Pendahuluan

Al-Quran merupakan kalam Allah yang Qadim dan diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail AS. sesuai dengan namanya Al-Quran, Rasulullah SAW mengambil Al-Quran daripada Jibrail AS secara Talaqqi dan Musyafahah. Iaitu Jibrail membacanya dahulu dan didengar oleh Nabi SAW, kemudian Nabi pula membacanya dengan didengari oleh Jibrail. Ini jelas daripada peristiwa Nabi SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira, melalui peristiwa itu Jibrail menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. membaca atau mengikut apa yang dibacanya kemudian membacanya pula kepada sahabat-sahabat, sahabat-sahabat pula membacanya kepada sesama mereka dan kemudiannya kepada pengikut atau generasi selepas mereka.

Demikianlah seterusnya, Al-Quran itu terus diajar dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi hinggalah sampai ke zaman kita ini. Al-Quran akan terus diperturunkan hingga ke akhir zaman. Oleh itu, Allah berpesan kepada Nabi SAW. dan juga kita kaum muslimin seluruhnya supaya membaca Al-Quran dengan Tartil sebagaimana firman-Nya bermaksud : Bacalah Al-Quran dengan tartil. Begitulah kesempurnaan Al-Quran yang wajib dipelihara melalui penguasaan bacaan dan hafazan Al-Quran dengan baik mengikut hukum tajwid yang telah ditetapkan.

Walaupun demikian, terdapat segelintir murid di sekolah yang hanya menguasai kemahiran atau pengetahuan yang sederhana dalam membaca Al-Quran. Mereka didapati kurang menguasai kemahiran atau pengetahuan yang lebih tinggi dan mencabar. Contohnya, ilmu tajwid dan tanda-tanda bacaan, menghafaz ayat-ayat Al-Quran dan membaca Al-Quran di khalayak ramai. Masalah-masalah tersebut boleh dikaitkan dengan faktor-faktor seperti kekurangan pembimbing yang berkemahiran, kurang penekanan terhadap ilmu Tajwid dan sikap ibu bapa terhadap penguasaan kemahiran membaca Al-Quran.

Justeru, memberi kesan kepada pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam Ilmu Tajwid. Oleh itu, tugasan ini akan membincangkan isu-isu kelemahan murid dalam penguasaan ilmu Tajwid di peringkat sekolah, di samping mencadangkan jalan penyelesaian yang terbaik.

Cadangan mengenai isu di sini kelak akan mewujudkan jalan keluar kepada semua setiap permasaalahan lampau yang masih belum mampu diatasi sehingga kini. Penulis juga akan membincangkan pembahagian mad, harakat bacaan kesemua hukum mad tersebut kaitan dengan contoh kalimah yang diberikan.

Masalah Kelemahan Murid Dalam Penguasaan Ilmu Tajwid

Berdasarkan temubual dan perbincangan penulis melalui forum My Guru, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Menurut Ustazah Maimunah Binti Hamid salah seorang guru Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan Tasek, Ipoh, Perak Darul Ridzuan berpendapat bahawa, kelemahan murid dalam penguasaan ilmu Tajwid adalah faktor kelemahan pembelajaran al-Quran adalah anak-anak muda hanya mendapat didikan al-Quran hanya di sekolah sahaja. Kini, jarang mereka memperolehi pembelajaran Al-Quran di rumah.

Menurutnya lagi, pelbagai usaha perlu dilakukan pada peringkat sekolah lagi supaya murid-murid ini tidak terus dibelenggu masalah dalam bacaan al-Quran, malah keadaan kian meruncing penguasaan bacaan al-Quran di peringkat sekolah.

Oleh itu, melalui permasalahan ini ibu bapa seharusnya sedar bahawa amanah kepada anaknya untuk mengajar al-Quran bukan hanya pada guru sahaja, malah ibu bapa dan keluarga terdekat perlu memberi sokongan secara langsung atau tidak secara langsung kerana al-Quran untuk semua orang Islam. Selain itu, guru yang mengajar di sekolah perlu menggunakan kreativiti masing-masing dengan cara yang mudah bagi anak muridnya senang untuk mempelajari Al-Quran. Begitu juga, ibu bapa yang berkelapangan agar dapat memberi penekanan dalam pendidikan anak-anak mereka untuk mempelajari al-Quran.

Menurut (Wan Azlina Wan Semail, 2017) selain daripada itu, para guru perlu menguasai ilmu Tajwid supaya mereka dapat menyampaikan ilmu ini dengan betul dan berkesan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir guru yang hanya menguasai kemahiran atau pengetahuan yang sederhana dalam membaca Al-Quran. Mereka didapati kurang menguasai kemahiran atau pengetahuan yang luas. Contohnya, ilmu tajwid dan tanda-tanda bacaan, menghafaz ayat-ayat Al-Quran dan membaca Al-Quran di khalayak ramai.

Permasalahan ini juga boleh dikaitkan dengan faktor-faktor seperti ketiadaan pembimbing, kurang penekanan terhadap ilmu Tajwid dan sikap ibu bapa terhadap penguasaan kemahiran membaca Al-Quran. Sesetengah guru mendapati pendedahan awal pembelajaran membaca Al-Quran daripada pembimbing yang tidak bertauliah. Ramai dibimbing oleh para guru dan ibu bapa sendiri yang tidak dilatih khas untuk membimbing membaca Al-Quran. Ini bererti guru tersebut tidak dibimbing secara teratur ketika mula belajar membaca Al-Quran. Ini mengakibatkan tahap kebolehan membaca Al-Quran yang rendah di kalangan guru tersebut. Dengan demkian akan menyumbang kepada kelemahan murid itu sendiri.

Cara-cara mengatasinya

Kesungguhan Guru

Menurut (Fazilah Abdullah, 2015) sebagai guru yang mengajar pelajaran al-Quran mendapati masalah yang dihadapi ialah hukum tajwid yang agak lemah. Menurutnya, mengajar tahun satu misalnya, pelajar cepat lupa sebutan huruf dan  bacaan panjang pendek yang tidak betul. Inisiatif yang telah diambil antaranya :

  • Pelajar yang agak lemah dipantau untuk mengulangi bacaan ketika waktu rehat, dengan penekanan pada bacaan yang panjang dan pendek.
  • Tambahan masa tasmik untuk mengulangan
  • Memandangkan pelajar yang terdiri daripada kalangan ibu bapa mualaf kerana mengajar di sekolah cina. Maka, menyuruh mereka pergi sekolah agama dan membaca di rumah atau tempat belajar al-Quran untuk mereka lebih lancar.

Manakala, cara yang berkesan digunakan oleh (Fazilah Abdullah, 2015) bagi mengatasi masalah ini dengan memanggil murid pada waktu rehat. Kemudian murid akan diberi satu kertas yang mempunyai tulisan besar dan kaedah pintas iqra yang dipelajari semasa kursus di PPD Gombak.

Oleh itu, berhadapan dengan murid yang bermasalah dalam mendalami al-Quran ini adalah perkara biasa, terutama bagi pelajar yang hanya belajar disekolah tetapi tiada pengukuhan dirumah, dan mereka ini pula amat lemah didalam mengingati sesuatu pelajaran yang diajar.

Kaedah visual dan bentuk

Menurut (Nor Asikin Arbain, 2015) kaedah baru yang sering diperbaharui mengikut kreativiti guru dan kesesuaian teknologi sekarang, misalnya murid yang berada di tahun satu untuk memahami hukum tajwid memang agak sukar, guru perlu mencari kaedah atau strategi yang paling mudah atau teknik yang sesuai untuk murid mudah mengingati dan memahami tajwid ini.

Mengikut (Nor Asikin Arbain, 2015 ) guru seharusnya berusaha mencari pendekatan atau teknik yang sesuai supaya pelajar berasa seronok mempelajari al-Quran terutama di dalam mengingati hukum tajwid. Pendekatan yang lebih berhemah akan menjadikan pelajar berasa seronok belajar dan berminat untuk mendalami al-Quran seperti menggunakan bentuk atau berasaskan visual yang hampir sama dengan huruf-huruf tertentu untuk cepat diingati. 

Menarik minat murid kepada al-Quran

Mengajar kemahiran perlu menekankan kepada arahan, demonstrasi dan pembaikan kesilapan pelajar. Oleh itu  keberkesanan dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran banyak bergantung kepada Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) yang dimiliki guru (Tickle, 2000). Merujuk kepada amalan pengajaran dan pembelajaran Tilawah Al-Quran yang berkesan, maka guru Pendidikan Islam juga perlu jelas dari segi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan semasa mengajar Tilawah al-Quran. Menurut Abdul Raof (1998) gabungan pelbagai aktiviti pengajaran yang melibatkan strategi pendekatan,, kaedah dan teknik akan membawa kepada pengajaran yang berkesan.

Menurut Ibnu Khaldun (2000), guru hendaklah memastikan setiap isi pengajaran dan masalah yang timbul semasa proses pengajaran dan pembelajaran diselesaikan dahulu sebelum berpindah ke topik lain. Berdasarkan strategi pengajaran yang dicadangkan oleh Ibnu Khaldun  ini,  dapat  membantu  pelajar dalam  pembelajaran yang  berkesan. Oleh  itu  dalam pengajaran Tilawah al-Quran, guru hendaklah memastikan pelajar benar-benar dapat menguasai isi pelajaran yang diterangkan oleh guru, agar pelajar tidak berterusan gagal menguasai kemahiran bacaan al-Quran dengan sepenuhnya. Setelah guru yakin pelajar telah berjaya menguasai kemahiran bacaan al-Quran yang diajar, barulah guru berpindah ke tajuk pengajaran yang seterusnya.

Kini pelbagai kaedah diperkenalkan untuk memahirkan mereka yang berminat mempelajari al-quran. Apa yang penting guru-guru al-Quran mesti mengaplikasikan setiap kaedah dengan teknik yang menarik supaya pelajar lebih berminat tanpa rasa jemu. Setiap masjid dan surau sepatutnya mewujudkan kelas-kelas mempelajari al-Quran tetapi realitinya tidak sebegitu. Ada kelas-kelas al-Quran yang lebih menjurus kepada tafsir ayat al-Quran sedangkan ramai dikalangan pelajar yang masih belum membaca al-Quran dengan baik. Guru-guru tidak menekan soal tajwid, fasahah, sifat huruf dan juga makhraj huruf yang betul. (Hanim Abdullah, 2015)

Oleh yang demikian, pembelajaran Al-Quran adalah perkara yang wajib diajar di setiap sekolah kebangsaan sama ada rendah ataupun menengah. Pembelajaran Al-Quran melibatkan tilawah, hafazan, kefahaman dan tajwid. Antara kelemahan dalam pembelajaran Al-Quran adalah dari segi bahan bantu mengajar yang kurang menarik minat murid-murid. Faktor ini disebabkan guru kurang mahir membuat bahan bantu mengajar dengan kreatif. Bagi mengatasi kelemahan ini, saya mencadangkan supaya pihak kementerian mengadakan kursus cara menghasilkan bahan bantu mengajar yang kreatif serta menarik minat murid dalam pembelajaran Al-Quran pada masa akan datang. (Saudy Uji, 2015)

Justeru, diperingkat sekolah rendah pelajar lebih tertarik kepada kesenian dan pendedahan serta pelajar contoh yang menguasai bacaan yang baik dan bertarannum dapat merangsangkan pelajar yang lemah kerana kewujudan persaingan di kalangan mereka, seterusnya guru seharusnya menarik minat mereka dengan aktiviti yang lebih kreatif.

Oleh itu, guru yang mengajar Al-Quran mesti mahir semua sudut dalam bacaan Al-Quran. Talaqi dan musyafahah guru mesti tepat kerana murid akan mengikut bacaan guru. Kesalahan dalam pembacaan ini disebabkan kelalaian mengenal pasti makhraj huruf, hukum tajwid, kelancaran bacaan dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pembacaan al-Quran. Oleh itu Islam menuntut agar umatnya memahami konsep mempelajari al-Quran dengan menguasai bacaan, kefahaman, penghayatan, hafazan, taranum dan meneruskan pengajaran kepada generasi selanjutnya (al-Badry 1983, Mohd Yusuf 2000).

Huraian Hukum Mad

Hukum mad dan qasar merupakan berkaitan dengan kedua-duanya. Mad dari segi bahasa : Tambah, lebih.

Menurut istilah pula ialah : Memanjangkan suara dengan salah satu daripada hurut mad yang tiga iaitu alif sebelumnya berbaris di atas, wau mati sebelumnya berbaris di hadapan, ya’ mati sebelumnya berbaris di bawah apabila salah satu hurut ini bertemu dengan hamzah qata’ atau hurut mati. (Muhammad Amiri Ab Ghani, 2011)

Qasr pula dari segi bahasa bermaksud : Kurang, tahan.

Menurut istilah pula ialah: Memanjangkan hurut mad dengan kadar Mad Asli iaitu dua harakat tanpa sebarang penambahan ke atasnya. Penggunaan istilah qasr adakalanya juga bermaksud tidak dibaca dengan mad atau dengan satu harakat sahaja.

Mad terbahagi kepada dua, iaitu Mad tabi’i (mad asli) dan Mad Far’i (pecahan baginya) dan Mad Far’i itu dibahagikan menjadi empat belas macam. Oleh itu, jumlah keseluruhan jumlah bacaan Mad terbahagi kepada lima belas bahagian seperti di bawah :

Penjelasan Hukum Mad dan Contohnya :

1. Mad Tabi’i ( مَدْ طَبِيعِي
)

Apabila ada alif ( ا
) terletak selepas fathah (berbaris di atas) atau ya’ sukun ( ي
) selepas kasrah (baris di bawah) ( ―ِ
) atau wau ( و
) selepas dhammah (baris di depan) ( ―ُ
) . Mad ertinya panjang , thabi’i errtinya : biasa.

Cara membacanya : dua harakat atau disebut satu alif contoh :

كتَا بٌ – يَقُوْلُ – سمِيْع

2. Mad Wajib Muttashil ( مَدْ وَاجِبْ مُتَّصِلْ
)

Apabila mad thabi’i bertemu dengan hamzah ( ء
) di dalam satu kalimat atau kata. Cara membacanya wajib panjang 5 harakat atau dua setengah kali mad thabi’i ( dua setengah alif ).

Contoh : سَوَآءٌ – جَآءَ – جِيْءَ

3. Mad Jaiz Munfashil ( مَدْ جَائِزمُنْفَصِلْ)

Apabila terdapat mad tabi’i bertemu dengan hamzah (ء
) tetapi hamzah itu berada di lain perkataan . Jaiz ( boleh ) . Munfasil ertinya terpisah .

Cara membacanya Jaiz (boleh) seperti mad wajib muttashil, dan boleh seperti mad thobi’i .

Contoh : وَﻻَأنْتُمْ بِمَا أُنْزِلَ

4. Mad Lazim Mutsaqqal Kilmi ( مَدْ ﻻَزِمْ مُثَقَّلْ كِلْمِي
)

Apabila ada mad thabi’i bertemu dengan tasydid di dalam satu perkataan, maka cara membacanya harus panjang selama 3 kali Mad Thabi’i atau 6 harakat.

Contoh : وَﻻَالضَّآلِّينَ اَلصّاخَةُ

5. Mad Lazim Mukhaffaf Kilmi ( مَدْ ﻻَزِمْ مُخَفَّف كِلْمِي
)

Apabila ada mad thobi’I bertemu dengan huruf mati (sukun), maka cara membacanya 6 harakat .

Contoh : آﻻَن

6. Mad Layyin ( مَدْ لَين
)

Apabila ada wau sukun ( و
) atau ya’ sukun ( ي
) sedangkan huruf sebelumnya iaitu berbaris fathah (di atas), maka cara membacanya sekadar lunak dan lembut (layyin) .

Contoh : رَيْبٌ خَوْفٌ

7. Mad ‘Arid Lissukun ( مَدْ عارِضْ لِلسُّكوُنِ
)

Apabila ada waqaf atau tempat berhenti membaca, sedankan sebelum waqaf itu ada Mad Tabi’i atau Mad Lin, maka cara membacanya ada 3 jenis :

a. Lebih utama dibaca panjang seperti mad wajib muttashil ( 6 harakat ).

b. Pertengahan dibaca empat harakat iaitu dua kali mad tabi’i..

c. Pendek ya’ni boleh hanya dibaca seperti mad tabi’i biasa .

Contoh : بَصِيْرٌ خَالِدُوْنَ والنَّاسِ سَمِيْعٌ

 8. Mad Shilah Qashirah ( مَدْ صِلَة قَصِيْرَة
)

Apabila ada haa dhamir (
) sedang sebelum haa tadi ada huruf hidup (berharakat), maka cara membacanya harus panjang seperti mad tabi’i.

Contoh : اِنَّهُ كَانَ ﻻَشَرِيْك لَهُ

9. Mad Silah Tawilah ( مَدْ صِلَة طَوِيْلَة
)

Apabila terdapat Mad Qasirah bertemu dengan hamzah ( ء
), maka membacanya seperti Mad Jaiz Munfashil .

Contoh : عِنْدَهُ اِﻻَّبِاذْنِه لَهُ اَخْلَدَهُ

10. Mad ‘ Iwadl ( مَدْ عِوَض
)

Apabila ada fathatain (berbaris dua di atas) ketika pada waqaf (berhenti) pada akhir kalimah, maka cara membacanya seperti mad tabi’i.

Contoh : سَميْعًا بَصيْرًا عَلِيْمًا حَكِيمًا

11. Mad Badal ( مَدْ بَدَلْ
)

Apabila ada hamzah (ء
) bertemu dengan Mad , maka cara bacanya seperti Mad Tabi’i.

Contoh : آدَمَ إيْماَنٌ = أَأْدَم

Badal bermakna ganti , kerana sebenarnya huruf mad yang ada tadi asalnya hamzah yang jatuh sukun kemudian diganti menjadi ya atau alif atau wau .

آدَمَ
asalnya أَأْدَمَ

ٳِيْمَان
asalnya ٳِئْمَانٌ

12. Mad Lazim Harfi Musyabba’ ( مَدْ لازِمْ حَرْفِ مُشَبَّع
)

Apabila pada permulaan surat dari Al-Qur’an terdapat salah satu atau lebih dari antara lapan huruf iaitu :

ن – ق – ص – ع – س – ل – ك – م
,

Cara membacanya seperti Mad Lazim yaitu 6 harakat .

Contoh : وَالقلَم آلم ن يس

13. Mad Lazim Harfi Mukhaffaf ( مَدْ لازِم حَرفِ مُخَفَّف
)

Apabila permulaan surah dari Al-Qur’an terdapat salah satu atau lebih dari antara huruf yang lima iaitu :

ح – ي – ط – ﻫ – ر

Cara bacanya seperti Mad Tabi’i Contoh : حم الم

14. Mad Tamkin ( مَدْ تَمْكِيْن
) iaitu :

Mad Tamkin adalah mad yang terdapat pada huruf ya’ berganda, dimana ya’ yang pertama bersimbol ‘tasydid kasroh’, dan ya’ yang kedua bersimbol sukun (mati). Syaratnya adalah apabila ia tidak diikuti lagi dengan huruf hidup yang dimatikan (kerana ada di akhir bacaan), Dengan demikian itu akan berubah nama menjadi Mad ‘Aridl Lissukun. Panjang Mad Tamkin adalah 2 harakat sahaja.

Contoh : النَبِيّيْنَ حُييِّيْتُمْ

  15. Mad Farq ( مَدْ فَرْق
)

Apabila bertemunya dua hamzah yang satu hamzah istifham dan yang kedua hamzah wasal pada lam alif ma’rifat, cara membacanya sepanjang 6 harakat .

Contoh : قُلْ ءٰاﷲُ اذِنَ لَكُمْ ءٰاﷲُ خَيْرٌاَمّا يُشْرِكُون قُلْ ءٰالذَّكَرَيْنِ

KESIMPULAN

Tuntasnya, pembelajaran al-Quran akan membosankan pelajar jika guru kurang mahir terhadap pendekatan pembelajaran ini. Sebagai seorang guru perlu mencari strategi atau pendekatan yang boleh menarik minat pelajar terhadap al-Quran. Penetapan minat pelajar kepada al-Quran ini dihati pelajar-pelajar dan fokus kepada matlamat pendidikan Islam yang utama ialah untuk membawa pelajar mengenal penciptanya. Hanya pendidikan yang berkualiti akan melahirkan individu-individu yang berpotensi. Kelemahan pada murid tidak dapat dihapuskan secara keseluruhan tetapi boleh diperbaiki sekiranya kesungguhan semua pihak mengambil berat, kerana murid itu golongan yang perlu dibimbing, manakala ibu bapa dan guru sebagai pembimbing dan pencetus dalam kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Justeru, kesedaran dari semua pihak seharusnya memainkan peranan dalam terus memelihara al-Quran yang suci sebagaimana diturunkan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya dengan mengetengahkan melalui media murid yang berjaya agar terus menjadi teladan kepada yang lain. Maka, pendidikan kepada ibu bapa dan guru juga harus diberikan penekanan daripada pakar atau ulama qurra` melalui kursus-kursus penambahbaikan dan perbincangan dari masa ke semasa.

Rujukan

Fazilah Abdullah. (2015, Oktober 08). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

Maimunah Hamid. (2016, Jun 05). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://myguru3.upsi.edu.my

Maragy, A. G. (2013). Siraj Al Qari. Kota Bharu: Jabal Maraqy Enterprise.

Mohd Yusuf Ahmad. (2000). Sejarah Dan Kaedah Pendidikan Al-Quran. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Muhammad Amiri Ab Ghani. (2011). Al-Tuhfah Al-Jauhariyyah Dalam Memahami Usul Riwayat Warsy Menurut Tariq Al-Syatibiyyah. Kota Bharu: Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Nor Asikin Arbain. (2015, Oktober 15). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

Nor Asikin Arbain. (2015, Oktober 20). Masalah Ketidakupayaan membaca al-Quran. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://myguru3.upsi.edu.my

Sahil, M. D. (2012). Al-Quran Rasm Uthmani : Bertajwid dan Disertai Makna. Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid.

Saudy Uji. (2015, Oktober 15). Isu dan Permasalahan Pembelajaran al-Quran Pada Masa Kini, Faktor-faktor Kelemahan dan Cara Mengatasinya. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: http://www.myguru3.upsi.edu.my

Wan Azlina Wan Semail. (2017, Jun 15 ). Isu Pendidikan Islam. Didapatkan dari http://mdazriamin5119.blogspot.my/2010/05/bidang-pengajian-pendidikan-kolej.html

 

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.