Jenis kesusasteraan Melayu-Islam

Kedatangan Islam telah memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Melayu. Syed
Muhammad Naquib al-Attas (1972) menjelaskan bahawa kedatangan Islam ke alam Melayu
telah mencetuskan suatu zaman baharu. Dalam bidang kesusasteraan, wujud suatu fenomena
yang begitu ketara terhadap bentuk, corak, gaya bahasa, tema dan persoalan khususnya dalam
aspek pemikiran dan nilai Islam. Dalam bahagian ini, kesusasteraan Melayu-Islam
dibincangkan mengikut jenis iaitu sastera kitab, sastera undang-undang, sastera
ketatanegaraan, dan sastera kreatif prosa dan puisi.

Sastera Kitab


Menurut Othman (2015) kesusasteraan kitab merujuk kepada karya yang ditulis tentang hal
yang berkaitan dengan persoalan agama Islam. Karya ini ditulis oleh para ulama Nusantara
dalam bahasa Melayu dan dijadikan rujukan dan panduan oleh masyarakat Melayu.
Kemunculan kerajaan Melayu-Islam yang silih berganti sejak Kerajaan Islam Pasai,
Kesultanan Melayu Melaka, Kerajaan Aceh, Kerajaan Johor-Riau-Lingga, Kerajaan
Pelembang dan Kerajaan Banjarmasin membolehkan kesusasteraan kitab ini dapat
berkembang dengan pesat.


Kewujudan pusat pengajian Islam, khususnya di masjid, istana dan pondok pengajian Islam
menyebabkan penulisan kitab semakin rancak. Kitab ini dijadikan buku teks untuk kegunaan
pelajar di pusat pengajian berkenaan. Situasi ini menyebabkan ulama Melayu mula giat
menulis dan menterjemah kitab Arab ke dalam bahasa Melayu. Oleh yang demikian, lahirlah
pelbagai bentuk penulisan yang membincangkan persoalan agama Islam seperti ilmu fiqh,
tasawuf dan ilmu tauhid. Ilmu fiqh ialah ilmu yang membincangkan hukum- hakam dalam
kehidupan beribadat masyarakat Islam, manakala ilmu tauhid pula ialah ilmu yang
membicarakan kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan. Kitab tasawuf pula membicarakan
kesucian hati dalam beribadat kepada Tuhan. » Read more