Kalam Jamaei berasal dari kalimah Bahasa arab yang bermaksud suara-suara yang dikeluarkan secara beramai-beramai dengan intonasi tertentu dan memberi makna. (Osman Khalid, 2015)

 

Menurut (Norehanayat, 2014) Kalam Jamaie adalah satu persembahan bicara berirama secara berkumpulan seperti persembahan ‘choral speaking’. Kalam jamaie dituturkan di dalam bahasa Arab dan menitikberatkan aspek sebutan dan bahasa arab yang tepat, jelas dan fasih. Selain itu ia juga melihat kepada aspek gaya persembahan dari segi keharmonian dan gaya dari peserta. Kalam Jamaie dilihat sebagai salah satu alternatif dalam pembelajaran bahasa arab yang tidak hanya bertumpu kepada di dalam kelas sahaja.

Oleh yang demikian, konsep Kalam Jamaei merupakan kesepaduan suara secara berkumpulan dengan menggunakan Bahasa Arab yang merupakan kesenian interaksi dalam komunikasi secara berkumpulan diketuai oleh seorang konduktor.

 

Kesenian dalam Kalam Jamaei sebagai pengantaraan dalam pengajaran dan pembelajaran serta kemahiran bertutur dalam Bahasa Arab yang diperkenalkan di sekolah-sekolah Malaysia yang diselanggarakan oleh guru-guru j-Qaf dan Pendidikan Islam supaya menarik minat pelajar mempelajari Bahasa arab melalui persembahan-persembahan yang telah diatur dengan topik tertentu dalam Bahasa Arab komunikasi.

 

Justeru, dengan penyatuan suara secara berkumpulan yang dipersembahkan dapat dapat mempupuk erti perpaduan komunikasi di kalangan peserta Kalam Jamaei seterusnya melatih pelajar lain erti kesatuan bahasa, kerjasama intonasi, interaksi dan mengeratkan hubungan silaturrahim.

Oleh itu, tugasan ini akan menghuraikan kelebihan dalam persembahan Kalam Jamaei yang bertujuan untuk menarik minat berbahasa dalam Bahasa Arab. Di samping itu, penulis akan membincangkan kriteria persembahan Kalam Jamaei yang berkesan dan juga mencadangkan beberapa langkah persediaan persembahan Kalam Jamaei dalam mempertingkatkan lagi persembahan dan menarik perhatian pelajar.

 

EMPAT kelebihan persembahan Kalam Jamaei

Pertama : Penyampaian maklumat dengan berkesan

Persembahan Kalam Jamaei berkesan dalam memberi maklumat dalam Bahasa Arab. Kalam Jamaei dapat menarik minat pelajar yang merupakan salah satu platform media secara langsung meningkatkan motivasi pelajar dalam mempelajari Bahasa arab. Melalui Kalam Jamaei ia dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih berkesan dan kecenderungan pelajar menyertainya. (Ismail, 2015)

Oleh itu, Kalam Jamaei merupakan penyampaian bahasa untuk mempengaruhi individu supaya mengubah sikap, tingkah laku dan budaya seseorang maka sewajarnya dapat mempengaruhi perasaan dan emosi indivitu atau kumpulan yang menjadi sasaran maklumat.

Walau bagaimanapun, keberkesanan ini wajar dilakukan agar kualiti penyampaiannya sentiasa diperbaharui, ini kerana sekiranya kita melihat kepada kecenderungan minat pelajar sekolah di Malaysia kepada bahasa arab adalah tinggi. Menurut kajian, berdasarkan Penskoran dibuat   bagi   mengukur kencenderungan   minat   pelajar   dalam Bahasa   Arab. Penskoran dibuat bagi  mengukur  tahap  kencenderungan  minat  pelajar  dalam  Bahasa  Arab sama  ada  ia  pada  tahap  rendah,  sederhana  atau  tinggi .  Skala penskoran yang digunakan adalah skor 1-46 tahap  rendah,  47-73  tahap  sederhana  dan  74 -100  tahap  tinggi.  Ini menunjukan bahawa hanya 3.5 % sahaja daripada  responden menunjukkan  bahawa mereka  tidak  berminat  dengan  matapelajaran  Bahasa  Arab  berbanding  dengan  82.5 %  lagi menunjukkan  tahap  minat  yang  tinggi  dalam  Bahasa  Arab  dan  selebihnya  14%  pada  tahap yang sederhana. (Mohammad Abdillah Samsuiman, 2014)

 

Kedua : Memupuk kerjasama berkumpulan dan pengorbanan

 

Sebagaimana Islam yang diperjuangkan itu adalah satu sistem yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Firman Allah :

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِهِۦ صَفّٗا كَأَنَّهُم بُنۡيَٰنٞ مَّرۡصُوصٞ ٤

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (QS Ash-Shaff : 4)

Bangunan yang tersusun kukuh itu tentulah tidak hanya terdiri dari satu komponen, tetapi terdiri dari beberapa komponen yang saling kait mengait dan serasi antara satu dengan yang lainnya.

Begitu juga dalam kumpulan Kalam Jamaei yang dapat memupuk kepentingan kerjasama dan pengorbanan, menurut (Jiun, 2013) kerjasama merujuk kepada praktik seseorang atau kelompok yang lebih besar yang bekerja di khayalak dengan tujuan atau kemungkinan metode yang dipersetujui bersama secara umum, Kerjasama pasukan adalah penting sesuatu program yang susah dengan sekumpulan ahli. Ini adalah lebih efektif daripada menyelesaikan masalah atau menjalankan sesuatu projek secara individu.

Manakala, (Norehanayat, 2014) berpendapat bahawa Program Kalam Jamaie dapat melihat kesungguhan setiap peserta yang mampu bekerja dalam satu pasukan selain banyak mengorbankan masa selepas sesi persekolahan dan cuti hujung minggu untuk melakukukan latihan Kalam Jamaie dapat memupuk kerjasama dalam menjaya program Kalam Jamaie agar memperolehi kesatuan dan perpaduan semasa persembahan.

 

Ketiga : Pendekatan yang lebih berkesan

Pada waktu dahulu, pendekatan yang digunakan dalam pembelajaran sesuatu Bahasa dengan menggunakan media pengajaran dikenali sebagai visual-education (alat dengar-pandang), kemudian menjadi audio-visual aids (bahan bantuan pengajaran), kemudian berkembang dengan audio-visual communication (komunikasi pandang dengar), seterusnya perubahan kepada educational technology (teknologi pendidikan dan pengajaran) atau dalam bahasa arab dinamakan وسائل الايضاح

Kelangsungan kepelbagaian pendekatan tersebut saling berkait. Namun, asumsi-asumsi ini sangat berhubungan dengan karakter bahasa dan karakter proses pengajaran serta pembelajarannya. Pendekatan yang digunakan dengan cara tontonan lebih berhubungan erat dengan penyajian lebih secara teratur.

Oleh itu, dalam pembelajaran bahasa terdapat istilah yang selalu dipakai, iaitu: Pendekatan, metode, dan teknik. Ketiga istilah tersebut mempunyai hubungan secara hirarki. Hubungan ini menggambarkan bahawa teknik merupakan suatu hasil dari metode yang selalu konsisten dengan pendekatan.

Pendekatan menggunakan media adalah pendekatan yang berdasarkan kepada pemanfaatan media dalam pembelajaran bahasa. Pendekatan ini berpendapat bahawa media sangat berperanan dan berpegaruh dalam menyampaikan pelajaran serta boleh mengubah pengalaman belajar menjadi pengalaman yang nyata.

Justeru, peranan media itu sangat penting dalam pembelajaran bahasa, seperti yang dipaparkan Mudjiono bahawa media pembelajaran dapat membangkitkan motivasi belajar serta membangkitkan stimulus bagi kemahuan belajar.

Menurut, Prof. Mahmud Yunus berpendapat bahawa media pembelajaran berpengaruh besar bagi pancaindra dan lebih menjamin pemahaman, kerana orang yang mendengarkan walaupun tidak sama tahap dan jangka waktu pemahamannya dibandingkan dengan mereka yang melihat atau melihat sekaligus mendengarkan. (Maifandi, 2012)

Ini menjelaskan bahawa pendekatan melalui media Kalam Jamaei adalah berkesan dengan gaya kesenian secara visual dan auditori atau lebih dikenali sebagai gaya kinestetik yang mempunyai gaya belajar yang menerima informasi dengan efektif melalui pergerakan tubuh, pengalaman peribadi atau perasaan.

Keempat : Mengurangkan tekanan pelajar

 

Pelajar akan merasakan keseronokan dalam belajar Bahasa arab yang dihasilkan dari kesenian persembahan Kalam Jamaei. Di samping itu, Kalam Jamaie dilihat sebagai salah satu alternatif dalam pembelajaran Bahasa arab yang tidak hanya bertumpu kepada di dalam kelas sahaja.

Selain itu, ramai pelajar beranggapan bahawa belajar Bahasa arab adalah susah dan tidak menganggap sebagai cabaran dan menggunakan kreativiti dalam Pembelajaran dan Pengajran (P&P). Namun, realitinya, bahasa arab yang merupakan bahasa Kalam Allah yang diturunkan untuk seluruh manusia dan diguna pakai sehingga hari kiamat tentulah satu bahasa yang istimewa. Bahasa yang terpilih di antara beribu bahasa di dunia ini. Allah telah berfirman dalam KitabNya Surah al-Qamar ayat 22 :

وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرٖ

Maksudnya : Dan Sesungguhnya telah Kami mempermudahkan Al Quran untuk pelajaran, Maka Adakah orang yang mengambil pelajaran?

Ini menunjukkan bahawa Allah telah menjelaskan bahawa al-Quran adalah mudah sama ada untuk dibaca, difahami, dihafal dan dipelajari bahasanya. Sesungguhnya sifat agama Islam adalah mudah. Semua perkara yang wajib diketahui oleh sekalian manusia semestinya mudah dan senang. Mustahil bagi Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang akan membebankan hambaNya dengan perkara yang susah. Bahasa Arab sebenarnya bahasa yang menarik dan mudah untuk dipelajari sekiranya kita mengetahui teknik dan pendekatan pembelajaran yang sesuai seperti program Kalam Jamaie yang direncanakan di sekolah-sekolah. (Aqil, 2009)

EMPAT ciri persembahan Kalam Jamaei yang berkesan

 

Pertama : Konduktor Tidak Boleh Berkata

 

Kini, Persembahan Kalam Jamaei telah mempamerkan persembahan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini. Namun begitu masih terdapat kesalahan-kesalahan besar yang masih berulangan, yang mana terdapat Konduktor yang berdiri dihadapan mengeluarkan kata-kata ketika persembahan berlangsung. Sebenarnya tugas konduktor hanya memberi isyarat kepada peserta yang lain dengan menggunakan kedua tangannya tanpa mengeluarkan kata-kata walau sepatah pun. (Jqaf, 2009)

 

  Kedua : Had Pergerakan Peserta

 

Pergerakan dalam persembahan Kalam Jamaei adalah sangat terbatas iaitu dari aras pinggang ke atas. Peserta haruslah memberi tumpuan kepada kalam yang ingin disampaikan sahaja dan bukannya gaya yang amat keterlaluan. Gaya yang tidak dibenarkan adalah seperti menggerakkan kaki atau lutut. Mengangkat tangan sehingga siku lebih tinggi dari aras bahu dan menggayakan tangan pada setiap perkataan yang disampaikan sehingga persembahan lebih kepada gaya daripada ucapan yang ingin disampaikan. (Albab, 2016)

 

Ketiga :. Fokus Kepada Tema

 

Ketiadaan tema atau tajuk juga merupakan satu kesalahan apabila penyampaian melompat-lompat dari satu tajuk ke satu tajuk yang lain. Oleh itu, ketiadaan tajuk yang dikhususkan seperti hilang fokus semasa dalam persembahan dan penyampaian tidak sistematik yang menyebabkan kerugian dalam pemarkahan dan salah satu kesalahan dalam pertandingan Kalam Jamaei. (Jqaf, 2009)

Dalam usaha untuk konsisten memilik perasaan tertentu, peserta kumpulan membina karakter tertentu dalam pola berfikir dan fokus kepada imej dan idea yang sama, serta bertanyakan soalan yang sama kepada diri mereka sendiri. Cabaran dalam hal ini adalah ramai orang mahukan hasil yang baru, bagi mendapatkan hasil yang baru, ia tidak boleh hanya mengetahui apa yang kita mahu dan mendapat penuasan bagi diri peserta persembahan. Oleh itu, hilang fokus kepada tema sebenarnya adalah gangguan semasa persembahan kepada emosi dan dapat mengubah rentak pada gaya persembahan.

 

Keempat : Tatabahasa Yang Betul

 

Ilmu tatabahasa Arab pula diberi penekanan yang penting kerana ia berkaitan dengan makna teks dan cara bacaan yang betul. Ketepatan dalam tatabahasa seharusnya diperhatikan dengan teliti oleh para guru pembimbing sebelum pertandingan berlangsung. Kesalahan tatabahasa ialah “keluar dari kaedah tatabahasa fusahah dari sudut kaedah nahu (Arif Kharhi Abu Khudairi). Contohnya, percampuran dalam sebutan di akhir kalimah, penggunaan huruf jar, pola perkataan (sorof), padanan kalimah yang bukan pada tempatnya dan sebagainya.

Menurut (Zawawi Ismail, 2011) bahasa adalah komunikasi. Ini bermakna pengajaran bahasa Arab seharusnya lebih praktikal dan pragmatis sehingga dapat dikomunikasikan oleh pelajar secara lisan maupun tulisan dengan tatabahasa yang betul agar ia tidak merosakkan bahasa secara tidak disedari.

Oleh itu, bahasa adalah satu sistem. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa itu lengkap dan sempurna dari segi peraturan atau pola. Bahasa terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan sistem tatabahasa. Bahasa yang digunakan sebagai pertuturan dan penulisan terikan dengan tatabahasa. Perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan membawa makna sebelum diucapkan. Penggunaan bahasa yang baik serta jelas akan meningkatkan keberkesanan penafsiran makna.

Menurut (Mohd Baharudin Othman, 2003) bahasa adalah symbol yang mewakili bunyi (sebutan) yang keluar daripada peti suara. Bahasa atau perkataan yang diucapkan bukan benda yang sebenarnya. Perkataan hanya mewakili benda. Contoh perkataan ‘ais’ hanyalah perwakilan atau perlambangan kepada ais, makna yang diberikan tidak sama dengan penerima. Contohnya, ada yanggg merujuk kepada sifat sejuk, atau boleh dirujuk ais krim atau mengambarkan tentang bongkah ais di kutub utara.

Oleh yang demikian, sebelum membuat pertuturan, seharusnya memastikan bahawa bahasa yang dipertuturkan itu mesti difahami oleh penerima dan sesuai dengan konteks komunikasi. Begitu juga dengan penyebutan makhraj bahasa arab yang betul dan tepat agar bertepatan dengan maksudnya.

EMPAT langkah persediaan persembahan Kalam Jamaei

 

Pertama : Kreativiti Persembahan

 

Memandangkan aktiviti Kalam Jamaei bertujuan untuk memperkembangkan penyuburan diri individu  secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, emosi, jasmani, kreativiti, disiplin, sikap estetika  dan  motivasi.  Pembelajaran adalah lebih berkesan apabila emosi dilibatkan melalui pengalaman  dan  hal  ini  dapat  diperkukuhkan  seandainya  penggunaan  bahasa yang baik dikombinasikan, maka kreativiti dalam persembahan amat diperlukan agar tercapai matlamat.

 

Menurut Fromn (1959) kreativiti adalah menghasilkan sesuatu yang baru yang dapat dilihat atau didengar oleh orang lain. Kreativiti bakat peserta dalam persembahan yang menjadi kekuatan tersembunyi melalui gabungan dari pembimbing dan peserta. Misalnya kreativiti persembahan dengan gaya tersendiri. Mutu persembahan dapat dijanakan apabila peranan guru pembimbing yang berkomitmen, berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang bahasa arab serta bakat peserta yang dicungkil dengan sebaiknya dan latihan yang berkonsisten. Kunci kejayaan adalah mewujudkan keyakinan, kekuatan, fleksibel, kuasa peribadi dan keseronokan.

 

Oleh itu, susunan tindakan yang jelas dan teratur dapat meningkatkan sikap tabah guru dan peserta dengan menggalakkan usaha berterusan. Walaupun pada awal perancangan adalah lemah, seharusnya tetap merasakan mudah melaksanakannya secara satu persatu sehingga kesemuanya selesai, lalu mencapai objektif yang diharapkan dengan meneroka bakat peserta melalui latihan berterusan serta merangka penilaian setiap peserta ia dapat membantu dalam meningkatkan mutu persembahan. (Hill, 2014)

 

Kedua : Pemfokusan kepada Tajuk

 

Pemfokusan kepada tema atau tajuk yang mudah atau isu semasa juga berperanan dalam menjayakan persembahan Kalam Jamaie kerana sesuatu isu semasa kebiasaanya orang semua sudah tahu dalam Bahasa melayu dan apabila diolah ke dalam Bahasa arab bagi yang tidak faham sekurang-kurangnya mereka akan mendapat pembayang apa yang disampaikan melalui persembahan tersebut.

 

Oleh yang demikian, pemfokusan kepada isu atau tajuk khusus ia akan lebih berkesan dalam penyampaian Kalam Jamaei agar lebih tersusun dan teratur semasa persembahan tanpa  menyentuh isu-isu sensitif seperti agama, kaum, budaya dan peribadi seseorang.

 

Walau bagaimanapun, Kalam Jamaei adalah salah cara berkomunikasi dengan penonton seharusnya dapat mengenal pasti maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh penyampai dengan tidak hanya menumpukan kepada objektif utama komunikasi biasa.

 

Ketiga : Penjagaan Gaya pergerakan

 

Faktor pergerakan badan dan ekspresi wajah antara faktor kemenangan dalam persembahan Kalam Jamaie di antaranya seperti Gaya mimik muka dan intonasi suara yang baik. Pergerakan sopan yang dibenarkan hanyalah daripada paras pinggang sahaja.

Manakala, pergerakan kaki pula tidak boleh diangkat tetapi boleh dijengketkan tanpa mengubah kedudukan dan lutut tidak boleh dibengkokkan. Begitu juga badan hanya dibenarkan memusingkan badan ke kiri dan ke kanan tanpa menggerakkan kaki atau tunduk melebihi rukuk. Seterusnya tangan adalah bebas digerakan tetapi tidak melebih paras kepala dan pergerakan kepala pula dibolehkan.

 

Oleh itu, pergerakan kita mempengaruhi emosi kita dan emosi kita mempengaruhi pergerakan kita. Gerakan menciptakan emosi yang sesuai dengannya, sama seperti emosi memberi kesan kepada pergerakan kita. (Tony Windura, 2011)

 

Kempat : Penggunaan Irama dan Lagu

 

Penggunaan Irama dan lagu yang dihasilkan secara tersendiri yang bersesuai dan tepat dengan penampilan ayat al-Quran, Kesusasteraan Bahasa Arab seperti syair atau Funun al-arabiah dengan diperkuatkan dengan isu semasa akan dapat memantapkan persembahan Kalam Jamaei. Di samping kerjasama ahli kumpulan yang mampu bersuara lantang dengan gabungan berirama.

 

Menurut (Tony Windura, 2011) pembelajaran apabila dimasukkan dengan irama dan lagu seseorang itu cepat mengingati sesuatu perkataan atau subjek kerana bagi mereka yang mempunyai gaya dominan auditori, lebih senang belajar dengan bantuan irama dan lagu, terutama apabila untuk mengingati informasi yang dipelajari.

KESIMPULAN

Tuntasnya, perubahan   dalam pembelajaran bahasa berlaku   adalah   berdasarkan   kepada   empat perkara   berikut   iaitu, kemajuan pesat  teknologi,  kemunculan  teknik  mengajar  yang  baharu,  penciptaan  alat  yang canggih seperti alat perakam dan alat video serta minat yang mendalam dalam diri untuk mempelajari sesuatu bahasa. Senario   ini   menggambarkan   kepada   kita   bahawa   pembelajaran   bahasa   sentiasa berkembang dan  melalui  perubahan,  termasuklah  pembelajaran  bahasa  Arab.

 

Justeru untuk memperkembangkan lagi pembelajaran  bahasa  Arab,   strategi dengan membangunkan Kalam Jamaei memberi impak yang berguna kepada pelajar dalam penguasaan bahasa arab diperingkat permulaan yang merupakan salah satu medium dan media paling sesuai di zaman sekarang dalam membangunkan kemahiran pelajar dalam penguasaan bahasa arab. Selain itu, ia adalah aktiviti panitia Bahasa arab sekolah di Malaysia yang merupakan aktiviti ko-kurikulum sekolah dengan menyertai pertandingan yang dianjurkan pada peringkat sekolah-sekolah dan peringkat kebangsaan secara tahunan. Selain daripada dapat mencungkil bakat dan potensi pelajar agar dapat menarik golongan pelajar dan orang awam bagi membendung pemikiran yang mengatakan bahasa arab adalah susah untuk dipelajari.

Maka, Kalam Jamaei berperanan besar dalam institusi pendidikan sekolah di Malaysia yang dapat memartabatkan bahasa arab dan menyuburkan kesenian dalam Islam selain daripada memperkembangkan bakat murid melalui penglibatan mereka di dalam setiap pertandingan.

 

Oleh itu, dalam membangkitkan kesenian ini, seharusnya Kalam Jamaie dapat di ketengahan kepada program realiti televisyen tempatan agar sambutan persembahan sentiasa mendapat perhatian di kalangan pelajar di semua peringkat institusi pendidikan sehingga ke Universiti.

 

Apa yang penting, Kalam Jamaei juga sebagai salah satu jalan dakwah dalam mengajak ke arah kebaikan dengan alunan-alunan yang dipersembahkan dengan kreativiti menarik kerana Kalam Jamaei menggunakan bahasa yang baik akan membawa kepada pencapaian matlamat komunikasi dengan lebih jelas.

Rujukan

Albab, M. U. (2016, Mei 26). MRSM Kota Putra. Didapatkan dari https://tp.mrsm.edu.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7c831f19-ac12c98e-1c07da13-539216f7

Aqil, A. (2009, November 25). Benarkan Bahasa Arab Susah. Didapatkan dari http://pbasmkps.blogspot.my/2009/11/benarkah-bahasa-arab-susah.html

Hill, N. (2014). Think and Grow Rich. Selangor: Publishing House Sdn Bhd.

Ismail, A. T. (2015, September 02). Mengaplikasi Funun Taqdim al-Lughah Dalam P&P Bahasa Arab. Didapatkan dari https://www.facebook.com/SKBatuKitang/posts/877754055624839

Jiun, S. L. (2013, April 16). Kebaikan Semangat Kerjasama Berkumpulan. Didapatkan dari https://prezi.com/m_nr6bh1g4kb/kebaikan-semangat-kerjasama-berkumpulan/

Jqaf, M. (2009, Julai 20 ). Ulasan Jemaah Hakim. Didapatkan dari http://miorjqaf.blogspot.my/2009/07/ulasan-jemaah-hakim.html

Maifandi, I. (2012, Mei 27). Pendakatan Pembelajaran Bahasa. Didapatkan dari https://ikrimahmaifandi.wordpress.com/2012/05/27/pendekatan-pembelajaran-bahasa/

Mohammad Abdillah Samsuiman, M. A. (2014). Hubungan Antara Kecenderungan Minat Pelajar Dalam Bahasa Arab Dengan Kualiti Diri Guru Bahasa Arab MRSM Ulum Albab, Kota Putra. Prosiding Seminar Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Arab (hlm. 4). Kuala Lumpur: Fakulti Pengajian Islam UKM & Fakulti Kontemporari Islam UNISZA.

Mohd Baharudin Othman, M. K. (2003). Pengantar Komunikasi. Kedah: UUM Press Universiti Utara Malaysia.

Norehanayat. (2014, Oktober 31). Kalam Jamaie. Didapatkan dari http://touch-down-norehanayat.blogspot.my/2014/10/kalam-jamaie.html

Osman Khalid, e. (2015). Kamus Besar Arab-Melayu Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tony Windura. (2011). Melatih Anak Berfikir-Teknik mengajar Anak Menjadi Genius. Selangor: PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.

Zawawi Ismail, e. (2011). Teknik Pengajaran Kemahiran Bertutur Bahasa Arab di SMKA di Malaysia, 69-70.

 

 

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

One thought on “Apakah Kalam Jamaie”
  1. Assalamu’alaikum…saya dari Indonesia..mau cari referensi tentang Kalam jama’i e..
    Bolehkah penulis meletakkan footnote agar sumber yg diambil itu sah.. karna di Indonesia informasi tentang Kalam jama’i e masih sedikit

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.