Kerukunan Masyarakat Melayu Kini Kian Terhakis ?

Sebelum ini saya cuba nak bincangkan mengenai kerukunan hidup orang melayu dulu dan kini..

Kehidupan yang berakhlak dan bermoral tinggi merupakan perkara yang dititikberatkan dalam kehidupan bertamadun. Menurut Bellwood (1997) Melayu merupakan satu masyarakat peribumi atau masyarakat asal rantau ini, rantau atau wilayah kebudayaan yang disebut sebagai Malay Archipelago, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu, Kesatuan Melayu ini hidup aman, damai dan rukun lantaran sifat adaptif, akmodatif dan assimilatif. Kesatuan Melayu begitu mantap dalam kalangan masyarakat Melayu kerana nilai kemelayuan yang dimilik. Nilai kemelayauan inilah yang memberi pengertian kehidupan bangsa Melayu dalam membina jati diri bangsa.

Biarpun Islam telah mengubah kepercayaan dan fahaman keagamaan kepada orang Melayu, namun masyarakat Melayu masih tekal dengan identiti dan entiti kemelayuan dengan mengekalkan nilai dan struktur yang tidak berlawanan seperti lemah lembut, sopan santun, dan sebagainya. Didikan ibu bapa atau keluarga sangat dalam sehingga nilai kemelayuan tidak terhapus dengan kedatangan Islam. Secara kebetulan pula nilai murni orang Melayu selari dengan Nilai Islam. Ini menyebabkan orang Melayu mudah menerima Islam dan pada masa yang sama masih mengekalkan indentiti kemelayuan. (Darusalam, 2014)

Menurut sejarah, kedatangan Islam di alam Melayu bukan sahaja mengubah landskap kepercayaan agama bahkan juga membina tamadun Melayu yang baru. Umat Melayu Berjaya membina kecemerlangan dan kegemilangan tamadunnya dalam pelbagai bidang yang dimulai dengan keagungan pemerintahan, pelaksanaan undang-undang, amalan Pendidikan, kerancakan ekonomi, keindahan seni estetika, kemurniaan budaya serta kesepaduan sosialnya.

Walau bagaimanapun, budaya, peradaban dan tamadun orang Melayu akan berubah atau terkesan mengikut peredaran masa pada setiap kali datangnya pengaruh peradaban luar terutamanya daripada pengaruh tamadun dan peradaban Barat moden. Kita dapat lihat perubahan dari segi ideologi, hiburan, intelektual, makanan, fesyen, kebudayaan, bahasa dan komunikasi, sosial dan sebagainya. (Darusalam, 2014).

Persoalannya, bagaimana untuk menangkis pengaruh yang negatif apabila nilai dan akhlak telah menyimpang dari norma sosial sebenar. Sedangkan tamaduan Melayu telah menunjukkan aspek kemajuan yang telah dibangunkan secara bersepadu antara kekuatan spiritual, intelektual, emosional dan material. Agama dan negara akan menjadi hebat, kuat, cemerlang dan terbilang apabila umatnya mencapat tahap gemilang dari segenap aspek.

Justeru, kita akan membincangkan tentang fungsi nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian masyarakat Islam yang tidak menyimpang, beretika dan berisi dengan unsur-unsur ajaran Islam yang sebenar agar dapat mengecapi keharmonian dan kebaikannya.

» Read more