Jual beli Sarf Pada Pandangan Ulama Silam dan Semasa

Kedudukan jual beli Sarf menurut pandangan ulama silam dan semasa

Definisi akad sarf

Sarf adalah satu akad jual beli yang melibatkan pertukaran matawang antara pihak yang berakad (al-Khin et al., 2004). Sebagai contoh pertukaran RM dengan USD.

 Sepertimana kita ketahui, matawang adalah antara barangan ribawi. Oleh itu, transaksi pertukaran matawang mempunyai syarat-syarat tertentu supaya transaksi berkenaan terselamat daripada riba. Ini bermakna, jika syarat-syarat akad sarf tidak dipatuhi, akan berlakulah riba yang diharamkan dalam Islam. 

Syarat-syarat sarf

Syarat-syarat sarf adalah seperti berikut (Abdul Halim, 2001, al-Khin, et al., 2004) :

            (i) Wujud persamaan kadar bagi dua matawang yang sama jenis

Dalam memberi penjelasan tentang syarat ini, contohnya, wang emas iaitu dinar yang digunakan suatu masa dahulu. Sekiranya dinar ditukar dengan dinar yang lain, maka kedua-dua dinar berkenaan mestilah sama dari segi berat, sama ada kedua-duanya telah dibentuk atau salah satu sahaja yang dibentuk. Di samping itu, pertukaran boleh dibuat walaupun salah satu daripadanya bermutu tinggi dan yang lain bermutu rendah.

Jika pertukaran itu melibatkan dua matawang yang berbeza seperti dinar dengan dirham, RM dengan USD dan sebagainya, maka kedua-duanya tidak perlu sama dari segi timbangan atau kadar. Oleh itu, RM330 boleh ditukar dengan USD100 misalnya. 

            (ii) Penyerahan serta merta

Penyerahan kedua-dua matawang hendaklah dibuat segera. Salah satu pihak atau kedua-dua pihak yang berakad tidak boleh menangguhkan penyerahan matawang yang dijadikan subjek akad.

            (iii) Penyerahan dilakukan dalam majlis akad

Kedua-dua pihak yang berakad mesti menyerahkan matawang masing-masing dalam majlis akad sebelum mereka berpisah. Syarat  ini mesti dipenuhi, tidak kira sama ada ia melibatkan dua matawang yang sama jenis atau berlainan jenis.

            (iv) Tidak diletakkan khiyar syarat

Maksudnya, tidak dimasukkan khiyar syarat dalam akad berkenaan. Ini kerana jika ada khiyar syarat, ini bermakna pemilik hak khiyar boleh membatalkan akad dalam tempoh yang ditetapkan jika dia memutuskan begitu. Ini bermakna khiyar syarat ini akan menghalang pemilikan penuh ke atas matawang kedua-dua belah pihak yang berakad sedangkan syarat sah akad sarf ialah tukar menukar matawang.

Hukum wang kertas

Menurut Azizi Che Seman & Mohd Nazri Chik (2013) secara umumnya, terdapat dua pendapat utama para fuqaha’ tentang hukum wang iaitu:

  1. Pendapat yang mengkhususkan wang hanya kepada wang komoditi terutamanya emas dan perak.
  2. Pendapat yang tidak mengkhususkan wang hanya kepada wang terutamanya emas dan perak. Ini termasuklah wang kertas.

Pendapat fuqaha’ salaf tentang perkara ini adalah dilatarkan kepada sistem monetari pada zaman mereka iaitu wang yang teredar dalam pasaran adalah berasaskan emas (dinar) dan perak (dirham) serta fulus yang berasaskan tembaga. Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah (m. 728H) dan muridnya Ibnu al-Qayyim (m. 751H) mengiktiraf fulus sebagai wang sampingan untuk membantu transaksi yang bersifat kecil-kecilan khususnya.

Walau bagaimanapun, perkembangan kegiatan ekonomi dan peredaran dan penggunaan fulus tembaga yang meluas dalam pasaran telah menyebabkan masalah krisis ekonomi di Mesir pada akhir zaman kerajaan Mamluk. Kesan negatif ini  menyebabkan ahli sosiologi Islam, Ibnu Khaldun (m. 808H), yang hidup pada zaman ini memberi pendapat bertentangan dengan Ibnu Taymiyyah dengan merumuskan bahawa wang sepatutnya ialah emas dan perak sahaja.

Dalam hal tersebut, terdapat dua pandangan dalam pengkhususan wang hanya kepada emas dan perak dan selainnya termasuk wang kertas seperti berikut :

Pendapat Yang Mengkhususkan Wang Hanya Kepada Emas dan Perak

Kumpulan fuqaha’ salaf dalam pendapat ini adalah Abu Hanifah dan muridnya Abu Yusuf, Ibnu Nafi’ dari mazhab Maliki, Imam al-Ghazzali, al-Nawawi dan al-Suyuti dari mazhab Syafie. Pendapat ini juga disokong oleh fuqaha’ kontemporari seperti Taqiyuddin al-Nabhani, Muhammad Baqir al-Sadr, Hassan Ayyub dan lain-lain. Oleh itu pada mereka, hukum riba seperti disebut dalam hadith Ubadah bin al-Samit itu hanya terpakai kepada emas dan perak sahaja.

Hujah-hujah yang menyokong pendapat ini boleh dirumuskan seperti berikut:

i-         Fakta bahawa Rasululah SAW menggunakan emas dan perak sebagai wang di Makkah dan Madinah (sunnah  taqririyyah). Ini pada pendapat mereka menjadikan penggunaan emas dan perak sebagai wang sebagai satu hukum syarak. Ini disokong pula oleh ijma’ sahabah khususnya khulafa’ al-rasyidun dengan terus melaksanakan wang emas dan perak.

ii-        Banyak hukum ibadah dan muamalah disandarkan kepada emas dan perak seperti pengiraan zakat kepada wang,  pengenaan diyat dan hukuman had jenayah mencuri.

iii-       Banyak ayat al-Quran yang menggambarkan bahawa emas atau perak menjalankan fungsi-fungsi wang seperti berikut:

Firman Allah :

فَٱبۡعَثُوٓاْ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمۡ هَٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلۡمَدِينَةِ فَلۡيَنظُرۡ أَيُّهَآ أَزۡكَىٰ طَعَامٗا فَلۡيَأۡتِكُم بِرِزۡقٖ مِّنۡهُ وَلۡيَتَلَطَّفۡ وَلَا يُشۡعِرَنَّ بِكُمۡ أَحَدًا

sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. (Q.S al-Kahfi :19)

  1. Rafiq al-Masri menghujahkan larangan Syariah kepada orang lelaki memakai emas sebagai perhiasan menunjukkan fungsi asasnya sebagai wang.
  2. Walaupun fulus digunakan pada zaman Rasulullah SAW dalam jumlah yang terhad, tetapi hadith larangan riba yang diaplikasikan kepada fulus.
  • Pendapat Yang Mengkhususkan Wang Selain Daripada Emas dan Perak Termasuk Wang Kertas

Kumpulan fuqaha’ salaf dalam pendapat ini adalah Muhammad bin Hassan al-Shaibani al-Hanafi, beberapa fuqaha’ Syafi’iyyah, Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Qayyim dari mazhab Hanbali dan lain-lain.

Pendapat ini juga dipilih oleh kedua-dua Majma’ Fiqh al-Islami al-Duwali (OIC) dan Majma’ Fiqh al-Islami (Rabithah Alam Islami) serta fuqaha’ kontemporari termasuklah Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mufti Muhammad Taqi Usmani, Sheikh Abdullah Sulaiman al-Mane’ dan lain-lain. Oleh itu pada mereka, hukum riba seperti disebut dalam hadith Ubadah bin al-Samit itu juga terpakai kepada apa sahaja yang diterima sebagai wang termasuk wang kertas (wang fiat).

Hujah-hujah yang menyokong pendapat ini boleh dirumuskan seperti berikut:

i-         Hujah sunnah taqririyyah di atas ditolak oleh fuqaha’ yang menerima wang selain emas dan perak bahawa hujah tersebuttidak sama sekali membataskan wang kepada emas dan perak sahaja.

ii-        Begitu juga dengan hujah ijma’ sahabah kerana Khalifah Umar al-Khattab RA pemah ingin menggunakan kulit unta sebagai wang dan ia tidak dibangkang oleh para sahabat; walau bagaimanapun idea ini tidak dilaksanakan kerana nasihat para sahabat yang bimbangkan jumlah unta akan berkurangan. Ini menunjukkan bahawa wang tidak semestinya emas dan perak.

iii-       Soal wang adalah termasuk dalam polisi pemerintahan berasaskan kepada al-masalih al-mursalah.

iv-       Penerimaan kepada wang kertas seperti yang sedang dilaksanakan sekarang akan membantu perlaksanaan tuntutan agama yang lain seperti pembayaran zakat, mengelakkan riba

dan lain-lain.

Berasaskan kepada kenyataan tersebut, Majma’ Fiqh al-Islami al-Dauli di Amman Jordan pada 11-16 Oktober 1986 membentangkan resolusi bagi membenarkan penggunaan wang kertas.

Oleh itu, (Azizi Che Seman & Mohd Nazri Chik, 2013) ulama kontemporati menyandarkan kepada beberapa hadis Nabi SAW sebagai hujah dalam menentukan syarat-syarat sah sesuatu urusniaga matawang. Antara hadis tersebut ialah :

Dari Abu Sa`id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali jumlah (timbangan) yang serupa (dijual) dengan jumlah yang serupa, dan jangan kamu lebihkan salah satu daripadanya berbanding yang satu lagi, dan jangan kamu menjual perak dengan perak kecuali jumlah (timbangan) yang serupa dengan jumlah yang serupa dan jangan kamu lebihkan salah satu darinya berbanding yang satu lagi, dan jangan kamu menjualnya dalam keadaan salah satu (barangan tukaran itu) tiada (pula majlis aqad) dan salah satu lagi diserahkan segera.

Walaupun ulama kontemporari berbeza pandangan dalam menentukan hukum berniaga matawang. Secara umumnya mereka mengharuskan urusniaga ini dengan syarat-syarat berikut :

i-Sempurna serahan (Qabd) dalam majlis aqad sama ada secara hakiki atau hukmi.

ii-Hendaklah sama nilai ke atas kedua-dua tukaran sekiranya dari matawang yang sama

iii-Tidak dibenarkan khiyar syarat

iv-Tidak bertujuan untuk ikhtikar atau menyebabkan kemudharatan kepada individu atau masyarakat.

Kesimpulan

Tuntasnya, teori akad dalam fiqh muamalat merupakan teori yang terpenting dibincangkan, memandangkan manusia amat memerlukan kepada perhubungan sesame mereka dalam mengadakan perjanjian kontrak atau akad demi kemajuan masyarakatnya. Manusia telah mengamalkan teori akad sejak zaman sebelum Islam lagi, khasnya menerusi ajaran Samawi. Misalnya, perundangan Romawi Klasi telah mengamalkan akad dalam jual beli dan perkahwinan.

Sekali lagi dijelaskan, tasarruf itu lebih umum daripada akad dan iltizam. Akad dengan makna yang umum adalah sama dengan iltizam. Akad pada makna yang khas merupakan sebahagian daripada iltizam dan lebih khusus daripada tasarruf.  Oleh itu. setiap akad adalah iltizam tetapi tidak semua iltizam itu semestinya akad. Manakala setiap iltizam itu adalah sebahagian daripada tasarruf tetapi tidak semua tasarruf itu semestinya iltizam lebih-lebih lagi yang melibatkan perbuatan.

Justeru, Akad al-sarf hanya sah jika memenuhi empat syarat iaitu serahan segera, dibuat dalam majlis akad, sama kadar jika sama jenis matawang dan tiada khiyar syarat. Penentuan hukum wang kertas tidak boleh dipisahkan daripada hakikat sistem monetari semasa, sepertimana para fuqaha’ terdahulu juga menjelaskan hukum wang dengan mengambil kira sistem monetari pada zaman mereka. Walau bagaimanapun, ini tidak menafikan usaha untuk memperkukuhkan matawang komoditi khususnya emas dan perak. Penghasilan wang komoditi pada skala kecil hanya memberi manfaat pada skala individu untuk menyimpan nilai wangnya dan di peringkat antarabangsa, ia memerlukan kemahuan politik untuk merubah artiketur kewangan antarabangsa.

Rujukan :

Azizi Che Seman, & Mohd Nazri Chik. (2013). Kewangan Perbankan: Isu-Isu dan Cabaran. Persatuan Ulama’ Malaysia.
ʻAla al-Dīn Kharufah. (2008). Aqad hutang piutang: menurut syariat Islam dan undang-undang sivil. Crescent News.
Muhammad Nasri Md. Hussain, Nasri Naiimi, & Mohd Sollehudin Shuib. (2013). Mengurus Harta Menurut Fiqh Muamalat (Cetakan pertama). Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Shamsiah Mohamad. (2010). Fiqh Mu`amalat. Open University Malaysia.

Definisi Akad Dalam Istilah Syarak

Perbincangan sebelum ini di http://zeckry.net/2020/10/01/konsep-akad-dalam-islam/

Menurut istilah syarak, akad bergantung kepada ucapan salah seoarang yang berakad kepada yang lainnya secara syarak dalam bentuk yang nyata kesannya di tempatnya.

Muhammad Qadri menjelaskan dalam kitabnya Mursyid al-Hairan mendefinisikan akad sebagai ungkapan dari hubungan ijab yang keluar dari seseorang yang berakad dengan qabul dari seorang yang lainnya yang kesannya tetap pada yang diakadkan atasnya.

Menurut al-Zuhayli (1999)  pendapat  ulama Syafie, Maliki dan Hambali, akad ialah segala sesuatu yang dikerjakan seseorang berdasarkan keinginan sendiri seperti wakaf, talak, pembebasan dan juga sesuatu yang pembentukannya memerlukan keinginan dua orang seperti jual beli, sewa menyewa, perwakilan dan gadaian(Muhammad Nasri Md. Hussain et al., 2013).

Oleh itu, konsep akad dalam fiqh Islam yang tidak hanya melihat kepada kesepakatan dua belah pihak, tetapi ia memperhatikan kepada apa yang nyata daripada kesan kesepakatan dua pihak (ijab dan qabul) terhadap apa yang diakadkan itu serta implikasinya. Maka fiqh Islam merujuk kepada kehendak zahir dan tidak mengambil kehendak batin. Selain itu, jika kedua-dua kehendak itu bersesuaian, maka kedua-duanya bolehlah mengungkapkan akad, selepas selesai semua perkara yang lain dan akad itu tidak dikira jika ia hanya dilakukan oleh seorang sahaja.

Oleh yang demikian, apabila kita membincangkan teori akad  dalam fiqh muamalat tidak terlepas membincangkan pertalian antara akad, tasarruf dan iltizam. Secara mudah difahami bahawa, tasarruf ini lebih umum daripada iltizam dan akad sebab tasarruf meliputi perkataan dan perbuatan. Iltizam adalah perkara yang hanya dikaitkan dengan perkataan sahaja bukannya perbuatan. Akad pula adalah sebahagian daripada tasarruf perkataan yang khusus iaitu yang melibatkan dua pihak, tetapi tidak semua tasarruf perkataan itu adalah akad. Ini kerana sebahagian daripada tasarruf perkataan adalah sesuatu yang bukannya berbentuk akad seperti mendakwa atau membuat pengakuan.

Ikuti perbincangan selanjutnya perbezaan rukun akad di sisi Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali di pautan ini : http://zeckry.net/2020/10/03/perbezaan-rukun-akad-menurut-mazhab-shafie-dan-hanafi/