Terjemahan Dalam Bidang Hadis

Menurut, Hasan Basri (2020) dalam menterjemahkan hadis, ketelitian dan tanggungjawab serta amanah dipamerkan wajar diimplementasikan dalam kehidupan.

Penguasaan bahasa semata-mata tidak mencukupi untuk menterjemah hadis. Pelbagai syarah hadis perlu dirujuk untuk mencari ketepatan maksud kalam Rasulallah.

Selain itu, penterjemah perlu tahu dan mengenal kod-kod penulisan sesuatu kitab hadis yang menjadi metod penyampaian tersendiri setiap pengarang kitab.

Imam Bukhari ada kod dan metod tersendiri. Imam Muslim, Imam Turmizi dan pengarang kitab-kitab hadis yang lain masing-masing membawa kaedah pengumpulan, penulisan dan persembahan berbeza.

Tanpa kefahaman kod dan metodologi pengarang asal kitab, terjemahan bakal tiada makna. Bahkan terjemahan sedemikian boleh menghilangkan hikmah dan memadamkan ‘isyarat’ pengarang kepada mereka yang ingin mewarisi pusaka hadis Rasulallah.

Kita ketepikan dulu soal ‘modal taruhan besar’ yang perlu dan jarang ada bagi setiap mereka yang mempersediakan kesanggupan menterjemah hadis. Jika disenaraikan, pasti ruang ini bukan tempat yang bersesuaian dan mampu diperlengkap mencakupi segala syarat.

Cuma dikesempatan ini, penulis hanya menimbulkan soal penggunaan bahasa Melayu di dalam terjemahan hadis.

Sepanjang memberikan terjemahan kepada hadis yang diperdengarkan di dalam majlis pengajian, guru kami sering menterjemahkan kalimah ‘fadhilat’ dengan makna ‘keutamaan’.

Terjemahan sebegini dimaklumi berleluasa digunakan dalam kalangan kita, termasuk ramai ulama`.

Berdasarkan kefahaman penulis terhadap bahasa, terjemahan ini tidak begitu tepat meski pun sesetengah golongan boleh menerima maksud dikehendaki. Apatah lagi, ulama` kita terdahulu menterjemahkan kalimah ‘fadhilat’ sebagai ‘kelebihan’.

Fadhilat memberi erti janjian pahala tersedia untuk sesuatu amal yang dikerjakan seseorang hamba Allah.

Sementara lafaz ‘keutamaan’ diungkapkan kepada sesuatu yang perlu atau menjadi prioriti.

Tatkala kalimah ‘fadhilat’ diterjemah dengan makna ‘keutamaan’, maksud kepada terjemahan boleh berpaling menjadikan sesuatu perkara yang asal sunat dikerjakan, menjadi amalan yang perlu didahulukan dan diutamakan.

Dengan satu contoh ini cukup bagi kita untuk tahu dan sedar tentang kepentingan tenaga dan fikiran manusia yang ramai dalam usaha kita menterjemah kitab-kitab hadis untuk bacaan ramai. Dalam kesuntukan waktu dan komitmen kehidupan hari ini, sukar bagi kita menjayakan usaha penkhazanahan ilmu yang bukan calang-calang ini dengan hanya mengharapkan kudrat beberapa individu.

Kita bukan sekadar memerlukan ulama` yang benar-benar ahli di dalam ilmu hadis, tetapi sumbangan dan penelitian pakar bahasa cukup penting demi memastikan hasil kerja berkualiti serta berguna.

Dalam kewujudan gandingan golongan berkeahlian sebegitu sekali pun, ketepatan terjemahan hadis-hadis Rasulallah belum pasti mampu dijanjikan.

Justeru kalam hadis tidak sebagaimana bahasa al-Quran atau kitab karangan ulama`.

Hadis lebih merupakan riwayat kalam manusia yang adakala tergantung memerlukan penjelasan, adakala mengisyaratkan makna pelbagai dan tidak jarang juga berlaku keterbalikan maksud daripada lafaz dinyatakan.

Sifat dan susunan kalam di dalam sesebuah hadis hanya mampu dikuasai pendamping guru hadis yang mempunyai disiplin pengajian hadis bersanad, lengkap mewarisi penguasaan hadis secara riwayat dan dirayah.

Begitu juga, sesebuah hadis adakala memerlukan rujukan kepada beberapa riwayat untuk mengetahui maksud kalam dinyatakan.

Peristiwa berkaitan kalam, bagaimana terungkap dan siapa serta mengapa. Adalah menjadi elemen penting dikuasai demi mencari ketepatan terjemahan.

Oleh yang demikian, masa yang diperlukan untuk menterjemah karya agung seperti Ensklopedia Hadis Kutub/Sunan Sittah bukan enam bulan, bahkan tempoh enam tahun masih merupakan ruang waktu yang sempit demi mencapai objektif penyempurnaan kerja.

Justeru, penterjemah, bukan sekadar baca dan meletak makna. Tambahan pula bukan dengan copy dan paste terjemahan Indonesia menjadi karya kita. Hasil terjemahan yang baik hanya bakal berjaya dihasilkan oleh penterjemah yang sanggup menekuni, mengaji, memahami dan menguasai sesebuah kitab yang ingin diterjemahkan.

Rujukan :

Hasan Basri Omar. (2020, April 20). Penggunaan Bahasa Fadhilat : Keutamaan atau Kelebihan. Retrieved from https://www.facebook.com/palikat.duapuluh/posts/858687617875571

Cara Menangani Kepercayaan Dan Pengamalan Terhadap Hadis Palsu

Hadis Mawdu` atau hadis palsu dari segi bahasa berasal dari perkataan Wadha`, bererti meletak dan maksud pada istilah, hadis dicipta dengan disandarkannya kepada Nabi SAW atau sahabat atau Tabi`in secara dusta, ekoran ada agenda tertentu, samada pendustaan itu dilakukan secara sengaja dan sebaliknya atau hadis yang diriwayatkan oleh perawi dusta. Oleh itu, konsepnya adalah hadis rekaan dan ditokok tambah yang diriwayatkan oleh pendusta dengan menyandarkan dari Rasulullah SAW (Dr Fauzi Deraman, 2009).

 

Sebagaimana kita maklum, bahawa kedudukan hadis merupakan sumber rujukan utama agama Islam selain al-Quran selepas kewafatan SAW yang membabitkan pengamalan dan kepercayaan seseorang umat Islam. Penyebaran hadis palsu bukan sahaja boleh memberi kesan buruk terhadap agama dan umat Islam, yang lebih parah adalah menggugat aqidah seseorang Muslim secara tidak sedar daripada amalan dari hadis palsu adalah sia-sia, kerana hadis palsu bukanlah asas sebenar ajaran Islam.

 

Namun, sekiranya percanggahan antara hadis palsu dengan hadis sahih dan nas al-Quran tanpa dibendung pasitinya memberi peluang kepada musuh yang sentiasa memerhatikan Islam untuk memburuk-buruk serta mencari kelemahan agama Islam. Oleh kerana bukan daripada sumber yang sama sebagaimana Rasulullah SAW menerima hadis dan ayat-ayat al-Quran, maka seringkali hadis palsu ini bercanggah dengan kedua-dua sumber asal ini. Kesannya mengakibatkan kekeliruan dan umat Islam akan berlaku perpecahan sesama sendiri. (Zulhilmi Mohamed Nor, 2016)

 

Maka, catatan ini bertujuan mengenal pasti hadis-hadis palsu popular dalam perkara ibadat yang diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat. Melaporkan hasil dari temu bual dalam membincangkan tahap pengetahuan dan penerimaan ahli jemaah masjid kariah. Kemudian penulis  akan menjelaskan hukum beramal dengan hadis palsu dan kesannya dalam masyarakat. Disamping itu, penulis akan mengemukakan cadangan langkah menangani kepercayaan dan pengamalan terhadap hadis-hadis palsu yang tesebar dalam masyarakat Islam hari ini.

» Read more