGERTIAN HARTA DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Harta atau dalam bahasa Arabnya disebut al-mal atau al-amwal.

Sebagaimana yang telah dinyatakan, ia telah disebut banyak kali dalam al-Quran dan al-Hadis. Antaranya firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

  1. “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah paliala yang besar”.(Surah al-Anfal 8: 28)
  2. “Sesunggguhnya harta-benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar” (Surah al-Taghabun 64: 15)
  3. ‘‘Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleli harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.”

Terdapat banyak definisi tentang harta antaranya ialah:

  1. Menurut Wahbah al-Zuhayli (1999), harta ialah segala apa yang dimiliki, sama ada barang itu fizikal ataupun manfaat seperti emas, perak, binatang temak atau tumbuhan dan hasil pertanian.
  2. Menurut Ibn al-Athir pula harta asalnya dikhususkan terhadap apa yang dimiliki oleh manusia daripada emas dan perak.

Namun, selepas itu ia merangkumi apa sahaja yang dimiliki daripada barangan atau benda-benda (Mahmud Bilal Mahran,1983).

  1. Imam Syafie mendefiniskan mal (harta) sebagai sesuatu yang diingini oleh manusia dan ia boleh disimpan untuk digunakan apabila perlu. Ia sebagai barang atau manfaat yang berharga dan boleh dikenakan ganti rugi jika diceroboh (al-Sayuti, 1959).

Bagaimanapun, pengertian harta menurut istilah serta penjelasan fuqaha dapat dibahagikan kepada dua pandangan yang utama iaitu (al-Zuhayli, 1999):

-Menurut fuqaha mazhab Hanafi ialah apa yang disukai dandiingini oleh manusia serta mampu disimpan, diuruskan dan dibelanjakan pada bila-bila waktu yang diperlukan seperti emas, mata wang, rumah, tanaman dan sebagainya. Sebaliknya, segala benda yang tidak mampu dikuasai, diselenggara dan disimpan, walaupun berfaedah, tidak dianggap sebagai harta seperti cahaya matahari atau udara.

-Menurut pendapat jumhur ulama, mereka memberi pengertian yang lebih luas iaitu segala apa sahaja yang mungkin dan dapat diambil faedah dari sudut adat kebiasaan. Hal ini merangkumi sesuatu yang berbentuk benda dan barangan yang dapat dilihat seperti yang telah dikatakan oleh fuqaha mazhab Hanafi di atas.

Di samping itu, harta juga meliputi segala faedah atau manfaat yang diambil daripada benda dan barangan seperti manfaat yang dapat diperoleh daripada rumah dan kenderaan. Hal itu kerana faedahnya dapat ditukar ganti melalui rumah sewa oleh penyewa yang dapat ditukar dengan wang atau bayaran kepada pemilik rumah. Ringkasnya, pengertian harta sebagaimana yang dikemukakan oleh jumhur merangkumi harta benda yang dapat dimiliki, dikumpulkan, diselenggarakan, disimpan dan yang tidak dapat disimpan, tetapi berbentuk faedah berdasarkan adat serta selaras dengan muamalah seperti sewa menyewa dan upah mengupah. Selanjutnya, menurut jumhur lagi, harta juga merangkumi benda-benda harus serta berkemungkinan diperoleh dan dimiliki walau dengan apa jua cara seperti haiwan buruan di hutan, burung di udara, tanah yang diterokai dan sebagainya.

Berpandukan pengertian yang diberikan oleh fuqaha tersebut, bolehlah disimpulkan di sini bahawa sesuatu harta itu dinamakan harta apabila ia menepati dua ciri utama iaitu:

  1. Sesuatu yang dapat dimiliki, dikuasai atau dimanfaati oleh seseorang.
  2. Sesuatu yang berguna kepada seseorang atau yang boleh diambil manfaat daripadanya.

Pandangan jumhur ulama adalah lebih realistik kerana ia menepati kehendak semasa pada masa kini. Secara logiknya, hal ini dapat dilihat dari sudut manusia yang berusaha mencari harta kekayaan di dunia ini. Tujuan pencarian ini adalah semata-mata untuk mencari manfaat daripadanya. Mereka tidak akan berlumba-lumba untuk mencari sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan. Pakar-pakar konvensional juga memandang manfaat sebagai harta seperti hak-hak pengarang. hak-hak penemuan baru, hak cipta dan sebagainya. Dengan demikian, secara tidak langsung pandangan pakar-pakar tersebut adalah selari dengan pandangan jumhur ulama mengenai pengertian harta ini.

Dalam al-Quran, Allah SWT menggambarkan bahawa manusia mencintai harta kekayaan melebihi kecintaan kepada anak-anak dan keluarga dengan firman-Nya:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi, amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan (Surah al-Kahfi 18: 46)

Ayat ini mendahulukan perkataan harta daripada perkataan anak-anak yang menunjukkan manusia amat mencintai harta kekayaan. Malahan manusia sanggup bergaduh dan berperang demi untuk mendapatkan harta. (Muhammad, Nasri & Sollehuddin, 2013)

» Read more