Pengajian yang berkaitan dengan Ulum al-Quran adalah salah satu bidang yang penting agar membolehkan seseorang itu memahami atau mentafsir al-Quran dengan cara yang sempurna. Pembukuan tentang ulum al-Quran telah disusun pada abad ke 3 hijrah namun secara tidak langsung telah bermula sejak zaman Rasulullah, sahabat dan tabi’in. Cuma ketika itu perbahasan ulum al-Quran masih tidak teratur bahkan masih berselerak seperti buku ketika ini. Oleh yang demikian, lahirlah beberapa penulis tempatan yang telah membukukan karya mereka tentang ulum al-Quran seperti Dr. Rosmawati, Dr. Zawawi dan banyka lagi. Ini menunjukkan bahawa ilmu yang berkaitan dengan al-Quran adalah sangat penting. Berdasarkan perbahasan yang dikaryakan oleh penulis kitab adalah banyak perkara yang dapat kita mempelajari untuk mengenal lebih luas tentang al-Quran. Kajian ini sedikit sebanyak akan membahasakan tentang penulisan yang dikaryakan oleh penulis terkenal bahkan mencari perbezaan antara kitab masyhur pada ketika dahulu sehingga kini iaitu kitab al-Burhan fi Ulum al-Quran dan kitab al-Itqan fi Ulum al-Quran.

KARYA ULUM AL-QURAN TEMPATAN

Seorang pengkarya ulum al-Quran hendaklah mencukupi ilmu tentang kajian ulum al-Quran bahkan mempunyai pengalaman yang banyak dalam menghasilkan karya agama agar tidak berlaku penyelewangan fakta. Di Malaysia terdapat beberapa karya tempatan yang membukukan tentang ulum al-Quran. Antaranya ialah :

 

2.1 DR. ROSMAWATI ALI @ MAT ZIN

Beliau dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 26 Julai 1967. Penglibatan dan pengalaman beliau dalam kerjaya akademik malahan aktif dalam penyuntingan, penterjemahan dan penulisan dalam pelbagai bidang akademik seperti pengantar ulum al-Quran. Karya ulum al-Quran kali pertama telah dicetak pada tahun 1997 oleh syarikat Prospecta Printers Sdn. Bhd, Perak dan diterbikan oleh Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur. Dalam penulisan buku ulum al-Quran beliau, terdapat lapan bahagian tajuk yang diperbahsakan iaitu bahagian A – I. Bahagian A membahaskan tentang mukaddimah ulum al-Quran iaitu takrif ulum al-Quran, tahap perkembangan, penulisan ulum al-Quran berserta tokoh mengikut abad dan bidang/skop perbahasan mengenai ulum al-Quran.

Manakala bahagian B memperkenalkan tentang al-Quran. Beliau menjelaskan definisi al-Quran dari sudat bahasa dan istilah, kelebihan al-Quran, menyenaraikan nama-nama al-Quran seperti al-Furqan, al-Mau’izah, al-Kitab, al-Nur, al-Busyra, al-Zikr al-Majid dan al-Tanzil. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa al-Quran sebagai mukjizat beserta difinisi mukjizat dan tujuannya, menyenaraikan keistemewaan al-Quran dan menceritakan tentang penulisan, pengumpulan dan pembukaan al-Quran mengikut pelbagai zaman. Bahagian C berkenaan wahyu dan dihuraikan secara terperinci mengenai wahyu termasuk definisi, jenis-jenis wahyu, cara penurunan wahyu, kepentingan wahyu dan tokoh penulis wahyu seperti Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka’ab, Mu’az bin Jabal dan Muawiyah ibn Abu Sufian. Bahagian D pula adalah nuzul al-Quran iaitu membahasakan maksud nuzul, cara nuzul al-Quran mengikut tahap dan ayat pertama dan terakhir yang diturunkan mengikut pendapat ulama yang diakhiri dengan rumusan suara ramai ulama. Setelah itu, dinyatakan tentang penyusunan al-Quran dalam bahagian E yang hanya ada tentang cara mengetahui ayat, tertib ayat dan surah mengikut pendapat ulama dan faedah mengetahui ayat dan pembahagian surah. Bahagian F mengemukakan tentang sebab nuzul al-Quran dan membahagian nuzul al-Quran. Bahagian seterusnya mengenai ayat makki dan madani secara umum dan ciri-ciri mengenal ayat dan penyusunan ayat serta jumlah surah al-Quran.

 

2.2          Dr. Mohamad Zawawi Abdullah

Karya tempatan seterusnya adalah Dr. Mohamad Zawawi yang menghasilkan buku yang bertajuk ‘Ulum al-Quran satu pengenalan’ dalam edisi rumi pada tahun 2015. Buku ini dicetak oleh syarikat Gempita Maju Sdn. Bhd, Selangor dan telah diluluskan dan diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Buku ini terbahagi kepada enam topik/bab, setiap bab akan mengisahkan mengenai ulum al-Quran dengan terperinci. Topik pertama tentang pengenalan ulum al-Quran yang terdapat tiga sudut makna iaitu makna ulum dan al-Quran dari lafaz bahasa, syara’ dan lafaz mengikut ulama-ulama terkenal dalam penulisan masing-masing. Selain itu, takrif ulum al-Quran dengan makna idhafi serta penyusunanya juga dijelaskan bersama-sama faedah mempelajari ilmu al-Quran, sejarah perkembangan ulum al-Quran dan penyusunannya.

Topik kedua tentang nuzul al-Quran, peringkat nuzul, kewujudan al-Quran di Luh Mahfuz, di baitul Izzah dan di bumi. Topik ketiga pula dibahaskan tentang Makiyyah dan Madaniyyah secara terperinci dalam surah-surah dan cara mengenali Makiyyah dan Madaniyyah. Cara penulisan al-Quran pula dibahaskan dalam topik empat iaitu berkenaan juga rasm Mushaf, hukum penulisan dan perkara-perkara baharu dalam penulisan. Lalu ceritakan tentang pengumpulan al-Quran beserta sejarahnya mengikut setiap zaman. Dan topik yang terakhir adalah tentang ilmu tafsir.

 

2.3            Dr. Azmil Hashim dan Dr. Abd Rahman

Karya Dr Azmil dan Dr Abdul Rahman merupakan modul bagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) yang bertajuk ‘Ilmu-ilmu al-Quran (HIQ3013)’. Dalam modul ini, penulis membahagikan tajuk-tajuk besar menjadi 10 unit tajuk disertai penerangan bagi setiapnya. Unit pertama menerangkan tentang pembahagian Makkiah dan Madaniah serta susunan ayat-ayat dan surah-surah.

Dalam unit ini, penulis menerangkan pengertian Makkiah dan Madaniah sebelum menjelaskan ciri-ciri, penurunan ayat dan surah, faedah mengetahui Makkiah dan Madaniah serta penelitian para ulama terhadap ayat.

Seterusnya unit 2 tentang Nasikh Mansukh. Dijelaskan secara terperinci tentang pengertian, syarat dan kewujudannya dalam al-Quran. Disusuli dengan hal-hal yang mengalami Nasakh berserta jenis-jenisnya, manfaatnya dan pandangan tentang Nasakh dan dalil ketetapanya serta persoalan lain yang berkaitan dengan Nasakh dalam al-Quran.

Unit 3 menceritakan tentang perkembangan dan pertumbuhan ulum al-Quran. Perkembangan ini diceritakan mengikut tahap seperti tahap sebelum dibukukan, tahap persedian ke arah pembukuan, tahap pembukuan yang mana penulisan karya ketika itu hanya berdasarkan ulama terdahulu dan memaparkan kitab-kitab ulum al-Quran pada zaman kini. Barulah dijelaskan semula pengertian ulum al-Quran, skop pembahagiannya dan faedah mempelajari ulum al-Quran.

Unit 4 pula berkaitan ilmu qiraat dan penurunan al-Quran dalam tujuh huruf. Diterangkan takrif qiraat pada mulanya diikuti kisah penurunan al-Quran dalam tujuh huruf, jenis-jenis dan rukun qiraat, sejarah perkembangan dan pembukuan qiraat, pengenalan bagi imam-iman dan perawai qiraat tujuh dan merumuskan barisan imam-imam qirat tujuh.

Dalam unit 5 penulis mengisahkan tentang asbabun nuzul. Menjelaskan pengertian asbabun nuzul, cara-cara mengetahui asbabun nuzul, uslub-uslub  serta pembahagian dalam asbabun nuzul dan pegangan pendapat berdasarkan lafaz umum bukan sebab khusus.

Seterusnya unit 6, penulis menceritakan tentang penurunan, pengumpulan dan penulisan al-Quran. Penulis menerangkan satu persatu tentang penurunan al-Quran, ayat-ayat yang mula diturunkan dan ayat yang terakhir diturunkan, hikmah disebalik penurunan al-Quran yang berperingkat-peringkat serta kisah pengumpulan dan penulisan al-Quran.

Kewujudan Muhkam dan Mutasyabih diterangkan dalam unit 7 iaitu takfir muhkam dan mutasyabih dan perkara-perkara penting seperti ayat-ayat al-Quran yang berkenaan dengan muhkam dan mutasyabih, kesan pembahagian dan kategori mutasyabih dalam al-Quran serta hikmah-hikmah muhkam dan mutasyabih dalam penggunaan.

Tidak lupa juga tentang mukjizat al-Quran ynag diterangkan dalam unit 8. Terdapat makna dan konsep mukjizat, syarat-syaratnya, pandangan ulama tentang mukjizat yang berlainan pandangan serta bentuk-bentuk mukjizat al-Quran seperti dari aspek bahasa, tasyri’ dan ilmiah. Unit 9 berkenaan tafsir al-Quran yang menceritakan tentang sejarah dan perkembangan tafsir pada setiap zaman yang berbeza kisahnya seperti zaman nabi SWT, zaman sahabat dan zaman tabiin.

Selain itu, menjelaskan tentang tafsir bi al-Ma’thur, tafsir bi al-Ra’yi dan tafsir Isyari serta syarat-syarat dalam penterjemahan al-Quran. Yang terakhir adalah tentang Israiliyyat dalam unit 10. Dalam unit ini,dijelaskan makna israiliyyat secara umum, pembahagiannya, sejarah kemasukan serta faktor kemasukan riwayat israiliyyat dalam tafsir dan hukum mengambil cerita dari riwayat israiliyyat.

 

2.4            DR. ABDUL LATIF MUDA DAN DR. ROSMAWATI ALI

Buku Ulum Al-Quran ini merupakan hasil gabungan karya tempatan iaitu Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali@Mat Zin. Buku ini telah diterbitkan pada Rabiulakhir 1435H iaitu Februaru 2014 M.

Buku ini memperbahasakan dua bahagian iaitu perbahasan Ulum Al-Quran dan perbahasan Tafsir. Dalam perbahasan Ulum Al-Quran, terdapat empat pecahan iaitu menerangkan tentang konsep ulum al-Quran seperti maksud ilmu dan ulum dari aspek bahasa dan istilah serta perbezaan ulum al-Quran, ilmu tafsir dan usul al-tafsir. Seterusnya penulis menerangkan tentang metod pendokumentasian al-Quran seperti pendokumentasi pada zaman nabi SAW, Abu Bakar dan Uthman serta menerangkan penambaikan RASM Uthmani dan kepentingan menjaga al-Quran termasuk adat dalam membaca al-Quran.

Pecahan ketiga adalah tentang I’jaz al-Quran.

Dalam bab ini, penulis memberi penerangan tentang takrif i’jaz al-Quran, skop i’jaz menurut aliran pemikiran mengikut mazhab, menceritakan latar belakang dan sejarah ilmu i’jaz dan aspek-aspek i’jaz seperti penggunaan perkataan, struktur, balaghah dan keistemewaan bahasa. Pecahan terakhir adalah berkaitaan Nasikh dan Mansukh yang mana dijelaskan mengenai takrif, contoh-contoh ayat yang berkaitan, hikmah nasikh mansukh dan cara mengetahui/mengenalpasti serta istilah nasikh dan mansukh seperti istilah am, khas, mutlaq, muqayyad dan bagi menguatkan lagi fakta maka penulis memasukkan pendapat-pendapat ulama berkaitan nasikh dan mansukh.

Yang terakhir, terdapat dalil menasakhan serta cara bacaan nasikh dari sudut tilawah dan dari sudut cakupan. Bahagian perbahasan Tafsir pula mempunyai empat pecahan juga. Antaranya ialah konsep ilmu tafsir, pembahagian tafsir, pengenalan kitab tafsir dalam bahasa melayu dan penyelewangan dalam tafsir al-Quran.

 

3.0       TOPIK PERBAHASAN YANG TERPILIH DALAM KARYA ULUM AL-QURAN

 

3.1            SEBAB NUZUL AL-QURAN

Kebanyakkan karya menceritkan tentang nuzul al-Quran, namun karya tempatan ini menerangkan lagi sebab nuzulnya al-Quran tersebut iaitu karya Dr. Rosmawati Ali dalam bukunya. Terdapat juga kitab yang masyhur yang berkaitan sebab nuzul al-Quran pada ketika dahulu antaranya ialah karangan al-Waidi, Ibn. Hajar dan Imam al-Suyuti. Mengetahui sebab nuzul adalah penting untuk memahami ayat al-Quran. Walau bagaimanapun, tidak semua ayat al-Quran diturunkan dengan bersebab tetapi mempelajari ilmu sebab nuzul merupakan satu bidang ilmu ulum al-Quran.

Sebab nuzul ialah nama yang diambil sempena berlakunya sesuatu peristiwa lalu diturunkan ayat yang menceritakan tentang peristiwa tersebut. Selain itu, sebab nuzul ayat apabila nabi ditanya oleh sahabatnya tentang hukum syarak lalu turunlah ayat bagi menerangkan hal demikian.

Contohnya perisitwa seorang yahudi yang bertanya berkaitan peredaran anak bulan kepada nabi Muhammad s.w.t, lalu turunlah surah al-Baqarah ayat 189 yang menjelaskan bahawa peredaran anak bulan menandakan waktu-waktu (amalan dan urusan) manusia khasnya ibadat haji. Cara mengetahui sebab nuzul ini tidak boleh dengan melalui akal atau pendapat tetapi hendaklah dengan riwayat yang sahih dan menyaksikan sendiri ayat itu diturunkan. Jelaslah bahawa mengetahui asbab nuzul bukanlah perkara yang mudah dan boleh dibuat dengan kajian semata-mata.

Secara umumnya nuzul al-Quran terbahagi kepada dua iaitu penurunan al-Quran tanpa sebab dan penurunan al-Quran bersebab. Penurunan tanpa sebab adalah memperkatakan tentang soal kehidupan seharian seperti akhlak mulia, membetulkan kekeliruan dan menceritakan tentang umat dahulu.

Manakala, penurunan al-Quran bersebab adalah untuk menjelaskan sesuatu hukum, menjawab pertanyaan yang diajukan kepada rasulullah dan apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Ia juga terbahagi kepada tiga bahagian iaitu satu ayat satu sebab nuzul, satu ayat beberapa sebab nuzul dan satu sebab nuzul untuk ayat banyak. Mempelajari ulum al-Quran akan memberi pelbagai faedah kepada seseorang itu seperti dapat mengetahui hikmat diperundangakan sesuatu hukum, dapat membantu seseorang dalam memahami ayat dan maksud al-Quran kerana mengetahui sebab akan dapat mengetahui musabbabnya dan seseorang itu akan mudah menghafaz al-Quran. Itulah keistimewan dalam mempelajari dan mengetahui sebab nuzul al-Quran yang dinukilkan oleh karya tempatan Dr. Rosmawati Ali.

 

3.2            PENGUMPULAN AL-QURAN DAN SEJARAHNYA

Perbahasan ini merupakan perkara penting dalam bidang ulum al-Quran. Karya Dr. Zawawi dalam perbahasan ini menjadi tarikan untuk mendalaminya. Al-Quran diturunkan melalui dua cara iaitu pertama mengumpul dalam dada dengan cara menghafaznya dan kedua pengumpulan melalui penulisan dengan cara menulis al-Quran atau mengukirnya. Dengan adanya penghayatan dan perhatian dalam hati umat Islam maka kekallah al-Quran terpelihara dalam dada para huffaz dan tulisan.

Pengumpulan al-quran pada zaman Rasulullah ialah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur sedikit demi sedikit kepada Rasulullah SWT, sama ada diturunkan satu ayat atau lebih, satu surah atau lebih. Lalu baginda segera menyampaikannya kepada sahabat-sahabatnya yang ditugaskan sebagai pencatat wahyu dari masa kesemasa. Manakala pengumpulan al-Quran pada zaman Abu Bakar dan Uthman RA juga berbeza. Abu bakar RA memindahkan ayat al-quran yang bertulis pada kulit-kulit, pelepah kurma dan lembaran ke dalam satu mashaf dan pengumpulan ini kerana gugurnya para huffaz manakala pada zaman Uthman RA adalah dengan cara memperbanyakkan salinan-salinan yang ditulis oleh Abu Bakar RA lalu dikirimkan ke wilayah-wilayah Islam atas sebab pengumpulan ini kerana dikhuatiri berlaku pertengkaran apabila terjadi perbezaan qira’at di setiap wilayah.

3.3  ILMU QIRAAT DAN PENURUNAN AL-QURAN DALAM TUJUH HURUF

Perbahasan yang menarik ini adalah hasil karya Dr. Azmil Hasim dan Dr. Abd Rahman. Hal ini kerana karya tempatan yang lain tidak membahaskan tentang topik ilmu qiraat dan penurunan al-Quran dalam tujuh huruf. Al-Quran secara asalnya diturunkan hanya satu huruf pada peringkat pertama namun Rasulullah telah mendesak malaikat Jibril agar menambahkan lagi huruf tersebut agar umatnya kelak tidak menghadapi masalah dalam membaca al-Quran. Lalu malaikat Jibril menanbahnya sehingga tujuh huruf sebagaimana sabda Rasulullah SWT :

 

Maksudnya : Dari Ibn ‘Abbas r.a katanya ; Rasulullah s.a.w bersabda ; Mula-mula Jibril membacakan al-Quran kepadaku satu cara bacaan sahaja. Lalu aku sentiasa meminta ditambah diulangkannya kepadaku, maka Jibril mengulang-ulangkannya sehingga akhirnya bacaan itu menjadi tujuh cara bacaan.

 

Qiraat ialah bentuk masdar daripada qara’a atau qiraah yang membawa maksud bacaan namun dari istilah bermaksud satu mazhab (aliran) pengucapan al-Quranyang dipilih oleh Imam Qurra’ sebagai satu mazhab yang berbeza dengan yang lain dan juga merujuk kepada perbezaan lafaz al-Quran berkenaan huruf dan cara mengucapkannya dari segi panjang pendeknya, tebal nipis dan sebagainya. Apakah yang dimaksudkan tujuh huruf? Hah.. Ini yang menarik sesiapa yang membaca karya ini. Walau bagaimanapun, pengertian ini membawa persilihan pendapat ulama antaranya ialah :

 

  • Menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf iaitu dialek. Namun Abu Ubayd menyatakan bahasa tersebut ialah Hudhail, Quraish, Kinanah, awazin, thaqif, al-Yaman dan tamim.
  • Pendapat paling masyhur mengenai penafsiran Sab’atu Ahruf adalah pendapat Ar-Razi yang dikuatkan oleh Al-Zarkani lalu disokong oleh jumhur ulama. Tujuh huruf adalah perbezaan pada tujuh wajah iaitu bentuk isim, tasniah, antara mufrad, mu’annath dan jamak muzakkar.

 

Qiraat terbahagi kepada Mutawatir dan Masyhur. Mutawatir juga terbahagi kepada dua jenis iaitu ahad dan maudhu’. Manakala masyhur terbahagi kepada syazah dan mudraj. Masing-masing mempunyai peranan yang berlainan.

3.4            I’JAZ AL-QURAN

Perbahasan i’jaz al-Quran yang sangat menarik ini adalah dalam karya tempatan Dr Abd. Latif dan Dr. Rosmawati. Meskipun perkataan i’jaz adalah istilah baru dalam sejarah umat islam, namun hakikatnya ia adalah satu pecahan ilmu al-Quran juga. I’jaz dari segi bahasa bermaksud membuktikan, melemahkan, kelemahan dan menjadi tidak mampu.

Manakala dari sudut istilah mendapat pelbagai pendapat daripada para ulama antaranya ialah i’jaz menurut al-Suyuti adalah perkara yang menyalahi adat yang disertai dengan mencabar dan bebas daripada segala penentangan. Ulama lain menyatakan bahawa i’jaz adalah sebuah perkara luar biasa yang timbul dalam diri seseorang yang mengaku nabi dan rasul yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapapun yang mengingkarinya. Kesimpulannya, i’jaz al-Quran adalah nilai kemukjizat yang terdapat dalam al-Quran yang membuktikan kebenaran kerasulan nabi Muhammad s.a.w..

Mempelajari ilmu I’jaz al-Quran memberi banyak kebaikan serta tujaun tertentu seperti untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad SWT yang membawa kitab al-Quran adalah benar-benar seorang Nabi dan Rasul utusan Allah. Selain itu, ilmu I’jaz al-Quran menjadi alat kepada mufassir dalam mentafsirkan ayat al-Quran. Kesimpulannya, bahasa al-Quran adalah mukjizat yang indah yang rapi tersusun. Kitab suci ini akan terpelihara hingga kiamat tanpa sebarang bentuk penyelewangan.

4.0       PERBEZAAN ANTARA AL-BURHAN DAN AL-ITQAN

 

Kitab Al-Burhan dinukilkan oleh imam Muhammad Bin Abdullah Bin Bahadur Al-Zarkashi ataupun digelar sebagai Badar Al-Din. Dilahirkan di Mesir pada tahun 745H di dalam keluarga yang tidak termasyhur dengan ilmu pengetahuan. Beliau berbangsa Turki, Bermazhab Syafi’i. Beliau wafat pada bulan Rejab Tahun 794H, dikebumikan di “Qarafah” Qahirah, Mesir. Ketika umur 49 tahun.

Manakala, kitab al-Itqan dihasilkan oleh Abdul Rahman Bin Abi Bakar Bin Muhammad Bin Sabiq Al-Din yang gelar dengan Jalal Al-Din dan Ibn Al-Kitab kerana pada suatu hari bapanya meminta sebuah buku daripada ibunya lalu beliau terkejut dan terus melahir anak. Beliau dilahirkan di Qahirah, Mesir pada bulan Rejab tahun 849H dan dikebumikan di Qarafah, Mesir ketika umur 61 tahun.

 

4.1            JENIS-JENIS ULUM AL-QURAN

Jenis-jenis ulum al-Quran karya al-Zarkasyi dalam kitabnya iaitu al-Burhan terdapat 47 jenis. Manakala, karya as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan mempunyai 80 jenis perbahasan ulum al-Quran. Jenis-jenis yang disenaraikan oleh as-Suyuti dalam perbahasan masalah-masalah tertentu ada 5 jenis antaranya ialah mengetahui keatasanya berapa bahasa yang diturunkan, mengetahui kata-kata hikmah dan bacaan serta hukum menerima ayat-ayat yang diragui dalam sifat.

 

4.2            MEMPERBANYAKKAN BAHAGIAN ASAL

Bahagian asal dalam bidang/perenggan/faedah kitab al-Burhan mempunyai 29 jenis. Manakala, inovasi dari as-Suyuti mempunyai tiga jenis iaitu bumi dan langit serta apa yang diturunkan ke atas sebahagian percakapan sahabat. As-Suyuti juga telah menambahkan ke atas kitab al-Burhan tetapi bidangnya dalam وهى مسبوقا tentang musim panas dan sejuk, pengetahuan yang tinggi dan terkenal dan tentang idgham, izhar, ikhfa dan iklab.

 

4.3            USLUB

Imam Al-Zarkashi mempunyai uslub ilmiah penuh dengan adab sopan, memindahkan kata-kata dari orang lain dan menyebut secara jujur di dalam kitabnya. Berdasarkan perbendaharaan beliau meringkaskan kata-kata yang dijelaskan di dalam perenggan-perenggan yang tertentu kemudian beliau menambah lagi penerangan yang lebih lanjut. Kadangkala beliau memendekkan sesetengah mabahis (subtopik) dan memanjangkannya di dalam Uslub-uslub Al-Quran, serta membahagikannya menjadi beberapa bahagian seperti Al-Hazfu, Al-Iltifat,Al-Taqdim wa Al-Ta’khir, Al-Taghlib. Manakala, Uslub Imam Al-Sayuti di dalam kitabnya ringkas dan pendek di kebanyakan mabahis kerana kebanyakan diambil dari karya Imam Al-Zarkashi sepertimana diringkaskan sesetengah tajuk daripada kitab al-Burhan. Hal ini terbukti dalam tajuk Al-Mu’arrab, Al-Mubham.

 

4.4            PERKAEDAHAN

Perkaedahan suyuti berjumlah 14. Dan perkaedahan ini dilakukan secara bersendirian berbanding az-Zarkasyi. Maka asal kalimah pada keduanya ada pada kitab al-Burhan

 

5.0       KESIMPULAN

 

Tuntasnya, ilmu al-Quran adalah ilmu yang menyeluruh tentang ciptaan Allah SWT. Ulum al-Quran adalah salah satu ilmu yang menerangkan tentang al-Quran agar umat islam dapat menghayati ilmu-ilmu yang ada pada al-Quran. Kelahiran penulis yang berpengalaman dan berilmu tentang perjalanan cerita ulum al-Quran sejak zaman Rasulullah SWT dapat menghalang umat islam menjadi umat yang jahil tentang kemukjizatan al-Quran. Karya-karya yang dihasilkan oleh penulisan tempatan bukanlah cerita kosong semata-mata melainkan merujuk kepada kitab utama pada suatu zaman dahulu iaitu kitab al-Burhan dan al-Itqan. Bahkan kitab tersebut masih digunakan sebanyak ulama sebagai rujukan dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

 

Rujukan

 

Dr. Mustaffa Abdullah (2014). Ulum Al-Quran. Selangor Darul Ehsan. Meteor Doc Sdn. Bhd.

 

Rosmawati Ali (1997). Penghantar Ulum Al-Quran. Selangor Darul Ehsan. Prospecta Printers Sdn. Bhd

 

Muhamad Zawawi Abdullah (2015). Ulum Al-Quran Satu Pengenalan. Selangor Darul Ehsan. Gempita Maju Sdn. Bhd

 

Dr. Azmil Hashim dan Dr. Abdul Rahman(2012). Ilmu-Ilmu Al-Quran. Universiti Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.

 

Hazim Sa’id Haidar. (1420H). Ulum Al-Quran Baina Al-Burhan wal Al-Itqan. Dirasah Muqaranah. Madinah: Maktabah Dar Al-Zaman.

 

Abu Thalhah Andri Abdul Halim(2009, Oktober 9). Tentang iman Az-Zarkasyi (Penulis Kitab al-Burhan fi Ulum al-Quran). Dari Url:

http://www.alsofwa.com/17025/151-tokoh-tentang-imam-az-zarkasyi-penulis-kitab-al-burhan-fi-ulumil-quran.html

 

Sariono Sbg (2011, Febuari 2). Sekilas Tentang Al-Itqan fi Ulum Al-Quran. Daripada URL :

http://referensiagama.blogspot.my/2011/02/sekilas-tentang-al-itqan-fi-ulum-al.html

 

 

 

 

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

One thought on “Karya Ulum Quran Tempatan”
  1. Assalamualaikum tuan penulis, saya pelajar Tahun 2 sebuah universiti di Utara. Saya amat berterima kasih dengan tulisan tuan berkenaan Ulum al-Quran ini. Saya ingin memohon jasa baik tuan memberi keizinan kepada saya untuk mengambil isi kandungan tulisan tuan sebagai bahan rujukan saya dalam kerja kursus saya. Saya dengan rendah diri mengharapkan pihak tuan dapat mengizinkan bacaan saya ini untuk dimuatkan dalam kajian saya. Terima kasih sekali tuan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.