Konsep Qawaid Fiqhiyyah

Secara umumnya terdapat dua pendekatan yang diamalkan oleh manusia. Pendekatan pertama dirujuk kepada golongan yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama, manakala pendekatan kedua ialah dirujuk kepada golongan yang bersumberkan keupayaan akal dan persekitaran manusia.

Bagi golongan pertama Al-Quran merupakan sumber rujukan pertama dan as-Sunnah secara praktikalnya merupakan rujukan kedua. Manakala perkara-perkara semasa yang tidak terdapat dalam dua sumber utama ini akan dirujuk pula kepada pandangan ijma’ ulama’.

Dalam Islam pendekatan yang dianjurkan bagi berhadapan dengan perubahan semasa adalah melalui qawaid fiqhiyyah atau kaedah fiqh.Menurut (Rahman A. A., 2013) Qawa`id Fiqhiyyah mempunyai kedudukan dan keistemewaan yang tersendiri. Antara keistimewaan ialah teksnya yang dibentuk dalam beberapa kalimah yang ringkas dan padat serta dalam bentuk lafaz yang umum.

Walau bagaimanapun, maknanya adalah luas dan mencakupi cabang masalah yang terperinci seperti penyerapan unsur-unsur kebudayaan antara Islam dengan budaya tempatan, dalam hukum Islam secara perkaedahan sebagai sesuatu yang memungkinkan penyesuaian kewujudannya. Sifat terbuka Islam ini dapat kita temukan dalam kaedah fiqh yang menyatakan “al-a’dah muhakkamah” (adat itu dapat menjadi hukum), atau kaedah “al-a’dah syariatun muhkamah” (adat adalah syariat yang dapat dijadikan hukum).

Namun demikian, tidak semua tradisi atau adat itu boleh dijadikan hukum, kerana tidak semua unsur budaya itu sesuai dengan ajaran Islam. Unsur budaya tempatan yang tidak sesuai diganti atau disesuaikan dengan ajaran Islam, sebagaimana misi Islam sendiri sebagai pembebas manusia dari perbuatan syirik kepada tauhid. Di antara peranan kaedah fiqh sebagai sumber hukum,sebagai hujah sokongan, mengenal pasti status individu, dan mencegah kemudahan dan kerosakan yang akan datang.

 

Dalam perbincangan ini, akan diketengahkan tentang konsep qawa’id fiqhiyah dari sudut pengertian dan kepentingan mempelajarinya kerana ia merupakan kaedah dalam undang-undang Islam yang disusun dan didokumentasikan oleh para ulama untuk menjadi antara asas rujukan bagi memahami dan mengembangkan fiqh Islam tentang kaedah hukum.

Terdapat banyak kepentingan yang dapat diperolehi daripada ilmu ini bagi seseorang itu terutama memahami terhadap penghayatan fiqh sehingga dapat menghubungkan dan mengeluarkan hukum-hukum serta mengetahui hukum bagi masalah yang tidak termaktub dan hukum masalah yang wujud sepanjang masa.

 

Di samping itu menghuraikan kepentingan dalam pemakaiannya dalam sistem perundangan sehingga dijadikan peruntukan undang-undang berasaskan qawaid fiqhiyyah yang telah dilaksanakan di Malaysia dan dibincangkan aplikasi qawaid fiqhiyyah dalam hukum-hukum berkaitan muamalat  dalam masyarakat Malaysia.

Konsep qawa’id fiqhiyyah dari sudut pengertian dan kepentingan mempelajarinya

Qawa‟id fiqhiyyah merupakan prinsip amali syar‟ie yang menyeluruh dan meliputi semua juzu‟ dibawahnya dengan nyata. Ianya juga merupakan pendekatan secara “horizontal” atau melintang dalam perbahasan hukum fiqh. Qawa‟id fiqhiyyah ini juga merupakan hasil kajian terhadap nusus, ijma‟ dan fatwa para ulama‟ dan mencari prinsip kesamaan yang mengaitkan hukum-hakam syara‟ yang mempunyai sifat atau ‘illah hukum yang sama. (Omar, 2014)

 

Perkataan al-qawa‟id al-fiqhiyyah merupakan satu istilah yang terdiri daripada dua perkataan iaitu al-qawa‟id dan al-fiqhiyyah. Menurut para fuqaha‟ pula, perkataan kaedah bererti hukum yang digunakan secara majoriti yang meliputi kebanyakan pecahan-pecahannya supaya diketahui akan hukumnya. Dalam memberi pengertian bagi perkataan al-qawa‟id, para fuqaha‟ teleh mengungkapkan satu kaedah iaitu yang bermaksud hukum yang kebiasaannya dipraktikkan ke atas kebanyakan bahagian-bahagiannya atau cabang-cabangnya

 

(حكم أغلبي ينطبق على معظم جزئياته ).5

 

Manakala perkataan al-fiqhiyyah pula adalah berasal daripada perkataan al-fiqh yang bermaksud faham. Menurut al-Ghazali, ilmu al-fiqh adalah suatu ilmu syariah (undang-undang Allah) yang bersangkut paut dengan pengetahuan furu’ (cabang) agama. (Omar, 2014)

 

Justeru, berdasarkan pengertian-pengertian yang telah dibentangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan (dari sudut bahasa) menjadi satu istilah baru yang mewakili satu disiplin ilmu yang berasingan, maka ia bermaksud satu susunan kaedah yang berkaitan dengan hukum-hukum fiqh yang diambil daripada dalil-dalil yang terperinci. (Jalil, 2011)

 

Menurut (Omar, 2014) dalam perundangan dikenali sebagai maksim perundangan adalah seerti dengan qawa‟id fiqhiyyah atau dalam istilah undang-undangnya dikenali sebagai legal maxim. Manakala, Maksim Perundangan Inggeris atau Latin sering kali digunakan oleh pengamal undang-undang bagi menunjukkan keindahan keadilan perundangan sivil di Malaysia. Walaupun Maksim Perundangan Inggeris ini berbagai-bagai, namun maksim perundangan yang relevan dengan keterangan dan pembuktian di Mahkamah Syariah adalah terhad dan kebanyakannya menyamai dengan penggunaan kaedah fiqhiyyah secara praktikalnya.

 

Kaedah-kaedah fiqhiyyah pula merupakan kaedah-kaedah yang bersifat umum yang mengumpulkan masalah-masalah fiqh terperinci yang memudahkan para ulama’ mengistinbathkan hukum bagi sesuatu masalah dengan cara mengklasifikasikan masalah itu di bawah suatu kaedah. Melalui kaedah yang telah diperincikan inilah, hakim-hakim dapat membuat ijtihad yang relevan dengan keadaan semasa. Kaedah-kaedah ini juga telah digunakan oleh para hakim untuk memutuskan sesuatu kes di Mahkamah Syariah.

» Read more