Pandangan Dalam Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya (1)

Berikut adalah beberapa pandangan guru pendidikan Islam dalam mengupas Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran pada masa kini, faktor-faktor kelemahan dan cara mengatasinya.

(Maimunah Hamid, 2016) berpendapat bahawa sememangnya masalah pembelajaran Al-Quranpada masa kini kian meningkat. Sebagai contoh, anak-anak muda pada masa kini lebih banyak menghafal lirik-lirik lagu berbanding menghafaz Al-Quran.

Salah satu isu yang menjadi masalah pembelajaran Al-Quran ialah apabila terdapat Al-Quran yang palsu dicetak. Menurutnya, di dalam Al-Quran yang sebegini terdapat ayat yang telah diragui.

Oleh itu, perlu untuk kita ketahui, walaupun tidak ramai yang berminat untuk mempelajari Al-Quran, tetapi masih wujud golongan yang berhasrat untuk mendalami a-Quran. Golongan yang inilah yang akan membaca mushaf yang kita sendiri tidak tahu sama ada mushaf tersebut memang benar mushaf Resm Uthmani, atau sebaliknya.

Manakala, faktor kelemahan pembelajaran al-Quran adalah anak-anak muda hanya mendapat didikan al-Quran ketika di sekolah sahaja. Jarang mereka memperolehi pembelajaran Al-Quran di rumah. Malah, warga emas juga masih ada yang masih merangkak untuk mempelajari al-Quran dan kebiasaanya mereka memperolehi pembelajaran Al-Quran ini di surau-surau yang berdekatan sahaja.

Oleht itu, di antara cara untuk mengatasi masalah ini ialah amanah untuk mengajar ini bukan hanya pada guru sahaja, malah ibu bapa dan keluarga terdekat perlu memberi sokongan secara langsung atau tidak secara langsung. Guru yang mengajar di sekolah perlu menggunakan kreativiti masing-masing untuk memikirkan cara yang mudah bagi anak muridnya senang untuk mempelajari Al-Quran. Dengan demkinan, ibu bapa yang berkelapangan, didiklah anak-anak mereka untuk mempelajari al-Quran.

Selain itu, anak-anak yang masih atau telah mempelajari ilmu Al-Quran, bantulah ibu bapa untuk mempelajari Al-Quran. Manakala, bagi masyarakat sekeliling pula , jangan sesekali menghina atau memandang rendah kepada golongan yang mempelajari al-Quran.

Al-Quran merupakan Kalam suci Allah yakni mukjizat agung yang diturunkan kepada Rasulullah SAW bagi membenarkan ajaran syariat sebelumnya dan juga menyempurnakan hukum-hukum Allah SWT sehingga terbentuknya sumber ilmu yang universal dari berbagai aspek sama ada material, spiritual, jasmani, rohani, dunia dan akhirat.  Kesempurnaan al-Quran perlu dipelihara melalui penguasaan bacaan dan hafazan al-Quran dengan baik mengikut hukum tajwid yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir guru yang hanya menguasai kemahiran atau pengetahuan yang sederhana dalam membaca Al-Quran. Mereka didapati kurang menguasai kemahiran atau pengetahuan yang lebih tinggi dan mencabar. Contohnya, ilmu tajwid dan tanda-tanda bacaan, menghafaz ayat-ayat Al-Quran dan membaca Al-Quran di khalayak ramai.

Masalah-masalah tersebut boleh dikaitkan dengan faktor-faktor seperti ketiadaan pembimbing, kurang penekanan terhadap ilmu Tajwid dan sikap ibu bapa terhadap penguasaan kemahiran membaca Al-Quran. Sesetengah guru mendapati pendedahan awal pembelajaran membaca Al-Quran daripada pembimbing yang tidak bertauliah. Ramai dibimbing oleh para guru dan ibu bapa sendiri yang tidak dilatih khas untuk membimbing membaca Al-Quran. Ini bererti guru tersebut tidak dibimbing secara teratur ketika mula belajar membaca Al-Quran. Ini mengakibatkan tahap kebolehan membaca Al-Quranyang rendah di kalangan guru tersebut.

Faktor kedua yang mempengaruhi keadaan ini pula berpunca dari kurangnya penekanan terhadap Ilmu Tajwid semasa belajar membaca Al-Quran. Apabila pembelajaran dan pengajaran yang tidak sistematik berlangsung maka banyak menjadi penyebab kepada kelemahan penguasaan bacaan Al-Quran. Keadaan ini menjadi bertambah parah apabila dalam pendidikan Islam di sekolah, Ilmu Tajwid hanya disampaikan melalui penggabungjalinan kemahiran Tilawah Al-Quran sahaja.

Manakala, peruntukan masa khas untuk Ilmu Tajwid tidak disediakan. Ia lebih banyak bergantung kepada budi bicara guru Pendidikan Islam sendiri. Adalah malang bagi ibu bapa yang beranggapan Pendidikan Islam di sekolah sudah membebaskan mereka dari tanggungjawab memberi ilmu kepada anak-anak mereka khususnya yang berkaitan dengan ilmu Fardhu Ain, termasuk Ilmu Tajwid. Lebih menyedihkan lagi apabila kita meneliti banyak hasil dapatan kajian menunjukkan sangat ramai ahli masyarakat yang buta huruf Al-Quran.

Selain itu, ibu bapa yang mementingkan pencapaian akademik berbanding penguasaan pembacaan Al-Quran, maka situasi runcing seperti yang dinyatakan oleh para sarjana ini akan terus berlarutan tanpa had sempadan. Ramai ibu bapa akan terkilan sekiranya anak mereka tidak mecapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam tetapi tidak ramai yang terkilan jika anak mereka tidak boleh membaca Al-Quran mengikut hukum Tajwid yang sepatutnya. Maka jelas di sini bahawa kepincangan ini sangat berkait rapat dengan sikap ibu bapa itu sendiri.

Hal ini berlarutan apabila keadaan pada hari ini sangat mendesak kepada pencapaian akademik setiap masa. Guru dan pelajar hanya diberi ruang yang cukup untuk menghasilkan pencapaian tinggi iaitu bilangan A dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Berbeza pula dengan penekanan ibu bapa terhadap kemahiran membaca Al-Quran.

Pada masa lalu, ibu bapa sangat menekankan aspek mempelajari Al-Quran pada waktu petang selain belajar akademik di sekolah pada sebelah pagi sesi persekolahan rasmi. Amalan memastikan anak-anak dapat membaca Al-Quran dengan baik malah mampu khatam Al-Quran sebelum ke sekolah menengah kini telah terhakis. Kesannya apabila anak tersebut meningkat dewasa dan ada yang dipertanggungjawabkan mengajar Al-Quran kepada pelajarnya maka hasil yang dapat diperolehi hanya minimum berikutan guru juga kurang menguasai kemahiran tersebut. (Norah Marisin, 2016)

Oleh demikian, (Norah Marisin, 2016) mencadangkan bahawa isu ini boleh ditangani dengan baik apabila semua pihak berubah dan melakukan perubahan diri. Perubahan ini pula hendaklah dimulai dengan aspek mengenal Al-Quran secara syumul. Ini bertujuan mengajak pembaca mengenal dan mengetahui hakikat dan kepentingan al-Quran. Tanpa mengenalinya, mungkin sikap kurang minat kita untuk mendekati, membaca dengan baik dan menghayati setiap isi kandungannya. Fadilat Al-Quran yang dijelaskan oleh para ulamak jelas bertujuan supaya kita lebih merasa senang dengan Al-Quran, sama ada membacanya, menghayatinya ataupun sekadar mendengar bacaannya.

Di manapun kedudukan kita, Al-Quran adalah pembimbing dan dan sumber rujukan sepanjang hayat dalam seluruh aspek kehidupan.  Setiap kelemahan perlu dipelajari daripada pihak yang mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut. Faktor pembimbing menjadi titik tolak pertama supaya setiap kelemahan kita sama ada bergelar pelajar malah guru sekali pun berakhir dengan memiliki penguasaan Al-Quranyang baik. Hasil yang jelas boleh diperolehi apabila kita mempu menguasainya dengan baik, maka akan timbullah dalam hati sanubari rasa gembira berdamping dengan Al-Quran serta kesempurnaan penghayatan isi kandungannya.

Aspek lain yang perlu dilihat juga ialah perubahan bentuk pelaksanaan kurikulum sekolah.  Apabila timbul isu penguasaan Al-Quran lemah maka setiap pihak tidak terkecuali sukatan kurikulum wajar dikaji semula. Jika sebelum ini kurikulum tidak memberi penekanan khusus kepada ilmu Tajwid yang hanya disampaikan melalui penggabungjalinan kemahiran Tilawah Al-Quran sahaja, maka perlu diubah dan diberi penekanan khusus sebagai jalan keluar kepada masalah ini.

Maka, adalah wajar diperuntukan masa khas untuk ilmu Tajwid diajar dan dibincangkan dengan bersistematik di kalangan pelajar.

Sebagai contoh apabila mata pelajaran ini diasingkan dan diberi tempoh minit yang cukup setiap minggu, pelajar dan guru akan dapat memanfaatkannya sebagai medan khusus mempelajari semua konsep hukum dan membuat latihan amali bersama-sama di dalam bilik darjah kerana ia berkait rapat dengan pengajian ilmu Tajwid yang memerlukan sistem Talaqqi/ Musyafahah.

Sistem tersebut menitikberatkan hubungan dua hala semasa mempelajarinya. Apabila guru memperdengarkan bacaan maka para pelajar mestilah memerhatikan bacaan guru tersebut. Manakala, proses kedua pula pelajar memperdengarkan bacaan masing-masing kepada guru dan guru berperanan untuk membaiki dan membetulkan kesalahan bacaan pelajar. Ini adalah sistem pengajian Al-Quranyang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan mesti diikuti oleh kita semua supaya kesucian dan keagungan Al-Quran sentiasa terpelihara.

Berbalik kepada sikap sebahagian besar ibu bapa, adalah  penting untuk merangsang dan menarik minat mereka kembali supaya cara berfikir mereka lebih menjurus kepada menjadikan anak-anak mereka berjaya dari sudut penghayatan Al-Quran sejajar dengan pencapaian akademik.

Jika pencapaian akademik dilihat amat penting bagi menjamin kejayaan hidup anak-anak maka perlu disedarkan bahawa kejayaan menguasai Al-Quran juga sangat penting bagi menjamin kejayaan hidup yang lebih diberkati dan diredhai olah Allah SWT.

Oleh yang demikian tidak wajar penekanan ibu bapa hanya tertumpu kepada pencapaian akademik tanpa diberi bimbingan supaya menguasai ilmu Tajwid Al-Quran. Anak-anak harus diberi galakan daripada kecil lagi supaya dewasa kelak tidak menyesal dan malu untuk belajar ilmu fardu kifayah ini. Kesan yang cukup besar dalam hidup anak-anak apabila menguasai kemahiran bacaan dan penghayatan al-Quran ini dapat dikecapi oleh ibu bapa apabila anak-anak mereka terselamat daripada keruntuhan moral yang  semakin teruk pada masa kini. Al-Quran yang ada di dalam diri anak-anak akan mampu manjadi benteng yang kukuh daripada kemurkaan Allah SWT. (Norah Marisin, 2016)

» Read more